BUANG ‘ANGAN-ANGAN’, KUATKAN AZAM DAN ILTIZAM

Dalam beberapa hari lagi kita akan melangkah ke tahun baru Masihi. Bagi kita, tahun Masihi sama juga pentingnya dengan tahun Hijrah, kerana ia merupakan permulaan hitungan hari untuk pembelajaran dan pekerjaan kita.

 Setelah kita menyusuri tahun lalu dan kini mula menyusuri tahun yang baru pula, seolah-olah bangkit satu perasaan untuk memperbaiki lagi diri dalam setiap pekerjaan dan perbuatan.

 Inilah yang dikatakan azam iaitu perasaan untuk mencapai iltizam. Jika kita hanya berangan-angan sepanjang tahun tanpa azam, nescaya kita tidak akan dapat menuju ke matlamat iltizam yang kita idam-idamkan.

 Tahun baru lebih bermakna lagi kepada para pelajar. Hal ini kerana setelah melalui beberapa ujian dan peperiksaan, dan mendapat keputusan lulus untuk naik lagi ke satu anak tangga, mereka akan memulakan pelajaran baru lagi.

 Di sini, para pelajar akan mula berazam untuk memperbaiki diri meningkatkan mutu pembelajaran mereka. Begitulah juga bagi mereka yang bekerja. Mereka juga perlu berazam untuk meningkatkan mutu kerjaya masing-masing.

 Islam juga sentiasa menggalakkan kita untuk sentiasa memperbaiki diri dalam segala hal. Semua ini memerlukan kepada keinginan dan usaha yang bersungguh-sungguh. Janganlah kita hanya berserah kepada nasib semata-mata. Hakikatnya, nasib masing-masing adalah mengikut kepada usaha yang kita lakukan.

 Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa-apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm ayat 39)

 Jika kita berusaha sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, maka nasib kita akan hanya setakat ‘sehangat tahi ayam’ itu sahaja, iaitu nasib baik yang sekejap sahaja. Akan tetapi jika kita istiqamah (berterusan) dalam berusaha memperbaiki hidup, maka nasib kita pun akan sentiasa dalam keadaan baik. Nasib kita masing-masing tidak akan berubah dengan sendirinya sehinggalah kita sendiri yang mengubahnya. Malahan orang lain pun tidak dapat mengubah nasib kita.

 Perkara ini sudah lama dijelaskan dalam al-Qur’an yang menjadi sumber rujukan terbaik untuk menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat, iaitu firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d ayat 11)

 Hakikatnya tiada untungnya bagi siapa yang menodai detik-detik kehidupannya dengan perbuatan dosa. Namun, tidak dapat disangkalkan bahawa manusia tidak akan pernah terlepas dari dosa, kecuali para Nabi dan Rasul.

 Oleh itu, jika kita tersalah dan tersilap, hendaklah kita bersegera memohon ampun kepada Allah dan bertaubat agar lembaran kehidupan kita akan sentiasa bersih dari segala dosa. Sebenarnya kita tidak terdaya untuk memadam kenangan daripada ingatan kerana masa tidak pernah berpatah balik untuk berulang kembali dan tidak pernah memberi peluang lagi untuk menggantikan kenangan pahit lalu dengan kenangan yang manis.

 Mungkin pada tahun yang sudah pernah tercipta sejarah yang duka, apabila kita melangkah ke tahun ini semoga kita tidak akan mengingati kenangan yang mengguris perasaan itu lagi.

 Justeru kita juga perlukan azam untuk memulihkan perasaan dari kedukaan yang berpanjangan, selari dengan azam untuk mencapai sesuatu yang lebih berharga dalam hidup. Jika kita terlalu memikirkan kenangan yang sudah berlalu, kita tidak akan ke mana melainkan hanya tersadai dalam dunia kedukaan. Jadi, dengan membuka lembaran baru adalah jalan yang terbaik untuk menutup lembaran lama.

 Allah SWT telah membuka banyak ruang untuk kita berbuat kebaikan ketika hidup ini dan tidak kurang juga dengan ruang kejahatan ciptaan syaitan yang dibiar terbuka, hanya tinggal kita sahaja yang akan memikirkan sendiri yang mana baik dan yang mana buruk. Namun kita sudah sedia maklum bahawa ruang kebaikan membawa ke syurga dan ruang kejahatan membawa ke neraka.

 Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia sementara ini adalah untuk mencapai iltizam hidup di dunia yang tidak akan kekal. Setiap kali kita berjaya mencapai iltizam yang baik di dunia ini merupakan jambatan untuk kita menuju kebahagiaan hidup di akhirat yang bersifat kekal abadi.

 Jadi, kita yang hidup di dunia ini semestinya memiliki azam masing-masing. Semoga lembaran-lembaran sepanjang kehidupan kita akan sentiasa terisi azam yang baik untuk iltizam yang bukan hanya sekadar angan-angan.

 Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (al-Baqarah ayat 215)

 Oleh Mohd Shukri Hanapi

No Comments

    Leave a reply