Blok pembangkang sepakat, Parlimen dibubarkan

KUALA LUMPUR: Gabungan blok pembangkang pada Selasa sepakat Parlimen harus dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik yang belum nampak tanda-tanda akan reda.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, syor berkenaan dikemukakan selepas gabungan Muafakat Nasional mengadakan pertemuan sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.

Annuar turut memaklumkan, pendirian itu juga sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Maka setelah berbincang kami tidak boleh menyembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Tidak perlu timbul teka-teki, mandat harus dikembalikan kepada rakyat dengan pembubaran Parlimen,” kata Annuar dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Beliau berkata, pendirian itu dicapai berikutan terdapat cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin parti politik.

“Berasaskan kemungkinan mahu dibentuk kerajaan perpaduan secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar yang ditetapkan parti. Apa-apa perkiraan mestilah atas dasar parti.

“Selepas parti berbincang, kita tidak boleh menyembunyikan kepada rakyat dan mohon Parlimen dibubarkan. Biarlah rakyat yang menentukan,” katanya lagi.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam masa sama, Annuar berkata, UMNO sedia menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya Perdana Menteri Interim itu membentuk satu gabungan baharu dengan syarat tidak melibatkan parti DAP.

Katanya, Muafakat Nasional yang terdiri daripada komponen Barisan Nasional (BN) dan Pas tidak boleh bersekongkol dengan DAP.

“Kami tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Sehubungan itu, kami sebulat suara tidak akan sertai kerajaan,” ujar Annuar lagi.

Bahkan, Annuar menegaskan, mereka tidak mahu bersekongkol dengan DAP kerana tidak mahu menjadi hipokrit.

“Kita belajar dari sejarah, Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana ada pihak dalam gabungan itu yang hipokrit. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” tegas beliau lagi.

Sumber : astroawani.com

No Comments

    Leave a reply