BERKENALAN DENGAN “SINERGI”

Sinergi mungkin suatu istilah atau perkataan yang asing bagi anda. Jika disebut sinergi, hanya tergambar di minda nama syarikat-syarikat korporat yang besar atau pun nama kilang-kilang di sekitar kita yang biasa terlihat di pandangan mata. Atau kata sinergi itu biasa kita lihat digunapakai dalam bahasa Inggeris dengan ejaan “Synergy”.
Namun, tahukah anda apa maksud sebenar sinergi?

Sebelum menjawab persoalan itu, mari kita lihat kehidupan alam semulajadi di sekeliling kita. Pernahkah anda melihat sekawanan angsa yang terbang menuju ke selatan pada musim dingin yang menggunakan formasi V? Ya, rancangan seperti National Geographic atau Discovery biasa memaparkan rencana atau dokumentari sebegitu.
Saintis telah membuat penemuan mengagumkan tentang angsa tersebut.

Formasi V itu diketuai oleh seekor angsa, dan apabila angsa yang menjadi ketua itu telah penat, maka akan berlaku penggiliran dan angsa lain pula akan mengambil tempat sebagai ketua. Formasi V itu bertujuan untuk mewujudkan tekanan udara yang menolak sekawanan angsa sebanyak 71 peratus lebih jauh berbanding terbang sendirian. Angsa-angsa di belakang akan berbunyi sebagai dorongan kepada angsa di depan untuk konsisten terbang ke destinasi dan apabila ada yang terkeluar dari formasi, angsa itu akan berusaha untuk masuk semula dalam formasi tersebut tanpa ada sedikit pun niat untuk berpisah. Yang paling menarik, sekiranya seekor angsa sakit, maka akan ada dua ekor angsa yang akan turun ke bawah menemani angsa yang sakit itu untuk sembuh, atau mati,

sebelum menyertai formasi baharu atau mengejar semula formasi yang telah meninggalkan mereka. Ia adalah fakta pengajaran yang mengesankan.

Sekarang, cuba anda perhatikan akar pokok yang berselirat, bergumpal, luas, seperti Cyprus atau pokok-pokok yang menjulang tinggi seperti di Taman Negara yang usianya mencecah ratusan malah ribuan tahun. Tanpa kesatuan akar yang berceranggah itu, sudah tentu pokok itu sudah lama tumbang dipukul ribut.

Kehidupan tumbuhan dan haiwan yang bersifat simbiosis (manfaat diperoleh oleh kedua-dua pihak) memberi pengajaran yang banyak kepada manusia. Seekor kerbau yang Allah jadikan empat kaki tanpa tangan, sukar untuk menggaru belakang badannya akibat kegatalan kerana gigitan kutu, tetapi Allah menciptakan burung Jalak untuk hinggap di belakang kerbau dan memagut kutu-kutu itu. Kerbau bersih dan burung Jalak kenyang, dua-dua saling beroleh manfaat. Malah banyak lagi di sekeliling kita kehidupan alam yang seperti ini.

Sebuah orkestra yang mengiringi persembahan atau membuat persembahan, tidak hanya drum yang berbunyi, atau biola, gitar, piano, seksofon dan yang lainnya berbunyi secara sendirian, tetapi mereka berbunyi bersama untuk menghasilkan irama bersama yang mengasyikkan. Setiap alat berperanan untuk mewujudkan irama yang beragam berbanding hanya satu alat sahaja yang berperanan. Akhirnya, keindahan itu menjadi milik semua, bukan milik individu.

Gambaran-gambaran di atas adalah analogi paling mudah untuk menggambarkan apa itu “sinergi”.

Sinergi itu maksudnya lebih besar daripada kerjasama. Bekerjasama kadang-kadang kita terpaksa berkompromi dengan cara orang lain dengan mengorbankan cara sendiri, atau orang lain berkompromi dengan cara kerja kita, hingga mengorbankan cara bekerjanya yang berbeza.

Sinergi bermaksud cara saya dan cara awak menjadi cara ketiga yang lebih baik untuk mencapai apa yang dimatlamatkan bersama.

Proses Sinergi

Sinergi tidak hanya boleh berlaku begitu sahaja. Ia adalah suatu proses. Kita perlu melalui proses itu. Dan asas yang perlu menjadi pegangan kita untuk melalui proses itu dengan jayanya adalah dengan meraikan perbezaan (celebrating differences).

Kita tentu biasa mendengar kalimah “kepelbagaian” yang selalu diungkapkan oleh ramai orang. Kepelbagaian bukan suatu pilihan, tetapi adalah sebuah ketetapan daripada Allah s.w.t. Jika kita masuk ke dalam sebuah taman bunga, dan di sana tiadanya perbezaan dan kepelbagaian apakah layak ia dinamakan sebuah taman? Ya, ia dinamakan taman kerana kepelbagaian spesis, warna dan bentuk bunga di dalamnya, menjadikan indah dipandang mata, cantik dilihat dan mendamaikan. Bayangkan jika kita masuk ke dalam hutan dan melihat semua tumbuhan tingginya sama, bentuknya sama, warnanya sama, maka sudah tentu ia bukanlah dinamakan hutan. Dan jika semuanya sama, kita hanya akan melihat wajah kita di mana-mana di dunia ini, dan tentulah tidak akan wujudnya insan yang bernama ibu dan ayah jika semua orang perlu serupa.

Nah, kepelbagaian dan perbezaan adalah sunnatullah. Mahu tidak mahu, kita perlu menerimanya. Ia bukan kehendak, tetapi sebuah keperluan. Kita dituntut untuk meraikan kepelbagaian itu dengan lapang dada. Allah menganjurkan kepada kita tentang bagaimana menguruskan kepelbagaian tersebut berdasarkan firman-Nya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Ayat ini sudah cukup lengkap untuk menggambarkan kepelbagaian warna kulit, bahasa, agama, budaya dan pelbagai lagi dan kita dituntut untuk mengurus kepelbagaian itu dengan konotasi “berkenalan”. Berkenalan secara ringkasnya boleh dimaksudkan sebagai ‘mengenal apa yang membezakan sesama kita’ dan ‘menghormati perbezaan’ itu pada ‘perkara yang harus dan Allah redha’.

Jangan sesekali pula merasakan cara kita adalah yang terbaik dan kita adalah yang terbaik, kerana terbaiknya kita itu tetap bertempoh dan tidak kekal, hanyalah taqwa menjadi sesempurna bekal di sisi-Nya.

Karakter Sinergi

Hakikatnya ada tiga jenis karakter dalam memahami maksud sinergi ini. Secara mudahnya, saya bahagikan tiga karakter tersebut sebagaimana berikut:

Mengelak
Berkompromi
Meraikan

Selalu mengelak dari berbeza
Selalu berasa takut untuk dibezakan
Menganggap perbezaan adalah gangguan

Menganggap orang yang berbeza itu tidak penting

Hanya kuat apabila berada dalam kumpulan yang sama
Berasa semua orang berhak untuk berbeza

Mereka tidak mengelakkan diri, tetapi tidak juga menghadapi perbezaan itu
Berasa perbezaan itu akan menyebabkan halangan yang menyukarkan perjalanan, bukan potensi kekuatan

Mereka tidak sedar apa yang sedang hilang daripada diri mereka
Selesa dengan motto, “Saya ikut cara saya. Awak ikut cara awak. Saya tak kacau awak, awak tak kacau saya.”

Meraikan bermaksud menghargai dan memberi nilai tinggi pada perbezaan
Perbezaan adalah kelebihan dan peluang yang perlu dimanfaatkan

Dua orang dengan cara fikir berbeza akan lebih berjaya berbanding dua orang yang cara berfikirnya serupa
Tidak perlu menjadi seperti orang lain, atau menggunakan cara orang lain, tetapi mewujudkan pelbagai cara baharu yang kreatif

Pakar-pakar psikologi mengakui bahawa meraikan perbezaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ia bukan sahaja menuntut kekuatan luaran, tetapi juga kekuatan dalaman untuk mendorong tindakan dan persepsi. Salah satu cara mendorong kekuatan dalaman untuk bersinergi adalah dengan selalu berfikir bahawa kita dan mereka tidak sama.

Cara belajar yang berbeza, cara melihat yang berbeza, perwatakan yang berbeza dan hampir mustahil untuk setiap orang itu sama dan serupa 100 peratus.
Hakikatnya tiada orang yang lebih baik atau lebih buruk bila berbicara tentang kejayaan, cuma setiap orang itu berbeza pada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kekuatan dan kelemahan tetap menjadi potensi, sama ada potensi untuk melengkapi, atau potensi untuk dilengkapi. Hakikatnya kejayaan itu adalah untuk dikongsi bersama, supaya saat kita menaiki pentas untuk menerima hadiah dan penghargaan, rakan-rakan di bawah akan bertepuk tangan dengan perasaan kasih sayang, meskipun mereka barangkali tidak terpilih untuk cemerlang seperti itu, kerana kita selalu bersinergi.

Tentulah kita tidak mahu, saat menaiki pentas menerima sijil dan menikmati kejayaan, rakan-rakan di bawah bertepuk tangan lesu, memandang dengan sinis, buat tidak tahu, kerana kita memilih untuk mengelak, atau berkompromi dengan cara sendiri, lalu menjadikan kita orang yang pentingkan diri.

Berkenalanlah dengan sinergi, selamat mengamalkannya, dan nikmatilah hasilnya, bukan sahaja di dunia, malah di Akhirat, atas nama ‘saling tolong menolong pada perkara kebajikan dan taqwa’.

Oleh Amiza Khusyairi Yusof

No Comments

    Leave a reply