Cuma, hal yang sering menjadi perdebatan adalah hiburan bagaimana yang dibenarkan dalam Islam. Demikian juga, selama mana lagi kita perlu menghasilkan filem yang stereotaip berlatar belakang persoalan cinta muda-mudi yang di luar batasan atau pun golongan korporat yang sombong dan suka berfoya-foya.

Terbaharu, filem Polis Evo 2 terbitan Astro Show arahan Joel Soh dan Andrew Chiew disahkan tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Demikianlah kehendak masyarakat masa kini. Alhamdulillah, ini suatu perkembangan yang positif walaupun makin bertambah tugas mufti. Sebabnya, kita tahu bahawa pihak Barat sentiasa menjadikan filem ini sebagai alat propaganda mereka untuk menjajah minda masyarakat.

Bukan lagi rahsia bagaimana strategi ‘4S’ dan ‘4F’ mereka berjaya dan amat efektif mempengaruhi umat Islam yang terikut-ikut dengan hedonisme.

Secara ringkas, ‘4S’ adalah:

• Sing (lagu): muzik yang menonjolkan budaya dan lirik orang kafir dengan pelbagai instrumen.

• Sex (seks): banyaknya media yang menyajikan gambar dan tayangan filem yang mengandung unsur liberalisasi dan pornografi.

• Sport (sukan): pelbagai jenis olahraga yang tidak mencerminkan budaya Islam antaranya sukan yang membuka aurat dan kadangkala membawa kepada pengabaian solat.

• Smoke (rokok): muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok itu adalah haram. Namun, masyarakat sering disajikan dengan iklan rokok yang mengaitkan perokok sebagai lebih bergaya dan gentleman.

Sementara, ‘4F’ pula adalah:

• Fun (lawak): lawak, tontonan-tontonan yang lucu yang sering kita saksikan menerusi televisyen di mana hal tersebut dibenci oleh Rasulullah SAW.

• Fesyen: pakaian, terutama dalam kalangan generasi muda yang kebanyakan sudah berkiblat kepada trend-trend orang kafir yang selalu mendedahkan aurat dan menimbulkan syahwat.

• Food (makanan): ada kalanya kita dipaparkan untuk mencuba pelbagai jenis makanan yang belum jelas kesucian dan kehalalannya.

• Faith (kepercayaan): Seringkali filem-filem Barat diselitkan unsur-unsur seperti liberalisme, komunisme, orientalisme, zionisme, kapitalisme dan sebagainya.

Inilah cabaran yang perlu digalas oleh para penerbit muslim di negara ini. Adakalanya filem atau drama itu terlalu ‘Islam’ sebabnya dalam rumah pun ‘si isteri’ bertudung walaupun bersama anak lelaki dan suami. Keadaan ini sudah pasti mengelirukan terutama kanak-kanak yang menonton. Demikian juga ada adegan bilik tidur yang memaparkan ‘isteri’ bertudung.

Soalnya, cacatkah sesuatu drama atau filem jika tidak menyajikan adegan suami isteri dalam bilik tidur atau berdua-duaan di rumah? Barangkali istilah yang lebih tepat dalam hal ini adalah filem berunsur Islam, bukannya filem Islam.

Penulis teringat kenyataan mantan Profesor Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Naim Ahmad dalam suatu bengkel Fiqh Penyiaran pada Jun 2010. Beliau berkata, pokok pengertian filem Islam adalah maksud Islam itu yang antara lainnya selamat, aman, tenteram, patuh dan bersih daripada segala sesuatu. Oleh itu, filem Islam dan filem berunsur Islam adalah dua ungkapan yang berbeza.

Katanya, filem berunsur Islam merujuk kepada filem yang antara paparannya mengandungi beberapa unsur yang selaras dengan tuntutan Islam. Namun, tidak keseluruhan filem tersebut Islamik. Mungkin daripada aspek naratif, dramatik, sinematografi, semiotik, aplikasi, teknikal dan kontektualnya.

Asasnya filem Islam merangsang kepada keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan. Ia juga menganjurkan keamanan, ketenteraman, kedamaian dan kebersihan daripada segala yang negatif. Pendek kata, filem Islam membawa mesej penyerahan diri, tunduk, patuh dan bertauhid kepada Allah Yang Maha Pencipta.

Hasil garapan inti-inti pembicaraan tentang seni dalam Islam, maka filem Islam diungkapkan sebagai sebuah hasil seni, berbentuk produk halal, pra dan pasca penerbitan dengan pengisian dan garapan bersandarkan kod etika dan nilai Islam sehinggalah kepada proses edaran, tayangan dan tontonan khalayak.

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah menyebar dakwah, menerap nilai murni dan menegakkan amar makruf nahi mungkar.