BUDAYA POLITIK BILA KALAH: BELUM MAHU BERMUHASABAH SECARA IKHLAS

 

Kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands kerana BN dan PAS dituduh menggunakan isu perkauman. Tewasnya PH di PRK Semenyih ceritanya agak berbeza, tidak lagi ada suara mengecam kekalahan atas isu perkauman.

Ini mungkin disebabkan DAP saperti membisu untuk meraih undi bukan Melayu di PRK Semenyih walaupun sedar undi bukan Melayu juga besar. PH dilaporkan mendapat sokongan padu daripada pengundi-pengundi Cina.

Buat pertama kalinya pemimpin utama PH, terutamanya PPBM dan PKR mengakui kelemahan pentadbirannya menyebabkan pengundi Semenyih menolak walaupun ditawarkan pelbagai projek pembangunan jika memenanginya. Meskipun elit politik berkuasa tidak mengumumkan peruntukan segera dan berjanji akan membina sesuatu yang besar, ada menteri menyatakan mereka mempunyai peruntukan yang banyak untuk membantu penduduk Semenyih.

Seorang menteri yang dikatakan ‘sangat kuat bekerja’ terlupa bahawa pengumuman peruntukan merupakan kesalahan menurut senarai kesalahan peraturan pilihan raya telah melakukannya, yang kemudiannya ditarik balik setelah sedar kesilapannya. Ia saperti ‘malaikat’ saperti pernah dikatakan oleh Dr Mahathir. Bila sedar silap, ‘malaikat’ akan berpatah balik tetapi sayangnya orang yang memberikan label ‘malaikat’ tidak boleh menerima kekalahan calon partinya di Semenyih secara ‘gentlemen’.

Beliau masih mencari salah dan menuding jari dengan menuduh eksploitasi berlebihan terhadap perilaku menghina ‘Nabi Muhammad SAW’ sedangkan bagi umat Islam, penentangan penghinaan sedemikian adalah wajar dilakukan. Bukan seorang yang berbuat demikian, bahkan semakin galak mereka yang ‘bencikan Islam’ secara terbuka menghina dan memperlekehkan kisah perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan seorang ‘kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.’

Itu adalah ukuran universal faham feminisme barat sedangkan dalam masyarakat perkara sedemikian sudah berlaku dan diamalkan di banyak negara. Misalnya, pada suatu ketika beberapa negeri di Amerik Syarikat membenarkan seorang lelaki dewasa berkahwin dengan ‘kanak-kanak perempuan di bawah umur’ sebelum sekatan undang-undang dilakukan. Bahkan di Britain seorang raja pernah berkahwin dengan seorang ‘kanak-kanak’ jika menggunakan penyakatan sedemikian.

Kisah perkahwinan Nabi Muhammad SAW ketika berusia enam tahun dan baginda tinggal bersama setelah Aisyah mencapai umur sembilan tahun bukanlah suatu yang boleh dianggap ‘pelecehan seksual’ sebagaimana persepsi sekarang. Aisyah merupakan wanita yang kedua penting dalam kehidupan Rasullullah SAW selepas Siti Khadijah. Melalui Aisyah, banyak perkara yang kita ketahui mengenai peribadi Rasullullah, termasuk meriwayatkan sebahagian besa hadis-hadis yang kini menjadi pedoman umat Islam.

Kerajaan PH dilihat tidak begitu keras untuk menyekat penghinaan terhadap Islam sebaliknya lebih cepat mempertahankan perkara-perkara yang ada kepentingan politik dan bukan Islam. Situasi tersebut menyebabkan masyarakat mula khuatir dan bertanya, apakah Rahmatal Lil’alamin yang sedang dipromosikan itu hanya untuk ‘mengembirikan umat Islam’ daripada menyuarakan ‘kemarahan’ terhadap bukan Islam atau orang Islam sendiri yang menghina agama.

Setakat ini, Rahmatal Lil’alamin masih bersifat slogan yang merugikan umat Islam. Rahmatal Lil’alamin hanya diberikan penekanan kepada umat Islam untuk mengamalkan budaya hidup yang murni sedangkan bukan Islam tidak dijadikan sasaran bagi memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang berlaku.

Penolakan pengundi Semenyih bukan bermakna pengundi tidak mahukan pembangunan, apa yang menyebabkan mereka menolak PH ialah sikap dan kesombongan sebahagian daripada pemimpin PH sendiri sehingga sanggup menipu dan janji sebelumnya cukup mengecewakan. Ketika PRU ke-14, Semenyih menjadi tawanan politik dan pengaruh PH, tetapi, sebab proses menunaikan janji seolah-olah dipermainkan dengan asakan ‘bukan kitab suci’, pengundi telah menghukum parti itu daripada terus kekal di Semenyih.

Ketika Ilham Center memberikan makluman bahawa gabungan itu akan kalah dan untuk menang perlu ada “formula ajaib”, reaksi balas jelas bukan sahaja tidak menghormati pandangan umum bahkan tidak sanggup menerimanya sebagai “blind spot” untuk diperbetulkan. Sebelumnya Azmin saperti memberikan amaran kepada pengundi Semenyih, jika mahukan lebih banyak pembangunan, mesti tentukan calon PH menang. Pengundi tidak mempedulikan ‘jaminan’ itu kerana ia boleh berubah selepas menang, ia seumpama ‘orang bercinta’.

Azmin sepatutnya tidak melakukan kesilapan yang sama dengan doktrin yang sama pernah dibuat oleh Lim Guan Eng ketika berkempen di Cameron Highlands. Pengundi sedar, mereka sebenarnya hanya diberikan momokan indah kerana euphoria PH sudah bertukar sikap benci dan meluat hanya dalam tempoh yang terlalu singkat. Ia berpunca daripada pengumuman-pengumuman yang saling bercanggah dan gemar menuding jari bila dihadapkan dengan persoalan ‘bilakah akan dilaksanakan’.

Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Azmin mempersendakan usaha Ihlam Center manakala Dr Mahathir turut mempertikaikan dapatan sebuah firma perhubungan awam mengenai tahap keyakinan orang awam terhadap percanggahan pendirian dalam kalangan menteri-menteri dalam kabinet Malaysia Baru.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir saperti marahkan segelintir kalangan ahli kabinet yang cuba menolak amalan kapitalisme dan baginya, golongan itu wajar dibantu serta dijadikan kawan. Apakah ini bakal menjadi petunjuk baharu bahawa Mahathirisme 2.0 akan mengulangi Mahathirisme 1.0 yang berlangsung ketika pentadbirannya selama 22 tahun (1981-2003)?

Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia menjadi pemacu utama Mahathirisme 1.0 sehingga melebarkan kesan kronisme, korupsi dan nepotisme dalam pemerintahan Dr Mahathir hampir kepada autokratik, yang menegur atau mengkritik akan ditekan kalaupun tidak didakwa mengancam “ketenteraman awam” atau dituduh pengacau dan pengkhianat. Mahathir pernah dilabelkan dengan pelbagai istilah, tetapi beliau berjaya mempertahankan kedudukannya kerana menteri-menteri ketika itu lebih bersatu untuk mempertahankannya.

Anwar pernah menjadi mangsa manakala yang lainnya tersingkir dalam politik UMNO. UMNO menjadi sebuah parti yang ditunjangi oleh kelompok korporat manakala kumpulan bukan korporat seolah-olah diketepikan sebab tidak berwang. Konspirasi politik yang dijadikan strategi menentang Dr Mahathir tidak berjaya mencapai matlamatnya, kerana ahli UMNO peringkat akar umbi bersedia menjadi benteng untuk menghalang kemaraan pengaruh Anwar sehinggalah gerakan reformasi hanyalah tertumpu dalam psikik membebaskan Anwar.

Mahathir begitu kuat mencengkam sokongan ahli-ahli UMNO dan setiap ahli UMNO dididik supaya mengutamakan parti berbanding kepentingan peribadi. Hari ini, selepas memperbaharui semangat politiknya, Dr Mahathir masih belum berjaya melontarkan jauh persepsi bahawa kemunculan semula itu sebagai dendam peribadi dan percubaan untuk membina legasi baharu, sekurang-kurangnya menyediakan jalan untuk Mukhriz selepas ini.

Ketika Dr Mahathir menjadi arkitek besar Mahathirisme 1.0, ada seorang ketua bahagian mengeluh tak mampu lagi untuk mempertahankan bahagian yang dipimpinnya atas alasan tiada keupayaan kewangan untuk  “membeli” perwakilan. Muncul seorang tokoh korporat, yang sanggup berbelanja besar dan dengan liciknya membuat pelbagai bentuk penajaan kepada rombongan ahli parti melawat dan melancong.

Ada rombongan lawatan sambil belajar hingga ke Bali ataupun membeli-belah di Bandung. Langkawi juga menjadi destinasi tajaan kerana waktu itu, pulau bebas cukai begitu terkenal untuk golongan wanita memborong corningware, arcopal ataupun set pinggan mangkuk mewah jenama noritake mahupun yang dikenal sebagai china bone. Semakin hampir dengan pemilihan, semakin banyak program tajaan bahkan ketua-ketua cawangan ada peluang untuk melawat ke negara-negara lain asalkan boleh mempengaruhi keputusan pemilihan bahagian.

Ketika itu, Vietnam belum menjadi destinasi “kegilaan berbelanja”. Maka, ada yang memberikan penajaan untuk berbelanja di Phnom Penh sambil melakukan program keinsafan membantu umat Islam di Kg Cham, Kemboja.

Ketika pemilihan peringkat pusat berlangsung, para perwakilan terasa begitu mewah berbelanja dan menginap di hotel-hotel berbintang empat ke atas. Setiapnya bercakap dengan bahasa politik tertentu yang kadangkala kedengaran sombong dan bongkak. Ada ketikanya mencari peluang untuk bertemu dan saling berbincang untuk membuat pemilihan secara ‘undian block’ dan sebagai jaminannya diberikan sedikit ‘sagu hati.’

Mahathir memang licik, menyalahkan politik wang sebagai masalah dalam parti, tetapi, tidak cuba menghapuskannya secara meluas kerana dirinya turut terpalit dengan isu membina kekayaan peribadi, keluarga dan kroni. Politik wang hanya untuk kumpulan bawahan, tetapi bagi peringkat yang lebih tinggi ialah pemberian projek-projek kerajaan  dan lesen  perniagaan berkelas jutaan ringgit.

Itu berlaku ketika dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia menjadi acuan pembinaan negara selepas melupakan kepentingan sektor pertanian dan komoditi utama. Dr Mahathir yang cenderung kepada teknologi dan industrialisasi sanggup mencabar minda rakyat walaupun ada pakar ekonomi melahirkan pandangan projek berkenaan tidak berdaya maju. Salah seorang ahli dalam Majlis Penasihat Kerajaan pernah mengkritik projek kereta nasional, kerana pengeluarannya bukanlah mudah untuk mencapai tahap ‘skala ekonomi’ tetapi Dr Mahathir tetap mempertahankannya sebagai langkah masa depan dan menyelar rakyat yang mengkritik Proton sebagai tidak patriotik.

Kemunculan semula Dr Mahathir masih membawa nilai-nilai MAhathirisme yang dominan apabila tidak pernah lekang menyalahkan orang Melayu kerana terlalu mengharapkan subsidi, malas bekerja bersungguh-sungguh dan mencari untung dalam masa singkat. Atas alasan itu, Dr Mahathir saperti menghidupkan semula ‘jampi politiknya’ dengan alasan yang sama, Melayu belum berubah.

Tetapi kali ini, Dr Mahathir sekali lagi menyalahkan kerajaan terdahulu saperti juga beliau menyalahkan Tunku Abdul Rahman yang tidak serius bekerja dan mentadbir negara. Sikap Tunku itu dianggap sebagai penyebab utama Singapura bukan lagi sebahagian daripada Malaysia. Dr Mahathir sebenarnya begitu ‘sakit hati’ dengan Singapura, dan kini beliau kembali menyerang dengan isu Perjanjian Pembelian Air Mentah II yang akan berakhir pada tahun 2069. Perjanjian Air I sudah berakhir, dan tidak disambung.

Kisah air mentah yang dibeli dengan harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen kembali diungkitkan dan ketika PRK DUN Semenyih, ia turut dilontarkan untuk ‘dibeli’ oleh pengundi bagi menggambarkan kepimpinannya amat serius  mahu mengkaji semula. Ia bukan sesuatu yang boleh memancing sokongan pengundi DUN Semenyih, kerana penduduk di situ lebih pentingkan kehidupan mereka menjadi lebih baik. Persoalan harga air yang dijual kepada Singapura itu hanyalah ‘bargaining power’ yang akan digunakan oleh Dr Mahathir untuk menekan Singapura.

Hal tersebut mungkin menjadi strategi Mahathirisme 2.0 untuk menekan Singapura agar tidak menekan Kerajaan PH atas tindakan membatalkan HSR. Ironinya, jika Singapura dijadikan sasaran, pelabur-pelabur dari Singapura dibenarkan membeli aset-aset yang besar di Malaysia, dan ketika ini tersebar dengan isu penjualan Hotel Royale Chulan dengan harga RM 197 juta. Meskipun Menteri Pertahanan mengatakan ia ‘belum muktamad’, rakyat sudah ternampak ‘kelentong’nya kerana sudah ada surat setuju terima dan deposit pembelian sekitar 2 peratus. Ia masih belum selesai, tetapi, ia dalam proses penyelesaiannya kerana bayaran sebanyak 98 peratus belum dilunaskan.

Dalam Mahathirisme 1.0, banyak aset-aset kerajaan dipindahkan kepada individu dengan alasan, pengurusannya lebih cekap maka kerajaan peroleh cukai yang besar. Begitu juga dengan Mahathirisme 2.0, aset-aset yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan mula dipindahkan ke SPV manakala pegangan Khazanah dalam pelbagai syarikat, mula dijual kepada pelabur, termasuklah penjualan saham dalam sebuah bank di Filipina, pegangan dalam salah satu perusahaan telekomunikasi Axiata, dan kini sedang dalam proses penjualan bangunan milik FELDA. Alasannya, kerajaan memerlukan wang untuk membayar hutang dan terbaharu, Kerajaan PH membayar kadar faedah sebanyak RM 200 juta bagi setiap enam bulan akibat kerajaan terdahulu meminjam untuk melaksanakan projek ECRL.

Malaysia mempunyai hutang yang besar, tetapi, ketika melahirkan manifesto, tidak pula difikirkan kemampuan untuk melaksanakannya. Manifesto yang dianggap sebagai pendekatan populis itu akhirnya menjadi ‘senjata’ menikam Kerajaan PH. Keputusan PRK DUN Semenyih jelas membuktikan senjata itu sedang menikam, bahkan ia tidak lagi boleh menggunakan alasan kerjasama PAS dan UMNO lah sebagai punca kekalahan calon PH.

PH perlu realistic dan berfikir secara yang lebih saksama kerana rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan. Rakyat semakin celik dengan angka-angka rasmi yang dikeluarkan oleh  Bank Negara mahupun Laporan Kementerian Kewangan, mereka boleh menelitinya. Rakyat boleh membanding dan mula bertanya, bagaimana boleh berjanji dan memberikan alasan, tidak tahu bahawa ‘kerosakan lebih teruk’ dan ‘diluar dari apa yang difikirkan’? Itu hanya alasan untuk tidak mahu berfikir dan berusaha mencari penyelesaian, termasuklah penyelesaian ‘bodoh’ untuk menggantikan tanaman kelapa sawit dengan buluh, hanya kerana tidak kreatif dan inovatif berhadapan dengan kempen memburuk-burukkan minyak kelapa sawit.

Selagi Kerajaan PH gagal menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan golongan bawahan dan pertengahan, hanya memudahkan kapitalisme mengeksploitasi ekonomi, harapan untuk meneruskan kesinambungan kuasa politik untuk tempoh yang lama menjadi semakin mengecil. Rakyat semakin kuat bersuara, kerana Kerajaan PH sudah diberikan nama lain sebagai Pakatan Hancing, menipu dan berbohong.

Selagi beberapa orang menteri dan timbalan menteri yang dipersoalkan integriti akibat ijazah palsu, lemah berfikir dan hanya mementingkan sekelompok manusia, mempersendakan ‘kehendak rakyat’ maka selagi itulah rakyat akan membalasnya dengan menolak untuk menyokong PH. Ia mungkin akan berterusan sekali lagi dalam PRK DUN Rantau, dan tentunya Anwar sedang gelisah untuk memikirkannya kerana ia menjadi ujian pertama untuknya selaku Presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson.

PH bukan sahaja perlu bermuhasabah, bahkan wajib melakukan perubahan kepimpinan agar ia kembali dilihat segar dan mampu berkhidmat untuk rakyat, bukan sekadar mengisi tampok kuasa dan terlena dalam ‘ejekan’ BN yang korup dan salah guna kuasa. Dr Mahathir sebenarnya sedang berperang dengan ‘bayangan Mahathirisme 1.0’ dan diperangkapkan pula dengan Mahathirisme 2.0, yang bagi orang Melayu tetap merugikan kerana sanggup berkongsi kuasa dengan sebuah parti yang pernah dilabelkan rasis dan anti Melayu. Rakyat sukar percaya, DAP sudah berubah, kerana tindakan mereka jelas masih sama dan tegar dengan Malaysian Malaysia.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply