BERKEBETULAN ATAU SENGAJA MEMANCING UNDI?

Tidak banyak kemudahan pengangkutan awam yang ada di sekitar Semenyih. LRT tidak sampai ke sana, begitu juga dengan perkhidmatan komuter. Mahu tidak mahu, penduduk Semenyih terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Tetapi, Perdana Menteri buat juga keputusan, ketika PRK DUN Semenyih berbaki beberapa hari lagi, Kerajaan PH akan memansuhkan pungutan tol di empat lebuh raya.

Empat lebuh raya itu ialah Terowong SMART, Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS). LDP menghubungkan Damansara –Puchong, SMART dari Sungai Besi ke Jalan Tun Rzak, KESAS dari Pendamaran ke Sri Petaling dan SPRINT membabitkan Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link secara jelasnya tidak ada kaitan langsung dengan Semenyih.

Pemansuhan kutipan empat tol tersebut tidak akan mempengaruhi keputusan pengundian di Semenyih pada 2 Mac nanti, sebab penduduk di situ masih tidak dibebaskan dengan bebanan. Untuk pergi dan balik ke pejabat, sama ada di Kuala Lumpur ataupun Putrajaya, mereka masih perlu membayarnya. Lebuh raya yang berdekatan, pintu masuk atau keluar ialah Plaza Tol Kajang (PLUS) dan Lebih Raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Biarpun Kerajaan PH dalam kenyataannya mengambil keputusan memansuhkan tol di empat lebuh raya tersebut, pengguna masih dikenakan ‘caj kesesakan’ yang menyamai kadar tol ketika waktu puncak, diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan tanpa bayaran bagi perjalanan waktu malam (11 malam hingga 5 pagi). Bilakah tarikh akan dilaksanakan, masih belum ada.

Melihat kepada situasi itu ia saperti gimmick pemasaran; tawaran jualan murah ketika di luar musim untuk menghabiskan stok lama. Ini bermakna, sewaktu pagi setiap hari kena bayar caj kesesakan sama dengan kadar tol. Kerajaan PH memberi alasan, ia adalah perlu untuk menampung kos pengambilalihan lebuh raya, penyelenggaraan dan seterusnya pengurusan trafik. Rakyat melihat, cadangan itu bukanlah menepati dengan manifesto Buku Harapan, untuk menghapuskan kutipan tol. Menghapuskan kutipan tol bermakna, tidak ada lagi apa-apa bayaran dikenakan; bukan dipindahkan menjadi caj kesesakan.

Seorang timbalan menteri memberikan penjelasa, caj kesesakan telah berjaya mengurangkan kesesakan di beberapa bandar besar di beberapa negara saperti Singapura, London dan sebagainya. Soalnya, adakah semua kenderaan yang terpaksa membayar caj kesesakan di empat lebuh raya itu akan memasuki bandar raya Kuala Lumpur. Apakah caj kesesakan itu mampu mengatasi masalah yang dihadapi oleh penjawat awam yang setiap pagi menempuh jalan ‘macet’ untuk ke Putrajaya? Adakah Putrajaya itu diistilah bandar besar saperti Singapura?

Meskipun tol telah dikutip, kesesakan trafik terus berlaku di Jalan Syed Putra, Jalan Tun Razak dan juga Jalan Istana setiap pagi dan petang. Tentunya, nama lagi caj kesesakan, secara berseloroh kita boleh menggambarkan kesesakan akan bertambah teruk, kerana tujuan caj tersebut saperti menggalakkan berlakunya situasi lebih sesak. Semakin sesak, ia saperti semakin bagus dan menguntungkan kepada sesetengah pihak, bukan pengguna jalan raya.

Lihat sahaja kesesakan lalu lintas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Akibat kesesakan setiap hari, maka berlumba-lumba agensi iklan outdoor untuk memasang skrin LED atau tv gergasi. Cuba kita Tanya berapa harga bayaran untuk menayangkan iklan? Bandingkan dengan jalan-jalan lain yang kurang sibuk. Ia mungkin dua atau tiga kali ganda. Semakin sesak, semakin mahal sehingga semua tiang monorail dimonopoli oleh mesej iklan.

Dengan pemansuhan kutipan tol di empat lebuh raya antara jam 11 malam hingga 5 pagi, sekali lagi orang awam bertanya. Apakah pemansuhan tersebut akan menggalakkan lebih banyak lagi ‘lumba haram’ berlaku di situ?

Orang awam sedia maklum, ‘lumba haram’ memang suka menjadikan lebuh raya sebagai litar mengadu kekuatan, kebiasaannya pada malam minggu atau cuti am. Maka, dengan pemansuhan kutipan tol waktu malam, ia mungkin menjadikan siri ‘lumba haram’ makin bertambah. Siapa yang untung? Tentunya ialah bengkel-bengkel motosikal yang banyak menawarkan modifikasi enjin, eksesori dan semakin galaklah ‘dalang’ atau penganjur.

Mungkin bagi pekerja supermarket atau hypermarket yang berkenderaan sendiri sedikit lega, terutama bagi mereka yang habis kerja selepas jam 10 malam. Tidak lagi membayar tol apabila sanggup menunggu untuk pulang ke rumah menggunakan salah satu lebuh raya berkenaan selepas jam 11 malam.

Menunggu setengah atau satu jam, mungkin boleh raikan ‘kerehatan’ itu dengan menikmati teh tarik atau cappuccino di kopitiam dan mengintai apa yang enak festival foodtruck. Tetapi, berapa lamakah boleh bertahan? Pastinya, selepas seminggu atau sebulan mula jemu, redah juga untuk pulang sebaik habis waktu kerja, sebab perlu berikan perhatian kepada suami/isteri dan anak-anak yang lama menunggu di rumah. Ertinya, pemansuhan kutipan tol tidak dapat membantu dalam ertikata yang luas dan memadai. Ia hanyalah bersifat psikologi, memberikan sedikit kelegaan kognitif.

Ia saperti mengembalikan semula Bantuan Sara Hidup (BaSaH) kepada penerima bujang. RM 100 untuk mereka dilihat lebih rendah dari apa yang disumbangkan oleh kerajaan terdahulu. Natijahnya, ia tetap sama, walaupun BR1M itu pernah disinonimkan dengan ‘dedak’, pengumunan ketika PRK DUN Semenyih masih berjalan tetaplah ‘dedak’. Cuma, pengumuman kali ini tidak didakwa, dari mana sumber kewangan itu walaupun tidak diperuntukkan dalam Bajet 2019.

Di situ juga sudah memberikan tafsiran, ada sesuatu yang tak kena dengan pemberian BaSaH oleh Kerajaan PH, bukan kerajaan Malaysia. Kerajaan PH adalah nama kerajaan Malaysia Baharu dan mungkin akan bertukar sebagai entiti negara, kerana semua yang dilaksanakan dibuat atas nama Kerajaan PH, bukan lagi Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Pusat atau Kerajaan Persekutuan. Sebelum 9 Mei 2018, kita hanya mungkin mendengar ungkapan Kerajaan BN dalam siri ucapan politik atau pembentangan Bajet di Dewan Rakyat dan juga di beberapa papan tanda projek, tetapi kini telah diperluaskan dalam pelbagai kenyataan media, sama ada oleh Perdana Menteri sendiri ataupun menteri-menteri Malaysia Baharu.

Perdana Menteri juga menggambarkan situasi sedemikian ketika berucap di luar negara. Tujuannya ialah jelas, untuk menggambarkan Kerajaan Malaysia dahulu adalah sebuah kerajaan yang buruk, jelek dan kleptokrasi. Maka, istilah Kerajaan Malaysia saperti mahu digantikan dengan Kerajaan PH, sebagai jenama yang lebih baik, bertanggungjawab dan mengatasnamakan kepentingan rakyat. Kerajaan terdahulu tidak mempedulikan rakyat, sebab itulah rakyat lebih susah dan menderita daripada sekarang.

Realitinya, tidak saperti yang diungkapkan: rakyat sudah menunjukkan kebosanan retorik politik kerana sejak hampir sepuluh bulan, kehidupan mereka tidak menjadi lebih baik, kerosakan tidak dapat diperbaiki dengan pantas dan berkesan. Setelah gagal memberikan prestasi memuaskan, menteri-menteri gagal merangka program yang berkesan, akhirnya, Perdana Menteri mula mengambil langkah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi dan sebuah jawatankuasa untuk melihat keupayaan menunaikan janji atau manifesto.

Selama beberapa bulan mentadbir, Kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh PH, bertelingkah sesame sendiri dalam banyak perkara. Pertelingkahan itu memberikan gambaran, semua menteri mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing, bukan membawa keseragaman pandangan dan pendirian berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama dan pemuafakatan dalam PH.

Contohnya jelas. Seorang berkata ICERD boleh diratifikasikan dan akan diratifikasikan, semakan undang-undang pada awal tahun ini. Seorang lagi berkata, ia tidak memerlukan pindaan Perlembagaan dan dibawa ke Dewan Rakyat. Seorang lagi berpendirian, ratifikasinya akan menyebabkan kedudukan Islam dan orang Melayu sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan akan terhakis. Maka, bagi menyekat perdebatan yang panjang, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan akhbar, ratifikasi ICERD ditangguhkan. Ertinya, sebelum pengumuman itu dibuat, kata sepakat dan keputusan bersama belum ada, hanya berdasarkan keinginan sendiri-sendiri.

Bila meletusnya ‘kemarahan’ maka bertempiaranlah menteri-menteri dengan kenyataan masing-masing menepis. Tepisan tersebut tidak berjaya menyekat perhimpunan aman yang dimotori oleh PAS dan UMNO serta disokong oleh NGO Melayu-Islam. Kini, ICERD terhenti seketika, dan menteri yang bertanggungjawab sudah mula bersuara lunak apabila lebih 300,000 pengguna media sosial mendesak Perdana Menteri memecatnya atau jika beliau seorang yang boleh dipanggil gentlemen, meletakkan jawatan.

Banyak perkara yang menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat kepada Kerajaan PH, bukan Kerajaan Malaysia. Rakyat mula melihat semula ke dalam, membanding-bandingkan antara kelebihan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan PH. Kerajaan Malaysia merujuk kepada kerajaan yang diterajui oleh BN, kerana PH harapan saperti alergik untuk menyebut jentera pentadbirannya sebagai Kerajaan Malaysia.

Alergik dengan BR1M, dikembalikan dengan istilah baharu. Alergik dengan pembangunan infrastruktur mega pengangkutan awam, maka diugut akan dibatalkan pada awalnya. Setelah merasa ‘tersangkut dan terbeban’ maka dipromosikan semula dengan ungkapan ‘rundingan semula’ untuk mendapatkan penjimatan dan kos yang munasabah. LRT 2 dan LRT 3 diteruskan, dengan kos lebih murah. Betullah, kos menjadi lebih murah bukan kerana mengekalkan kecepatan membina dan spesifikasi teknikalnya.

Pembinaan terowong dikurangkan (atau ditiadakan), jumlah gerabak diperkecilkan, jumlah stesen dikurangkan, masa pembinaan dilanjutkan, jumlah jentera pengangkut disedikitkan. Secara lojiknya, orang awam pun boleh membuat perkiraan. Tidak perlu menteri bising-bising mengatakan kos telah dapat dikurangkan 47 atau 60 peratus. Memang orang awam tahu, beza gerabak tiga koc atau empat koc dengan enam koc. Orang awam faham, kos membina stesen keseluruhan adalah bergantung kepada berapa banyak yang ditetapkan. Harga seunit rumah teres adalah tidak sama dengan harga sepuluh unit. Tetapi, Menteri Kewangan dengan bangganya bercakap, kos yang dirunding semula telah dapat dijimatkan. Sehari dua orang awam boleh dibohongi, akhirnya Menteri Kewangan sendiri di’telanjangi’ tidak ada kelulusan professional untuk melayakkan dirinya bergelar akauntan bertauliah.

Heboh seketika, maka heboh itu membawa rasa tidak yakin pengundi-pengundi DUN Semenyih untuk menolak calon PH, apatah lagi calonnya, belum tamat PhD. Awalnya, dikatakan sedang mengikuti program itu, tetapi disemak, rupanya sudah berhenti sejak tahun 2016, tahun sepatutnya beliau tamat . Sebab terpaksa jaga nenek yang sakit, pengajiannya terbantut. Update dalam wall peribadi media sosial tidak dibuat, maka terdengarlah andaian, calon PH saperti menipu pengundi.

Terserlah juga kebolehan berdepan dengan pengundi, gagap bercakap dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi, telah diberikan sedikit andaian, kepetahan dan kebolehan akan dapat dipertingkatkan, berilah masa dan peluang untuk beliau memperbaikinya. Orang awam sekali bertanya, apakah wakil rakyat memerlukan ruang untuk bereksprimen sebagaimana Kerajaan PH sedang hadapi sekarang? Ah! Banyak masa terbuang sehingga Daim sendiri menyumbat telinga kita, enam bulan sudah cukup; lebih enam bulan, sudah tidak boleh diterima lagi.

Majlis Tindakan Ekonomi jelas memberikan indikasi, Perdana Menteri semakin risau dengan prestasi barisan kabinetnya. Akhirnya, terdengar pula ‘khabar angin’ entah kerana asap semakin menebal bertiup, dan pokok sudah bergoyang, PH dalam perancangan untuk mengemukakan ‘undi tidak percaya’. Asapnya yang berkepul di antara berdasarkan dua unggunan api dalam PKR, kem Azmin dan kem Anwar Ibrahim. Sebagai Perdana Menteri menanti, Anwar belum rasa selamat apakah Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan itu dalam tempoh dua tahun (sebelumnya enam bulan), kerana pada tahun lepas, resolusi PAT PPBM mahukan beliau untuk sepenggal.

Majlis Tindakan Ekonomi, tidak ada Anwar dan Wan Azizah yang dilantik sebagai anggota pemikir dan pencari penyelesaiannya. Azmin ada di dalam, maka terdengarlah pula andaian, kem Azmin lebih mendekati Perdana Menteri, dan kalau apa pun terjadi, mereka tidak akan menyokong Anwar. Azmin sedikit resah, tetapi dalam masa yang sama memberikan ‘jaminan’, berpisah dengan PKR tidak ada, tetap setia dengan parti itu. Tetapi, orang awam bertanya, betulkah Azmin berpendirian sedemikian sedangkan Rafizi semakin galak mencaturkan ‘kejatuhan kem Azmin.’

Suasana dalam DAP juga sedikit berasap. Lim Kit Siang, diam membisu setelah terasa getarannya penerimaan PPBM terhadap bekas wakil rakyat UMNO. Setakat ini, PPBM sudah menambah bilangan, dari 13 kerusi kepada 22 kerusi. Penambahan ‘dari jalan belakang’ yang tidak dipersetujui oleh pemuafakatan PH, tetapi, Dr Mahathir tetap lakukan, kerana ia adalah hak PPBM, yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun, hatta Anwar atau Lim Kit Siang, sebab ia adalah hal ehwal dalaman PPBM sendiri.

PAS berjaya menghidu ‘bau asap’ itu. PAS rasa terpanggil untuk ‘mempertahankan Dr Mahathir’ tetapi PAS diikat dengan satu lagi dakwaan, yang berpunca daripada Sarawak Report, menerima dana RM 90 juta dari 1MDB. Hebohlah, maka tiba suara video Nik Abduh kembali menduduki ‘carta’, akhirnya, semalam, SPRM mengesahkan tidak ada wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun PAS. PAS kembali menarik nafas lega, tetapi, PAS tetap dilihat sebagai ‘kekasih tidak setia’ kerana pendiriannya ‘tidak pernah tetap’. Bagi PAS, ia jelas, pendiriannya ialah mempertahankan Dr Mahathir sekiranya berlaku ‘undi tidak percaya’, untuk tempoh sehingga berlangsungnya PRU ke-15.

PAS mempertahankan Dr Mahathir kerana PAS tidak yakin dengan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk masa sekarang. Anwar mungkin akan mendapat kerjasama yang lebih besar daripada DAP dan PAN. PAS bermusuh dengan DAP, kerana itulah tidak sanggup bersama dalam PH. PAS juga tidak boleh bertentangan mata dengan PAN, kerana PAN ditubuhkan atas asas mengambil alih peranan PAS, dan semua anggotanya adalah bekas ahli PAS yang kecewa tidak dipilih ketika pemilihan berlangsung pada tahun 2015.

Semuanya menjadi semacam ‘pertikaian politik’ yang sedang dikaveat. PPBM belum mempunyai ‘surat kuasa’ yang mencukupi bagi mencabar kuasa yang ada dalam PKR dan DAP. PAN boleh PPBM tolak ke tepi, kerana kerusinya lebih besar. Sekiranya ‘surat kuasa’ itu benar-benar ada, dan undi tidak percaya ke atas Dr Mahathir berlaku, maka peluang Perdana Menteri menanti akan terus menanti. Sebab itu, Anwar sentiasa berhati-hati, bahkan berkali-kali menyatakan bahawa dirinya belum terdesak, Dr Mahathir mungkin boleh sehingga sepenggal.

Tidak ada apa-apa yang Anwar risau, kerana berikan Dr Mahathir memperbaiki ‘kerosakan’ termasuk ‘kerosakan harapannya’ untuk segera menduduki tampok kuasa yang diidam-idamkanya sejak lebih dua puluh tahun lalu, yang juga menjadi sebahagian daripada punca pemecatannya dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (kemudiannya bertukar menjadi Parti Keadilan Rakyat, atau PKR).

Semuanya berlaku ini adalah secara kebetulan dengan PRK DUN Semenyih? Tol dan  BaSah, tidak mampu menganjakkan sokongan pengundi, sebab itulah Dr Mahathir dijangka akan datang ke Semenyih untuk ‘sentuhan terakhir’ sebelum hari mengundi. Kalau di PRK Cameron Highlands, kehadiran Dr Mahathir gagal menghalang penyokong BN mengekalkan sokongan tradisi mereka, mungkinkah pengundi Semenyih membuat ‘swing’ yang tidak menyebelahi PH? Kemungkinan tetap ada, kerana mood pengundi Semenyih masih ‘belum percaya’ Kerajaan PH akan mengotakan janji-janjinya, sebab itulah frasa: malam ini menang, esok masalah selesai’ ditarik balik.

Pengundi Semenyih sudah memahami; Kerajaan PH berselindung dengan apa sahaja alasan untuk menukarkan ‘kebencian lama’ menjadi ‘kesukaan baharu’; menempelak Kerajaan Malaysia kerana kleptokrasi dan Kerajaan PH kakistokrasi; Yang dijanjikan belum tiba, 100 hari saperti sia-sia; dan lebih teruk lagi apabila tol digantikan caj kesesakan. Harapan PH menang menang sukar, #ApaMaluBossku masih trivia dan mendapat kerumunan yang besa sehingga Tan Sri Muhyiddin terasa malu, siapa pun tidak menyerbunya ketika muncul di TESCO kecuali wartawan dan juak-juaknya.

Petanda memang jelas, BN mempunyai peluang. Kemenangan BN tentunya mengukir sejarah; dan mungkin bakal mempengaruhi apa yang akan berlaku selepas ini, dan terdekat ialah PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan, yang juga akan menguji PKR dan kepimpinan Anwar yang baharu menang di Port Dickson.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply