Perubahan dalam erti kata yang sebenar bukan perubahan sekadar perubahan. Tetapi perubahan harus dalam acuan tertentu yang memberi manfaat kepada manusia dan men­jadikan perubahan sebagai asas tamadun terbina ber­asaskan faktor sejarah, tradisi, budaya, ilmu dan ke­trampilan yang mendukung kualiti manusiawi.

Malaysia sebagai se­buah negara majmuk amat menuntut peru­ba­han berlaku ikut acuan kita. Acuan keMalaysiaan menuntut persefahaman yang ting­gi ter­hadap per­bezaan yang terdapat su­paya dapat disantuni de­ngan ni­lai-ni­lai aga­ma dan eti­ka yang men­dukung ke­bai­kan supaya merintis jalan ke arah kerjasama.

Jika tidak berlaku ke­sejahteraan dalam hidup, perbezaan pasti menghasilkan konflik, jurang ekonomi semakin tajam, hegemoni dipertingkatkan dan akhirnya peminggiran terhadap sesuatu kelompok atas nama agama dan kaum terjadi. Akhirnya yang mempunyai kuasa beli yang tinggi bakal menguasai dan yang memiliki kuasa beli yang rendah menjadi mangsa.

Perubahan dalam acuan sendiri menjadikan agama dan etika sebagai asas yang utama. Fahaman liberal yang memisahkan agama dalam kehidupan boleh memberi kesan kepada keyakinan dan pemikiran manusia. Menuntut hak asasi tanpa pedoman agama boleh menjadikan kebebasan yang dianut tanpa batasan.

Pengaruh daripada tamadun lain yang memberi manfaat boleh diterima dengan syarat ia tidak melanggar kepentingan syarak. Pembangunan ilmu dalam Islam tidak saja sifatnya ritual dan tradisional tetapi mampu memberikan respon terhadap perubahan sezaman. Saidina Umar berpesan: “Didiklah generasi di zamanmu dengan ilmu yang sesuai dengan zamannya”.

Asas ini penting kerana umat Islam harus mampu melepasi diri dengan penjajahan pemikiran, sentiasa menjadi pengguna kepada produk orang lain dan tidak mampu menjadi penyumbang kepada perjalanan tamadun umat manusia lantaran integrasi ilmu tidak berlaku, jiwa tadabbur tidak berkembang, tidak seperti kehebatan umat di abad ke-7 hingga ke-13 yang menjadi sumber rujukan Barat dan Timur kerana ilmu agama, sains dan teknologinya. Inilah acuan sendiri yang harus diteroka dengan jiwa besar dan istiqomah dalam perjuangan mencari makna diri dan makna kehidupan.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).