Apakah benar ini akan menjadi punca PH akan berkuasa satu penggal sahaja ketika mereka sedang melakukan persiapan bagi menyambut setahun pemerintahan pada 9 Mei ini? Siapakah sebenar bersalah? Di manakah silapnya?

Dalam memperkatakan perkara ini, penulis senarai antara faktor yang memungkinkan wujudnya pandangan seperti mana dilontarkan oleh Dr. Mohd.Asri;

Memungkiri janji

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14) PH merangka satu manifesto yang memberi harapan tinggi kepada rakyat bahawa hidup mereka akan berubah sepenuhnya jika pakatan itu memerintah.

Kos sara hidup dijanjikan akan turun apabila GST dihapuskan manakala SST dikembalikan, tetapi apabila sudah berkuasa pelbagai hujah dan alasan diberikan.

Dan paling melucukan, ada pemimpin pakatan itu berkata, mereka tidak pernah berjanji sedemikian serta menegaskan, kenaikan kos sara hidup bukan di bawah kawalan kerajaan. Akhirnya rakyat terus sengsara. Di mana-mana sahaja kita mendengar rintihan rakyat yang merasakan hidup mereka lebih buruk di bawah kerajaan sekarang berbanding dahulu. Justeru kerajaan perlu berusaha menunaikan segala janjinya tanpa perlu memberikan lagi alasan sama setiap kali apabila ditanya oleh rakyat, sebelum rakyat `memenggal’ mereka dalam PRU Ke-15.

Bertelagah sesama sendiri

Pertelagahan antara anggota Kabinet semakin ketara. Dalam pelbagai isu, mereka bertembung sesama sendiri. Tidak ada sepakatan. Masing-masing mahu mempertahankan ego sehingga mengakibatkan rakyat menjadi keliru.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila pertelagahan yang terjadi dianggap `perkara sihat’ sedangkan rakyat melihat ia membuktikan bagaimana `tidak bijaknya’ sesetengah menteri mengendalikan sesuatu isu.

Oleh itu adalah wajar jika mereka yang berada dalam Kabinet benar-benar faham bidang kuasa masing-masing dan berhati-hati apabila mahu membuat sesuatu kenyataan. Ini bagi mengelakkan, rakyat berasa bosan seperti mana ditegaskan oleh Tun Daim Zainuddin.

Politik dalaman

Pelbagai cerita yang tersebar bagaimana dalam pakatan itu berlakunya gejolak yang dikatakan menanti masa untuk ‘meletup’. Ada antaranya sindir-menyindir antara satu sama lain manakala ada pula yang sedang mengumpul kekuatan bagi mengukuh kedudukan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun seperti biasa, politik penuh dengan helah dan tipu daya atau mungkin juga hipokrasi, sebab itulah kita sering melihat mereka yang dikatakan bertelagah itu boleh mengangkat tangan bersama, namun ia sama sekali tidak mampu menutup cerita sedang berlaku `pertarungan kuasa’ yang menanti masa untuk sampai ke kemuncaknya.

Isu rombakan Kabinet yang mula tersebar, biarpun dinafikan tetap mendapat perhatian kerana rakyat kini bukan bergantung kepada satu sumber sahaja bagi mengetahui sesuatu perkara itu betul atau tidak. Apatah lagi dalam kalangan pemimpin pakatan, mereka sendiri semakin rapuh untuk terus mempertahankan sikap hipokrit masing-masing.

Keadaan ini jika dibiarkan akan menyebabkan berlaku krisis dalaman politik yang pastinya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara. Oleh itu, ini perlu ditangani dengan bijak, biarpun penulis melihat ‘api di dalam sekam sudah nampak sedikit apinya’.

Godaan apabila sudah ada kuasa

Sebelum dan semasa PRU Ke-14, pemimpin-pemimpin PH seolah-olah menunjukkan merekalah golongan terpilih untuk menyelamatkan negara kerana bersih, benci rasuah, menentang penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tetapi apabila kita membaca surat pembaca yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada Jumaat lalu, kita tertanya-tanya apakah benar biarpun baru 10 bulan memerintah ada antara mereka semakin sudah tidak mampu mengawal godaan apabila sudah berkuasa?

Penulis surat itu mendedahkan bagaimana ada pegawai-pegawai lantikan politik yang bekerja dengan menteri semakin tunjuk taring dan antaranya didakwa menyalah guna kuasa. Ketua-ketua jabatan diugut agar menuruti cakap dan percakapan mereka, khususnya dalam soal perolehan. Jika enggan, mereka akan ditukarkan ke jabatan lain. Selain itu turut didakwa berlaku ialah ada menteri yang begitu berani melibatkan anak-anak dalam mesyuarat perolehan dan beberapa lagi salah laku.

Untuk bertindak adil, kita tidak berhak untuk menyatakan sama ada apa yang didakwa benar-benar terjadi tetapi pada masa sama kita juga tidak berhak menuduh semua itu fitnah. Oleh itu, semua dakwaan itu harus diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat. Penulis percaya semua anggota Kabinet dan pegawai mereka tidak keberatan siasatan dilakukan.

Ini kerana sebagai anggota dalam sebuah kerajaan yang sentiasa menganggap kerajaan dahulu penuh rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan mencuri wang rakyat, inilah masanya untuk membuktikan ketelusan.

Kesimpulannya, banyak lagi faktor lain yang jika tidak ditangani dengan betul oleh PH akan mengundang bencana kepada kuasa politik mereka. Dalam soal ini, jangan menuding jari kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkorban masa dan tenaga untuk memulihkan negara.

Usaha beliau akan menjadi sia-sia, jika barisan Kabinet dan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terus mahu berpolitik sepanjang masa termasuk melibatkan urusan kerajaan serta tidak mengelak daripada berperangai seperti ‘membahagi-bahagikan harta rampasan perang’.

Masa masih ada untuk memperbaiki segala kelemahan kerana ketika ini rakyat bagaikan diberi harapan palsu akibat pentadbiran negara yang dilihat haru-biru berikutan pemimpin kerajaan yang masih keliru dalam era Malaysia Baharu. Oleh berubahlah sebelum ‘dipenggal’rakyat.