BR1M BUKAN ‘PEMBUNGKUS KEMELUT BERSATU’

Oleh: Monosin Sobri

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengeluarkan ‘fatwa’ terbaharu mengenai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan untuk membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah sebagai ‘haram’ kerana ia adalah berbentuk rasuah.

Tun Dr Mahathir sebelum mengeluarkan fatwa berkenaan beberapa hari lalu, menjelaskan seseorang yang menerima ‘rasuah seperti memakan babi’ kerana pemberian BR1M adalah sogokan untuk mendapat sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional  bagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14.

BR1M merupakan polisi pembayaran untuk isi rumah yang berpendapatan RM 4,000 dan kebawah manakala individu bujang berpendapatan tidak melebihi RM 2,000 sebulan (berumur 21 tahun ke atas). Ketika kali  pertama diperkenalkan, ia telah memberi manfaat kepada 4.7  juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dari seluruh Malaysia. Awalnya, BR1M menyalurkan bantuan sebanyak RM 500 bagi setiap keluarga dan RM 250 bagi individu bujang yang layak, dibayar mulai 15 Januari 2013.

Semasa pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kadar pembayaran BR1M 6.0 telah dinaikkan untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000 manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800. Individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Bagi bayaran kali ini, menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, satu kategori baharu akan diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan. Keseluruhan peruntukan untuk tujuan ini ialah RM 5.9 bilion dan membabitkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Pada 2013, BR1M 2.0 diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan manakala BR1M 3.0 (2014) dinaikkan dari RM 500 kepada RM 650 bagi isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 3,000 dan bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M 3.0 diperluas kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Dalam Bajet 2015, kerajaan menaikkan kadar BR1M 4.0 kepada RM950 daripada RM650 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dibayar secara tiga kali ansuran iaitu pada Januari, Mei dan September.

Untuk BR1M 5.0 ( Bajet 2016), isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000; kerajaan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 manakala bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar itu dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Pada tahun 2014, Dr Mahathir yang tidak sehaluan dengan cara Dato’ Sri Najib menguruskan negara mengambil keputusan sekali lagi keluar dari UMNO mengulas, pemberian BR1M adalah untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihan raya umum diadakan.

Dakwa Dr Mahathir, ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan negara.

Selepas pengumuman BR1M 6.0 akan diteruskan, Dr Mahathir membuat kenyataan BR1M merupakan rasuah kerajaan kepada rakyat. Pendapat Dr Mahathir bagaimanapun tidak dipersetujui oleh PKR. PKR menganggap  BR1M telah memberikan kesan positif kepada rakyat malah meminta kerajaan meningkatkan lagi nilai bantuan kepada RM 1,500.

Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata BR1M  bukan satu bentuk rasuah seperti yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bantuan itu perlu diberikan untuk membantu rakyat. Ini bermakna, walaupun PPBM, PAN, PKR dan DAP telah bersepakat untuk membentuk pakatan pembangkang yang baharu, ia tidak menggambarkan pendirian sebenar.

Pendirian Dr Mahathir itu dilihat oleh banyak pihak sebagai tindakan untuk mengalihkan isu selepas berlaku ‘ketidakharmonian’ dalam pembahagian kerusi bagi menyaingi BN dalam PRU 14. PAN dan PPBM merupakan dua parti serpihan yang belum teruji manakala DAP dan PKR sudah mempunyai kekuatannya sendiri. DAP menguasai Pulau Pinang dan beberapa kerusi kawasan bandar manakala PKR menguasai Selangor.

Sehingga kini, DAP mempunyai  37 kerusi manakala PKR  28 kerusi di Dewan Rakyat. PAN mempunyai 6 kerusi manakala PPBM hanya satu kerusi di Dewan Rakyat. Kerusi PAN asalnya dimenangi atas tiket PAS dan PPBM atas tiket BN (Pagoh). Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai satu kerusi (Sg Siput) manakala Parti Warisan Sabah dua kerusi (Penampang dan Semporna) yang dimenangi atas tiket BN.

Ketika Dr Mahathir berusaha mengalihkan isu yang dihadapi oleh pakatan pembangkang, BR1M dijadikan kambinghitam bagi meredakan ketegangan mengenai kemuktamadan pembahagian kerusi dan kabinet bayangan sekiranya memenangi PRU 14.

Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, Tun Dr Mahathir ‘sedang meroyan’ bagi menutupi kemelut yang sedang dihadapi dalam PPBM di mana seorang pemimpin wanitanya telah digugurkan akibat terbabit dengan skandal seks.

Pemimpin wanita berkenaan, dalam satu kenyataan dikatakan telah dilantik sebagai Ketua Srikandi tetapi dalam kenyataan Presiden PPBM, pelantikan jawatan itu masih belum dibuat. Pemimpin wanita berkenaan hanya diberikan tanggungjawab untuk membuat persediaan bagi menubuhkan sayap itu dalam tempoh terdekat.

PPBM juga menerima tamparan hebat apabila bekas Naib Pengerusi UMNO Batu Kawan, Datuk Sri Khairudin Abu Hassan yang menjadi penyokong kuat terpaksa meninggalkan parti selepas lebih sebulan menyertainya. Khairudin berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan parti ekoran kedudukannya yang sedang berhadapan dengan proses pembicaraan di mahkamah.

Khairuddin menyertai PPBM bulan September dan pada 28 Oktober lalu membuat keputusan tidak bersama Tun Dr Mahathir.

PPBM turut berhadapan dengan kemungkinan penolakan untuk bertanding di beberapa kerusi yang dianggap sebagai kerusi tradisi PKR manakala PAN berusaha untuk bertanding di mana kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS. PAN berhasrat menjadi parti pengganti kepada PAS selepas pakatan pembangkang yang sebelumnya berpecah setelah DAP dan PAS bermusuh selepas PRU 13.

PAN dianggotai oleh kumpulan parasit  yang mempengaruhi PAS untuk berubah pendirian perjuangannya dari ‘negara Islam’ kepada ‘negara berkebajikan’ manakala PPBM yang merupakan parti serpihan kumpulan ‘orang kecewa’ daripada UMNO. Dua pemimpin utama PPBM, Presiden dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukriz merupakan pemimpin UMNO yang disingkirkan kerana bersengkongkol dengan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara sah oleh rakyat.

Tan Sri Muhyiddin dan Mukriz sebelumnya dianggap sebagai ‘gunting dalam lipatan’ apbila mengkritik Perdana Menteri secara terbuka manakala Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Shafie Afdal telah digantungkan keahliannya dalam UMNO akibat mengambil sikap yang sama.

Tan Sri Muhyiddin mungkin boleh meraih kemenangan jika beliau kekal bertanding di Pagoh manakala Mukriz dilihat belum selamat disebabkan keupayaan politiknya di Kedah tidaklah begitu berkesan. Mukriz masih bergantung kuat pengaruh ayahnya, Tun Dr Mahathir tetapi dalam persekitaran ‘kebencian umum’ pengaruh bekas Perdana Menteri itu semakin tercemar.

Setelah menghina penerima BR1M, Tun Dr Mahathir dilihat tidak lagi berdaya mempengaruhi ramai penyokong kerana sebahagian penerima BR1M yang bersimpati dengannya boleh beralih arah akibat fatwa ‘BR1M adalah rasuah’ dan penerima rasuah ‘pemakan babi.’

Orang Melayu-Islam tidak boleh menerima ‘babi’ sedangkan beberapa perkara lain yang turut diharamkan dalam Islam darjah penolakannya tidaklah begitu hebat. Misalnya, dakwaan berzina kadangkala diterima secara selamba atas alasan ‘suka sama suka’ dan bukannya berlaku dalam situasi pencerobohan.

Begitu juga dengan skandal seks yang didakwa ke atas pemimpin wanita PPBM yang sudah digugurkan, beliau sebenarnya ‘tidak merasa bersalah’ dan boleh tersenyum walaupun perbuatan itu adalah dikutuk.

Setakat ini belum ada penafian bersungguh-sungguh sebaliknya ada pihak cuba mempertahankan skandal seks itu bukanlah sesuatu yang salah, kerana ia berlaku dalam keadaan ‘suka sama suka’ dan ia tidak sepatutnya dijadikan isu.

Bagaimanapun, hingga kini masih berteka-teki sama ada Presiden PPBM akan menerima nasib yang sama dengan ‘Ketua Srikandi’ ekoran dakwaan skandal seks sehingga menyebabkan berlakunya penceraian sepasang suami isteri bukan Islam. Kes penceraian berkenaan telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 September lalu.

Petisyen penceraian itu dikaitkan ‘hubungan sulit’ dengan Presiden PPBM  yang difailkan pada Disember 2014. Pasangan itu berkahwin pada 24 April 2007. Sejak petisyen itu difailkan, Presiden PPBM tidak melakukan penafian bersungguh-sungguh, hanya sekadar penafian politik. Kini, orang awam mahukan Presiden PPBM membersihkan dirinya dari skandal seks dengan memfailkan ‘saman fitnah’ terhadap pihak yang mengaitkannya dengan aktiviti yang boleh menjatuhkan reputasi politiknya.

Melihat kepada perkembangan tersebut, Dr Mahathir terpaksa memindah kemelut dalaman parti dengan mengkambinghitamkan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN. Sekurang-kurangnya, bila isu BR1M yang didakwa rasuah menjadi ‘percaturan’, Dr Mahathir kembali menarik nafas lega dan boleh memikirkan kaedah bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Sekiranya kemelut berkenaan tidak dapat diselesaikan, Presiden PPBM gagal ‘membersihkan diri’, sokongan tentunya akan terus berubah sehingga akhirnya menampakkan parti itu benar-benar untuk menyediakan peluang kepada Mukriz menapak ke atas, kalaupun tidak sebagai bakal Perdana Menteri.

Ketika itu, PPBM hanyalah tinggal ‘bayangan’ dan terukir sebagai sebuah parti yang tewas sebelum memasuki gelanggang ‘pertempuran.’ Kemungkinan itu tetap ada, belum pun tersusun kemas organisasinya, PPBM dilanda kemelut yang boleh meruntuhkannya. Mungkinkah ada benarnya apabila ‘dendam menguasai’ jalan yang dirintis ‘tersengeh kohong’nya? Hanya masa dan ketika yang akan menentukan kebenaran ‘karma’ dari sebuah dendam yang besar.

BR1M bukanlah ‘pembungkus kemelut PPBM’. Sebaliknya, PPBM perlu membungkuskan ‘parti’ dengan imej yang bersih dan sentiasa dilihat bersih, termasuklah apa yang dianggap oleh Dr Mahathir sebagai ‘rasuah’ dan ‘pemakan dedak.’

No Comments

    Leave a reply