Bimbang, ragu terhadap sikap Amerika Syarikat

Amerika Syarikat (AS) dibacai, didengari dan tontoni setiap hari di akhbar, radio dan televisyen dalam bentuk berita atau peristiwa tertentu. Apa yang mengerutkan kening kita ialah bagaimana AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel sekali gus memindahkan kedutaannya ke situ dari Tel Aviv.

Ini tentu politik Presiden Donald Trump yang banyak mengikut telunjuk menantunya, Jared Kushner, seorang Yahudi. Namun begitu, kita juga bingung memikirkan bagaimana AS selepas melanggar Iraq pada 2003 dengan pengorbanan jutaan orang atas alasan palsu kononnya Iraq mempunyai senjata kimia, bersikap seolah-olah ia bukan menjadi punca kepada masalah Iraq kini. Rakyat bersengketa dan bunuh-membunuh.

Gambaran yang diberikan bahawa kerajaan yang dipimpin oleh orang Iraq sendiri tidak efisien mengendalikan tuntutan hidup rakyat. Saddam Hussein sudah lama tiada. Rata-rata difahami bahawa budaya Arab memerlukan orang seperti beliau sebagai pemerintah seperti yang berlaku di kebanyakan negara Arab di sebelah barat dan timur Suez.

Bila bertatih dengan amalan demokrasi, Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang dipilih oleh rakyatnya sendiri, dijatuhkan melalui perebutan kuasa oleh Abdel Fattah al Sisi. Sisi yang bertugas di bawahnya, dikatakan mendapat galakan AS.

Tengok pula apa yang berlaku di Tunisia dan Algeria, Lubnan, Jordan dan Arab Saudi. Jika ada amalan demokrasi, ia amat cacat sekali.

Kerajaan defisit demokrasi di Jordan, Maghribi, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa sudut lagi dipercayai mendapat anggukkan dan sogokan dari Washington, selaras dengan kepentingan AS.

Kita beralih pula kepada Venezuela di Amerika Selatan. Disebabkan ia berhaluan kiri atau sosialis, dan berbaik pula dengan Cuba dan Russia, maka secara halus AS menggugat dengan mencekik pasaran minyak.

Dolar AS yang menjadi mata wang jual-beli minyak antarabangsa dipersulitkan sehingga Venezuela, antara negara pengeluar minyak terbesar dunia, mengalami kesukaran pendapatan dalam kalangan rakyatnya, mengakibatkan kekurangan bahan keperluan hidup. Lebih menggelikan, ia kekurangan minyak untuk kenderaan bermotor.

Paradok ini sama dengan Malaysia, seolah-olah kita kekurangan getah untuk membuat bahan niaga dari getah, sedangkan Malaysia antara pengeluar getah utama di dunia. Selain Venezuela, jarang sekali negara Amerika Selatan yang tidak terjejas daripada dasar luar AS. Banyak kes lama boleh diperkatakan, tetapi memadai jika kita ulangi apa yang kita alami sahaja.

Pada 1980, Malaysia sanggup bersetia kawan dengan AS menarik diri daripada menyertai Sukan Olimpik Moscow. Justeru, hilang peluang keemasan Malaysia bertanding dalam kejohanan bola sepak dalam kalangan 16 negara terbaik di dunia.

Itu kerana AS marah dengan Russia menduduki Afghanistan. Tanpa diduga AS pula menduduki Afghanistan sehingga sekarang, sedangkan masalah yang hendak diselesaikan tidak berkesudahan.

Malapetaka negara Islam ini disebut sebagai satu peperangan yang paling lama diceburi AS dalam sejarah.

Apa yang membimbangkan dunia ialah sikap AS. Ia ada dua senjata penting untuk bertindak terhadap sesebuah negara yang dibencinya. Satu, menggantikan pemerintah (regime change). Kedua, sekatan ekonomi (economic sanction).

Setakat ini, Malaysia bernasib baik kerana berada dalam senarai sahabat AS, seperti kebanyakan negara Asia Tenggara, kecuali Myanmar, mungkin.

Bagaimanapun, saya terkutip satu maklumat yang mendebarkan. Malaysia dikatakan menjadi tempat yang memudahkan pengganas menyertai ISIS, Boko Haram dan badan pengganas lain. Terlintas di hati saya maklumat itu hanyalah palsu, satu propaganda AS.

Namun, situasi bimbang dan ragu boleh wujud. Mana tahu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), dua ejen besar perisik AS, membuat kesimpulan yang bukan-bukan. Jika kesimpulan itu disusuli dengan tindakan seperti yang nyata berlaku ke atas Iran, Iraq, Afghanistan, Vietnam, Kemboja, Filipina, Indonesia, Korea, Haiti, Cuba, Chile, Venezuela serta beberapa negara Eropah, maka malang nasib diri.

Namun apa yang kelihatan kini tidak menampakkan AS akan menganiaya kita. Kita tidak bermusuh dengan Singapura walaupun sedikit sebanyak percikan kecil timbul sesuatu masa. Singapura di rantau ini bak Israel di tengah-tengah bumi Arab. Strategi pertahanan Singapura dipadankan pada strategi Israel. Ini rahsia terbuka yang terdapat dalam laporan umum, diketahui oleh semua pihak yang relevan. Kemudahan pertahanan AS banyak bertempat di Singapura, begitu juga di Israel.

Bak kata S Effendi, penyanyi Indonesia yang sama naik dengan P Ramlee pada zaman remaja saya, dalam lagu Bimbang dan Ragu:

Namun aku selalu
Bimbang dan ragu
Tidur tiada nyenyak
Tegang perasaan
Surya pagi hari ku nantikan.

Begitulah!

Oleh Tan Sri Adam Kadir (Bekas Yang Dipertua Dewan Negara)

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply