Salah seorang sahabat bertanya: “Apakah kerana kami (kaum muslimin) ketika itu sedikit?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak! Bahkan kalian waktu itu sangat banyak jumlahnya. Tetapi kalian bagaikan buih di atas lautan (yang terumbang-ambing). (Ketika itu) Allah telah mencabut rasa takut kepadamu dari hati musuh-musuh kalian dan Allah telah meletakkan di dalam hati kalian ‘wahn’”.

Secara jujur cubalah bertanya kepada diri kita, tidakkah ketika ini umat Islam di Malaysia berada dalam kedudukan tersebut walaupun jumlah mereka ramai? Tidakkah ketika ini umat Islam dilihat bagaimana buih di lautan sahaja, banyak tidak mendatangkan apa-apa kesan? Tidakkah ketika ini kita dipecahbelahkan kerana berbeza ideologi?

Tidakkah ketika ini, walaupun jumlah orang Melayu dan umat Islam ramai tetapi perasaan gerun atau hormat pihak lain kepada mereka sudah semakin terhakis sehingga kita lihat wujudnya keberanian luar biasa untuk menggugat apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan terbaharu umat Islam dicabar kesabaran mereka dengan isu ratifikasi ICERD.

Soalnya, adakah umat Islam akan terus diam? Adakah umat Islam sekadar mahu menjadi bagaikan buih di lautan terumbang-ambing dan takut untuk bersuara semata-mata mahu menjaga kepentingan duniawi?

Sesungguhnya umat Islam tidak boleh lagi hanya memerhati, usaha meratifikasikan ICERD harus ditentang habis-habisan. Bermula dengan demonstrasi di masjid-masjid selepas solat Jumaat hari ini, ia harus diteruskan dengan menyertai Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak, esok.

Bangunlah! Bangkitlah! Marilah bersama-sama menunjukkan solidariti dan kekuatan kita bahawa umat Islam bukan buih di lautan yang boleh dipinggirkan begitu sahaja dan mereka juga bukanlah ‘makanan’ yang boleh dikerumuni ramai-ramai.

Ya! Memang benar, umat Islam kita berpecah belah dan lemah dari segi kuasa politik, tetapi dalam soal ICERD, kita telah membuktikan umat Islam boleh bersatu, namun ia bukan sekadar melalui kenyataan tetapi juga tindakan. Bukan bertujuan mencetuskan huru-hara apatah lagi menggugat ketenteraman sebaliknya melalui perhimpunan aman.

Kalaulah ribuan pihak lain boleh dibenarkan turun ke jalanan mengadakan demonstrasi bagi menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil, apakah orang Melayu tiada hak melakukan perkara sama demi kepentingan mereka dan agama Islam?

Kita sudah bosan melihat tindak tanduk sesetengah pihak dan individu yang semakin ‘naik tocang’ dan cuba menunjukkan kekuatan mereka selepas apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Melihat orang Melayu berpecah belah, mereka seolah-olah berpendapat ini waktu terbaik untuk melaksanakan agenda halus mereka tanpa mempedulikan perasaan umat Islam. Mereka bersikap demikian kerana tahu, orang Melayu berpecah belah dan ada antara dalam kalangan orang Melayu terpaksa bersekongkol dengan mereka untuk mendapat kuasa politik.

Tidak mengapa untuk mengadakan kerjasama politik demi membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat, tetapi janganlah kerana merasa diri sudah kuat, maka mula satu demi satu agenda yang dianggap pelik mahu dilaksanakan. Kesabaran umat Islam ada batasnya.

Oleh itu, dalam berhadapan isu ratifikasi ICERD, umat Islam perlu mengetepikan perbezaan sesama mereka. Ini adalah perkara serius dan satu usaha menceroboh terhadap hak-hak istimewa orang Melayu seperti mana sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru umat Islam tidak boleh membiarkan ia berlaku. Jangan biarkan pihak-pihak tertentu mahu melunaskan agenda mereka dengan mencanangkan soal keadilan dan kesamarataan. Dalam keadaan sekarang umat Islam tidak mempunyai pilihan. Mereka mesti bersatu. Kalau ada seorang dua yang masih mahu ‘melutut’ kepada pihak lain dengan menganggap ratifikasi ICERD tidak akan menjejaskan Islam dan orang Melayu, biarlah sahaja mereka dengan kisah dongeng tersebut.

Tetapi majoriti umat Islam lain perlu bersama-sama bangkit untuk memberi mesej yang jelas kepada golongan tertentu supaya jangan melampaui batas dalam membuat tindakan atau tuntutan. Buktikan bahawa umat Islam masih ada maruah dan kekuatan untuk bersatu demi memperjuangkan kepentingan mereka dan mempertahankan kesucian Islam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah: “Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! Ketika umat Islam jatuh dan menjadi lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela nasib mereka. Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat Islam. Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya.’’