CABARAN PERLEMBAGAAN PASCA MERDEKA

Sejauhmanakah undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan negara? Persoalan ini melingkari fikiran saya, mungkin juga fikiran pembaca dan mungkin juga ramai warga Malaysia.

Sesungguhnya cabaran untuk mengekalkan kestabilan negara dengan menjaga kepentingan perpaduan kaum demi keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan negara adalah antara cabaran utama yang digalas Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana Perlembagaan boleh menyumbang dalam mengekalkan kestabilan negara?  Pertama, kita kenal pasti perkara yang boleh mengancam kestabilan negara. Hal berkaitan perkauman adalah antara faktor penting yang boleh mengancam ketabilan negara. Dalam menangani perkara berkaitan perkauman, Perlembagaan mempunyai peruntukan-peruntukan berkaitan perpaduan. Walaupun perkataan perpaduan itu tidak disebut secara harfiah dalam Perlembagaan, tetapi terdapat beberapa peruntukan yang boleh kita perkasakan kesannya bagi tujuan membina perpaduan.

Perkara 32, yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara boleh dijadikan rujukan utama. Ini kerana sebagai Ketua Utama Negara DYMM Yang di-Pertuan Agong mengambil sumpah dan tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan bersandarkan kepada Perlembagaan, kedaulatan Undang-Undang dan juga dengan penuh keadilan. Sumpah Yang di-Pertuan Agong ini disebut dalam Jadual Keempat Perlembagaan dan dibaca dengan Perkara 37.

Dengan membaca peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang disebutkan di atas, ia menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol perpaduan negara.

Perkara 153, yang sering dimomokkan sebagai satu peruntukan mendiskriminasi antara kaum-kaum yang membentuk warganegara adalah sebenarnya satu peruntukan yang menitik beratkan perpaduan. Dari segi sejarah, Perkara 153 adalah hasil daripada perjanjian muhibbah yang tujuannya ialah untuk membentuk masyarakat Malaysia merdeka yang dijamin kebajikan sosial mereka. Perkara 153 merupakan peruntukan yang menjamin kesaksamaan (equity) antara kaum, bukan kesamarataan (equality) antara kaum. Perkara ini sering dikatakan sebagai satu diskriminasi kerana meletakkan perbezaan antara kaum. Dalam Laporan Suruhanjaya Reid iaitu semasa proses gubalan Perlembagaan Persekutuan, perbincangan mengenai perkara 153 ini dimuatkan sekali bersama dengan perbincangan mengenai kebebasan asasi. Perkara 153 ini tidak dinafikan sebagai satu bentuk diskriminasi, tetapi ia adalah satu diskriminasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan dengan tujuan mencapai tujuan kesaksamaan dan keadilan sosial.

Perlulah dijelaskan bahawa, tidak semua kesamarataan itu mendatangkan keadilan. Oleh itu bagi tujuan mencapai keadilan dalam kalangan masyarakat Malaysia, maka dalam beberapa perkara, seperti hal-hal berkaitan peribadi, diskriminasi adalah dibenarkan. Sekiranya tiada diskriminasi, maka ia akan menzahirkan kesamarataan, tetapi kesamarataan tidak semestinya mendatangkan keadilan. Dalam konteks undang-undang, perkara yang penting untuk dipastikan ialah undang-undang tidak boleh membenarkan diskriminasi. Namun, sekiranya sesuatu undang-undang itu didapati mendiskriminasi, kita tidak boleh berhenti di situ sahaja. Tetapi, soalan seterusnya perlu dijawab, iaitu, adakah diskriminasi tersebut dibenarkan oleh undang-undang. Sekiranya diskriminasi itu dibenarkan oleh Perlembagaan, maka ia adalah undang-undang yang sah. Oleh itu, dalam konteks Perkara 153 ini kita perlu lihat dalam konteks diskriminasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Perkara 153 menyediakan hal-hal berkaitan kuota kepada Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dengan menjamin kuota pendidikan, perniagaan dan keanggotaan penjawat awam. Perkara 153 juga dengan terang sekali menyatakan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Walaupun Perlembagaan menyatakan perincian tentang keistimewaan Melayu, tetapi ia tidak memperincikan perkara yang dikatakan kepentingan sah kaum lain. Namun begitu, dalam dokumen sejarah Perlembagaan, iaitu dokumen perbicaraan Memorandum Raja-Raja Melayu bersama Suruhanjaya Reid, peguam kepada raja-raja Melayu menyatakan bahawa, kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain termasuklah, pertama, kewarganegaraan, kedua, perwakilan dalam Dewan Negara dan ketiga, perwakilan dalam Majlis Mesyuarat Negeri.

Perkara 153 meletakkan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong, sebagai institusi bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan dengan prinsip kesaksamaan bagi semua komponen kaum yang membentuk masyarakat Malaysia, iaitu Melayu, anak negeri Sabah Sarawak dan kaum-kaum lain yang tidak dinyatakan dengan nama.

Dari segi prestasi, kita telah mengalami kegagalan dari segi hubungan kaum apabila berlakunya rusuhan kaum dalam peristiwa 13 Mei 1969. Kegagalan tersebut telah membuatkan kita lebih berhati-hati tentang soal perkauman. Atas kegagalan itu, kita telah mendapati kelemahan tertentu dalam peruntukan Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengan kestabilan negara yang melibatkan soal perkauman. Setelah itu, Perlembagaan diperkukuh dengan menambah beberapa peruntukan bagi mengelakkan peristiwa berdarah tersebut daripada berlaku.

Perkara 10(4) telah dimasukkan dalam Perlembagaan bagi mengawal atau meletakkan skop baharu kepada kebebasan bersuara Perkara 10(4) menyebut:

“(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu”

Pindaan juga dibuat pada Perkara 159(5) bagi mengukuhkan lagi Perkara 10(4). Perkara 159(5) itu menyebut bahawa:

(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Pindaan kepada Perlembagaan yang dibuat setelah berlakunya tragedi 1969 itu telah menjadikan Perlembagaan Persekutuan lebih kukuh dan mampu untuk menangani masalah atau isu berkaitan perkauman. Perkara 159(5) juga masih lagi menegaskan peranan Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kestabilan negara.

Selain daripada soal perkauman, ancaman kepada kestabilan negara juga dapat dilihat dalam aktiviti subversif dan jenayah terancang. Oleh itu, Perlembagaan, sebagai undang-undang tertinggi negara hendaklah dilihat mampu mengekalkan keamanan negara dengan mengawal dan menghapuskan aktiviti subversif dan jenayah terancang.

Bagi menangani kegiatan subversif ini Perlembagaan menyediakan Perkara 149, 150 dan 151. Ketiga-tiga peruntukan ini terpakai dalam keadaan berbeza.

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

“(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan—

  • untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang; atau(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

    (f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuatkuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini”.

Sementara itu, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pula menangani perkara berkaitan darurat. Darurat boleh diisytiharkan sekiranya berlaku ancaman besar kepada keselamatan negara, keadaan ekonomi atau ketenteraman awam.

Perkara 150. Proklamasi darurat.

(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

Dalam keadaan darurat, setelah diisytiharkan, semua peruntukan Perlembagaan boleh digantung atau ditangguhkan sehinggalah keadaan kembali pulih. Dengan kata lain, Perlembagaan tidak lagi penting dalam keadaan darurat; undang-undang yang dibuat semasa darurat boleh mengenepikan peruntukan Perlembagaan dan tidak perlu lagi memenuhi kehendak peruntukan Perlembagaan – tidak perlu patuh kepada Perlembagaan, kecuali dalam  beberapa perkara yang disebut dalam Fasal (6A) Perkara 150. Perkara-perkara tersebut termasuklah undang-undang Islam, adat resam Melayu, adat anak negeri, agama, kerakyatan dan bahasa.

Perkara 151 pula membuat peruntukan tentang prosedur yang perlu diikuti bagi mengantung atau menafikan hak seseorang daripada kebebasannya sekiranya dia ditahan bagi tujuan pencegahan. Sebuah Lembaga Penasihat perlu ditubuhkan bagi menyemak semula tindakan pihak polis atau menteri, bagi melanjutkan tahanan pencegahan ke atas mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan subversif.

Perlembagaan kita mula direka bentuk semasa negara dalam keadaan sukar. Bermula 1946, setelah pemansuhan gagasan Malayan Union oleh kerajaan British, seterusnya berlangsung pula Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada masa tersebut Persekutuan Tanah Melayu menghadapi ancaman subversif dalam bentuk faham komunisme. Oleh itu, dalam menangani komunsime, Perlembagaan menetapkan peruntukan bagi menangani kegiatan subversif dan ancaman jenayah terancang. Perlu juga dinyatakan di sini bahawa, subversif dan jenayah terancang adalah dua perkara yang bukan semata-mata merujuk kepada kegiatan komunis walaupun komunisme merupakan ancaman utama semasa Perlembagaan Persekutuan digubal. Perkataan subversif itu begitu luas maksudnya untuk merangkum apa juga aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara. Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa, kegiatan subversif bukan semata-mata dalam bentuk ideologi komunis.

Semasa pengakhir darurat, pada tahun 1960, Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) telah diperkenalkan dengan tujuan menangani kegiatan subversif yang dilancarkan oleh musuh atau penjenayah. Akta ini telah digunakan oleh pihak berkuasa sehinggalah kempen pemansuhannya berjaya. Pada tahun 2012, ISA telah dimansuhkan dan ia telah diganti dengan SOSMA (Security Offences (Special Measures) Act 2012.

Setelah berlakunya beberapa insiden jenayah berat, kerajaan mengambil langkah memperkenalkan pindaan dan perluasan kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dengan menyediakan beberapa langkah pencegahan. Pindaan kepada Akta 1959 ini telah dibuat pada tahun 2013 dengan mengambil punca kuasa daripada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun 2015, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA 2015 bagi menangani aktiviti keganasan di negara ini.

Disebabkan perlembagaan itu merupakan patah-patah perkataan atau ayat-ayat yang kaku, maka, peruntukannya harus digerakkan oleh undang-undang lain. Maksudnya, Perkara 149 memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mengawal dan menghukum perbuatan-perbuatan yang boleh menggugat kestabilan negara.

Perkara 151 tidak menafikan tahanan pencegahan. Oleh itu, kita perluaskan undang-undang untuk mencegah bukan hanya untuk menangani sesuatu kesalahan hanya setelah ia dilakukan; tetapi menyekat daripada berlaku.

Tetapi penghapusan undang-undang pencegahan, seperti ISA, mungkin boleh menggugat keselamatan negara. Ini kerana, walaupun Perkara 149 masih ada dalam Perlembagaan, ia tidak boleh dilaksana begitu sahaja tanpa Akta yang dibuat oleh parlimen.

Secara keseluruhannya, bagi menjawab persoalan di awal tulisan ini boleh ditegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara mampu menjaga kestabilan dan keamanan negara. Tetapi peruntukan Perlembagaan hendaklah disokong oleh Akta-Akta berkaitan serta penguatkuasaan yang tegas. Sekiranya Akta-Akta yang menguatkuasa peruntukan Perlembagaan itu telah tiada, maka, Perlembagaan akan menjadi tidak berkesan. Oleh itu, di samping mengekalkan peruntukan Perlembagaan sebagai punca kuasa, adalah sama pentingnya juga untuk dikekalkan atau diperkasa undang-undang yang melaksanakan peruntukan Perlembagaan tersebut.

shamrahayu

YBhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz

Felo Utama

Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik

Institut Kefahaman Islam Malaysia

No Comments

    Leave a reply