Di Semenanjung, BN hanya bergantung harap kepada UMNO sementara parti komponen lain terus kekal mencatatkan keputusan yang mengecewakan. Tanpa UMNO, tidak adalah BN. Isyarat penolakan terhadap BN ini sebenarnya sudah boleh ‘dihidu’ sejak PRU ke-12 dan 13 tetapi mungkin disebabkan masih yakin dengan ‘keupayaannya’, BN terleka. BN terpaksa menerima kekalahan dan akur dengan pilihan rakyat. Kini masa untuk bangkit semula. BN tidak akan ke mana sekiranya parti induk iaitu UMNO dalam keadaan yang amat teruk. Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas dan UMNO sama-sama memerintah dua negeri tetapi Pas memiliki kelebihan kerana nyaris mentadbir tiga negeri.

Apabila masih ada yang mahu bertanding, jelaslah, mereka te­rus menaruh harapan kepada UMNO sebagai wadah perjua­ngan. Bertandinglah secara ikhlas dan jujur untuk membantu memulihkan parti. Walaupun laluan nampak sukar sekiranya anggota parti masih dibaluti kesedihan, kekecewaan dan kemurungan, ruang untuk memperbaiki kea­daan tetap ada. Masih ramai ang­gota parti yang tidak lari sebaliknya menawarkan diri untuk memulihkan parti. Bagi yang tidak bertanding atau tidak mempertahankan jawatan bukanlah bermaksud lupa tanggungjawab. Tindakan itu harus dilihat sebagai strategi politik atau memberi peluang kepada orang lain.

Mereka masih setia kepada parti dan sudah tentu bersedia beraksi di luar gelanggang. Mungkin bagi sesetengah orang, langkah mudah apabila parti dalam keadaan tenat adalah meninggalkan parti, iaitu satu perbuatan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mungkin melompat ke parti lain dan membiarkan rakan-rakan yang setia teraba-raba memikirkan hala tujunya. Mungkin ada juga anggota parti termasuk bertaraf pemimpin lebih rela melihat parti berkubur begitu sahaja. Mereka seperti gergaji dua mata dan akan menyalahkan parti bukannya pemimpin. Mereka lupa pemimpin boleh datang dan pergi tetapi parti bergantung kepada mereka yang ditinggalkan. Wajarkah UMNO dibiarkan mati atau istilah yang popular ketika ini ‘mereput’ perlahan-lahan? Jika mahu dimatikan, biarlah kematiannya secara baik bukan dalam keadaan ‘kotor atau menjijikkan’. Justeru usaha memulihkan parti itu melalui pemilihan yang lebih bebas dan terbuka amat wajar. Memang benar UMNO pernah mati akibat perebutan jawatan. UMNO dihidupkan semula atas nama UMNO (Baru). Tidak mustahil UMNO boleh mati lagi.

Keadaan UMNO ibarat telur di hujung tanduk. Namun hidup atau mati, suka atau tidak, UMNO harus diakui sebagai institusi yang pernah berjasa kepada orang Melayu, agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya. Ja­ngan tumpang gembira apa yang berlaku. Benar, keadaan UMNO kini boleh diibaratkan sebagai apa sahaja – parah, tempang, nazak atau menunggu masa untuk dikuburkan. Pada 11 Mei lalu, UMNO menyambut usia 72 tahun. Jika manusia, usia itu masih ‘kuat’ tetapi mungkin menghidap pelbagai jenis penyakit kronik kerana tidak pandai menjaga ke­sihatan akibat gaya hidupnya yang agak ‘mewah’ selama ini.

Kata orang, di mana matinya semut kalau tidak dalam gula. Disebabkan tidak pandai mengamalkan ‘diet’ kerana mewahnya ‘makanan’, akhirnya dapat pelbagai penyakit. Ada kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang, sesak nafas dan macam-macam lagi. Sebelum bertambah parah sehingga boleh mati mengejut, eloklah panggil pakar untuk membantu mengubati atau memulihkannya. Bukan membiarkan ‘pesakit’ itu mati atau mematikan pesakit dan lebih kasar lagi membunuh pesakit. Membiarkan pesakit itu mati tanpa usaha menyelamat adalah satu kesalahan. Setiap penyakit itu ada ubatnya.

UMNO memerlukan kepakaran lama dan baharu untuk menghadapi pesakit yang nazak ini. Gandingan kepakaran, pengalaman dan pengetahuan baharu akan membantu memulihkan pesakit.Justeru jika ada yang memikirkan mereka adalah tergolong dalam golongan yang berpengalaman atau mempunyai kepakaran untuk mengubati pesakit itu bolehlah menawarkan diri. Bertan­dinglah mengikut kesesuaian, ibarat ukur baju di badan sendiri. Mereka yang memegang jawatan atau sudah berada di atas, tidak perlu gusar untuk berundur jika itu yang terbaik.

Berundurlah seketika kerana ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Ambil patinya, buangkan hampas. Pilih yang baik, buanglah yang buruk um­pama pilih-pilih ruas, terpilih pada buku. Jatuh bangun dalam politik adalah lumrah. Elakkan perebutan yang merugikan, umpama gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah. Bertanding jangan sampai kalah jadi abu, menang jadi arang. Biarlah air dicincang tak akan putus atau umpama biduk lalu kiambang bertaut. Ramai yang berada di luar sana ingin melihat UMNO berkubur. Justeru berhati-hatilah. Kalah menang adat pertandingan, jangan telunjuk menyucuk mata.

Pemilihan kali ini diharap menjadi permulaan kepada perubahan supaya UMNO lebih dihormati dan diyakini. Memang sukar sebagai pembangkang selepas berpuluh tahun di puncak kejayaan. Cabarannya hebat dan UMNO perlu menjadi pembangkang yang kuat. Tidak perlu berbangga dengan kuantiti anggota tetapi tidak berkualiti. Semangat anggota perlu kuat kerana wujud pelbagai kekurangan. Zaman ‘mewah dan selesa’ sudah berakhir tetapi berbekalkan pe­ngalaman serta struktur organisasinya, laluan untuk UMNO bangkit masih ada. Laluan lebih mudah jika yang kalah dan menang seia sekata meneruskan perjalanan. Segan berdayung perahu hanyut.