Soal hukum dan fatwa dalam konteks ini bukanlah boleh dipermain-mainkan seperti kita menghukum dalam urusan dunia yang tidak mempunyai kaitan dengan hukuman berat dan mempunyai implikasi balasan di akhirat sama ada masuk syurga atau masuk neraka.

Sekarang ini isu ini nampaknya menjadi isu dan hak mutlak kumpulan dan golongan masyarakat tempatan sendiri yang menentukan konsep dan corak perjuangan dan pembunuhan yang dilakukan sesama Islam, siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Ketika dua kumpulan Islam mengangkat senjata dan berbalas tembakan untuk membunuh ‘musuh’ masing-masing, kedua-dua kumpulan ini akan berteriak “Allahuakbar” ketika berjaya membunuh ‘musuh’ malah semua pihak akan mengangkat bendera yang bertulis kalimah suci, dan menghalalkan darah lawan mereka.

Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia. Semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT diakui oleh umat Islam sebagai Utusan-Nya. Malah kehadiran manusia kepelbagaian agama juga merupakan kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.

Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah menjelaskan tentang kehidupan bersama secara aman dan adil ketika tidak wujudnya sebarang permusuhan di antara kedua belah pihak, iaitu ketika Allah SWT menjelaskan bahawa: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.”

Namun begitu di dalam ayat yang seterusnya barulah Allah menerangkan bahawa: “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat kepada orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Dua perkara yang memberikan justifikasi supaya orang Islam tidak seharusnya berteman rapat dan berlaku adil kepada orang lain adalah ketika mereka itu memusuhi orang Islam kerana agamanya, dan mengusir orang Islam dari kampung halaman dan negaranya secara yang zalim, sama ada dengan bertindak secara bersendirian atau berkomplot dengan musuh Islam untuk merampas rumah tangga dan negara orang Islam sendiri.

Hal yang sama diterangkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Haj ayat 39 yang menjelaskan bilakah orang Islam boleh menentang kekerasan musuh secara berperang, yang bermaksud: “Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan. Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman tanpa mempunyai alasan yang benar, namun semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah”.

Amat berbahaya sekiranya kita membawa mesej kepada anak-anak muda bahawa pertempuran berdarah dan maut di negara Islam di Asia Barat atau di negara lain juga, sebagai jihad yang membawa kepada syahid dan syurga, seperti yang juga diberikan oleh sesetengah komen di media sosial di negara ini sendiri tanpa usul periksa dan ilmu yang mendalam.

Komen-komen yang berbentuk fatwa ini tidaklah seharusnya secara sewenang-sewenangnya dikeluarkan oleh mana-mana individu atau kumpulan yang tidak bersandarkan dalil yang tepat mengikut ajaran Islam, malah hanya berdasarkan politik sempit atau mazhab dan aliran lain, bukan kerana perjuangan Islam yang sebenarnya.

Bukan semua orang boleh jadi mufti. Isu besar begini memerlukan kajian dan penyelidikan yang teliti, ilmiah dan fakta serta data yang sebaik-baiknya.

Oleh DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM 

ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).