BERSIH 5.0 BERJAYA?

Bersih 5.0 terus diprogandakan sebagai satu peristiwa yang berjaya. Dipropagandakan menerusi laman sosial seolah-olah berjaya menggegarkan iklim politik Malaysia dengan kehadiran terlalu ramai orang berpakaian kuning. Digambarkan bukan sahaja memenuhi setiap inci jalan yang dijadikan arena perarakan. Bahkan, beberapa bangunan pencakar langit telah dipenuhi oleh baju kuning hingga ke bumbung manakala bertompok pula yang terpaksa berada di atas pokok.

Logiknya memang tidak kelihatan, untuk mendaki ke atas puncak bangunan ia memerlukan kebenaran tuan punya. Tidak juga menampakkan kaedah bagaimana kumpulan baju kuning boleh sampai ke beberapa bahagian bangunan, termasuk di kemuncak paling atas. Tentunya kita berfikir, gambar yang disebarkan itu merupakan photoshop, yang sudah disunting sebegitu rupa untuk menggambarkan ramainya yang hadir sehingga tidak cukup tanah untuk menampungnya.

Menurut anggaran pihak polis, kehadiran penyokong baju kuning hanyalah sekitar 15 hingga 16,000 orang. Portal Malaysiakini menganggarkan BERSIh 5.0 yang berlangsung pada 19 November 2016 hanyalah disertai oleh kira-kira 40,000 orang, yang sebahagian besarnya adalah pak turut yang tidak mengetahui apakah sebenarnya keperluan yang mendesak penyertaan mereka.

Penganjur BERSIH 5.0 meminta para peniaga yang mengalami kerugian ekoran perarakan tersebut agar menuntutnya dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana diarah menutup kedai. Bendahari BERSIH 5.0, Thomas Fann berkata, DBKL perlu bertanggungjawab kerana mengarahkan peniaga menutupi kedai mereka, bagi menjawab dakwaan kerugian sebanyak RM 500,000 oleh Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman.

Hari Sabtu, sepatutnya berlangsung pasar minggu yang memberikan ruang kepada peniaga kecil mencari pendapatan dengan berniaga pelbagai jenis pakaian, makanan, buah-buahan dan sebagainya, tetapi oleh kerana berlangsungnya “unjuk rasa”, para peniaga merasakan adalah sesuatu yang merugikan jika mereka terus menjaja. Pengalaman peniaga di situ setelah empat kali BERSIH mengadakan perhimpunan, tidak ada yang berani melakukannya, kerana barangan jualan ada yang dirosakkan ketika peserta melarikan diri dari pihak berkuasa.

Kedai-kedai yang berada di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman ikut merasa takut untuk meneruskan perniagaan ketika BERSIH 5.0 berlangsung, kerana beberapa kemungkinan boleh berlaku, termasuklah rempuhan masuk untuk berlindung jika berlaku pertembungan dengan pihak berkuasa, apatah lagi kali ini dikaitkan pula dengan kehadiran kumpulan Baju Merah. Sebelumnya, kenyataan pihak berkuasa, bukan empat kumpulan yang akan berarak, ia turut disertai oleh kumpulan Baju Hitam dan Baju Putih.

Kumpulan Baju Merah disertai oleh kumpulan yang merasakan terpanggil dengan kehadiran Baju Kuning. Kumpulan Baju Kuning menghebahkan perhimpunan BERSIH 5.0 beberapa bulan sebelumnya dan menganggarkan lebih setengah juta orang akan mengambil bahagian. Mendengarkan anggaran penyertaan yang besar, kumpulan Baju Merah dengan tegasnya memberikan amaran, mereka sedia menggerakkan lebih 300,000 orang dan sedia bertembung.

Atas persiapan rapi pasukan keselamatan, sejumlah 7,000 anggota keselamatan dikerahkan untuk berjaga-jaga dengan pelbagai kemungkin. Perhimpunan sebelumnya turut menyaksikan, kumpulan Baju Kuning menyerang anggota polis yang bertugas, juga memusnahkan kereta peronda yang bersiap sedia mengawal pergerakan peserta perarakan. Mujurlah, perhimpunan kali ini walaupun tidak mendapat kebenaran DBKL dan pihak polis, tidak berlaku insiden yang menakutkan, kecualilah ucapan pemimpin yang tidak berpuashati dengan kepimpinan Perdana Menteri.

Wajah Tun Dr Mahathir, yang awalnya menyatakan tidak akan menyertai BERSIH 5.0 kerana berada di Sudan, yang mencemek dengan kata-kata marah dan bencikan kepimpinan politik sekarang membuat pusingan u dengan menyertainya. Ertinya, penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya berpura-pura, hanya sekadar “test market”. Jika sambutan BERSIH 5.0 tidak mendapat sokongan, beliau tidak terasa malu kerana sebelumnya, seolah-olah beliaulah yang mempunyai “sentuhan ajaib”.

Gambaran kehadiran penyokong BERSIH 5.0 sebagaimana dilaporkan Malaysiakini, hanyalah sekadar lapan peratus daripada jangkaan. Ia membuktikan Tun Dr Mahathir bukanlah faktor yang kuat, yang boleh dianggap faktor penentuan kejayaan BERSIH 5.0. Dr Mahathir merupakan faktor yang tidak menarik lebih banyak penyertaan sebagaimana perhimpunan-perhimpuan sebelumnya, yang dikecam oleh beliau sendiri pada suatu ketika.

Gandingan Dr Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz tidak memberikan apa-apa “kuasa pendesak” kepada kerajaan untuk menerima apa yang dilihat mereka sebagai  “kerosakan kepada negara” sehingga perlu diselamatkan menerusi Deklarasi Rakyat. Perlu dinyatakan secara jelas, PPBM yang dipelopori oleh 3M –Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz—tidak mungkin dapat menggugat keyakinan rakyat terhadap BN dalam PRU ke-14 nanti.

Sehingga kini, PPBM masih tidak membuktikan keazaman politik dan perjuangannya yang jelas, kekal dengan masalah “dendam peribadi” apabila dikecewakan oleh UMNO dan kerjasama antara parti pembangkang belum termaktub. PPBM, menurut pengakuan presidennya, Tan Sri Muhyiddin memerlukan sedikit masa untuk menyatakan hasrat bergabung bersama PKR-PAN-DAP.

PPBM sedar, gabungannya dengan PKR-PAN-DAP akan menyebabkan peluangnya untuk menang dalam PRU 14 adalah tipis, kerana gabungan tersebut lebih menyerlahkan kedudukan DAP. Dominasi DAP dalam pakatan pembangkang telah menyebabkan parti itu yang pernah disifatkan oleh Dr Mahathir sebagai “rasis” menjadikan PAS hanya mampu menjalinkan tahaluf siyasi untuk tempoh kurang dua penggal. Pakatan pembangkang mula menunjukkan lowongan sistem dua parti bermula tahun 2008 tetapi berkecai pada tahun 2015 apabila PAS memutuskan tahaluf siyasinya, atas alasan DAP “besar kepala” dan tidak menghormati perjuangan PAS.

Setakat ini, PAS hanya boleh bekerjasama dengan PKR. Sebab itulah PAS secara tegasnya mengharamkan ahlinya menyertai BERSIH 5.0 atas beberapa kemungkinan dan pertimbangan. Sebelumnya, ramai penyokong dan pemimpin PAS menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh NGO dan parti pembangkang, tetapi kali ini, PAS mengeluarkan kenyataan, tidak ada sebab yang kukuh perlu menyokongnya. Akhbar Harakah keluaran 21-24 November 2016 (Bil.2199) tidak sedikit pun menyentuh mengenai BERSIH 5.0, sebaliknya, menyiarkan fokus “Siapa DAP Sebenarnya” dan meminta ahlinya memahami, perpecahan dalam pakatan pembangkang bukan disebabkan oleh perebutan jawatan, tetapi atas dasar prinsip dan idealism perjuangan. PAS sudah berkerat rotan dengan DAP, maka PPBM dan PAN harus berhati-hati untuk bekerjasama dengan PAS kerana PAS tidak boleh menerima DAP.

Walaupun PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tahaluf “berdiri di atas beberapa syarat antaranya membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip: mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan; tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka.

“PAS sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam. PAS juga boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam dan sanggup bersama-sama mempertahankan Islam. Tidak ada kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam” jelas Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS yang baharu dilantik menggantikan Allahyarham Datuk Dr Harun Din.

Tentunya, perseteruan PAS dan DAP akan menyebabkan PPBM memikirkan semula hasrat untuk bekerjasama dengan PAS manakala PAN sudah dianggap tidak layak kerana parti itu lahir atas dasar kecewa dengan kemenangan kelompok ulama. PAN tidak akan diterima oleh PAS, kerana parti itu dianggap sebagai “duri dalam daging” yang sudah tercabut keluar, yang selama ini menghakis prinsip perjuangan PAS.

PAN menjadi alternatif dalam pakatan pembangkang selepas PAS berkerat rotan manakala PPBM semakin dilihat tidak bermaya kerana mempeloporkan kepentingan peribadi dalam perjuangan politiknya.

Atas percaturan sedemikianlah BERSIH 5.0 dilihat kurang berjaya untuk memberikan tekanan kepada parti yang memerintah manakala kehadiran penyokongnya menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia meluat dan benci. Gelagat penyokong BERSIH 5.0 yang disiarkan dalam aplikasi sosial telah mencetuskan rasa mual apabila beberapa orang membuang air kecil di merata-rata tempat dan bukan Melayu membawa anjing bersama-sama. Kanak-kanak turut dibawa menyertai perhimpunan, yang sepatutnya tidak diheret sama dalam persekitaran politik yang menampakkan agenda kuasa asing.

Pembabitan pihak asing, seorang penceramah berkulit putih memperkatakan tentang politik Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, termasuklah penajaan George Soros bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Rakyat Malaysia semakin sedar, jika politik negara dibina atas kekuatan pihak luar, lambat laun kemerdekaan dan kebebasan sebenar rakyat akan menjadi semakin terhad, walaupun awalnya mereka menaja dengan lunaknya prinsip kebebasan dan hak asasi.

Rakyat sudah boleh menilai, tidak ada negara yang benar-benar bersifat demokrasi walaupun Amerika Syarikat dianggap sebagai pelopornya. Kekalahan Hillary Clinton telah mencetuskan perbalahan besar sehingga beberapa bandar mengalami tunjuk perasaan dan pergaduhan menolak kemenangan Donald Trump. Penyokong Hillary Clinton sepatutnya menghormati prinsip demokrasi, Donald Trump menang berdasarkan keputusan Electoral College sebagaimana prinsip itu dipakai sejak sekian lama.

Apabila Hillary Clinton tewas dengan 219 berbanding 290 Donald Trump, pendokong Hillary mendesak agar keputusan pemilihan presiden wajar dipinda dengan sistem yang bercorak undi popular. Hal yang sama turut berlaku di Malaysia, apabila keputusan PRU 13, prinsip pertama melepasi –first past the post—berpihak kepada BN manakala undi popular berpihak kepada pakatan pembangkang. Inilah juga perjuangan BERSIH 5.0 yang mahu menukarkan kerajaan kerana ingin mengubah sistem yang cenderung berpihak kepada sekutunya.

Apa pun, BERSIH 5.0 tidak mampu memberikan indikasi penting kepada perubahan keputusan PRU ke-14, walaupun Dr Mahathir memberikan penegasan secara mengugut: lihatlah apa yang berlaku nanti. Rakyat Malaysia semakin muak dengan gelagat Dr Mahathir, sebab itulah semakin ramai yang berani mendedahkan keburukan dan kelemahan sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun. Kini beliau terpaksa menerima hakikat, bunga yang dianggapnya wangi suatu ketika sedang mengeluarkan racun berbisa manakala udara yang disedut sebelum ini adalah beracun itulah yang akan menjejaskan imejnya sebagai negarawan.

BERSIH 5.0 sebenarnya kotor dan mual. BERSIH 5.0 penuh dengan manusia yang paradok dan kronik atas dasar balas dendam, kecewa dan narsistik. Itulah yang dapat dilihat setelah meneliti setiap gambar yang disiarkan menerusi laman sosial untuk mempropagandakan kehebatan BERSIH 5.0. Seharusnya, mereka yang berjuang atas dasar “matlamat menghalalkan cara” itulah perlu dibersihkan jiwanya, jika mahu “menyelamatkan Malaysia”. Rakyat sudah lama bencikan penipuan dan pembohongan yang mereka selindungkan atas nama pembaharuan dan reformasi politik.

Oleh: Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply