“BERSAMA ALLAH, KITA SELAMAT”

 Sudah sepuluh hari aktiviti ‘mencari dan menyelamat’ digerakkan sebaik sahaja tsunami yang melanda Sulawesi Tengah reda. Tsunami yang memukul Teluk Palu yang rencong dan sempit akhirnya menyebabkan ombak setinggi lebih dua meter meranapkan puluhan ribu buah rumah dan bangunan, beberapa buah kampong tenggelam, kematian, kecederaan, sebahagian sanak saudara kebingungan akibat tidak ‘ketahuan nasib ahli keluarga’, perhubungan terputus, orang awam bertukar menjadi ‘pelarian’, dan amat memilukan ialah timbunan mayat bergelimpangan tanpa organ yang lengkap, berbau, serta tidak lagi dikenali.

Suasana pilu turut menyebabkan warga antarabangsa sedia menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk: kepakaran mencari dan menyelamat, sumber kewangan dan bekalan makanan, rawatan kesihatan dan ubat-ubatan, air bersih dan kemudahan tempat tinggal sementara, mengumpul data dan analisis seismik, dan pengurusan pasca bencana, termasuk perundingan trauma dan bimbingan untuk memulakan hidup baharu apabila proses ‘pemulihan dan pembinaan semula’ dimulakan.

Menurut sumber, kerosakan akibat gempa bumi sekuat 7.5 skala richter dan disusuli tsunami setingga lebih dua meter pada hari Jumaat, 28 September 2018 itu mengambil masa selama dua tahun untuk disempurnakan kelengkapan asasnya. Jambatan Kuning yang menjadi ikon pelancongan Kota Palu musnah teruk manakala dua buah kampong di Petobo dan Balaroa diisytiharkan ‘tidak lagi boleh dihuni’. Dua buah kampong tersebut bukan sahaja terganjak daripada kedudukan asal, bahkan bertukar menjadi ‘kolam dan tasik’ lumpur hitam.

Sebahagian kawasan perumahan di Petobo saperti ‘tanah paya yang mengerikan’ , sebahagiannya lagi gambarkan saperti ladang jagung yang sedang siap untuk dituai, manakala sebahagian yang lain, saperti ‘killing field’ ketika ribuan penduduk Kampuchea dibunuh kejam oleh tentera Khmer Rouge. Cuma berbeza, gambaran ngeri itu berpunca dari malapekata, tetapi ‘Killing Fields’ pembunuhan brutal. Killing Fields, kini popular sebagai salah satu kawasan yang dianggap tidak lengkap bagi setiap orang yang melawat Kampuchea atau Kemboja.

Mungkin juga Petobo dan Balaroa akan menjadi suatu kawasan yang menyakitkan sebagai Sodiorjo (Surabaya) dan kawasan-kawasan sekitarnya ditenggelam oleh tragedi banjir lumpur pada tahun 2004. Lumpur yang berasal dari ‘lahar gunung berapi’ secara tiba-tiba menggelegak sebaik sahaja beberapa pekerja Lapindo sedang menggerudi perut bumi untuk mencari minyak. Penggerudian itu dikatakan terkena ‘kawah lahar di dalam perut bumi.’ Akhirnya, lahar panas dan berbau belerang memancut keluar menenggelamkan beberapa buah kampong.

Lumpur panas dan berbau belerang dilaporkan sukar untuk menjadi sejuk dan mengeras. Dalam satu kajian ilmiah, dan pemerhatian tenaga pakar, desa Sodiorjo yang dilanda malapetaka ‘banjir lumpur’ itu hanya mengeras dan sejuk selepas empat tahun lamanya. Sepanjang ‘tempoh bahaya’ itu, pihak pemerintah dan penduduk setempat terpaksa membina benteng daripada tanah untuk menghalang ‘lumpur panas’ terus menjalar ke kawasan yang lebih luas. Beberapa pemandangan yang lain turut dapat disaksikan bahawa masih berlaku ‘pancutan air yang besar’ terpaksa dialirkan di sekitar kawasan yang dibentengkan bagi membolehkan ‘penyejukan’ cepat terjadi.

Setakat ini, tidak ketahuan apakah selanjutnya akan berlaku di Petobo dan Balaroa, dua buah kampong yang ‘hilang’ dan ‘tidak lagi sesuai untuk penempatan’. Begitu juga jumlah keseluruhan kerosakan yang berlaku, termasuk jumlah mereka yang diisytiharkan ‘tertimbus ditelan bumi tanpa dapat dikesan’ dan juga jumlah mayat (lengkap, separa lengkap atau sebahagian) yang dapat diuruskan sehingga selesai proses pengkebumiannya.

Pihak berkuasa Indonesia sudah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua operasi ‘mencari dan menyelamat’ akan diberhentikan pada hari Khamis, 11 Oktober 2018, iaitu dua minggu selepas Sulawesi diterjah tsunami dan dipalu olek kerak bumi yang tergelincir dari kedudukannya. Kerak bumi dikatakan mula berganjak pada waktu tengah hari dan selepas gempa, air alut dilaporkan telah surut dengan cepatnya. Pihak pengurusan bencana pada awalnya mengeluarkan ‘amaran tsunami’ tetapi, amaran itu ditarik balik selepas dua puluh dikeluarkan.

Ketika itu sebahagian besar Sulawesi Tengah masih mengalami susulan gegaran beratus kali tetapi dalam skala yang lebih rendah. Mungkin itu menjadi faktor amaran tsunami ditarik balik. Tanpa diduga, sebaik sahaja waktu maghrib, tsunami benar-benar memalukan Teluk Palu yang sempit dan runcing itu. Ombak setinggi dua meter itu menghasilkan kekuatan lebih dahsyat, iaitu 200 kali ganda kekuatan bom atom yang pernah digugurkan di Hiroshima (dikenali Little Boy pada 6 Ogos 1945) dan Nagasaki (dikenali Fatt Man dan digugurkan pada 9 Ogos 1945).

Berdasarkan imej satelit dan rakaman video yang disiarkan, Palu lumpuh dalam sekelip mata apabila semua jalan masuk terputus. Sistem telekomunikasi tergendala dan proses ‘mencari dan menyelamat’ terpaksa berhadapan dengan kesukaran besar. Sehari selepas dipukul badai tsunami, didedahkan bahawa hampir kesemua ‘boya’ yang dipasang untuk mengesan tsunami sudah lama tidak berfungsi disebabkan kekurangan dana penyelenggaraan dan vandalisme di laut. Situasi itu menjadi hal yang memungkinkan Jokowi dibebankan dengan isu tersebut dalam mempertaruhkan keinginannya mempertahankan jawatan presiden Indonesia untuk penggal kedua. Pilihan Raya Presiden Indonesia dijangka akan berlangsung pada tahun 2019.

Ketika duka Palu masih ‘panas dan pilu’, gandengan regu Prabowo Subianto yang bakal mencabar Jokowi telah mengekploitasi kes seorang wanita dalam kumpulan kempennya, Ratna Sarumpaet mengalami bengkak di muka akibat dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenalinya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bandung pada 22 September 2018. Ratna mendakwa dirinya menjadi mangsa kerana lantang mengkritik pemerintah dan menjadi aktivis kempen Prabowo.

Kes Ratna itu kemudian menyebabkan pihak berkuasa membuat siasatan dan pada 1 Oktober 2018, pihak polis memanggil Ratna untuk disiasat. Ratna tidak hadir, dan akhirnya pada 3 Oktober 2018, beliau membuat pengakuan bahawa ‘bengkak di muka’ itu bukanlah dibelasah oleh sekumpulan lelaki, tetapi kesan daripada operasi menyedut lemak yang dilakukan pada 21 dan 22 September 2018 di sebuah klinik pembedahan plastik di Jakarta.

Polis menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘hoax’ dan Ratna sebenarnya tidak menjejak berada di Lapangan Terbang Bandung, tidak ada satu persidangan antarabangsa yang berlangsung di Bandung pada tarikh tersebut. Pada malam 3 Oktober 2018, Ratna dikatakan sedang bersiap sedia untuk meninggalkan Jakarta bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa di Chile keesokannya. Ratna ditangkap dan ditahan reman. Kini, Ratna masih menjadi tajuk besar ‘hipokrasi politik’ di Indonesia bersama-sama ‘duka Palu.’

Duka Palu itu turut membangunkan citra buruk pihak berkuasa apabila tersebarnya ‘kebenaran untuk sesiapa sahaja di kawasan bencana’ untuk memecahmasuk kedai-kedai, stor simpanan barangan makanan dan pasar raya, atas alasan bantuan lambat tiba dan penduduk ‘kelaparan’. Gambaran ‘buruk’ itu menjadi cepat viral sehingga pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan ‘bohong’ pihaknya sedia menggantikan atau membayar setiap premis yang kehilangan ‘barang-barang akibat penjarahan’.

Media sosial turut mengungkap tiga faktor yang menyebabkan duka Palu. Malapetaka itu adalah ‘balasan Allah’ kerana walikota Palu tidak mengendahkan larangan agar tidak menggerakkan aktiviti maksiat di daerah tersebut sebagai meraikan ulangtahun ke-420 bandar Palu. Ulama dikatakan telah memberikan amaran beberapa kali, termasuklah amaran terakhir sekitar jam empat petang pada hari kejadian, di mana festival muzik dan sebagainya dicadangkan bermula di sebuah pantai popular yang disambungkan dengan Jambatan Kuning.

Faktor kedua ialah ketika Palu menyambut ulang tahun ke-420, iaitu sehari sebelum dipalu kerak bumi dan diikuti tsunami, berlangsung beberapa aktiviti khurafat ‘menolak bala’ di sekitar pantai. Penduduk melakukan pelbagai persembahan ritual bagi ‘menolak bala’ itu saperti mencabar Tuhan kerana enggan ‘bersekutu dengan Allah’ walaupun secara demografinya, lebih 80 peratus populasi Palu adalah beragama Islam.

Didedahkan beberapa siri kekejam ke atas binatang (saperti ayam, kambing dan sebagainya) telah berlaku bagi mengiringi ritual tersebut. Beberapa orang wanita yang memakai tudung membantu ‘pawang atau dukun’ yang diamanahkan untuk memulakan ritual, yang juga turut bersubahat menyiksa binatang. Bagaimanapun, bacaan menter dan ‘doa’ yang dimohonkan dalam persembahan ritual pada hari itu tidak jelas, kerana dibaca dalam persekitaran melawan tiupan angin.

Faktor ketiga, ada sebuah aktiviti khidmat masyarakat oleh sekumpulan mahasiswa mendedahkan budaya songsang, LBGT semakin terbuka dan mendapat perhatian anak-anak muda Palu. Berdasarkan sebuah kumpulan yang mempromosikan budaya tersebut di jejaring sosial, jumlahnya sudah menjangkau lebih 1500 ahli. Hal ini menyebabkan LBGT bukan lagi suatu aktiviti tertutup,  bahkan sudah timbul keberanian beraksi di kawasan terbuka, termasuklah kawasan riadah dan tepi pantai.

Rumah-rumah penginapan juga dikatakan tidak lagi merasa bersalah jika bilik-bilik yang disediakan itu dihuni oleh pasangan yang ingin melempiaskan ‘naluri seks’. Dan, tentunya, saperti kebiasaan, bila diadakan sesuatu festival awam, jumlah tempahan bilik untuk tujuan ‘maksiat’ meningkat cepat.

Bagaimanapun, kebenaran penyebab berlakunya gegaran dan disusuli tsunami di Palu berkaitan dengan berleluasanya maksiat dan ritual khurafat tetap ada jika kita memahami bahawa Allah SWT sedang ‘mengajar manusia’ untuk membetulkan fikrah kehidupan. Allah SWT menurunkan bala sebagai ‘balasan’ di atas keengkaran manusia bersahabat dengan-Nya, tidak mengendahkan larangan-larangan yang boleh merosakkan fitrah kehidupan.

Sehingga semalam (7 Oktober 2018), Ketua Pusat Data dan Maklumat,  Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan sudah 1,763 mayat berjaya ditemui. Jumlah dijangka akan terus meningkat apabila selesai operasi ‘mencari dan menyelamat’ dihentikan, manakala mereka yang tidak dapat dikesan akan diisytiharkan sebagai ‘orang hilang’.

Daripada jumlah mayat yang ditemui, Sutopo Purwonugroho berkata, teramai ialah di kota Palu (1,519), Donggala (159) dan Sigi (69). Di wilayah Parigi Moutong sudah ditemukan 15 dan Pasangkayu, Sulawesi Barat, seorang. Ketika ini, sejumlah 1,755 mayat sudah dikebumikan (Paboya 753, Pantalongan 35 dan pemakaman keluarga 923 jenazah.

Bilangan yang cedera parah juga telah mencecah seramai 2,632 orang. Mereka sedang menerima rawatan di hospital manakala seramai 265 orang dikhuatiri hilang ditimbus lumpur hitam akibat terjahan badai tsunami.

Menurut Sutopo lagi, walaupun aktiviti ‘mencari dan menyelamat’ dihentikan, pihak berkuasa akan tetap mencari mangsa tetapi dengan kapasiti dan anggota yang terbatas. Ketetapan itu berdasarkan prosedur, sekiranya lebih 10 hari mangsa tidak ditemukan, ia sudah layak diisytiharkan meninggal dunia, dan selepas dua minggu, keadaan mayat tidak lagi sempurna (reput). Ia menjadi sukar untuk mengenal pasti identitinya.

Duka di Palu turut mengingatkan kita kepada ‘trauma tsunami Acheh’ yang menyebabkan hampir suku juta nyawa terkorban pada tarikh 26 Disember 2004. Malaysia turut mengalami tempias yang sama menyebabkan kawasan perumahan nelayan Kuala Muda, Kedah musnah manakala sebahagian kawasan peranginan di Batu Feringghi (termasuk Tanjung Bunga) masih berbaki ‘ngeri’ hingga kini.

Turut mengingatkan kita, bagi mengurangkan kesan buruk bencana, pihak berkuasa hendaklah sentiasa siap siaga untuk menyalurkan maklumat ‘amaran’ kepada setiap penduduk. Mungkin juga dengan ‘malapetaka tsunami Palu dan Donggala’ akan membuka mata kepada kerajaan Malaysia Baharu untuk menilai semula ‘keghairahan’ membudayakan ‘hipokrasi politik’ sehingga mengetepikan agama, dan sanggup membuang toleransi kerana takut kuasa terancam.

Sebabnya mudah, ‘kekuatan kuasa Malaysia Baharu’ bukan lagi dimotori oleh mereka yang bersimpati dan empati dengan Islam, tetapi dari kalangan mereka yang sedang ‘membuang Islam’ secara lojik dan halus. Mereka terus menggunakan ‘hak dan kebebasan’ sebagai stigma perjuangan, sedangkan hak dan kebebasan’ itulah telah meluluhlantakkan Pompei, dan kini Palu dan Donggala.

Pesan seorang guru yang mursyid: Bersama Allah, Kita Akan Selamat. Kalau tidak didunia, kita pasti selamat di akhirat. Tetapi, sayangnya semakin maju manusia dengan teknologi dan bahan-bahan untuk berfikir, semakin jauhnya diri dengan Allah SWT.

Tidak ada bezanya antara manusia yang tersangat marah dengan orang gila atau binatang; kesemuanya telah hilang nalar dan akal‘, Abu Bakar Muhammad ibni Zakariyya al-Razi (Ilmua Parsi Abad ke-10).

 

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply