BUAT KEPUTUSAN BIJAK

KUALA LUMPUR 7 Mei – Rakyat Malaysia yang akan mengundi pada Rabu ini dinasihatkan membuat keputusan bijak dengan memilih sebuah kerajaan yang stabil untuk terus membangunkan ekonomi serta memelihara Islam sebagai agama Persekutuan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, jika pengundi memilih parti yang salah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak mustahil agama, bangsa dan negara akan berdepan ancaman dan kerosakan.

Menurut beliau, pertimbangan yang perlu dibuat ialah bukan kepada pihak yang hanya ‘bercakap’ mengenai Islam, tetapi kepada mereka yang menggunakan kuasa untuk mempertahankan agama tersebut.

Katanya, dengan manifesto-manifesto telah dibentangkan oleh semua pihak yang bertan­ding, rekod prestasi kerajaan yang mempertahankan kedudukan dan kesucian Islam juga perlu diambil kira ketika mengundi.

“Umat Islam wajib pertahankan negara dan syariat Islam dengan menunaikan tanggungjawab mengundi kerajaan yang memberi kestabilan agama, sosial dan ekonomi terbaik kepada rakyat. Hidup orang Islam adalah bergantung kepada agamanya, oleh itu kita wajib sokong parti yang diyakini dapat menjaga agama ini. Kalau salah pilih, agama kita akan dipinggirkan sekali gus menjadi lemah.

“Lebih penting lagi, Kita mesti kenali parti atau individu yang kita pilih untuk tadbir negara. Pilih mereka yang betul-betul dapat melindungi agama yang kita cintai ini. Meskipun semua pihak mampu meletakkan polisi mempertahankan agama Islam dalam kempen masing-masing, tetapi rakyat perlu matang dalam membuat keputusan.

“Kita kena tengok kepada yang perjuangkan Islam tetapi kalau ia tidak mempunyai kuasa, bagaimana pula ia hendak mempertahankan Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Harussani, kerajaan yang sedia ada telah memainkan peranan berkesan untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagaimana yang diperlukan negara.

Katanya, tanggungjawab memelihara kesucian Islam amat penting kerana ia juga perlu di­terjemahkan dalam bentuk dasar-dasar dan pentadbiran kerajaan.

Mufti Kelantan, Datuk Moha­mad Shukri Mohamad pula berkata, pengundi yang akan mengundi pada Rabu ini tidak boleh memi­lih sembarangan kerana mereka menjadi saksi untuk menegakkan pemerintahan yang baik.

“Setiap undi rakyat sangat bermakna dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan. Pengundi bersifat penyaksian, pilihlah wakil rakyat yang berkelayakan membangunkan negara dan menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Tambah Mohamad Syukri, dalam Islam prinsip umum yang perlu disokong adalah perkara yang membawa kepada kebajikan dan takwa.

Dalam pada itu tokoh agama, Ismail Mina Ahmad berkata, rakyat harus bijak memilih parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang mempertahankan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan mempertahankan isu-isu orang Melayu.

Katanya lagi, rangkuman lima prinsip maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi menjamin keselesaan dan kesejahte­raan rakyat yang diamalkan kerajaan sedia ada sudah cukup cantik dan harus dikekalkan.

“Oleh itu, orang yang layak mengundi perlu keluar mengundi dan lima tahun pembangunan negara menjadi indikator kepada keputusan pilihan raya kali ini,” jelasnya.

Sumber Utusan Malaysia

No Comments

    Leave a reply