Bersolek usah sampai tabaruj, dedah aurat

BERSOLEK dan berhias seperti sudah menjadi kewajipan kepada wanita sebelum keluar rumah hingga pelbagai jenis solekan serta hiasan digunakan supaya kelihatan cantik dan menarik. Sesetengah wanita bersolek untuk meningkatkan keyakinan diri, manakala sebahagiannya untuk dipandang dan dipuji.

Lambakan produk kecantikan dan alat solek di pasaran membuatkan wanita ingin mencuba, manakala trend serta fesyen masa kini menjadikan tidak mahu ketinggalan tampil bergaya.

Apatah lagi, ledakan media sosial menyaksikan ramai wanita Islam berlumba-lumba untuk bergelar Instafamous, YouTuber dan Blogger, sekali gus kecantikan serta solekan dipamerkan secara terbuka, bahkan menjadi ikutan pengikut.

Bagaimanapun, tindakan yang berlebihan boleh memberikan implikasi bukan saja kepada imej sebagai Muslimah, bahkan boleh menyebabkan kemudaratan dalam agama seperti tabaruj atau berhias secara berlebih-lebihan hingga mendedahkan aurat.

Penulis buku agama dan pendakwah, Muzayyanah Abdullah, berkata tabarruj ialah perbuatan wanita berhias secara berlebihan dengan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh hingga menarik perhatian lelaki bukan mahram.

“Islam tidak melarang wanita untuk berhias, bahkan menggalakkan mereka supaya kelihatan cantik.

“Allah SWT menciptakan wanita dengan fitrah ingin kelihatan cantik, sekali gus menjadikan bersolek atau berhias tidak dilarang di dalam Islam,” katanya kepada Ibrah di sini.

Muzayyanah berkata, meskipun dibolehkan bersolek, wanita perlu tahu batas yang ditetapkan dalam agama, manakala bentuk yang dibenarkan seperti menutup cela dan menghilangkan kusam di wajah.

“Solekan yang tidak dibenarkan Islam adalah hingga menukar rupa paras yang Allah SWT ciptakan seperti menambah bulu mata palsu dan mengoles pipi, kelopak mata dan bibir dengan warna terang dan melampau,” katanya.

Beliau berkata, kecantikan wanita halal dilihat suami dan mahram, sekali gus perlu memperbetulkan konsep hanya berhias dan bersolek di luar tetapi kelihatan kusam di rumah.

“Wanita boleh berpakaian cantik mengikut perkembangan fesyen tetapi perlu patuh syariah iaitu labuh, tidak ketat, menutupi dada dan tidak menampakkan bahagian aurat.

“Jangan seronok sangat berpakaian yang berbeza hingga mata yang tidak sepatutnya tertumpu kepada keanehan cara kita berpakaian,” katanya.

Mengenai ibu bapa yang memberikan solekan berlebihan kepada anak, Muzayyanah berkata, mereka perlu memahami tanggungjawab untuk mencorakkan anak yang diibaratkan kain putih.

“Ibu bapa sewajarnya mendidik anak untuk bersederhana dalam kehidupan termasuk berhias, apatah lagi penyakit hati seperti ujub dan riak boleh timbul hingga mencacatkan peribadi kanak-kanak yang tulus,” katanya.

Beliau berkata, kecantikan rupa paras hanya sementara kerana jasad manusia akan hancur ditelan tanah apabila meninggal dunia.

Katanya, lebih indah sekiranya wanita mampu mengawal nafsu daripada bertabarruj dalam solekan dan berhias.

Sementara itu, pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata tutorial berhias dan bersolek dibolehkan tetapi perlu memastikannya tidak ditonton oleh orang yang tidak sepatutnya.

“Misalnya mengajar tutorial bersolek dengan niat mengajar wanita lain bersolek dan berhias untuk tatapan suami atau kelas yang disertai kaum wanita saja.

“Bagaimanapun, berhati-hati itu adalah lebih baik supaya video tutorial atau perbuatan itu tidak mendatangkan fitnah,” katanya.

Noor Laila Aniza berkata, membuat tutorial atau mengajar wanita bersolek tidak salah selagi mendatangkan manfaat dan tidak menimbulkan fitnah.

“Niat kita adalah untuk mengajar wanita untuk tampil lebih yakin mungkin betul tetapi orang lain mungkin tidak menjaga amanah dan menyebarkannya sesuka hati yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Beliau berkata, Islam tidak bersifat sempit dan menindas, sekali gus tidak menghalang wanita untuk bersolek dan berhias tetapi mensyaratkan batas yang perlu dijaga dan dipatuhi bagi melindungi maruah wanita.

Katanya, wanita dengan wajah yang mempunyai masalah umpamanya boleh mengenakan solekan untuk menutup cela itu tetapi kadang-kala berlebihan hingga menjadi tabarruj dan hukumnya berdosa.

“Wanita yang tidak mempunyai wajah bermasalah juga boleh mengenakan solekan supaya kelihatan segar tetapi jangan berlebihan sehingga tabarruj,” katanya.

Mengenai suntikan kolagen, Noor Laila Aniza berkata, hukumnya berubah mengikut situasi kerana suntikan yang mampu mengubah wajah hukumnya salah kecuali kalau sekadar memperkemas wajahnya.

“Bagaimanapun, bahan kolagen itu mestilah berasal daripada sumber yang halal,” katanya.

Beliau turut memetik firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliyah yang dahulu dan dirikan solat, tunaikan zakat serta taati Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa daripada kamu wahai Ahli Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” (Al-Ahzab: 33)

Ayat itu turun kerana pelacur wanita pada zaman jahiliyah memakai gelang kaki dan menyelak kain untuk menampakkan perhiasan itu kemudian menghentak kaki sekuatnya untuk menarik perhatian lelaki yang mengekori mereka untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Justeru, wanita Islam dituntut menutup aurat dengan sempurna kerana Allah SWT menjaga maruah wanita, sekali gus, mengangkat martabat mereka.

Rasulullah SAW turut menegah wanita memakai wangian yang berbau kuat kerana wanita pada zaman jahiliyah menggunakan wangian sebegitu untuk menarik perhatian lelaki.

Noor Laila Aniza berkata, tegahan itu tidak bermakna wanita tidak perlu menjaga kebersihan kerana memakai wangian sekadar mahu bauan kurang enak dan menjaga kebersihan dibolehkan.

Beliau turut menyarankan wanita mencontohi wanita Arab di Yaman yang berhias dan bersolek pada malam perkahwinan untuk meraikan pengantin tetapi berbuat demikian di ruang atau bilik yang dihadkan untuk wanita.

Menariknya, apabila tiba masa pengantin lelaki masuk ke bilik itu, semua wanita terus mengenakan pakaian serba hitam dan menutup seluruh tubuh dan wajah mereka sehingga hanya pengantin perempuan yang kelihatan bersolek dan berhias dengan indahnya.

Mereka hanya mempamerkan kecantikan kepada orang yang dibenarkan berbuat demikian, sekali gus menjaga aurat dan akhlak apabila berhadapan dengan bukan mahram.

Beliau berkata, budaya itu boleh dijadikan teladan kepada wanita untuk menjaga kehormatan diri.

No Comments

    Leave a reply