‘BUDAYA BADUT’ AKIBAT KESOMBONGAN KERAJAAN PH

 

FAISAL TEHRANI adalah seorang intelektual sastera yang ikut berpartisipasi dalam politik murah apabila melihat keghairahan pasukan kempen Najib untuk membantu kemenangan BN, baik di Cameron Highlands mahupun di Semenyih dengan melabelkan apa yang berlaku itu sebagai “strategi badut”.

Sekali imbas, rencana tulisannya, “Strategi badut Najib”, Free Malaysia Today, 28.2.2019 saperti suatu dosa besar yang tidak boleh diampunkan oleh sesiapa kerana persepsi masih membentuk ‘mainstream’ kesalahan yang dihubungkaitkan dengan 1MDB dan apa yang diselongkarkan di banyak tempat berkaitan dengan bekas perdana menteri itu. Ia juga sepadan dengan ‘strategi badut’ kerana apa yang berlaku belum dibuktikan bersalah, tetapi sudah ada keputusan “hampir muktamad” mengenainya,  hanya kerana percaya apa yang dilapor dan didedahkan.

Sukar untuk menerima, walaupun secara legalnya, Najib belum boleh dihukum bersalah kerana proses penghakiman belum berlaku manakala pihak pendakwaan masih terkial-kial mencari petunjuk lengkap. Secara moralnya, Faisal juga merupakan pegagum ‘strategi badut’, bukannya Najib.

Dengan mengemukakan teori komunikasi massa yang dirumuskan oleh Melvin de Fleur dan Sandra Ball-Rokeach, strategi badut itu diperhalusi sebagai “merendahkan cita rasa rakyat” dan ‘melekakan rakyat dengan politik cetek’, membuat kita berfikir semula kepada satu konsep lain yang bertentangan dengannya. Dalam istilah budaya, strategi badut itu adalah efek yang tidak dapat kita sekat dengan apa cara sekalipun, kecualilah semua manusia mempunyai tahap berfikir aras tinggi, atau dalam budaya diistilah mempunyai budaya tinggi. Laporan media akan menjadi ilmiah dan penuh hipotesis yang sukar difahami.

Apakah karakteristik komunikasi massa, dan juga media sosial? Apakah senua komunikasi yang terjalin antara semua orang itu menghasilkan ‘budaya tinggi’ atau efek komuniti yang tidak lagi tersentuh dengan frasa terkenal  William Shakespeare: dunia adalah pentas, manusia adalah pelakonnya? Atau dalam ungkapan Yasraf Amir Pilliang, seorang tokoh dan pengkaji budaya di Indonesia sebagai ‘dunia yang dilipat-lipat’?

Dalam Transpolitika: Dinamika Politik di Dalam Era Virtualitas (2005), Yasraf dengan memetik pandangan Alfred Schutz dan Thomas Luckerman menjelaskan: Dunia kehidupan melibatkan baik kesedaran atau ketaksedaran. Kesedaran manusia selalu merupakan kesedaran akan sesuatu, iaitu kesedaran kognitif yang menangkap objek-objek di sekitar, termasuk manusia lain. Dalam konteks dunia kehidupan politik, kesedaran yang dibangun di dalamnya adalah kesedaran berhadapan dengan objek dan aktor-aktor politik lainnya di dalam ruang publik politik, yang di dalamnya dihasilkan aksi, persepsi, dan pandangan-pandangan (pendapat) politik” (hal.31).

Paling menarik ialah apabila budayawan Sujiwo Tejo dan Dr Nur Samad Kamba, Tuhan Maha Asyik (2016) memberikan kita suatu lanskap bahawa untuk merasakan ‘keasyikan’ mencari Tuhan secara holistik, kita perlu bermula dengan tidak menyebut nama-nama Tuhan yang begitu banyak, tetapi mengenalinya berdasarkan sifat dan iradatnya.

Tuhan mencipta manusia, tetapi Tuhan tidak membelenggu manusia untuk berfikir, bertindak dan juga mengungkapkan pandangannya untuk bersosial, asalkan batas-batas dan kesusilaan dijaga. Sebagai manusia, kita juga tidak terhindar daripada apa pun kekhilafan dan kesilapan, dan kesemuanya itu memberikan orang lain kesedaran, teladan dan petunjuk, bahawa kesilapan ada risikonya. Najib ada kesilapannya, maka risikonya akan hadir setelah semua proses pengadilan itu selesai. BN telah menerima risikonya, tetapi bukan bermakna Kerajaan PH tidak akan menerima dengan risiko bila semakin mementaskan “strategi badut”.

Maka, tidak perlulah kita menjadi orang yang begitu cepat menghukum, kerana kita bukanlah seorang ‘hakim’ yang adil dan berkelayakan. Kita adalah pendengar yang teramat mudah berspekulasi. Inilah wabak yang tidak pernah berhenti dikaji, diselidik dan seterusnya dibincangkan oleh para akademik, aktivitis sosial sejak mereka mencari ‘langkah yang sesuai’ dalam perspektif komunikasi ataupun model psikologi. Semuanya masih belum berhujung dengan kesimpulan dan efek yang tuntas atau boleh melenyapkan ‘strategi badut’.

Kenapa strategi badut penting dan berpengaruh? Ia adalah mudah. Komunikasi itu sendiri memerlukan massa yang besar, kerana komunikasi memerlukan khalayak yang luas dan ramai, kecualilah komunikasi intrapersonal atau komunikasi Illahiyyah. Misalnya ketika berdoa dan meminta pertolongan dari Allah SWT. Kita tidak menyasarkan semua orang mendengar, ataupun mengetahui apa yang kita inginkan pertolongan dan perlindungan dari-Nya.

Sekiranya Faisal mengkaji apa pun terma dan peraturan berkomunikasi dalam budaya politik, tidak ada satu pun hukum yang membawa penyelesaian bahawa apa yang didengar, dibaca dan ditonton oleh khalayak tidak membentuk ‘pendapat umum’. Bahkan sejak bidang komunikasi berkembang sebagai satu disiplin, komunikasi seringkali dikaitkan dengan persoalan ‘membuat keputusan’ orang awam untuk memilih atau menyokong apa yang dipersetujuinya. Tidak seorang pun yang boleh memaksa orang lain (penerima) membuat keputusan mengikut kehendak hatinya sendiri (sumber), kerana itulah komunikasi menjadi alat dan juga acuan ‘mengembangkan ideologi politik’.

Media dikelasifikasikan sebagai alat untuk membentuk ‘agenda’ atau  ‘public opinion machanisme” atau bagi sesetengah pengkaji sebagai ‘information machine”. Cuma, sebagai penerima, kita mestilah mempunyai keupayaan untuk membuat pilihan dan juga menyaring maklumat atau data yang diterima, sama ada ia boleh dihadam atau perlu dibakulsampahkan. Berdasarkan ‘rangka rujukan’ yang ada dalam korpus pengetahuan seseorang. Manusia bukan ‘haiwan sosial yang pasif’, manusia adalah ‘haiwan sosial yang berfikir’ dan memahami keperluannya secara dinamik atau pun berfaedah.

Walaupun Faisal menamakan apa yang sedang diperlakukan atau dilakonlayarkan oleh Najib menerusi ‘dialog’ dan tindakannya sebagai ‘strategi badut’, rakyat dengan mudah boleh menerimanya sebagai persepsi kalaupun tidak sebagai ‘satu kepercayaan’,  berdasarkan perbandingan petunjuk atau aksi semasa, yakni kelucuan perspektif politik yang muncul dalam kalangan aktor politik  Kerajaan PH.

Rakyat mula menilai, juga memisahkan apa yang sebelumnya berlaku ke atas Najib sebagai ‘misi yang tertangguh’,  apa yang rakyat hadapi pada masa Kerajaan PH memerintah terlalu banyak percanggahan dan penyimpangan matlamat, sehingga semakin ramai rakyat mula merasakan Kerajaan PH berbohong.

Najib tidak mengetepikan sentimen yang dirasai oleh rakyat, Najib memberikan satu bentuk tafsiran bahawa ‘ketidak sehaluan’ antara janji dan tindakan menyebabkan kebosanan dan rasa meluat. Sebagai seorang yang memahami makna sindrom penafian dan fenomena ‘menuding jari’, Najib terpanggil untuk menjelaskan apa yang sepatutnya tidak boleh dinyahkan oleh Kerajaan PH.

Sepanjang pentadbirannya, Najib telah memansuhkan kutipan tol di dua belas kawasan, tetapi, Kerajaan PH yang berjanji akan memansuhkan semua tol sebaik sahaja berjaya menguasai Putrajaya hanya bercadang untuk menghapuskan kutipan tol di empat lebuhraya –LDP, Terowong SMART, LEKAS dan SPRINT-dalam masa enam bulan lagi, kerana rundingan belum muktamad. Mekanisme, kehilangan kutipan tol akan digantikan dengan caj kesesakan, kadarnya sama dengan bayaran tol yang dikenakan pada waktu puncak, diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan percuma untuk perjalanan antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

Najib menyindir, jika tol dihapuskan, kenapa mesti ada caj kesesakan. Itu sudah memperlihatkan ada perkara yang tidak jujur dan ikhlas. Hapus bermakna tidak ada lagi apa-apa bayaran sebagaimana runtuhnya Plaza Tol di Batu 3, Shah Alam; Sungai Rasau, Selangor; Sistem Penyuraian Trafik Timur Johor; dan Bukit Kayu Hitam, Kedah. Apakah itu merupakan ‘strategi badut’?

Juga dipersoalkan, kenapa penghapusan tol, pengembalian bayaran kepada individu bujang berlangsung ketika kempen PRK DUN Semenyih? Nasib akhirnya tidak menyebelahi Menteri Pelancongan kerana terpaksa menarik balik pengumuman peruntukan RM 80,000 membaiki sebuah dewan di Semenyih setelah tersedar ia adalah satu kesalahan mengikut peraturan berkempen pilihan raya. Bukankah itu juga boleh dinamakan ‘strategi badut’ kerana sebagai ‘badut’ ia membuktikan ada ciri-ciri ‘bodoh dan konyol’?

Persoalan lain ialah cara dan kaedah Kerajaan PH berpolitik dan menguruskan negara. Najib turut mempersoalkan apakah Kerajaan PH sudah ketandusan idea untuk ‘membina semua Malaysia” yang dikatakan telah ‘dirosakkan oleh BN selama 60 tahun’,  dengan menjual apa yang ada kepada sesiapa sahaja yang berwang  tanpa memahami apa yang dilakukan itu boleh dianggap lupusnya kepemilikan tempatan? Betapa susahnya kerajaan terdahulu berusaha untuk membina, memiliki dan mengumpul aset-aset itu, tetapi, terlalu mudah Kerajaan PH melepaskan dengan alasan memerlukan wang untuk membina semula Malaysia.

Saperti diperihalkan peribahasa Melayu, yang dikendung keciciran, yang dikejar bertempiaran lari. Komoditi yang dihasilkan oleh rakyat negara ini terpaksa disimpan dan dibiarkan begitu sahaja kerana tidak ada lagi pembeli. Akibat mengutuk strategi ‘perdagangan dan pelaburan timbal balik dengan China’, kita kehilangan pasaran untuk getah dan kelapa sawit. Kerajaan PH menuduh, kemasukan pelaburan dan pinjaman untuk pembangunan infrastruktur sebagai ‘menggadai negara’ kerana kita bercakap berdasarkan dendam setelah sebahagian saham Proton dijual kepada Geely, ECRL diberikan kepada konsortium China dan bencikan Forest City, maka hilanglah satu pasaran besar untuk getah dan kelapa sawit.

Rakyat masih ingat bagaimana isu perlombongan boksait menjadi bahan politik yang menjengkelkan sehingga diadakan monotarium. Setelah Kerajaan PH berkuasa, eksport galian itu boleh dibenarkan semula. Ia menampakkan ‘strategi badut’ cuma kali ini ia berbeza kerana badut mengenakan pakaian Santa Klaus dan sebelumnya, badut berpakaian saperti Holloween. Begitu juga dengan BR1M, kerajaan yang ditadbir oleh BN dilihat berwajahkan Robin Hood, manakala Kerajaan PH  berpakaian saperti orang suci tetapi bukan ‘malaikat’. ‘Malaikat’ pun melakukan kesilapan, sebab itu ‘malaikat’ berpatah balik.

Setakat ini,  adakah Kerajaan PH mengamalkan kaedah komunikasi untuk ‘kesejahteran rakyat’? Setiap pagi rakyat ditaburkan dengan ‘hutang mencecah lebih RM 1 trilion’, pemimpin BN mencuri dan  menyangak. Setiap hari kita  diindoktrinasikan dengan pelbagai mesej buruk. Rakyat saperti tersihir dan disantau selama beberapa bulan hanya untuk menutupi kegagalan  10 Janji 100 hari.

Janji tidak dilaksanakan kerana Kerajaan PH bertelagah sesama sendiri, antara menteri saling bertelingkah pandangan dan ada di antaranya saperti  terkongkong dengan budaya membangkang. Mereka terlupa, ketika ini Kerajaan PH adalah yang memerintah, bukan lagi BN yang dibenci dan dipandang hina. Akhirnya kehinaan dan kejelekan kembali menerjah Kerajaan PH, bukannya ‘strategi badut’ yang dipertontonkan oleh Najib dan kumpulannya. Rakyat belum terlupa, walaupun Dr Mahathir bermati-matian mempertahankan umpatannya, Melayu Mudah Lupa. Mereka bangkit menagih janji, sebaik sahaja hilang kesan bius.

Apakah dalam Kerajaan PH sekarang tidak ada ‘fun-fair’? Ia semakin tersebar dengan maraknya sebab sebahagian  pemimpin  Kerajaan PH adalah pelakon yang memang handal dalam kebanyakan persembahan ‘fun-fair’, sama ada ketika mempersoalkan kenaikan harga petrol, penghapusan bayaran balik PTPTN, penguatkuasaan GST, pengendalian urusan pilihan raya, kebebasan kehakiman, undang-undang POTA dan SOSMA,  Lynas ataupun duduk-bantah di Dataran Merdeka.

Gambar-gambar pemimpin yang berada dalam Kerajaan PH sekarang tertular kembali dengan posisi yang meloyakan bersama ucapan-ucapan kontradiksi dan menjilat semula ludah yang berbau, masam dan tengit dengan  lidah terjelir, mengusap bibir atas dan bawah dalam keadaan terpaksa,  menutup hidung.

Itulah ‘strategi badut’,  bukan sahaja dikhususkan untuk Najib, Kerajaan PH turut mencipta kesan ‘backfire’ dan kesemuanya masih dalam pentas ‘politik cetek’,   boleh dikategorikan mengalami ‘photostat machine effect’. Pembingkaian ‘politik cetek’ yang sedang disenandungkan oleh Kerajaan PH adalah ‘strategi badut’ dalam kelasnya yang tersendiri, kerana ‘strategi badut Najib’ menjadi, berkesan dan berpengaruh.

Apakah ‘strategi badut’ adalah sesuatu yang hina dan terkutuk hanya kerana Najib menunggang motosikal, memakai baju t berlogokan “#ApaMaluBossku sedangkan Dr Mahathir jelas menghina peneroka FELDA, ke  Sungai Koyan menggunakan helikopter?  Rakyat sudah lama bencikan imej elit, rakyat sebenarnya sedang sengsara dengan kos sara hidup, pendapatan tidak lagi berkecukupan untuk kelangsungan hidup.

Menteri menangis bila menerima ‘surat subsidi dipotong’ tetapi petani dan nelayan tidak memahami ‘strategi badut’ itu; yang mereka mahukan ialah dikembalikan subsidi, bantuan untuk membantu, tidak lagi ada  harga  ‘belacan’ lebih mahal dari kelapa sawit’.

Apa pun yang Faisal Tehrani jelaskan antara betwixt and between, development-oriented journalism, penny press, ia tetap bersifat akademik. Realitinya, orang ramai akan pertahankan nilai dirinya, meskipun dianggap ‘politik cetek’. Rakyat mahukan hasilnya atau output sebagaimana dijanjikan, bukan hanya mengingati apa yang dibaca dan didengar beratus manifesto dalam Buku Harapan. Harapan sudah diberikan, sampai bilakah harapan itu menjadi realiti. Enam bulan tempoh belajar sudah cukup, tetapi memasuki bulan ke sepuluh masih juga belum terlihat tanda-tanda akan hadir “seorang anak”.

Rakyat sudah ‘muntah’ tetapi Kerajaan PH masih berkhayal dengan keseronokan berbulan madu, tidur dalam kamar politik yang berbeza, masing-masing berusaha melepaskan pucuk dan menjulang tinggi menggapai suria tanpa sedar rumput di bumi semakin gersang dan kepanasan. Apa yang dilakukan oleh Najib dalam ‘strategi badut’nya ialah memberikan ‘amaran’, Kerajaan PH jangan hanya tahu bercakap, bertelagah, mengejek dan menidakkan sumbangan rejim terdahulu.

Sumbangan selama 60 tahun tetap berbekas dan perlu dihormati, bukannya wajib diruntuhkan walaupun kota Melaka hanya tinggal puing-puingnya. Di atas runtuhan itu, mungkin suatu hari rakyat akan bangkit untuk membina semula tetapi bukan menyokong Kerajaan PH, kembali mempercayai UMNO dan BN. Itu saja kebadutan yang mungkin boleh dilihat dalam ‘politik cetek’ dan ‘strategi badut’ yang dilabelkan ke atas Najib. Sebab Najib berupaya memahami dan mendekati nurani rakyat.

Apatah lagi dalam keghairahan Kerajaan PH ‘membaiki kerosakan’ semakin banyak kerosakan yang berlaku sehingga berkembangnya fenomena bukan Islam menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Apakah ini sesuatu yang terbuka ruangnya atas nama “Malaysia Baharu’? Di manakah ‘kebadutan’ dan ‘badut’ itu lahir dan membesar? Wajarkah persoalan sedemikian dibiarkan dalam siaran komunikasi berbudaya tinggi dan acuan betwixt and between?

Apakah Kerajaan PH sekarang ingin sangat membenarkan sebuah frasa yang dibangkitkan oleh Frederick Nietsche dalam Genealogy of Moral (1956) : Kamu jahat; saya adalah kebalikan dari kamu; oleh sebab itu saya tidak jahat’. Ia bermakna bahawa ukuran bagi sesuatu kebenaran bukan lagi berdasarkan kesepakatan bersama (undang-undang), tetapi berdasarkan selera penguasa!!.

Badut tetap badut! Sujiwo Tejo dan Dr NS Kamba menulis: ..ada tiga spesifikasi yang membentuk karakter setiap permainan, pertama bahawa setiap pemain mempunyai tujuannya sendiri-sendiri berbeda atau bahkan bertentangan dengan tujuan pemain lainnya; kedua bahawa setiap pemain dipaksa untuk bergerak pada poros yang sering kali tidak berkorelasi langsung dengan keuntungan atau kemenangan yang ditargetkan, bahkan terkadang kemenangan yang dicapai malah berubah menjadi kerugian fatal; ini menegaskan adanya unsur spekulasi; ketiga bahawa yang diuntungkan dalam permainan tidak hanya satu pihak. Dan para pihak yang diuntungkan selalu berharap bahawa permainan akan tetap berkelanjutan…

Dalam kaitan ini tampak bahawa permainan bukanlah perbuatan sia-sia melainkan usaha yang sungguh-sungguh….salah satu tujuan Tuhan menjadikan hidup sebagai permainan, yakni menjaga keseimbangan agar tidak bersombong ria jika menang dan tidak berputus asa jika kalah.” (Tuhan Maha Asyik, 2016: 158-159).

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply