BUDAYA SYOK SENDIRI: ‘KAMBING JANTAN’ YANG MENGEMBEK!

 

Selepas membaca tulisan XIFU NASER ‘budaya syok sendiri YadimSinar Harian, 7 Mei 2019 fikiran saya teringat kepada gelagat ‘seekor kambing jantan’ yang mengembek ketika mendekati ‘seekor kambing betina’. Apa yang akan berlaku selepasnya, saya tidak dapat menduga dengan tepat, ia boleh memungkinkan dua situasi yang berbeza.

Situasi pertama, ‘kambing betina’ tidak akan membenarkan dirinya dihampiri ‘kambing jantan’ yang ‘semakin bersemangat’. Jika keadaan itu berlaku, ‘kambing jantan’ kempunan dan jalan ‘menonong’ sendirian kerana ‘hajatnya tidak kesampaian’.

Situasi kedua, ‘kambing jantan’ berjaya menguasai ‘kambing betina’. Bau hamis ‘kambing jantan’ boleh ditoleransikan oleh ‘kambing betina’. Akhirnya mungkin ‘kambing jantan’ akan puas sendirian tetapi mungkin ‘kambing betina’ merasakan ‘kambing jantan’ itu tidaklah sehebat mana.  ‘Kambing betina’ akan mencari ‘kambing jantan’ yang lain.

Mungkin bukan jenis hanya tahu ‘mengembek’ tetapi kuat ‘menyondol’. Bererti, ‘kambing jantan’ yang mempunyai baka dan genetik yang hebat, yang boleh menghasilkan pengembangan yang menggalakkan. Sebab itulah harga baka ‘kambing jantan’ yang hebat adalah mahal berbanding ‘kambing jantan’ yang suka mengembek.

terlalu lama tidur’

Tulisan XIFU NASER belum mencapai ‘tahap kepuasan bersama’ walaupun dirinya sudah bergelora untuk memperbetulkan YADIM yang dilihatnya ‘terlalu lama tidur’ dan kini baharu sedar (tetapi masih mamai) selepas kepimpinan badan dakwah itu bertukar.

xifu naser

Meskipun beliau telah diwatikahkan sebagai salah seorang daripada 30 pasukan pemikir pada 3 Mei 2019, ia belum bererti dirinya diterima oleh keseluruhan tenaga penggerak YADIM. Mereka inilah yang akan menjadi ‘jentera’ untuk melaksanakan apa yang difikirkan. Tetapi mampukan beliau ‘menggerakkan jentera’ itu dalam keadaan ‘kuat mengembek’?

Setakat ini XIFU NASER boleh dikategorikan masih ‘syok sendiri’ dengan idealisme dan sinkretisme pemikiran sendiri. Apa yang dianggapnya baik dan berkesan untuk membawa YADIM ke tahap yang dianggap  menarik dan memenuhi fungsi  saperti kejayaan Huawei menguasai pasaran telefon bimbit belum terbukti, belum diterjemahkan secara jelas, hanya sekadar memperlekehkan apa yang dilakukan oleh pengurusan YADIM terdahulu.

YADIM bukanlah sebuah organisasi dakwah yang lahir menerusi semangat seseorang dan dipimpin oleh seseorang. YADIM ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaraskan aktiviti dakwah dengan matlamat membina jaringan dan kerjasama pelbagai pihak (organisasi dakwah) dalam dan luar negara.

Tentunya, untuk memasyarakatkan badan-badan dakwah bukan satu perkara mudah, ia ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tidak bertaburan. Tepung tetap bercantum walaupun rambut sudah ditarik keluar.

‘riuh sekampong’ 

Ia berbeza dengan badan-badan dakwah yang berdiri sendiri tanpa bernaung di bawah birokrasi kerajaan. Mereka boleh ‘riuh sekampong walaupun bertelur hanya sebiji’, sedangkan YADIM bergerak dengan ‘sebelah kaki diikat’ dan perlu memperoleh kelulusan terlebih dahulu kerana biayanya ditanggung oleh kerajaan. Tertakluk kepada peraturan dan keputusan dasar kerajaan.

YADIM perlu bergerak sederap dengan misi dan visi kerajaan, setiap derap langkahnya perlu diberitahu kepada Perdana Menteri. Sekiranya Perdana Menteri tidak mengizinkan kaedah ‘hard selling’ maka YADIM perlu akur. Inilah perbezaan yang nyata.

Badan-badan dakwah yang ditubuhkan oleh individu mahupun kumpulan tertentu tidak terikat dengan budaya birokrasi kerajaan, mereka bergerak atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), boleh bersuara lantang dan mengaum saperti ‘harimau’. YADIM perlu memikirkan apakah kesannya kepada situasi masyarakat Malaysia yang berbilang budaya, agama dan etnik.

Misalnya, NGO boleh dengan agresifnya mengambil pendirian menolak ICERD dan Statut Rom, kerana ia tidak mencerminkan pendirian kerajaan. YADIM boleh menyatakan pandangannya, tetapi bukan secara terbuka, perlu memberikan ulasan kepada kerajaan.

Hanya membekalkan input untuk membolehkan kerajaan memformulasi atau mengubah dasar. Keputusan akhir ialah keputusan konsensus atas kapasiti persetujuan kabinet yang mewakili kerajaan atau perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan atau pertimbangan.

‘soft selling’

Sebab itu YADIM lebih mengutamakan pendekatan ‘soft selling’ dalam apa sahaja isu berkaitan dengan Islam dan merespon apa yang disuarakan oleh NGO ataupun penganut agama lain. Misalnya isu kedudukan institusi-institusi Islam yang dianggap ‘tidak berperlembagaan’ di peringkat persekutuan, kuasa mentadbir dan menguruskan hal ehwal Islam adalah di bawah kuasa Raja atau Sultan.

Sebagai badan penyelarasan dakwah, YADIM berusaha untuk bergerak dan bekerjasama dengan pelbagai organisasi dakwah (yang bersifat institusi ataupun perseorangan yang dikenali sebagai pendakwah bebas). Dalam keadaan itu, YADIM tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mewajibkan setiap badan dakwah bernaung dibawahnya. Atas prinsip tersebut, YADIM berusaha mendekatkan diri dengan aktivis dan badan dakwah secara berhemah.

Mungkin kerana pendekatannya dianggap perlahan dan dalam jejak yang lemah lembut itulah sebagai ‘tidur nyenyak’ oleh XIFU NASER. Beliau mahukan pengurusan YADIM terkini lebih agresif, termasuklah mengheret sama badan-badan dakwah yang dianggap kurang sebulu dengan pendekatan Malaysia Baharu. Apakah tindakan tersebut sesuatu yang dibenarkan oleh peraturan dan manhaj YADIM?

‘bertukar kulit’

YADIM bukanlah sebahagian daripada JAKIM. Tidak usah membayangkan ‘yang bukan-bukan’ masuklah ke ‘dalam kandang’ dan belajarlah memahami terlebih dahulu. Bila sudah faham, ‘mengembek’lah sekuat-kuatnya asal tidak mengganggu orang lain dan baunya tidaklah terlalu ‘hamis’.

Kritikan XIFU NASER itu membawa keinginan baharu masyarakat awam untuk melihat apakah barisan kepimpinan YADIM bukan hanya sekadar ‘bertukar kulit’. Orang ramai bersedia dan sedang mendengar apakah pendekatannya telah bertukar?

Apakah YADIM sudah ikut rentak ‘mengembek’ atau  menyamai badan-badan dakwah yang dikendalikan oleh NGO?. Jika dalam regim kepimpinan Malaysia Baharu tetap dengan paluan rebana retorik dengan istilah terlalu kearaban, nilainya akan terperosok lebih rendah daripada era Malaysia Lama yang dikatakan ‘syok sendiri’.

Syok sendiri masih ada keseronokan. Ia bukan sesuatu yang boleh dianggap ‘bebanan jiwa’ pada tahap yang memerlukan rawatan psikitiari. Setakat ini, apa yang ditaglinekan sebagai ‘ibadah ta’aamuliyyah’ belum diterjemahkan secara komprehensif.

Sebelum ini, YADIM tetap melaksanakan tanggungjawab tersebut menerusi pelbagai aktivitinya, termasuk penerbitan bahan-bahan bacaan saperti buku, majalah dan risalah. Belum kedengaran ada bahan-bahan tersebut cenderung kepada perkara yang dianggap bukan ‘ibadah ta’aamuliyah’ walaupun tidak dikembangkan sebagai satu bentuk wasilah yang nyata.

Dalam period peralihan kuasa misalnya, ketegangan ke atas agama menjadi semakin merebak sehingga dalam tempoh seminggu lebih 10,000 aduan menghina dan memperlekehkan Islam telah diterima. Ia menjadi rekod yang amat bersejarah bagi Malaysia Baharu dan kerana itu, kepimpinan YADIM yang berada dalam stigma Malaysia Baharu perlu menerimanya sebagai kegagalan yang jelas.

Rahmatal Lil’Alamin

b31831ff-47ea-40a4-9b1f-1d19f018461e

Sebab YADIM tidak memainkan peranan yang mencukupi untuk memupuk semangat saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat beragama, terutama dalam tempoh peralihan ini.

Inilah cabaran yang wajib dihadapi oleh YADIM dalam kerangka Malaysia Baharu walaupun Rahmatal Lil’alamin menjadi asas Islamisasi yang baharu. Konsep Rahmatal Lil’Alamin belum memasuki budaya hidup masyarakat Malaysia secara keseluruhannnya. Ia masih dianggap bersifat retorik.

Mekanisme untuk menyedarkan masyarakat bukan Islam belum diaktualisasikan dengan jelas, dan berdasarkan laporan semasa, aktivitinya lebih berfokuskan kepada masyarakat Islam. Masih cenderung dengan pendekatan least resistance group. Masih menjengok ke dalam institusi-institusi yang dikawal oleh kerajaan, yang kemudiannya dianggap dapat membantu sebagai ‘penyambung’ atau penggerak utama.

YADIM sendiri belum membina ‘tenaga dalaman’ untuk ‘bertarung’ di gelanggang terbuka dan dalam silang budaya atau agama. Tidak semua kakitangan YADIM mampu walaupun mereka dianggap frontliners. Sebahagian besar kakitangan YADIM dilatih untuk melaksanakan aksi komunikasi dalam bidang diskusi ataupun ceramah yang lebih bersifat sepihak dan tidak terlalu interaktif.

Itu adalah keperluan dan pendekatan yang sesuai ketika itu. Ia saperti budaya pendidikan yang berbentuk teacher centric, berpaksikan papan hitam dan kapur. Kini metod itu sudah berubah, peranan guru adalah sebagai fasilitator dan pembelajaran menuju arah student centric. Aktiviti pembelajaran menjadi semakin interaktif, bukan lagi guru asyik menulis di papan hitam dan murid menyalinnya.

Guru terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya generasi milineum yang dipanggil digital natives manakala sebahagian guru pula merupakan digital immigrants. Begitu juga dengan sebahagian penjawat awam secara umumnya, mereka masih kekal dengan kebiasaan-kebiasaan sebelum boleh dipaksa untuk memasuki Malaysia Baharu. Mereka perlu diberikan peluang dan diajak sama, dengan syarat pihak yang memimpin berdamping baik dan bukan melihatnya sebagai musuh dan beban pengurusan lama.

large volume error’

Sebagai seorang ahli pemikir, tentunya XIFU NASER mempunyai daya fikir yang hebat dan mampu menterjemahkan Rahmatal Lil’alamin dalam konsep yang menepati ruang lingkup kehidupan yang lebih besar dan boleh diterima oleh bukan Islam. Ia menjadi cabaran yang perlu dihadapi dengan kekuatan iltizam para pemikir yang membarisi kelompok NUIM-YADIM agar ia tidak lagi bersifat large volume error sebagaimana dikritik oleh XIFU NASER terhadap program-program dakwah dalam era kepimpinan lama sebagai ‘touch-n-go’.

Apa pun, kalau memasuki lebuh raya, anda wajib mempunyai kad ‘touch-n-go’ .Kalaupun tidak memiliki smartag ataupun RFID. Sebagai seorang pemikir, tidak semua boleh berfikir di luar kotak. Ada ketikanya kotak tetap diperlukan. Kotak mungkin menjadi acuan atau etos kerja yang lebih baik. Ia tidak melanggar atau menabrak sempadan orang lain.

Tun Daim ketika ini meminta agar menteri-menteri dalam era Malaysia Baharu berhenti saling menyalahkan, sebaliknya sentiasa berkolaborasi demi memanifestasikan pelaksanaan manifesto jika mahu diterima oleh rakyat. Apakah yang kita dapat pelajari daripada nasihat seorang tokoh yang berpengalaman dalam pengurusan ekonomi negara dan diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk menjadi perunding dan mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan itu?

‘menang-kalah

Lebih membingungkan apabila XIFU NASER melihat dialog antara agama itu sebagai satu pengakhiran yang akan menentukan ‘menang-kalah’ walhal makna sebenar ialah untuk menjernihkan kekusutan dan jurang komunikasi mengenai keyakinan beragama dalam masyarakat yang berbeza kepercayaan dan amalan beragama. Dialog antara agama tidak akan menemukan siapa pemenang, kerana ia berusaha meluruskan kekusutan akibat salah faham dan kekeliruan yang timbul, terutamanya masalah pembentukan masyarakat harmoni dalam kepelbagaian.

Jika dialog antara agama berakhir dengan ‘menang kalah’, ia tidak akan menghadirkan kesepaduan sosial kerana masing-masing tetap dengan pendirian dan pandangan primordial masing-masing. Apakah perbezaan ini menyebabkan XIFU NASER cenderung untuk mewajarkan sinkretisme muncul dalam acuan pemikiran dan pendekatan baharu YADIM?

Apakah XIFU NASER sudah terlupa dengan apa yang disarankan agar ‘tidak membuka fakta-fakta aib agama lain’ ? Dengan membuka atau berbahas ‘fakta-fakta aib’ itu akan menyebabkan konflik perkauman dan agama akan menjadi lebih serius, maka agama akan menyebabkan lebih banyak bencana akan muncul. Sedangkan Islam berusaha untuk tidak menimbulkan bencana aakibat perbezaan teologi sebagaimana terkandung dalam frasa ‘tidak ada paksaan dalam beragama’ bagi bukan Islam.

Dialog antara agama tidak menjurus kepada ‘pertukaran agama’. Dialog agama bukanlah perdebatan yang menyaksikan dua pihak bertelingkah tanpa penghujungnya. Dialog antara agama berlangsung dalam suasana harmoni, tidak memperlekehkan kepercayaan dan keyakinan penganut agama lain walaupun secara asasnya dilihat tidak lojik dan rasional. Ada perkara-perkara yang dilarang untuk didialogkan, terutama mengenai hal yang dinamakan tauhid dalam Islam.

Inilah sepatutnya dikembangkan oleh YADIM dibawah kumpulan pemikir yang ramai. Kumpulan pemikir seharusnya bergerak dalam situasi yang tidak menyakitkan ‘hati dan perasaan’ orang lain, bukan bersifat mampu bermonopoli. Huawei pun tak mampu menjadikan telefon bimbitnya sebagai kuasa monopoli, kerana tidak semua pengguna menyukainya walaupun dilengkapkan teknologi pelbagai kamera berkantakan jenama Leica.

modal intelektual’

Mungkin Huawei boleh memimpin pasaran, tetapi tidak boleh memonopoli pasaran. Ketika Huawei muncul sebagai pencabar kepada jenama telefon bimbit yang terdahulu, muncul pula keinginan untuk menyekat penguasaannya dengan mendakwa terdapat perisian mengintip dalam setiap telefon bimbitnya. Itulah realiti dalam persaingan.

Sebab itulah ramai di antara pemikir yang memasuki bidang ‘modal intelektual’ mengesyorkan kolaborasi antara seberapa banyak pengeluarnya. Kolaborasi memungkinkan perkongsian teknologi yang menguntungkan setiap pemainnya. Dengan kaedah bersaing, ia mencipta permusuhan atau diistilah oleh Renée Mauborgne dan W. Chan Kim sebagai ‘lautan merah’.

Strategi ‘lautan merah’ membawa kepada pertumpahan darah atau penghinaan terhadap pesaing manakala ‘lautan biru’ mencipta situasi menang-menang. Inilah hakikat kehidupan pluralistik yang hadir dalam dunia nyata, untuk saling berkenal-kenalan dan saling menghormati, bukannya saling bersaing dan bermusuh.

Sebagai manusia, kita wajar memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berusaha untuk memimpin dan melaksanakan kebaikan sebelum kita menggantikan mereka. Sebagai pengganti, kita wajar memperbaiki kelemahan-kelemahan berdasarkan acuan dan suasana semasa, bukannya mengherdik, mencela dan menghukum mereka kerana apa yang dilakukan pada masanya sudah ‘obselete’.

Kita dipertanggungjawabkan semasa kita memimpin; mereka yang melakukan sebelumnya telah melaksanakan dengan sebaik-baiknya berdasarkan kemungkinan pada zamannya. Sebab itu dalam banyak perkara, kayu ukur sentiasa berbeza kerana pemikiran manusia berubah menurut perkembangan zamannya. Kepimpinan YADIM terdahulu berjaya melaksanakan peranannya berdasarkan apa yang dipertanggungjawabkan dan tentunya, tanggungjawab kepimpinan dalam Malaysia Baharu adalah berbeza sebabnya, janji untuk melakukan transformasi begitu indah sebelum mendapat kuasa.

membangkitkan semula euphoria

Kini, orang ramai sedang memerhatikan dengan rasa mual setelah memudarnya euphoria kemenangan PH. Kepimpinan YADIM sekarang perlu membangkitkan semula euphoria itu agar ia tidak akan ‘disembelihkan’ oleh masyarakat Islam sebagai ‘melangsungkan agenda politik bukan Islam’ yang tidak pernah terhenti mengasak dan menginjakkan keyakinan umat Islam menerusi pelbagai jarum strategi yang halus, kasar dan kelingking sentiasa berkait.

Jangan akhirnya seekor kambing hitam terus mengembek selepas kambing betina tidak mengizinkan dirinya didekati. Dalam masyarakat binatang, jenis kelamin betina mempunyai hak untuk menentukan kambing jantan manakah yang disukainya. Kalau si kambing hitam terus memaksa, akhirnya kecewa akan hadir ditendang oleh si kambing betina, walaupun kambing hitam itu macho dan sado.

Ingatlah kisah si gembala kambing. Ketika kali pertama menipu ada harimau, banyak yang datang membantu. Bila hari-hari menipu, tidak ada lagi yang bersimpati untuk membantu walaupun pada hari berkenaan memang betul ada harimau muncul. Jeritan yang kuat tidak lagi laku dan berjaya menarik simpati kerana tetap dianggap ‘menipu’ dan ‘memanipulasi’.

Muhd Irfan Iskandar

 

 

.

 

No Comments

    Leave a reply