BERSIH 5.0 PATUHI FATWA

Dulu sebelum berlaku demonstrasi Bersih 3.0  sebuah fatwa dikeluarkan bahawa penyertaannya adalah wajib manakala selepas seminggu satu fatwa pula dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa penglibatan dalam rusuhan itu adalah haram.

Kedua-dua fatwa itu dikeluarkan oleh sumber yang berbeza. Fatwa pertama dikeluarkan oleh seorang ulama sebuah parti politik yang turut menyokong dan menaja perhimpunan haram itu manakala fatwa kedua dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti berdasarkan undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan di Malaysia, iaitu menerusi muzakarah para mufti yang ke-99.

Fatwa pertama bukanlah keputusan muzakarah, ia adalah fatwa peribadi seorang ulama politik yang menganggap bahawa tiada perbezaan antara ibadat dan demonstrasi. Dalam menerangkan fatwa wajib hadir, ulama politik itu menggariskan bahawa sembahyang, mengerjakan haji adalah demonstrasi. Maka, oleh kerana sembahyang itu wajib, mengerjakan haji juga wajib, menyertai demonstrasi itu adalah wajib.

Demonstrasi dalam erti kata lain bermaksud tunjuk perasaan ataupun melakukan sesuatu persembahan sebagai pertunjukkan adalah dua tindakan yang berbeza dari segi impaknya. Dalam konteks tunjuk perasaan, walaupun pada mulanya berlangsung secara aman, di akhirnya mengundang pelbagai situasi jika jumlah penyertaannya adalah besar dan melibatkan cabar mencabar atau provokasi.

Bersih 5.0 nanti sudah tentu membuktikan bahawa tunjuk perasaan itu lebih banyak mendatangkan keburukan. Keburukan yang pertama adalah kerosakan harta awam, kecederaan, beban pengurusan dan seterusnya ejek mengejek yang keterlaluan yang akhirnya menggambarkan matlamat yang tersurat ditenggelami oleh hasrat yang tersirat.

Tindakan mengeluarkan fatwa wajib hadir Bersih itu sudah melambangkan bahawa ulama politik berkenaan sudah hilang pertimbangan dan kebijaksanaan moral. Dalam masa sama, ulama politik itu ikut memberikan sumbangan kewangan, kerana penyertaan tersebut dianggap sebagai pengertian sebagai ibadat. Inilah punca kekalutan dan ketegaran untuk tidak mahu menerima fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kerana keputusan dilakukan ‘sebelah mata’.

Konsep sebelah mata sebenarnya dimulakan oleh ulama politik itu sendiri. Ulama politik itu sebenarnya lupa bahawa sesebuah fatwa yang dikeluarkan untuk mengajak manusia membaiki amalan yang bercanggah dengan peraturan agama, maka fatwa itu bertujuan mengarahkan manusia untuk bertindak berdasarkan apa yang diajar menerusi keputusan hukum.

Ini bererti, sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan mereka yang bertanggungjawab akan duduk bersama-sama berbincang dari pelbagai aspek sehingga boleh ditentukan kewajarannya.

Jika ia memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat, manusia dan negara, maka keputusan mengharamkan sesuatu tindakan itu wajib dipatuhi. Jika sesuatu tindakan itu tidak jelas kesannya, maka keputusannya dalam bentuk ‘harus’ ataupun ‘makruh’. Ini bermakna, masyarakat dibolehkan, tetapi tidak digalakkan mengambil bahagian.

Sejarah pembentukan fatwa dalam Islam bermula pada zaman Rasullullah SAW lagi. Menurut Zulkifli Mohamad dalam tesis ijazah kedoktorannya bertajuk “Institusi Mufti dan Fatwa: Satu Analisis Terhadap Enakmen dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan” (USM, 2004), ini dapat dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (hai Muhammad). “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang yang mengada-adakan.” (surah Sad:86)

Oleh kerana kedudukan ulama sebagai pewaris nabi, Ibn a-Qayyim r.a. menjelaskan: Dan hendaklah mufti mengetahui daripada siapa dia menjalankan/mengerti dalam memberi fatwa serta percayalah esok hari akhirat dia akan ditanya dan berdiri di hadapan Allah. “Maka, proses memutuskan sesuatu fatwa bukanlah proses yang boleh dilaksanakan oleh seorang, ia memerlukan keputusan ramai mereka yang mengetahui secara mendalam mengenai hukum Islam.

Menjawab kepada persoalan manakah fatwa yang wajar dipatuhi, maka secara rasional fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah lebih berautoriti berbanding hanya berdasarkan pendapat seorang ulama, terutamanya ulama yang menjadikan politik sebagai profesion hariannya.

Kalau ditinjau dari perspektif sejarah perjuangan gerakan politik Islam, al-Ghazali misalnya tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawa merusuh di jalanan adalah suatu bentuk yang selaras dengan agama. Ketika wazir Sultan Saljuk terbunuh oleh kelompok yang berpegang kepada falsafah radikal yang berusaha menjatuhkan Nizam Syah, al-Ghazali mengambil sikap menggunakan kecerdikan akal memberikan nasihat kepada kerajaan dan bukannya membela kematian itu menerusi demonstrasi.

Ini berlainan dengan ulama politik yang mengeluarkan fatwa menyertai demontrasi sebagai ‘wajib’ bahkan amat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Hasan al-Banna, seorang lagi cendekiawan Muslim yang menerima pukulan hebat apabila kemenangannya dalam pilihan raya di Ismailiyyah dibatalkan oleh pemerintah Mesir yang didokong oleh penjajah British.

Hassan al-Banna tidak mengeluarkan ‘fatwa’ menggalakkan penyokongnya yang begitu cepat berkembang hampir serata Mesir untuk bangkit berdemontrasi menentang pemerintah, kerana beliau sedar, kebenaran akan tiba apabila sampai waktunya. Politik berhemahnya telah membangunkan pertubuhan Ikhwanul Muslimin kekal hingga sekarang walaupun Hassan al-Banna sudah meninggal 63 tahun lalu.

Idealisme perjuangannya kekal hingga kini dan harakah perjuangannya menjadi petunjuk sebagai sebuah gerakan Islam yang kental dan paling tersusun. Ikhwanul Muslimin terus dilihat sebagai sebuah organisasi sosio-politik Islam yang semakin penting, dan mendekati dengan semangat sebahagian besar penganut Islam seluruh dunia.

Mengeluarkan fatwa menggalakkan sikap melampau merupakan satu sikap yang bertentangan dengan kehendak Islam, kerana Islam meletakkan kesejahteraan dan keamanan sebagai suatu kewajipan yang besar.

Maka, apabila ada reaksi mengatakan Dr. Yusuf Qardhawi memberikan fatwa bahawa menyertai demonstrasi itu sebagai harus, kewajaran untuk menerima fatwa itu perlu dilihat semula berdasarkan suasana sebenar yang berlaku sepanjang demontrasi itu.

Fatwa Dr. Yusuf Qardhawi tentunya bersandarkan kepada situasi yang berlaku di Mesir dan beberapa negara Afrika Utara kerana hak dan keputusan kemenangan pembangkang telah dinafikan oleh parti pemerintah. Tetapi, dalam konteks Malaysia, parti yang memerintah tidak menafikan kemenangan pembangkang, maka dalam PRU ke-12 mereka berjaya memerintah Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan kekal di Kelantan.

Parti yang memerintah menghormati keputusan rakyat, tetapi malangnya, pembangkang terus menggunakan rakyat untuk menjatuhkan kerajaan. Oleh sebab kedudukannya sokongannya semakin mengecil, maka rakyat terus diheret untuk menuntut perubahan secara kasar dan tidak beradab, yakni berdemontrasi di jalanan sehingga sanggup menyamakannya dengan ibadat dan kewajipan lain yang disyaratkan dalam pemahaman amar makruf.

Inilah sebenarnya fatwa yang salah dan bertentangan dengan Islam manakala fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk menjaga suasana aman, tenteram dan sejahtera.

Catatan : Ibnu Nafis

No Comments

    Leave a reply