BERTELAGAHLAH !

 

 

Sejak mula penubuhan Pakatan Harapan, pertelagahan antara Dr Mahathir dan kem penyokong Anwar sudah pun memperlihatkan gabungan tersebut bukan sebuah ‘perkahwinan yang bahagia’. Perkahwinan yang berlaku adalah atas dasar ‘penyatuan sementara’ dan ‘matlamat’ untuk menumbangkan penguasaan BN dalam puncak kuasa politik Malaysia.

Ketika Dr Mahathir ditonjolkan sebagai ‘pengganti Anwar’ untuk menyatukan parti-parti pembangkang, ramai yang percaya apabila Anwar dibebaskan, kedudukan Dr Mahathir akan berubah. Bagi menundukkan resah penyokong Anwar, Dr Mahathir memberikan jaminan bahawa dirinya hanya akan menjadi Perdana Menteri ‘peralihan’ atau sementara, untuk tempoh selama enam bulan.

Janji tersebut kemudiannya diperhebatkan dengan pernyataan bahawa Anwar yang sedang menunggu tarikh pembebasan akan segera dipohon pengampunan sekiranya PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan membentuk kerajaan.

Janji awal itu segera dipenuhi oleh Dr Mahathir. Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei 2018, keesokannya mengemukakan permohonan pengampunan.

Mengulas tentang pengampunan tersebut, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Yang di Pertuan Agong (16.5.2018) dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Menurut Anwar, beliau sebenarnya tidak memohon keampunan kerana kesalahan yang sudah disabitkan, sebaliknya menuntut pembebasan akibat fitnah dan salah guna kuasa yang bercanggah dengan prinsip keadilan. (Berita Harian Online, 16 Mei 2018).

Sebelum enam bulan berlalu, Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau akan tetap menunaikan janjinya, iaitu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Anwar membalasnya, beliau tidak terdesak untuk mengambil alih jawatan tersebut, dan memberikan masa kepada Dr Mahathir untuk menentukannya. Anwar waktu itu belum bersedia, kerana beliau masih belum bergelar Yang Berhormat sehinggalah menang dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Penghujung tahun lalu, Perhimpunan Agong Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesyorkan agar Dr Mahathir terus kekal menerajui pentadbiran negara sehingga tamat penggal PRU ke-14. Ketik itu juga, PAS menyatakan pendiriannya meminta Dr Mahathir mengambil pendekatan yang sama, dan parti itu bersedia menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal bagi membolehkan apa yang hendak dilaksanakan bagi ‘membaiki kerosakan’ dapat dilaksanakan.

Di tengah-tengah kontroversi kerjasama PAS dan BN, ada pula laporan mengatakan bahawa Dr Mahathir bersedia melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun. Anwar terus memberikan pandangan, Dr Mahathir boleh terus menjadi Perdana Menteri dan dirinya tidak akan mendesak. Itu hanyalah apa yang dilihat cantik di permukaan, tetapi secara terancang berlaku pula beberapa desakan agar Dr Mahathir mempercepatkan peralihan kuasa kepada Anwar.

Ketika Nurul Izzah mengemukakan peletakan jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akibat tidak bersetuju dengan keputusan Dr Mahathir mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusinya,  ramai mentafsirkan tindakan tersebut sebagai ‘tanda protes’. Nurul Izzah turut meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Ketua Perhubungan PKR Pulau Pinang. Bagaimanapun, Nurul Izzah kemudiannya menarik balik hasratnya meletakkan jawatan dalam PAC selepas Dr Mahathir akur dengan desakan menggantikan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC kepada wakil rakyat pembangkang.

Beberapa hari lalu, timbul lagi desakan daripada penyokong Anwar agar jawatan Perdana Menteri segera dilepaskan oleh Dr Mahathir. Seorang wakil rakyat PKR, Johari Abdul dalam siaran di youtube menjelaskan masalah yang berlaku di Kedah akan segera dapat diselesaikan apabila Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Ketika menjawab gesaan tersebut, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohd Zahid Md Arip meminta agar Presiden PKR dapat mengawal penyokong-penyokongnya agar tidak mendesak Dr Mahathir meletakkan jawatan dan memberikan laluan dalam tempoh terdekat kepada Anwar.

Zahid menyindir penyokong-penyokong Anwar kerana dalam persefahaman yang dicapai sebelumnya tidak ada ketetapan sebenar bilakah Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. Cuma disebut, Anwar adalah yang akan menggantikan Dr Mahathir apabila tiba masanya, yang bagi penyokong Anwar, kenyataan tersebut adalah suatu proses penafian yang sedang dirancang, juga satu strategi untuk mengetepikan Anwar secara halus.

Anwar memang memahami situasi tersebut. Tetapi, Anwar tidak boleh bertindak secara terbuka untuk mendesak Dr Mahathir. Sekiranya Anwar membuat desakan secara terbuka dan lantang, Dr Mahathir akan segera menggunakan helah yang lain untuk menolak sehingga Anwar akan terus dilihat ‘tidak sabar’ dan ‘terdesak’. Situasi tersebut akan memperkuatkan kedudukan Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri Ke-4 lebih bijak daripada Anwar untuk mencipta alasan. Anwar perlu berhati-hati, kerana kepimpinannya dalam PKR juga bermasalah.

Hubungan Anwar dengan kem Azmin Ali masih retak. Tidak banyak peluang yang boleh digunakan oleh Anwar daripada kedudukan Azmin dan rakan-rakannya dalam kabinet Dr Mahathir. Sebahagian besar menteri kabinet Malaysia Baru dalam kalangan PKR lebih cenderung menyokong Azmi. Anwar hanya mengharapkan kehebatan Rafizi untuk mencatur kepentingannya manakala hubungan Rafizi dan Azmin juga tidak mesra.

Menurut laporan Free Malaysia Today, 7 Jun 2019, seorang penganalisis politik dan geostratetis dari UTM, Dr Azmi Hasan berkata, proses penyerahan kuasa itu ‘semakin terlepas daripada Anwar. Kedua-dua kem saling membuka cerita secara terbuka.’ Dua kem yang dimaksudkan itu ialah kem Mahathir dan kem Anwar.

Pada asalnya, wakil rakyat dari Sungai Petani, Johari Abdul membuat teguran terbuka mengenai senario politik di Kedah yang diterajui oleh Mukhriz Mahathir. Mukhriz dianggap tidak cekap mentadbir Kedah, saperti mengulangi kelemahannya sehingga didesak untuk meletakkan jawatan pada 20 Januari 2016. Ertinya, Mukhriz bukanlah seorang pemimpin yang boleh menyatukan ahli parti, baik ketika dalam UMNO dan juga PPBM.

Mukhriz hanya bergantung kepada kelebihan yang ada pada ayahnya. Secara peribadi, Mukhriz tidak mempunyai visi dan kecekapan berpolitik. Mungkin itu juga menjadi kebimbangan Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri lebih awal, sebab latihan dan jaminan kedudukan Mukhriz belum mencukupi.

PPBM kian dilihat hanya mampu bertahan selagi Dr Mahathir memimpin. Parti itu akan kehilangan arah dan sokongan selepas ketiadaan Dr Mahathir. Dari strukturnya, PPBM masih terkial-kial untuk menempatkan kedudukannya sebagai pilihan ramai. PPBM belum mempunyai  struktur di peringkat akar umbi yang kuat, dan masih bergantung kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh kepimpinan pusat.

PPBM belum mampu mengadakan pemilihan secara demokratik di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Dari perspektif tersebut, mekanisma PKR adalah lebih baik walaupun pergolakan peringkat pusat terus berlaku.

Orang ramai yang mengamati perkembangan politik mengenai peralihan kuasa Dr Mahathir kepada Anwar terus menjangkakan lebih banyak perang terbuka akan berlaku dalam tempoh selepas dua tahun pentadbiran Dr Mahathir. Johari Abdul meramalkan pengambilalihan kuasa akan berlaku dalam tempoh enam bulan, dan ini mencerminkan bahawa Anwar sebenarnya sudah tidak sabar ‘menanti’ dan tidak ingin terus berkempunan untuk jadi Perdana Menteri.

Perebutan kuasa akan menjadi semakin sengit, dan dua perkembangan terakhir memberikan sedikit gambaran bagaimana Anwar mula ‘menggugat’ Dr Mahathir. Sebelum Aidil Fitri, Anwar memberikan komen agar Dr Mahathir mempertimbangkan pemberian ‘wang percuma’ kepada peneroka walaupun sebelumnya dilihat tidak akan berlaku. Semasa berada di Jepun, Dr Mahathir memberitahu pemberian ‘wang percuma’ akan melemahkan negara. Akhirnya, Azmin Ali mengeluarkan kenyataan peneroka akan memperoleh ‘wang percuma’ RM 300 selepas Anwar memohon Dr Mahathir mempertimbangkannya.

Dr Mahathir mungkin merasa tercabar, kerana Anwar akan menggunakan perkara tersebut bagi mempengaruhi peneroka. Anwar, memang bersedia untuk menemui peneroka, kerana itu adalah peluang untuknya menyatakan simpati terhadap nasib peneroka selepas harga komoditi begitu rendah, yang merudum sejak PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Isu kedua ialah mengenai keputusan Dr Mahathir melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Datuk Shukri Abdull. Latheefa Koya merupakan ahli PKR yang mengkritik kepimpinan Anwar secara terbuka. Penyokong Anwar melihat pelantikan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu sebagai strategi untuk mengekang pengaruh Anwar dan batu penghalang kepada peralihan kuasa.

Meskipun Dr Mahathir menafikan pandangan tersebut, penyokong-penyokong Anwar akan tetap mempertikaikannya. Faktor lain yang dipertikaikan ialah keputusan unilateral Dr Mahathir, tidak berbincang dengan ketua-ketua parti dalam PH, dan paling diperlekehkan ialah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk Pelantikan Jawatan Awam yang ditubuhkan sebelum akhir tahun lalu.

Walaupun pelantikan tersebut tidak menyalahi peraturan dan menjadi prerogatif Perdana Menteri, rakyat mula mempersoalkan apakah janji 14 yang dimasukkan dalam Buku Harapan itu akan terus tinggal janji?  Usaha membebaskan sektor awam daripada pengaruh politik nampaknya tidak dapat ditunaikan selagi Dr Mahathir berkuasa, maka kerana itulah pemimpin PKR terus menyuarakan bantahan, juga mendesak agar peralihan kuasa dipercepatkan.

Ahli Parlimen Kapar (PKR),  Abdullah Sani Abdul Hamid pernah mendesak Mahathir menetapkan dengan jelas tarikh peralihan kuasa akan diadakan dan baginya adalah tidak memadai sekadar berkata akan menyerahkan kuasa kepada Anwar,  “tanpa menjelaskan tempoh waktunya”. Sebab, Dr Mahathir juga pernah melanggar apa yang dipersetujuinya, selagi beliau merasakan ‘perjuangannya belum selesai.”

Pertelagahan tersebut akan bukan sahaja menguntungkan parti pembangkang, bahkan DAP akan tersenyum lebar kerana parti-parti politik Melayu dalam PH semakin kerdil, sedangkan pengundi bukan Melayu semakin bersatu.

Apa pun perkembangannya, UMNO mungkin akan memperoleh sedikit faedah daripada pertelagahan tersebut, kerana sebahagian daripada orang Melayu akan kembali memberikan sokongan. Cuma orang Melayu sedang meneliti, apakah UMNO mampu melakukan perubahan kepimpinan dengan tidak membuka semula laluan kepada pemimpin-pemimpin yang dianggap bermasalah. Zahid dan Najib perlulah ‘menangguhkan hasrat untuk kembali memimpin UMNO’ sehingga semua dakwaan terhadap salah laku itu berjaya dinafikan sepenuhnya.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply