Bukti Jamal Khashoggi dibunuh dijumpai di pejabat konsulat

STANBUL, 8 Safar 1440H, Rabu – Polis Turki dilaporkan menjumpai bukti yang menunjukkan wartawan dan penulis, Jamal Khashoggi dibunuh di dalam bangunan Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di sini, tetapi enggan mendedahkan secara lengkap, lapor Associated Press (AP).

Bukti itu dijumpai ketika pemeriksaan dan siasatan dilakukan di pejabat konsulat berkenaan selama sembilan jam, kelmarin, walaupun sebelum itu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata pasukan operasi khas Arab Saudi menutup semua bukti penting di konsulat terbabit.

Pada masa sama media melaporkan Konsul Besar Arab Saudi ke Istanbul, Mohammad al-Otaibi, telah meninggalkan Turki. Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah perkara biasa atau beliau diisytiharkan sebagai persona non grata oleh Turki.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, polis juga akan melakukan siasatan di kediaman rasmi konsul besar, selain beberapa kenderaan diplomatik Arab Saudi.

Erdogan memberitahu media di Parlimen negara itu kemungkinan bahagian tertentu di pejabat konsulat Arab Saudi dicat semula.“Siasatan menjurus kepada banyak perkara termasuk bahan toksik dan sesetengah benda yang disembunyikan dengan dicat semula,” katanya.

Arab Saudi kini berdepan tekanan diplomatik dan politik, supaya menyatakan apa sebenarnya yang berlaku terhadap Jamal yang juga kolumnis akhbar Washington Post, selepas tidak keluar dari bangunan konsulat itu pada 2 Oktober lalu.

Semalam, CNN melaporkan Riyadh sedang menyediakan laporan untuk mengakui wartawan, Jamal terbunuh tatkala soal siasat di dalam pejabat konsulat Arab Saudi di sini menjadi buruk.

Pihak berkuasa Turki sebelum ini, berkata mereka percaya 15 warga Arab Saudi yang tiba di Istanbul pada 2 Oktober lalu ada kaitan dengan kehilangan Jamal dan kemungkinan beliau dibunuh. Sesetengah daripada mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan kerajaan Arab Saudi.

Turki juga mendakwa mempunyai video dan audio berkaitan soal siasat itu yang berakhir dengan kematian Jamal. – Agensi

No Comments

    Leave a reply