BUNG KARNO, PANCASILA DAN AHOK

Oleh: Amin Fadlillah

 

“Malam itu aku menggali, menggali dalam ingatanku, menggali dalam ciptaanku, menggali dalam khayalku, apa yang terpendam dalam bumi Indonesia ini, agar supaya hasil daripada penggalian itu dapat dipakainya sebagai dasar daripada negara Indonesia merdeka yang akan datang. Sudah terbukti, bahwa Pancasila yang saya gali dan saya persembahkan kepada rakyat Indonesia, bahwa Pancasila itu benar-benar dasar yang dinamis, sebagai satu dasar yang benar-benar dapat menghimpun segenap tenaga rakyat Indonesia atau satu dasar yang benar-benar bisa mempersatukan rakyat Indonesia itu untuk bukan saja mencetuskan revolusi  tetapi juga mengakhiri revolusi ini dengan hasil yang baik. Maka aku adalah sebenarnya, utusan (atau) wakil daripada revolusi Indonesia. Revolusi Indonesia itu bukan revolusi Soekarno tetapi revolusi rakyat Indonesia daripada Sabang sampai Merauke.” (Pidato Soekarno pada 1 Jun 1945).

Pada 1 Jun 2017, kerajaan Indonesia menetapkan secara rasmi sebagai hari Pancasila. Peristiwa pertama kalinya yang diraikan oleh seluruh rakyat republik itu dengan pelbagai ekspresi seperti upacara rasmi kenegaraan daripada peringkat kebangsaan hingga di daerah, seminar, menyalakan lilin pada malam hari hingga membubuhkan tanda tangan jutaan rakyat sebagai bentuk penegasan Pancasila sebagai ideologi negara.

Sebagai negara dengan komposisi rakyatnya yang amat rencam, Pancasilalah yang memainkan peranan sebagai perekat dan pemersatu beragam agama, bangsa, suku dan budaya sepertimana yang diucapkan oleh Soekarno dalam ucapannya di atas.

Peringatan hari Pancasila itu menjadi amat penting di tengah semaraknya isu polarisasi agama dan sentimen berpuak-puak pasca Pilihan Kepala Daerah (pilkada) Jakarta. Ujaran kebencian antara kelompok semakin membuak-buak sehingga mereka lupa bahawa selama ini mereka dipersatukan di bawah bumbung yang sama yang bernama Pancasila. Pada masa yang sama, Pancasila dikepung dengan ideologi transnasional dan pelampau agama yang hendak mengganti asas dan perlembagaan negara dengan sistem khilafah yang khilaf itu.

Dari segi sejarahnya, kelahiran Pancasila merupakan jalan tengah antara pihak yang menginginkan bentuk dan ideologi negara berasaskan Islam dan negara sekular. Menjelang merdeka pada tahun 1945, Indonesia di ambang perpecahan berikutan dua komponen bangsa yang berkukuh menghendaki masing-masing ideologinya dijadikan teras negara dalam mesyuarat-mesyuarat persiapan kemerdekaan.

B.J. Boland dalam karyanya The Struggle of Islam in Indonesia merakam perdebatan sengit antara dua golongan yang memakan berbulan-bulan dalam mesyuarat merumuskan bentuk dan perlembagaan negara. Mesyuarat hampir terbantut (deadlock) dan kemerdekaan terancam melayang akibat pertelingkahan sesama anak bangsa.

Sehingga Soekarno akhirnya turun campur dan memujuk masing-masing pihak untuk mengenepikan ego mereka demi kepentingan yang lebih besar iaitu keutuhan bangsa dan kemerdekaan negara. Akhirnya, kumpulan Islam dan kumpulan sekular bersetuju dengan gagasan Pancasila yang ditawarkan Soekarno sebagai ruh dan sumber kehidupan berbangsa dan bernegara. Kompromi ini juga dikenali dengan Piagam Jakarta. Disepakati bukan negara Islam atau negara sekular tapi negara Pancasila.

Pada awalnya, sudah tentu bukan perkara mudah untuk menerima Pancasila terutama bagi kumpulan Islam memandangkan realitinya majoriti rakyat Indonesia ialah penganut Islam. Bagaimanapun, golongan Islam menerima Pancasila setelah mendapat penjelasan bahawa sila pertama Pancasila iaitu Ketuhanan Yang Maha Esa amat bertepatan dengan konsep monoteistik dalam Islam.

Konsep ini tidak wujud dalam agama lain terutama agama Kristian yang sebelum ini amat menentang Islam sebagai asas negara. Dalam Kristian dikenali konsep tiga Tuhan (trinity). Bagi umat Islam, sila pertama Pancasila itu menjiwai sila-sila lain yang berjumlah lima yang mencerminkan tauhid dalam Islam. Ayat sila Tuhan Yang Maha Esa sama ertinya dengan konsep dalam surah al-Ikhlash.

Pancasila sebagai asas falsafah negara juga bukanlah agama, tidak dapat menggantikan agama dan tidak dapat dipergunakan untuk menggantikan agama (A Helmy Faishal, Negara Pancasila dan Khilafah).

Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan semasa khasnya selepas pemilihan gabenor Jakarta yang dilaksanakan baru-baru ini, isu Pancasila kembali mencuat seperti bola panas yang menggelinding di pusaran pertarungan politik. Pertarungan jawatan gabenor telah menghasilkan dua kubu. Kubu pertama diwakili oleh Ahok selaku penyandang jawatan dan kubu kedua pencabar jawatan Anis Baswedan, bekas Menteri Pendidikan pemerintahan Jokowi.

Kubu pertama dianggap mewakili haluan nasionalis, mengangkat isu kebhinekaan (pluralisme) dan terbuka. Kubu ini berpendirian sedemikian tidak hanya semata-mata disebabka faktor Ahok seorang beretnik Cina dan bukan Muslim, tetapi juga disokong oleh Megawati anak Soekarno dan pakatan beberapa parti politik berhaluan nasionalis. Kubu ini mendakwa sebagai pengamal Pancasila tulen memandangkan penyokong dan isu yang dibawa merentasi kaum, agama dan keyakinan.

Manakala kubu kedua dikatakan mewakili kubu yang berhaluan nasionalis dan Islamis. Gabungan kedua golongan ini disebabkan komposisi pakatan politik yang mengusung Anis Baswedan berasal dari parti Gerindra pimpinan Prabowo Subianto, musuh ketat Jokowi dalam pilihan presiden dan parti Islam PKS. Imej Islamis kumpulan ini semakin kuat berikutan wujudnya sokongan dari elemen-elemen yang selama ini menentang kepimpinan Ahok seperti Front Pembela Islam (FPI).

Kejayaan FPI dalam menghimpun jutaan manusia dalam aksi yang fenomenal iaitu aksi 4 November dan 2 Disember berhasil memainkan sentimen dan psikologi politik yang dahsyat. Menerusi kes penghinaan agama yang dilakukan oleh Ahok, FPI telah berjaya menyatu padukan semua elemen Islam yang selama ini tersekat-sekat dalam tembok aliran keagamaan dan mazhab.

Mereka bersatu suara menuntut Ahok dihukum kerana menghina Islam. Ahok mencetuskan berkah dalam konteks pergerakan Islam dengan menyatukan mereka dalam saf perjuangan. Selama ini gerakan Islam di Indonesia amat dikenali sukar bersatu dalam sesebuah isu dan gerakan massa disebabkan semangay yang menebal dan kebanggaan terhadap organisasinya masing-masing.

Berikutan kes Ahok yang mengaduk-aduk emosi dan sentimen masyarakat, sedikit banyak mempengaruhi pandangan agama dalam kalangan umat Islam. Pemahaman dan pemikiran keagamaan semakin radikal. Hubungan antara agama cukup terjejas. Wujud perasaan syak wasangka dan saling curiga mencurigai. Bahkan, meleret di dalam kalangan dalaman Islam sendiri iaitu antara penentang Ahok dan penyokong Ahok.

Pergeseran fahaman keagamaan yang menjurus kepada budaya tidak menghormati perbezaan pendapat ini pada gilirannya turut menyentuh isu yang paling fundamental dalam kehidupan rakyat Indonesia. Mereka mulai berani bersuara untuk merubah Pancasila dan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 1945, Perlembagaan Negara) kepada undang-undang Islam. Mereka berpandangan ideologi dan Perlembagaan negara sebagai ideologi sekular dan sistem taghut warisan undang-undang penjajah yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Keadaan ini selari dengan hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Saiful Mujani Research Consulting (SMRC). Dalam kajiannya didapati bahawa 9.2 peratus atau 20 juta rakyat Indonesia menghendaki ideologi negara Pancasila dan UUD 1945 dirubah kepada undang-undang Islam. Dalam erti kata lain, mereka menginginkan Indonesia sebagai negara Islam sepenuhnya.

Meskipun jumlah responden yang menghendaki Indonesia sebagai negara Islam cukup kecil, akan tetapi isu ini cukup mengejutkan. Hal ini disebabkan selama ini, khasnya sepanjang era pemerintahan Soekarno dan era Soeharto, nyaris tidak ada suara dan pandangan yang menghendaki negara Islam. Kalaupun ada, itu suara yang dinyatakan oleh kumpulan radikal yang diperjuangkan melalui cara-cara keganasan yang sama sekali tidak mewakili pandangan ajaran Islam.

Selain itu, umat Islam di Indonesia amat dikenali sebagai umat yang moderat dan menjunjung tinggi nilai-nilai kemajmukan masyarakat. Mereka percaya bahawa Pancasila dan UUD 1945 merupakan ideologi dan undang-undang terbaik bagi mewadahi rakyat yang pelbagai agama, bangsa, etnik, budaya, adat istiadat, bahasa dan tradisi.

No Comments

    Leave a reply