“BERSEDERHANALAH DAN JANGAN LEKA”

 

Setahun lalu (30 Mac 2017) saya bertemu secara kebetulan dengan seorang lelaki. Petang Khamis itu tetap meninggalkan kesan sejarah dalam hidup saya, kerana pertemuan dengan lelaki berkenaan muncul semula menggamit kata-kata sebelum kami berpisah ‘bersederhanalah dan jangan leka’.

Pesan lelaki berusia sekitar 70 tahun seakan-akan mengingatkan usia saya yang tinggal menghitung hari ‘persaraan’. Sebenarnya, saya hanyalah ada berbaki tidak sampai dua bulan, seminggu sebelum kedatangan Ramadhanm saya dengan rasminya bergelar ‘pesara’.

Pesanan pendek dan bermakna itu adalah hikmat yang tidak saya sedar akan mempengaruhi jiwa dan kehidupan saya selanjutnya. Saya tidak perlu bergegas setiap pagi ke stesen komuter dan ‘menyumpah jadual perjalanan tertunda’; menapak ke pejabat dari perhentian bas di Parcel E dan seterusnya merakamkan ibu jari ke mesin perakam biometrik. Menariknya, setiap akhir bulan, tidak perlu mengesahkan rekod perakam waktu.

Hari ini, setelah setahun berlalu, saya menemukan semula ‘nasihat’ tersebut, tetapi bukan dari lelaki yang pernah duduk bersebelahan dalam tren menuju ke Rawang. Saya peroleh pesanan itu setelah selesai membaca sebuah buku motivasi Islam. Buku itu bertajuk Berjuta Jalan Menggapai Pertolongan Allah. Ditulis oleh  Awang Surya dan diterbitkan oleh PT Elek Media Komputindo, di bawah Kumpulan Penerbitan Gramedia, Jakarta 2017.

Di bahagian kulit luarnya tertulis, “Kumpulan Kisah Berhikmah dari Orang-Orang Pilihan Allah” membawa saya kepada kesimpulan, lelaki yang saya temui dan duduk bersebelahan itu juga adalah ‘Orang-Orang Pilihan Allah’. Saya begitu tertarik dengan percakapannya, walaupun perlahan, sebutannya jelas dan setiap perkataannya ‘menyucuk hati dan minda’.

Kami terpaksa berpisah setelah tren tiba di Kepong. Sebelum berpisah, saya menghulurkan tangan salam perpisahan dan terima kasih atas pertemuan itu. Pesannya, “bersederhana dan jangan leka”, adalah kalimat kedua terakhir sebelum saya mengucapkan “Assalamualaikum”.

Ada tiga bahagian utama dalam buku tulisan Awang Surya sebagai “Orang-Orang Pilihan Allah”, iaitu Nabi (9 bab), Laki-Laki Pilihan (7 bab) dan Wanita-Wanita Pilihan (8 bab) telah melengkapkan karya yang dinamakan motivasi Islam setebal 242 halaman. Pada kebiasaannya, saya boleh membaca buku ini dalam beberapa jam, tetapi tidak untuk kali ini atas beberapa sebab yang saya sendiri tidak menyedarinya.

Saya melakukan bacaan secara berulang-ulang atas alasan ‘kelemahan daya ingatan’ dan ‘berusaha mencari hikmah’ di sebalik kisah ‘orang-orang pilihan’ itu untuk membudayakan ‘bersederhana dan jangan leka’ atau sekurang-kurang menjadi pedoman untuk sebuah penilaian perilaku yang boleh dijadikan ‘semak dan seimbang’ sebagaimana dijelaskan dalam prinsip amar makruf nahi mungkar.

Setakat ini, Awang Surya telah menulis tujuh buah buku dan bergabung dalam Exist Consulting sebagai firma perundingan dan motivasi bagi ‘meraih kehidupan yang lebih baik’. Dan itu juga menjadi pokok perbincangan selama lebih tiga minit antara saya dengan lelaki bersebelahan dalam tren setahun lalu.

Kisah pertama ‘orang-orang pilihan’ dari Awang Surya ialah Nabi Adam a.s bertemu kembali dengan Hawa setelah masing-masing berjauhan ‘dicampakkan ke dunia’ selepas tergoda dengan hasutan iblis menghampiri buah terlarang di syurga. Adam a.s bermusafir di India manakala Hawa tinggal sebatang kara di Jeddah.

Perpisahan ‘sepasang manusia pertama’ dan ‘induk semua manusia’ itu bukan sahaja memaksa keperitan menanggung rindu bahkan berhadapan kesukaran yang tidak memungkinkan keduanya bertemu atas masalah komunikasi dan kemudahan infrastruktur pengangkutan.

Adam tidak putus berdoa dan menyesal atas ‘keterlanjuran’. Ketika menyesal yang teramat itulah Adam a.s berdialog dengan Allah SWT.

Ya Tuhanku! Bukankah aku telah Engkau ciptakan dengan tangan-Mu sendiri?,” tanya Adam

Ya!” jawab Allah

Dan Engkau telah meniupkan roh?”

Benar.”

Dan bukankah jika aku bersin, lalu Engkau ucapkan, ‘Semoga Allah memberikan rahmat kepadamu. Dan rahmat-Mu mendahului murka-Mu?

Benar.”

Dan bahkan Engkau telah menuliskan diriku akan mengerjakan kejadian ini?”

“Benar.”

Bagaimana menurut-Mu jika aku bertaubat, apakah Engkau akan mengembalikan aku ke syurga?”

Ya,” jawab Allah SWT.

Jawapan itu ternyata melegakan Adam dan seterusnya memohon agar Allah SWT menyatukan semula dengan Hawa. Allah SWT menerima ‘taubat’ itu dan ‘sepasang manusia pertama’ itu dipertemukan di Jabal Rahmah.

Kisah itu diakhiri oleh Surya dengan ungkapan berikut: Perbuatan dosa akan berdampak buruk bagi kehidupan, tidak hanya di akhirat kelak tetapi di dunia ini juga. Maka tidak salah jika orang yang bijak menyampaikan bahawa keadaan kita hari ini adalah resultan dari pahala dan dosa masa lalu.”

Kesimpulan itu membawa kita kepada ‘kenyataan’ bahawa ‘dunia yang kita hidup ini adalah ladang untuk akhirat’, maka ‘apa yang kita tanam itulah yang akan kita tuai nanti’. Suatu titik kehidupan yang wajib kita perbetulkan jika tidak, kita akan terus hidup ‘dalam kesesatan’.

Lain-lain kisah Nabi dapat kita temui dalam lapan bab seterusnya: Nabi Ibrahim a.s (terselamat apabila dibakar oleh penduduk Babylon dan dimalukan oleh Namrud),  Nabi Musa a.s terselamat dari dibunuh oleh Fir’aun, Nabi Zakaria a.s akhirnya memperoleh zuriat ketika ‘tulangku telah lemah’ dan ‘ditumbuhi uban’, Nabi Sulaiman a.s mendapat kembali singgahsana dan Nabi Yunus a.s keluar dari perut ikan.

Rangkaian kisah lelaki pilihan dimulai dengan seorang lelaki yang kesempitan hidup tetapi jujur dalam setiap tindakan. Suatu hari, dalam keadaan tidak ada apa-apa, lelaki berkenaan keluar dari rumah menuju ke Mekah dan di pertengahan jalan, dia menemui bungkusan dari kain sutera dan di dalamnya adalah seutas kalung mutiara. Barang yang ditemui itu dibawa balik dan disimpan dengan baik.

Sesampainya di Mekah, beliau bertemu dengan seorang lelaki yang resah mencari barang yang tercicir itu. Diberitahu, sesiapa yang mengembalikan bungkusan tersebut akan dihadiahkan wang sebanyak 500 dinar. Lelaki jujur itu mendekati lelaki yang mendakwa kehilangan bungkusan berharga dan diterangkan bentuk serta barangan yang ada dalam bungkusan berkenaan.

Lelaki berkenaan kemudiannya pulang ke rumah dan menyerahkan bungkusan kepada lelaki pemilik asal setelah berpuas hati dengan maklumat yang disampaikan. Pemilik asal itu kemudiannya menghulurkan hadiah wang 500 dinar, tetapi lelaki jujur itu menolak dengan berkata: “Tidak! Tuan…saya tidak berhak ke atas wang itu” dan “kalung itu milik tuan. Saya tidak akan mengambil upah.

Suatu hari, lelaki itu bersedia untuk meninggalkan kota Mekah dengan tekad untuk memperbaiki nasibnya, menuju ke pelabuhan dan ikut menumpang sebuah kapal menuju ke satu tempat yang tidak diketahuinya dengan jelas. Ketika dalam perjalanan meredah lautan, kapal tersebut karam dan lelaki berkenaan sempat berpegang kepada kepingan kayu kapal. Setelah berhari-hari dibawa arus, akhirnya dia terdampar di sebuah pulau.

Sebaik sahaja kakinya memijak daratan, dia memasang niat untuk mencari masjid. Beliau amat beruntung, di pulau itu sudah kedapatan masjid dan di situlah dia tingggal untuk beberapa ketika. Setiap masa dihabiskan dengan membaca al-Qur’an dan kemerduan serta kelancaran pembacaannya menyebabkan penduduk pulau berkenaan tertarik untuk berguru dengannya.

Hasil yang disumbangkan oleh orang ramai menyebabkan lelaki merasakan wang sudah cukup dan bersedia untuk meninggalkan pulau tersebut. Setelah niatnya diketahui, penduduk pulau tersebut menghalangnya. Kemudian, beberapa orang yang mewakili penduduk berunding dan bersetuju menjodohkannya dengan seorang gadis cantik, mewarisi kekayaan keluarga dan berakhlak mulia.

Awalnya ditolak tetapi selepas dirayu oleh seluruh penduduk, lelaki berkenaan setuju. Pada hari pernikahannya, dia kehairanan melihat kalung yang dipakai oleh gadis yatim itu adalah sama dengan kalung yang pernah disimpan dan diserahkan kepada seorang lelaki di kota Mekah. Kejadian itu kemudiannya diceritakan dan seluruh penduduk bertakbir dan bertahlil menyebabkan dia menjadi hairan.

Apabila ditanya, akhirnya ketahui bahawa lelaki yang memiliki kalung mutiara itu adalah ayah kepada gadis yatim yang kini sudah menjadi isterinya. Menurut penduduk, ayah gadis itu sentiasa berdoa agar dapat bertemu kembali dengan seorang pemuda baik, yang menemukan kalung tersebut dan tidak mengambil upah menjaganya. Orang tua berkenaan mengharapkan anak gadisnya itu akan berkahwin dengan ‘pemuda baik’ dan berpekerti mulia, yang menemu dan menjaga kalung mutiara tercicir.

Kisah kejujuran seorang lelaki bernama Abu Bakar Muhammad bin Abdul Baki bin Muhammad al-Bazzaz al-Anshari adalah sebuah kisah popular dan banyak diceritakan sebagai bahan motivasi. Al-Bazzaz merupakan seorang kadhi, dan setelah menginap di pulau berkenaan kehidupannya bertambah berkat dan dicucuri rahmat kebahagiaan yang melimpah.

Kisah al-Bazzaz telah membenarkan janji Allah SWT menerusi Sabda Rasullullah SAW: Sesungguhnya jika engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan memberikan ganti kepadamu yang lebih baik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Kisah dua orang sahabat dari Bani Israel juga menarik untuk dijadikan pedoman. Pada suatu hari, seorang dari mereka bertekad untuk menjalankan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal. Hasrat itu kemudiannya disampaikan kepada seorang lagi lelaki, dan memohon agar diberikan peluang untuk meminjam wang sebagai modal.

Setelah berbincang, lelaki berkenaan bersedia memberikan pinjaman sebanyak seribu dinar dengan syarat dapat menyediakan seorang saksi dan seorang penjamin. Bagaimanapun, lelaki pertama itu hanya menjawab: Cukuplah Allah sebagai saksi. Bila ditanya tentang penjamin, dijawabnya: Cukuplah Allah sebagai penjamin. Akhirnya, lelaki kedua bersedia memberikan pinjaman seribu dinar dan menetapkan tempoh bayaran balik.

Lelaki berkenaan berniaga dengan tekun dan perniagaannya berkembang pesat sehingga ke luar daerah asal mereka. Pada suatu hari, lelaki berkenaan teringat janjinya, bahawa esok adalah hari yang sepatutnya membayar balik wang yang dipinjam. Lelaki berkenaan segera ke pelabuhan untuk menaiki kapal untuk pulang membayar hutang. Hari itu, dia gagal tetapi dia tidak berputus asa.

Diambilnya sekeping kayu dan ditebuknya di bahagian tengah untuk dimasukkan wang berjumlah seribu dinar bersama surat menerangkan masalah mendapatkan kapal untuk pulang membayar hutang. Kayu itu pun dicampakkan ke laut dan akhirnya tiba di pengkalan kapal di mana si pemberi pinjam sedang menunggu.

Si pemberi pinjaman wang terpaku melihat sekeping kayu. Kayu itu kemudiannya diambil dan dibelah. Alangkah terperanjatnya apabila menemui wang seribu dinar dan sepucuk surat. Keesokannya, lelaki yang meminjam wang itu menaiki kapal pulang untuk bertemu peminjam wang. Setelah bertemu, lelaki yang meminjamkan wang menyerahkan wang seribu dinar, tetapi, si pemberi pinjaman menyatakan: Bawalah kembali wangmu itu.

Lelaki yang meminjam wang itu pun bertanya: Kenapa engkau tidak mahu menerima wang ni?

Si pemberi pinjaman wang menjawab: Apakah engkau telah mengirimkan sesuatu kepadaku?

Sudah aku beritahu, aku tidak menaiki kapal sehingga aku terlewat membayar hutangku,”

Akhirnya diceritakan bahawa ketika ke pelabuhan, ia tertarik dengan sebongkak kayu. Apabila kayu itu diangkat, di dalam kayu itu sudah ada wang berjumlah seribu dinar dan sepucuk surat. Melihatkan itu, si peminjam berkata: Sesungguhnya, Allah telah menyampaikan kayu yang engkau kirimkan kepadaku.

Lain-lain kisah lelaki pilihan, kecekalan seorang tua yang miskin, keikhlasan seorang pemuda, kisah tiga orang yang ditolong amalannya, kejujuran itu menyelamatkan keluarga dan kisah pengasas Bank Al-Rajhi membayar wang satu riyal mengingatkan kepada setiap umat Islam bahawa, kejujuran adalah sifat yang amat mulia dan memberikan keberkatan hidup terbaik.

Dalam kategori wanita pilihan, Awang Surya memilih kisah Sarah (isteri Nabi Ibrahim a.s) yang tidak boleh disentuh oleh Namrud, air zam-zam telah menyelamatkan Hajar (isteri kedua Nabi Ibrahim a.s.), kelahiran Nabi Isa a.s. oleh Maryam tanpa suami, kerelaan seorang gadis Anshar berkahwin dengan seorang pemuda tanpa diketahui asal usul keturunan bernama Julaibib (salah seorang sahabat baik Rasullullah SAW), pertemuan semula Ummu Salamah (Hindun binti Abu Umayyah al-Makhzumi) dengan suaminya (suami pertama) sebelum menjadi isteri Rasullulah SAW, berkat kesabaran Fatimah az-Zahra akhirnya berkahwin dengan Ali bin Abi Talib r.a., kambing Ummu Ma’bad tetap mengeluarkan susu walaupun lemah dan kurus dan kebaikan telah mengalahkan cinta.

Apa yang dapat ungkapkan dari keseluruhan kisah yang dijadikan ‘kisah motivasi’ oleh Awang Surya ialah kesabaran, kejujuran dan keihklasan telah membina kehidupan yang bahagia. Meskipun pada awalnya kita tidak memilik apa-apa, berkat kesabaran dan berusaha dengan jujur, bertawakal kepada ketentuan-Nya akan tetap ada cahaya terang bukan di hujung terowong, bahkan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke terowong yang disangka gelap dan menakutkan itu.

Pengajaran lain saya peroleh sepanjang beberapa hari membaca buku ini ialah hidup dengan sederhana dan tidak leka dengan apa yang kita miliki itulah amalan hidup yang jauh daripada pelbagai masalah psikologi. Sekiranya kita bersikap sombong dan bongkak dengan apa yang kita miliki, ia tidak akan kekal. Saperti diperingatkan oleh Imam al-Ghazali, ghurur adalah penyakit hati yang akhirnya boleh menyebabkan kita tertipu dengan diri sendiri.

Jadi, janganlah kita merasa bangga terhadap diri sehingga memandang remeh dan rendah kepada orang lain. Sikap itu adalah ‘hakikat hidup yang merosakkan dan dirosakkan oleh godaan iblis’ maka pesan seorang lelaki yang duduk bersebelahan dengan saya di dalam tren setahun lalu adalah benar, dan akan saya cuba untuk hidup secara sederhana dan tidak leka.

Mudah-mudahan, hidup ini akan mendapat keberkatan dan saya ‘tidak lupa diri’. Terima kasih Awang Surya, motivasi yang anda ingin sebarkan menerusi buku ini telah ‘melekat di hati dan minda saya’.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply