BILA WUDUK PERTAMA KALI DISYARI’ATKAN?

Kita, umat Islam telahpun memiliki cara pandang bahawa wuduk dan solat adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Dalam ilmu fiqh, wuduk merupakan syarat sah mendirikan salat. Dengan kata lain, solat kita tidak sah jika tidak melaksanakan wuduk.

Ramai juga yang mengetahui bila perintah salat pertama kali diturunkan. Pada kebiasaannya, setiap kita memperingati peristiwa Israk Miraj, para pendakwah biasanya akan menyatakan bahawa pada peristiwa inilah Rasulullah Saw diperintahkan mendirikan solat. Pada awalnya, solat diperintahkan sebanyak 50 waktu. Lalu atas “cadangan” Nabi Musa AS kepada Nabi Muhammad SAW., diturunkan sampai hanya 5 waktu saja.

Tapi, jarang yang bertanya bila pertama kali wuduk disyariatkan? apakah ia diperintahkan bersama dengan solat, berasingan atau sesudahnya, atau sebelumnya ? 

Di beberapa kitab fiqh, seperti Fath al-Mu’in, tidak dinyatakan secara tepat bila wuduk pertama kali diperintahkan. Kitab itu hanya menyebutkan solat disyariatkan sebelum Nabi hijrah ke Madinah iaitu pada tahun ke-10 kenabian Muhammad SAW. Dalam kitab fiqh Syafi’iyyah lain seperti Hasyiyah Qalyubi ‘ala al-Mahalli karya Imam Qalyubi, memberikan sejumlah pendapat lain. Menurutnya, ada yang berpendapat bahawa kewajipan wuduk baru disyariatkan pada tahun ke-16 kenabian. Namun, menarik juga apabila al-Qalyubi juga menyatakan pendapat ulama lain yang menyatakan bahawa syariat wuduk adalah syariat umat-umat sebelumnya.

Penjelasan yang ber’genre’ sejarah mengenai ibadah solat dapat ditemukan dalam sebuah buku setebal 94 halaman berjudul Tarikh al-Shalat karya Dr. Jawwad Ali. Sebagai seorang sejarahwan, beliau turut memperincikan sejarah syariat wuduk dengan Hadis sebagai sumber rujukan yang pertama dan utama. Dalam satu hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Dalail al-Nubuwwah disebutkan bahawa wuduk disyariatkan pada masa yang sama dengan pelajaran solat oleh malaikat Jibril kepada Nabi SAW.

“Dari Muhammad ibn Ishaq berkata: bahawa Khadijah adalah orang pertama yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan meyakini kebenaran ajarannya. Kemudian, Jibril alaihi-s-salam mendatangi Rasulullah SAW ketika sudah (diturunkan perintah) diwajibkan solat. Lalu, Malaikat Jibril menekan tumi Nabi di salah satu sisi lembah, lalu terpancutlah mata air yang sejuk dan digunakan oleh malaikat Jibril dan Nabi Muhammad SAW berwuduk, kemudian mereka berdua solat dua rakaat dan empat sujud. Setelahnya, Rasulullah SAW pulang dan mata airnya itu dijadikan oleh Allah tetap memancut. Betapa berbahagianya perasaan Rasulullah dan balik semula ke sumber air itu bersama Khadijah untuk melakukan solat. Keduanya berwuduk seperti yang dilakukan Jibril, kemudia solat dua rakaat dan empat sujud secara sembunyi-sembunyi.” (HR. Al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah)

Dari Hadis ini juga, dapat diambil kesimpulan bahawa ada perbezaan pendapat di kalangan pakar sejarah mengenai tahun terjadinya Isra’ Mi’raj dan wafatnya Khadijah. Ibn Ishaq, seperti yang kemudian dipetik oleh Ibn Hisyam menyatakan bahwa Khadijah baru wafat setelah peristiwa Isra’ Mi’raj. Sebab itu, perintah wuduk sudahpun diketahui oleh Khadijah dan beberapa umat muslim lain sebelum hijrah ke Madinah.

Lalu bagaimana dengan ayat “Idza qumtum ila-s-shalaati fa-ghsiluu wujuuhakum…” ?

Oleh sebahagian ulama, ayat 5 dari surah al-Maidah ini menjadi dalil kepada berlakunya wuduk  yang baru disyariatkan di Madinah. Ia berasaskan kepada asbab al-nuzul ayat ini. Tahir ibn ‘Ashur, mufasir asal Tunisia menyatakan bahawa surah al-Maidah merupakan antara surat yang turun paling akhir. Oleh itu, ayat ini tidak menunjukkan wuduk baru disyariatkan. Justeru, wuduk telahpun diajarkan bersama-sama dengan diperintahkan solat, berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi tadi. Sementara kedudukan ayat ini, adalah penjelasan mengenai nikmat-nikmat Allah Swt. yang diberikan kepada umat manusia yang bertakwa.

Demikan pendapat Ibn ‘Ashur dalam tafsirnya dan pendapat Ibn Hazm dalam karyanya di bidang sejarah, al-Sirah al-Halbiyah seperti dipetik dalam Jawwad Ali, bahawa perintah wuduk sifatnya adalah ‘makiyyun fi al-fardh, wa madaniyyun fi al-tilaawah’ (diwajibkan di Mekkah, namun diturunkan nas al-Quran di Madinah). Wallahu A’lam.

Oleh: Masrur Irsyadi

Sumber: mediamuslimnews.com

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply