BERPOLITIK TANPA ADAB

Raja Ali Haji dalam kitabnya Pengetahuan Bahasa memberikan sembilan kaedah menyemai adab dalam berbahasa atau dalam istilah masakini dikenali sebagai kesantunan berkomunikasi. Masyarakat Melayu yang diikat dengan nilai-nilai Islam sentiasa menjaga tutur kata, kerana mereka percaya dengan menggunakan bahasa yang baik akan membentuk masyarakat yang bermoral,beretika dan berakhlak mulia.

Mereka yang berakhlak mulia juga dikenali sebagai orang yang berbudi pekerti. Maka, susunan perkataan yang baik-baik telah memberikan sifat bangsa Melayu. Melayu itu, menurut Frank Sweethenham: Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka.

Oleh kerana sifatnya yang mementingkan adab, “Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, padanya hal ini harus dihapuskan sekalipun dengan pertumpahan darah. Jika dia merasakan maruahnya dicemarkan sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia dihantui dengan niat menuntut bela.

Atas sifat itulah apabila ada segelintir orang mempersoalkan maruah orang Melayu, orang itu akan dilihat sebagai “kurang ajar” dan “tidak berjiwa Melayu.” Meskipun orang Melayu menyimpan dendam disebabkan dimalukan atau diaib, dia akan bersabar dan jika kesabarannya hilang, dia akan melakukan apa sahaja termasuk menyerang sesiapa sahaja yang dianggapnya mempunyai kaitan atau boleh dikambinghitamkan.

Situasi ini telah berlaku dalam masyarakat Melayu. Ia dilakukan oleh mereka yang kecewa. Mereka yang kecewa itu sanggup menggunakan kata-kata kesat, kasar dan menaburkan fitnah demi memperlihatkan dirinya sebagai orang yang teraniaya. Sebenarnya, pelaku tersebut merupakan orang yang cuba mengalihkan pandangan umum mengenai kesalahannya sendiri, menutup kekurangan diri dengan menyalahkan orang lain.

Secara psikologinya, orang sedemikian merupakan orang yang dilanda masalah dan jiwanya berlumur dengan konflik kepentingan serta kesamaran peluang. Dia sanggup menggunakan kata-kata kotor, memaki hamun orang lain kerana menganggap dirinya sahaja yang betul dan semua orang menjadi “penghalang cita-cita besarnya” sebagai buruk dan tidak mempunyai kebolehan.

Dalam Islam sikap sedemikian itu dikatakan sebagai orang yang bongkak dan riak. Orang yang bersikap sombong dan riak merupakan orang yang paling rugi baik semasa hidup ataupun selepas dia meninggal dunia. Namanya tetap disemadikan sebagai orang yang sengaja mencari nahas, tiada beban batu digalas.

Secara tipikalnya, orang Melayu adalah seorang yang bersopan dan tetap mahukan semua orang lain bersikap begitu terhadapnya. Maka dalam persekitaran itu, orang Melayu sentiasa mementingkan adab dan kerana adab itulah melambangkan kesantunan dengan Allah, sebagai orang yang berilmu, dengan orang lebih tua, berguru, ahli keluarga, sanak saudara, orang yang dikenali, ketua dan pembesar negeri serta dalam pergaulan.

Dalam setiap hubungan yang terjalin sama ada dengan Allah SWT atau sesama manusia, perhubungan itu terjalin dalam suasana yang akrab dan harmoni. Meskipun seseorang itu dilanda kecewa dan resah, dia tetap melafazkan doa memuji kebesaran Allah SWT agar dihapuskan segala apa yang ditanggungnya.

Dalam keadaan resah, kita diberikan kaedah terbaik untuk kembali tenang, iaitu mengingati sebanyak-banyaknya sifat kebaikan dan kemurahan Allah SWT. Dengan berkat itu maka segala masalah dapat diselesaikan dengan tenang dan penuh kenikmatan.

Islam amat melarang apa sahaja yang bersifat buruk termasuk mengeluarkan kata-kata kesat. Mereka yang gemar menggunakan kata-kata kesat adalah mereka yang amat gemar mengumpul dosa. Orang yang gemar mengumpul dosa adalah mereka yang sengaja menempah jalan ke neraka.

Kata-kata kesat yang diucapkannya akan menyebabkan berlakunya sakit hati. Dari sakit hati akan menyebabkan terjadinya pergaduhan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Malah, jika pemimpin gemar bercakap dalam bahasa kesat, beliau akhirnya akan dilihat mati beragan kerana semakin lama semakin kehilangan sokongan. Mereka yang terus menyokong pemimpin tersebut hanyalah terdiri dari mereka yang sempit akal dan tidak memahami hakikat kehidupan beradab.

Mereka yang kurang beradab juga merupakan orang paling lemah imannya. Kerendahan iman itu boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan ketenangan jiwa, setiap masa rasa gundah dan resah bersarang. Akhirnya orang seperti inilah yang banyak sekali dilanda tekanan dan membawa kepada gangguan psikologi.

Pepatah Melayu penuh beradab. Bila nak menyindir orang yang suka bertutur dalam bahasa yang kesat, ada nasihat yang jelas, iaitu “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Orang yang sentiasa membudayakan dirinya sedemikian merupakan orang yang tidak dapat menjalinkan perhubungan yang ramah dan mesra dengan orang lain.

Hakikat ini adalah bertentangan dengan perintah Allah SWT yang juga mensyaratkan manusia agar menjaga hubungan sesama manusia. Malah, sebagai orang Islam kita pernah diberikan pengajaran, jika hidup tanpa mempedulikan jiran tetangga dan sentiasa berbalah dengan orang lain, orang itu telah melakukan dosa yang besar. Mereka yang melakukan dosa besar, hanya akan mendapat balasan neraka.

Nabi Muhammad SAW sentiasa memberikan teladan agar sentiasa menjaga bahasa lisan (lidah). Dan, Orang Melayu turut menyambung teladan itu dengan membentuk kerangka percakapan, jangan mengamalkan budaya “lidah bercabang”, “berkata manis tetapi hati busuk”, “tanam tebu di bibir” dan sebagainya. Ini membuktikan orang Melayu amat peka dengan pemilihan kata-kata, kerana kata-kata itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu dilihat berbudi bahasa ataupun berperangai buruk.

Orang yang berperangai buruk sentiasa menggalakkan orang lain bermusuhan. Orang yang berperangai buruk sentiasa menganjurkan kutukan, fitnah dan berdusta dengan dirinya sendiri, kerana itulah dia sanggup menyembunyikan apa sahaja demi berusaha memperlihatkan dirinya sebagai terbaik, terhandal dan mampu mengubah situasi. BAyangan perubahan yang dianjurkan hanya bersifat sementara, dari perspektif kognitif tetapi selepas itu, perubahan yang dibawa lebih banyak membawa keburukan.

Andaian akan memberikan kebebasan dan kedamaian (serta kesenangan) hanyalah sebuah fatamorgana. Orang yang percaya dan termakan dengan kata-kata itu akan terus terhumban dalam kesempitan, kerana bayangan perubahan itu tidak menjanjikan “hujan akan turun walaupun ternampak seakan-akan mendung menyelubungi seluruh alam.” Jangan curahkan air di tempayan, jangan dikejar baying-bayang kerana bayangan itu hanyalah sebuah impian yang belum menjadi kenyataan.

Apabila ada orang menyifatkan orang lain sebagai “anak babi”, “baghal”, “bahlol” dan sebagainya, secara automatiknya telah memberikan kesimpulan bahawa penutur itu sendiri merupakan mereka yang berjiwa kacau. Dia sudah tidak boleh memikirkan secara berhemah bagaimana untuk memecahkan persoalan, dia telah buntu dek dendam kesumatnya kerana hajatnya terhalang. Maka bagi menutupi resah dan gundah akibat kekecewaan, dengan menggunakan tutur kata yang kasar dan ketat, seakan-akan memberikan sedikit kelegaan.

Kelegaan itu hanyalah sebuah igauan. Mereka yang mendengar akan terasa sakit hati. Akibat sakit hati itulah Frank Sweethenham mencatatkan “Orang Melayu tidak boleh menerima penghinaan” dan “keadaan marah membati buta inilah, iaitu di matanya hanya ternampak darah, yang menimbulkan apa yang dikatakan amuk.”

Semakin ramai orang Melayu bangkit untuk membuat bantahan berhubung dengan penghinaan yang dibuat oleh segelintir pemimpin Melayu sendiri yang terlalu inginkan kuasa. Kerana “gilakan kuasa”. sedangkan pengaruh dirinya semakin menurun dan semakin tebal berlumuran masalah moral, pemimpin tersebut mula menebak getah perangkap, yang akhirnya bakal memerangkap dirinya sendiri. Inilah yang dapat kita pelajari dari peribahasa lama, “bagaikan anjing mengejar bayang-bayang, tulang digonggong jatuh ke air” akhirnya diri sendiri merana.

Benarlah seperti rumus Alif Danya Munsyi, Bahasa Menunjukkan Bangsa (2005), pengetahuan kita mengenai bahasa seharusnya diasaskan menurut konteks sopan-santun sebagai orang yang layak disebut bersusila dan berpekerti, berakhlak dan beradab, dan bermoral dan beretika, ditentukan oleh perbezaan dalam memilih khazanah perkataan antara yang berkonotasi baik dan berkonotasi buruk. Maka di sinilah bahasa benar-benar mencerminka jiwa seseorang.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: Belum lurus keimanan seseorang itu sehingga lurus hatinya, dan belum lurus hatinya sebelum lurus lidahnya. Seseorang tidak boleh masuk syurga selagi ia belum dapat berbuat baik dengan jiran-jirannya.”

Allah SWT turut mengingatkan manusia bahawa : Seburuk-buruk suara ialah suara keldai (luqman:13); ..dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik (al-Isra’:53); ..dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia (al-Baqarah:83); ..dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik (an-Nisa:8); dan “pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia mengingat atau takut.” (Taha:43-44).

Dalam menghadapi pelbagai musibah dan masalah, kita hendaklah sentias mempunyai niat yang ikhlas dan berfikiran tenang. Keikhlasan dan ketenangan itulah akan memberikan kita ruang berfikir yang jelas, matang dan tidak menjelmakan tingkah laku yang amat paradok sekali.

Sesungguhnya, itulah yang diajar oleh Islam, sentiasa sabar dan berfikiran tenang dalam melakukan apa sahaja, termasuk memulakan percakapan dan  memilih kata-kata agar orang yang mendengar sentiasa merasa senang dan tidak sakit hati. Jika nak menegur mereka, tegurlah secara berhemah dan bukannya dengan memaki hamun serta menggunakan kata-kata kesat.

Orang yang menggunakan kata-kata kesat dan kasar sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalutan jiwa. Dia sebenarnya sedang berperang dengan bayangan hitam yang ada dalam dirinya sendiri, kerana itulah sebenarnya makna slogan “bahasa jiwa bangsa.” Bahasa yang kesat mencerminkan jiwa penuturnya yang dipenuhi dendam kesumat dan amat kacau.

Catatan:Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir

No Comments

    Leave a reply