BN MENANG BESAR DI TG DATU

Tulisan Kadir Dikoh, Kemenangan BN Tg Datu bukan ukuran PRU-14, Berita Minggu, 19 Februari 2017 adalah fakta menarik yang perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan politik tanah air, kerana legasi Tan Sri Adenan begitu sebati dengan jiwa pengundi, maka kemenangan balunya, Puan Sri Jamilah Anu memang diduga oleh ramai pihak sebaik sahaja namanya dicalonkan pada 1 Februari lalu. Pencalonan itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, iaitu Datuk Amar Abang Johari Haji Openg yang dipilih sebagai pengganti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Dalam pertandingan tiga penjuru—Jamilah mewakili BN (dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB), Johnny Aput (STAR) dan Rapelson Richard Hamit (PBDS)-BN memenangi dengan majoriti 6,443 undi manakala calon STAR (108 undi) dan PBDS (130 undi). Atas kemenangan itu, Puan Sri Jamilah akan meneruskan legasi suaminya dan kemenangan tersebut dilihat begitu rapat dengan aura Tan Sri Adenan Satem.

Walaupun Puan Sri Jamilah tidak keluar berkempen sebagaimana calon-calon yang bertanding dalam PRK, pengundi Tg Datu dapat menerima wanita berusia 61 tahun itu sebagai wakil rakyat mereka. Pengundi bukan sahaja memahami ‘pantang yang sedang dipraktikkan’ bahkan bersedia memberikan sokongan dengan menurunkan tanda sokongan kepada beliau menerusi 6,573 undi, iaitu bertambah sebanyak 551 undi yang pernah dimenangi oleh Allahyarham.

Ketika Tan Sri Adenan dipilih sebagai Ketua Menteri menggantikan Tan Sri Taib Mahmud yang dilantik sebagai Yang di Pertua Negeri Sarawak, Puan Sri Jamilah turut membantu dalam kerja-kerja amal dan sering dilihat bersama arwah suaminya turun menemui pengundi. Dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada bulan April 2016, Adenan menang kerusi Tg Datu dengan majority 5,892 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan. Calon PKR itu hanya mampu meraih 468 undi.

Adenan mula bertanding di Tg Datu pada bulan Mei 2006 dan berjaya mengalahkan Sobey Daud (PKR) dan Larry Dominic Linang (Bebas) dengan majoriti 4,136 undi. Sebelumnya, DUN Tg Datu dimenangi oleh Ranum anak Mina dari SUPP dan dalam PRN 2006, Ranum berpindah ke DUN Opar.
Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menjelaskan 69.2 peratus daripada 9,771 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 18 Februari lalu. Walaubagaimanapun, jumlah yang keluar mengundi adalah lebih rendah daripada yang disasarkan oleh SPR, iaitu 75 peratus. Ia juga merupakan jumlah terendah berbanding PRN Sarawak yang diadakan pada tahun lalu, iaitu 70.10 peratus.

Jamilah bukanlah merupakan balu pertama yang mengulangi kejayaan meneruskan legasi suami masing-masing dalam pilihan raya kecil di Malaysia. Sebelumnya, dalam PRK Kuala Kangsar yang diadakan pada 18 Jun 2016, Datin Mastura Mohd Yazid telah dipilih sebagai wakil rakyat bagi menggantikan arwah suaminya, Datuk Wan Mohd Khairil Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sungai Batang Lupar ketika kempen PRN Sarawak bulan Mei tahun lalu.

Dalam PRK Batu Sapi (4 November 2010), Barisan Nasional turut mencalonkan balu mendiang Edmund Chong Keat Wah, iaitu Datin Linda Tsen Tau Lin mewakili PBS. Mendiang terbunuh dalam nahas motosikal berkuasa besar pada 10 Oktober 2010 berhampiran Apartmen Graceville di Jalam Coastel Tanjung Aru-Kota Kinabalu.
Dua senario yang sama berlaku di Kuala Kangsar dan Tg Datu di mana calon yang dipilih bertanding tidak keluar berkempen kerana menghormati ‘pantang’ akibat kematian suami masing-masing. Di Kuala Kangsar, anak-anak Datin Mastura bertemu pengundi mewakili ibunya, begitu juga yang berlaku di Tg Datu.

Datin Mastura menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding kemenangan arwah suami. Datin Mastura memperoleh 12,653 undi berbanding lawannya, Najihatussalehah Ahmad (PAS – 5684 undi), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (PAN – 4883) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas – 54 undi). Semasa PRU 13, arwah suami Datin Mastura memperoleh 14,218 undi mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah (13,136 undi) dan calon Bebas, Kamilah Ibrahim (447 undi). Khairil menang dengan majority 1,082 undi.

Di Batu Sapi, Datin Linda menang dengan majoriti 6,359 undi mengalahkan Ansari Abdullah (PKR -3,414 undi) dan Datuk Yong Teck Lee (SAPP-2,013 undi). Tiga legasi mencalonkan isteri bagi menggantikan suami tidak boleh disifatkan sebagai trend dan dasar BN, tetapi ia adalah ‘calon terbaik dan mendapat sokongan. Bukan kerana seorang suami meninggal, maka isteri harus ganti suami’ jelas Timbalan Perdana Menteri ketika mengulas mengenai pemilihan Puan Sri Jamilah pada 5 Februari lalu, iaitu ketika mengiringinya ke tempat penamaan calon PRK Tg Datu di Dewan Masyarakat Lundu, Sarawak.

Parti pembangkang sebenarnya telah memulakan usaha meletakkan isteri ketika suami mereka berhadapan dengan tindakan undang-undang ataupun meninggal dunia dengan tujuan tidak mahu kawasan yang dimenanginya beralih. Misalnya, Anwar Ibrahim ketika berhadapan dengan keputusan bersalah dan hukuman penjara, meletakkan isterinya Datin Sri Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding dalam PRU 1999 di Permatang Pauh menggantikan suaminya, Anwar Ibrahim..

Apabila Anwar dibebaskan dari Penjara Sungai Buluh, Datin Wan Azizah mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bagi meneruskan agenda “Road to Putrajaya’ dan menyebabkan PRK Permatang Pauh perlu diadakan pada 26 Ogos 2008. Ketika Anwar berhadapan dengan kes liwat dengan pembantu peribadinya, Wan Azizah dicalonkan untuk bertanding di DUN Kajang atas alasan menjadikan ia sebagai loncatan kepada gerakan “lompatan Kajang’ untuk menguasai Selangor.

Wan Azizah kembali meneruskan ‘trend penggantian’ apabila bertanding semula dalam PRK Permatang Pauh pada 7 Mei 2015 apabila suaminya hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Ertinya, pertukaran kerusi antara suami isteri merupakan amalan yang begitu kuat dalam parti pembangkang, terutamanya antara Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail.

DAP juga pernah mengamalkan perkara yang sama apabila meletakkan Irene Mary Chang Oi Ling sebagai calon di Batu Asek, Sibu bagi menggantikan suaminya, Wong Ho Leng yang meninggal dunia akibat kanser. Mendiang Wong meninggal pada 21 Jun 2014 dan merupakan pengerusi DAP Sarawak dari 2001 hingga 2013. Dalam PRN Sarawak ke-11, Irene menang dengan majoriti 4,493 undi mengalahkan calon BN dan STAR.

Jamilah yang sentiasa berada di samping Adenan memahami ‘politik’ dengan lebih baik berbanding Wan Azizah ketika pertama kali dicalonkan menggantikan suaminya di Permatang Pauh (1999). Wan Azizah tidak menunjukkan minat dalam politik sebaliknya lebih mengutamakan kehidupan berkeluarga walaupun sesekali menemani suaminya ketika menduduki jawatan kedua tertinggi dalam UMNO dan kabinet.

Adenan seperti meninggalkan ‘kasut besar’ yang perlu diisi oleh pemimpin Sarawak dan pemergiannya menjadikan Jamilah bertekad untuk meneruskan legasi suami untuk diisikan apatah lagi selepas disahkan memenangi kerusi DUN Tg Datu. BN Sarawak bukan sahaja merasakan Adenan telah meninggalkan legasi yang tidak ternilai kepada pengundi Tg Datu, bahkan seluruh Sarawak menerusi pendekatannya yang ‘mesra rakyat’ dan kerjasama yang berkesan dalam parti komponen BN sehingga berjaya memperoleh kemenangan besar dalam PRN Sarawak ke-11.

Dalam PRN Sarawak, BN memenangi 72 kerusi manakala DAP hanya mampu meraih 7 kerusi dan PKR 3 kerusi. Kemenangan besar itu dilihat sebagai ‘Demam Adenan’ sehingga menyebabkan DAP kehilangan 5 kerusi manakala PAS yang mengharapkan akan ‘lahir anak sulong di Sarawak’ kempunan besar. Akibat ketamakan DAP menyebabkan parti itu terpaksa berputih mata apabila bersedia bertanding dengan ‘regu’nya dalam pakatan pembangkang.

Kemenangan Jamilah dalam PRK Tg Datu ini menjadi mercutanda bahawa ia adalah kubu kuat BN sehingga kini apabila dua pencabarnya disahkan hilang deposit dan terpaksa menerima hakikat bahawa ‘ayunan Adenan’ masih berbisa walaupun beliau hanya sempat memimpin Sarawak selama hampir tiga tahun (28 Februari 2014 hingga 11 Februari 2017).

Sejarah pilihan raya Tg Datu turut menunjukkan bahawa pembangkang begitu sukar untuk menguasainya. Ini membuktikan bahawa pengundi Tg Datu melihat BN merupakan pilihan yang tepat dan sukar untuk mengundi parti-parti pembangkang walaupun menjadikan tanah adat Bumiputera sebagai bahan kempen. Pengundi Melayu dan Bidayuh yang merupakan majoriti melihat kepada siapakah calon yang mampu membawa pembangunan dan mengubah nasib mereka, bukannya memilih calon yang hanya tahu bercakap tapi sukar melaksanakannya.

Kini, cabarannya perlu dipikul oleh Jamilah untuk meneruskan perancangan arwah suaminya bagi mengurangkan kadar kemiskinan, membangun projek berimpak tinggi sebagai upaya mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan sektor ekonomi. Semasa hayatnya, Tan Sri Adenan telah merancang lebih 800 projek pembangunan yang memakan kos RM 1 bilion, termasuk merumuskan pelan ekopelancongan kerana Tg Datu turut terkenal sebagai destinasi pelancongan di Sarawak, iaitu Tanjong Datu National Park.

Kemenangan besar BN di Tg Datu merupakan permulaan yang baik bagi Ketua Menteri yang baru mengambil tugas yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Walaupun baru dilantik pada 13 Januari 2017, Abang Johari sudah menunjukkan prestasi yang baik dan berupaya memimpin PBB/BN untuk berhadapan dengan keraneh pembangkang yang sentiasa mencari ruang untuk berkuasa di Sarawak.

Solidariti komponenan BN terus kukuh manakala Puan Sri Jamilah harus bergerak dalam keupayaannya sendiri untuk kekal menterjemahkan legasi arwah suami dan tentunya, beliau perlu kepada sebuah pendekatan yang kreatif dan inovatif.

No Comments

    Leave a reply