“CAP AYAM”, “MAT LEBONG” ISTILAH POPULAR GAMBARKAN ‘POLITIK KONYOL” DAN ‘RENDAH KUALITI”

 

SEMASA saya bertugas di Terengganu antara tahun selama lebih tiga tahun (2004 hingga 2007), tiga istilah yang saya belajar mengenai politik. Pertama ‘cap ayam’ yang membawa maksud caca marba, kualiti rendah dan tidak tersusun. Istilah kedua ialah ‘Mat Lebong” yang bermaksud, seseorang yang suka menipu atau bercakap bohong. Istilah ketiga ialah ‘Mat Skoding” yang membawa makna orang yang suka mengintai atau menyelinap masuk ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu untuk mendapat rahsia, yang kemudiannya dibocorkan.

Dua istilah pertama, “cap ayam” dan “Mat Lebong” menggambarkan rendahnya kualiti dan seseorang pemimpin. Apabila seseorang pemimpin dilihat tidak dapat bekerja dengan baik dan berkesan, pemimpin berkenaan akan dikatakan rendah prestasinya, dalam loghat Terengganu dipanggil “cap ayang”.

Saperti diketahui umum, keselor lidah orang Terengganu banyak perkataan berakhir dengan ‘ng’ di belakang. Misalnya, jalan-jalan disebut jalang-jalang. Tetapi tersilap, jalang bukan dikaitkan dengan perbuatan kurang senonoh. Makna, jika seorang perempuan mengatakan dirinya ‘jalang-jalang’, ia tidak bermaksud dirinya adalah ‘perempuan jalang’.

Cap ayam turut merujuk kepada tidak konsistennya seseorang pemimpin membuat keputusan. Bila keputusan tidak konsisten, ia menampakkan banyak keburukan, saperti pilih kasih, tidak berprinsip dan juga mudah dipersendakan. Hari ini, Kerajaan PH yang mengambil alih tampok pentadbiran negara selepas mencapai kemenangan dalam PRU ke-14 telah diberikan pengiktirafan selevel dengan ‘cap ayam’

Cap ayam biasanya terkenal sebagai jenama makanan dalam tin, misalnya sardin dan kacang panggang. Setakat ini, masyarakat tidak mengatakan bahawa sardin cap ayam dan kacang panggang dalam tin berkualiti rendah, malah dilihat sebagai pilihan terbaik walaupun harganya lebih tinggi berbanding jenama sardine dan kacang panggang yang lain. Bila berlaku kegemparan, beberapa jenama sardin  yang dijual di Malaysia ada menggunakan sos kuahnya dari bahan tidak halal, sardin  cap ayam mendapat perhatian kerana keyakinan terhadap logo halal yang dipamerkan.

Sardin cap ayam, ditin dan diproses di Malaysia, iaitu di Taiping, Perak. Ertinya, penguatkuasaan logo halal dapat diteliti dengan mudah dan cepat bila sesuatu aduan diterima. Pematuhan prosedur halal boleh ditarik balik dengan cepat sekiranya pasukan pemantauan mendapati berlakunya ketidakakuran dari segi pemprosesan, kandungan bahan sos dan juga penggunaan peralatan yang sama dengan produk tidak halal.

Cerita ‘cap ayam’ kembali mewarnai politik Malaysia apabila beberapa orang menteri dan timbalan menteri menipu mengenai kelulusan akademik masing-masing. Ia bermula apabila warga maya mula mempersoalkan kelulusan seorang timbalan menteri, yang akhirnya menjangkiti beberapa pemimpin PH yang lain. Persoalan itu tidak berhenti setakat itu, ia dikaitkan dengan kualiti dan integriti sebahagian pemimpin yang menerajui Kerajaan PH.

Ada cerita, menggunakan ijazah palsu untuk memperdaya orang ramai mengenai tahap pendidikannya. Ada cerita, mengakui tidak habis belajar tetapi didakwa peroleh ijazah dan diploma. Ada cerita, ada ijazah dari luar negara, tetapi sebenarnya hanya setakat lulus Sijil Rendah Pelajaran. Ada cerita, peroleh sijil professional, walhal tidak menghabiskan tempoh amalan professional itu untuk diiktiraf berkelayakan. Menariknya lagi, tidak pernah mengakui kesilapan sebaliknya menyalah pihak lain kerana tidak membuat pengesahan daripada tuan tubuh tentang sesuatu kelulusan mahupun universiti yang dikaitkan dengan ijazah itu.

Gambaran tersebut memberikan satu petunjuk bahawa ada menteri dari segi pendidikannya selevel dengan ‘cap ayam’ tetapi bukan sardin cap ayam. Benar, kualiti seseorang pemimpin bukan ditentukan secara mutlaknya oleh tahap pendidikan tinggi. Tetapi, dalam dunia yang menghargai pengetahuan sebagai asas penting pembentukan modal insan, tanpa pengetahuan dan pendidikan tinggi, ia akan mencerminkan tahap perbincangan dan percakapannya.

Sebab itulah dalam banyak situasi, ada mereka yang berimej badut telah dilantik sebagai timbalan menteri. Sebelumnya, beliau memang terkenal dengan lawak bodoh dan sekadar penghibur dalam siri ceramah, ketawa terbahak-bahak tetapi mesejnya tidak bersifat intelektual. Banyak menggunakan celoteh kasar dan kadangkala berunsur erotik.

Cap ayam saperti yang disebut oleh bekas perdana menteri, Datuk Sri Najib Razak ketika membantu calon BN dalam kempen PRK DUN Semenyih boleh kita fahami ada kebenaranyan jika dilihat daripada kualiti dan cara perbahasan di Dewan Rakyat. Kononnya mempunyai kelulusan daripada sebuah universiti ternama di luar negara, kemudiannya mengakui bukan dari universiti berkenaan tetapi sebuah universiti lain di Amerika Syarikat, ramai warga maya mulai curiga kerana bahasa Inggerisnya, menyebut istilah berkenaan tidak lancar. Warga maya memerlinya, takkanlah tiga tahun belajar secara online dengan sebuah universiti berpengantarkan bahasa Inggeris tidak mampu menyebut istilah-istilah itu dengan baik dan lancar.

Saya teringat kepada keupayaan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Kementerian Pendidikan ketika dibawah pengawasan Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup menghabiskan ratusan juta ringgit bagi memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris, membiayai kos ujian Cambridge Placement Test (TEST), mengadakan program penutur jati, melatih semula kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelbagai lagi. Gunanya, untuk meningkatkan tahap berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dengan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan guru terlebih dahulu.

Memang benar, sebelum dilantik sebagai guru opsyen bahasa Inggeris, mereka menjalani kursus TESL di universiti dan IPG selama beberapa tahun. Tetapi, kerana kemahiran berbahasa itu adalah sesuatu yang bersambungan dan tidak boleh berhenti, maka sikap sesetengah guru menyebabkan tahap berbahasa Inggeris menurun. Guru-guru tidak lagi gemar membaca, mengekspresi dan seterusnya pergaulannya terhad, kelembutan bahasa dan keindahan makna tidak lagi muncul.

Ada seorang pakar pendidikan mengatakan, seseorang yang cekap berbahasa Inggeris dan mempunyai korpus bahasa yang baik adalah mereka yang bukan sahaja sentiasa berbahasa Inggeris, juga mimpi pun dalam bahasa Inggeris. Ini mengingatkan saya kepada seorang menteri, ketika memarahi seseorang, menteri berkenaan lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris. Sebabnya, pengungkapan emosi marah itu lebih tepat dan bermakna. Begitu juga ketika dirinya menterjemahkan sesuatu fikiran, lebih berkesan menggunakan bahasa Inggeris kerana mungkin pengalaman pendidikannya.

Tidak bermakna bahasa Melayu tidak mempunyai ungkapan yang halus, murni dan menarik. Kepetahan dan keberkesanan seseorang adalah bergantung kepada kesungguhannya untuk belajar dan menggunakan sesuatu bahasa dalam kehidupan seharian. Namun, apa yang kita ketahui, adalah janggal bila seseorang yang bertahun-tahun belajar berpengantarkan bahasa Inggeris tidak mampu bercakap, atau menyebut istilah dalam bahasa berkenaan.

Tidak kita nafikan. Walaupun bertahun-tahun pelajar di Malaysia belajar bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran, dan diwajibkan lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia, masih ramai tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Sebabnya tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan harian, ia hanyalah sekadar mata pelajaran di sekolah. Percakapan harian menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Kemahiran berbahasa Inggeris juga boleh ditingkatkan menerusi pembacaan, menonton program televisyen berbahasa Inggeris yang bermutu dan pergaulan. Nampaknya, ramuan itu belum berlaku sepenuhnya dalam masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan menteri-menteri yang kurang membaca dan menggunakan otaknya untuk meningkatkan tahap intelektual.

Najib turut merujuk ‘cap ayam’ itu sebagai percanggahan pendirian atau kenyataan terhadap sesuatu polisi Kerajaan PH. Dalam isu pengambilalihan tol misalnya, ada tiga percanggahan yang menyebabkan orang awam mengukur tahap pengurusan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan PH.

Pertama, sebelum Perdana Menteri mengeluarkan Kenyataan Akhbar pada 24 Februari, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden PPBM mengatakan bahawa kerajaan akan membuat pengumuman mengenai keputusan menghapuskan tol. Sehari kemudian, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengingat rakyat Malaysia agar tidak berspekulasi mengenai pemansuhan tol kerana kerajaan belum membuat keputusan manakala Menteri Kerja Raya menyatakan, keputusannya akan dapat dijelaskan pada bulan Mei selepas perbincangan dan rundingan selesai.

Perdana Menteri menciumi isu itu dengan cepat, maka dikeluarkan kenyataan akhbar bahawa empat lebuh raya –LDP, Terowong SMART, LEKAS dan SPRINT- akan dimansuhkan kutipan tol. Ia tidak bermakna pengguna lebuh raya berkenaan boleh menarik nafas lega, kerana pengguna akan dikenakan caj kesesakan pada waktu puncak, diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan tanpa tol bagi perjalanan jam 11 malam hingga 5 pagi. Ia melegakan sebahagian ‘peniaga’ yang balik malam, termasuklah peniaga pasar malam, foodtrucks dan mereka yang bekerja shift malam.

Ia tidak melegakan ibu bapa, dan kerana itu Najib saperti mencuit perhatian Kerajaan PH dengan berkata, tol percuma saperti memaksa ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah sebelum jam 5 pagi. Ironinya, sindiran itu dibalas dengan cerita-cerita yang dikaitkan dengan peribadi oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Maknanya, seorang lagi menteri Kerajaan PH menggunakan emosi dan menyeret peribadi dalam ulasannya mengenai sindiran ‘dipaksa’ menghantar anak-anak ke sekolah lebih awal untuk mengelakkan daripada membayar tol.

Nampaknya, Azmin cuba mengalihkan isu dan sindiran. Nampaknya, Azmin turut dikategorikan sebagai ‘menteri cap ayam’ dalam perdebatan tersebut. Sepatutnya sebagai seorang menteri yang mempunyai ijazah dari luar negara dan pernah menjadi guru, beliau boleh menjawabnya secara berhemah dan lojik akal, bukan menyeret emosi. Itulah makna lain mengenai ‘cap ayam’. Sindiran dibalas dengan emosi dan kenyataan yang tidak relevan dengan persoalan atau isu.

Warga maya mula meluat, dan ada yang mula membeberkan bahawa beliau juga bukanlah seorang yang baik, jujur dan boleh dipercayai. Banyak isu yang dikaitkan dengan dirinya belum selesai dan terjawab dengan baik. Beliau belum bersih sepenuhnya. Ia menimbulkan ‘backfire effect’ yang memungkinkan pengangkatan cerita-cerita lama dan tertular semula.

Kedua, orang awam mula mempersoalkan sikap Kerajaan PH kerana enggan  mendedahkan keputusan pengambilalihan empat lebuh raya tersebut, secara lengkap dan terperinci. Saperti yang diminta oleh Pemangku Presiden UMNO, Kerajaan PH wajar mendedahkan perinciannya. Apabila tidak didedahkan, maka orang awam mula memahami bahawa memang benar cadangan tersebut adalah strategi ‘memancing undi’ untuk membolehkan PH mengekalkan kemenangan di DUN Semenyih.

Terserlah ia sebagai strategi memancing undi berdasarkan dua situasi. Pertama, bilakah tarikh akan dilaksanakan, belum termaktub. Kedua, ia hanyalah dalam bentuk cadangan kerana keputusan muktamad rundingan belum selesai, hanya baru di peringkat perbincangan. Ertinya, Kerajaan PH sudah menjual ‘burung terbang’ untuk mendapatkan laba politik dan meraih sokongan pengundi Semenyih selepas terkesan bahawa penolakan sedang berlaku. Rakyat sebaliknya diminta untuk menunggu pengumuman selanjutnya dan memberikan ruang kepada Kerajaan PH untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut.

Ketiga, warga maya mula terkilan dengan satu lagi kenyataan menteri Kerajaan PH berhubung komennya yang menyelar Najib tidak melakukan tindakan yang sama semasa masih berkuasa. Rakyat tidak boleh dibohongi. Najib pernah memansuhkan kutipan tol untuk empat lebuh raya mulai 1 Januari 2018. Ia membabitkan Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

Pengumuman tersebut memberikan tamparan hebat kepada Azmin Ali kerana tidak pun memansuhkan kutipan tol di beberapa lebuh raya dalam negeri Selangor sebagaimana dijanjikan sebelum PRU ke-13. Warga maya turut menempelak Lim Guan Eng yang pernah berjanji akan menghapuskan kutipan tol di salah sebuah lebuh raya di Pulau Pinang sebelum DAP menang dan memerintah di Pulau Pinang pada tahun 2008.

Warga maya mempersoalkan Kerajaan PH mengenai pemansuhan TOL kerana mereka berjanji akan melakukannya sebaik sahaja menang PRU ke-14. Warga maya masih ingat tentang infografik yang tertular dalam media sosial mengenai janji Dr Mazlee Malik, penduduk Simpang Rengam yang berulang-alik ke Johor Bahru tidak lagi perlu membayar tol atau boleh tuntut daripada Kerajaan PH.

Bercakap seolah-olah beliau ada kuasa untuk menghapuskan tol atau beliaulah yang mendapat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan yang menghubungkan Simpang Renggam-Johor Bahru. Bila janji tidak ditepati, maka mudahlah warga maya memberikan pengiktirafan sebagai “Mat Lebong” dan Dr Mazlee Malik berada dalam senarai berkenaan. Infografik berkenaan masih ada dalam arkib sebahagian warga maya walaupun telah dibuang dari dalam‘bakul’ pemiliknya.

Ketiga, apa yang menariknya ialah ketika pengumuman pemnasuhan kutipan tol di empat buah plaza tol pada akhir tahun 2017, tidak disebut mengenai ‘caj kesesakan’ bagi menampung penyelenggaraan lebuh raya. Pengguna bebas melakukan perjalanan sepanjang masa, tidak dihadkan masa untuk mendapat tol percuma. Ia berbeza dengan apa yang diumumkan oleh Kerajaan PH. Maka, itulah sebabnya orang awam tidak lupa membandingkannya dan merumuskan ia adalah saperti satu bentuk ‘penghinaan’ kepada sebahagian pengguna lebuh raya.

Rasa ‘terhina’ itu kerana tujuan asal lebuh raya dibina ialah untuk mengatasi kesesakan dan mempercepatkan perjalanan. Tetapi, bila Kerajaan PH memansuhkan kutipan tol, pengguna dikenakan pula caj kesesakan. Kadarnya adalah sama untuk tempoh waktu puncak. Ertinya, waktu puncaklah ramai pengguna menggunakan lebuh raya, sanggup membayar tol. Bila dikenakan caj kesesakan, ia bukanlah menepati tujuan asal lebuh raya berkenaan dibina.

Ada di antara pemimpin Kerajaan PH mengeluarkan kenyataan. Caj kesesakan adalah suatu tindakan positif untuk mengatasi kesesakan trafik di bandar-bandar besar, saperti dilaksanakan di Singapura atau London. Memang orang awam mengakui bahawa, caj kesesakan itu berbaloi sekiranya kemudahan pengangkutan cekap dan menyeluruh. Keadaannya berbeza di Malaysia, penduduk Semenyih tidak mempunyai pilihan.Jajaran komuter dan LRT tidak sampai ke kawasan perumahan mereka.

Bukan sahaja di Semenyih di kebanyakan tempat. Pengangkutan awam memang sesuatu yang menyebabkan setiap orang merasa cuak dan resah bila memikirkannya. Mengharapkan perkhidmatan bas, shuttle servis, ia terlalu terhad hanya kedapatan di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Inilah ironinya matlamat caj kesesakan yang dipertahankan oleh seorang pemimpin Kerajaan PH.

Mungkin penjelasan Perdana Menteri boleh diterima sedikit kewajarannya. Kerajaan PH perlu mendapatkan sumber untuk menampung kos pengambilalihan, penyelenggaraan dan pengurusan empat lebuh raya berkenaan. Tetapi, mentaliti sebahagian pemimpin Kerajaan PH tidak sampai ke tahap itu, masih boleh dikategorikan dalam kelas ‘cap ayam’.

Warga maya mempersoalkan kutipan caj kesesakan sebagai kebalikan daripada faedah membayar tol. Caj kesesakan seolah-olah merefleksikan galakan Kerajaan PH agar lebuh raya menjadi semakin sibuk, sebagaimana istilah itu difahami secara literalnya. Sepatutnya penerangan mengenai ‘caj kesesakan’ dibuat dengan memuaskan agar rakyat tidak terkeliru, mereka perlu membayar bagi menjadikan lebuh raya sesak, semakin semakin semakin untunglah Kerajaan PH.

Untung dalam dua perspektif. Pertama, bila banyak kenderaan memasuki lebuh raya, semakin banyaklah caj kesesakan dapat dikutip. Kedua, apabila jalan semakin sesak, maka lahirlah keinginan pengiklan-pengiklan untuk meletakkan pelbagai bentuk mesej iklan sama ada dalam unipole, televisyen LED mahupun pintu gerbang elektronik dan papan-papan iklan gergasi. Akhirnya, di sisi lebuh raya bakal menjadi ‘medan peperangan iklan’ termasuklah iklan ‘kulum kulum…terus cantik” dan ganjaran berhutang.

Keempat, cap ayam juga boleh merujuk kepada flip-flop Kerajaan PH dalam melaksanakan manifestonya kerana semakin sehari mereka semakin terdesak. Terdesak kerana sebelum mengemukakan manifesto, tidak menjangka peroleh kemenangan, maka manifesto dilihat sebagai tindakan semberono atau menipu saperti imej Mat Lebong. Cakap apa sahaja yang terlintas, dapat dilaksanakan atau tidak, bukan sesuatu yang penting kerana manifesto ‘bukan kitab suci’ dan ‘malaikat’ pun melakukan kesilapan.

Akhirnya Kerajaan PH kian terdesak. 10 Janji untuk 100 hari belum tertunai. Bahkan GST dihapuskan dan digantikan dengan SST, akhirnya terpaksa mengakui SST menyebabkan kerajaan kekurangan pendapatan cukai hampir separuh. Kekurangan pendapatan menyebabkan PETRONAS diminta untuk menyumbangkan sekitar RM 30 bilion. Sebelumnya, PETRONAS tidak diusik, kecualilah apa yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan, termasuk royalti minyak. Indahnya, Kerajaan PH, bila sumber kewangan tidak cukup, PETRONAS menjadi mangsa.

Terbaharu, sebahagian aset IHH telah dijual kepada orang asing untuk menghasilkan wang sejumlah RM 8.2 bilion. Najib bertanya kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, hasil penjualan itu ke manakah wang itu dibelanjakan. Kenapa jumlah tersebut tidak digunakan untuk membayar ‘hutang FELDA’ yang dikatakan mengalami masalah tunai yang serius. Semalam, tersiar satu laporan yang jelas, FELDA sebenarnya bukan berhutang sebanyak RM 8 bilion, tetapi peneroka berhutang dengan FELDA. Sebab itu FELDA mengalami kekurangan tunai, kerana menampung keperluan kos penanaman semula kelapa sawit, dan dalam masa yang sama, peneroka mengambil elaun kerana proses penanaman semula.

Seorang wartawan memberikan gambaran, akibat ghairah masa depan, maka model yang dibangunkan oleh FELDA pada zaman Najib telah gagal, menanggung hutang yang besar. Rasanya, wartawan tersebut tidak membaca wawancara sepenuhnya dan menghadamkan dengan teliti, sebelum membuat rumusan. FELDA tidak gagal, tetapi yang gagalnya ialah Kerajaan PH tidak dapat mencari peluang untuk mengeksport komoditi tersebut, sebab lebih gemar mencari kesalahan menteri-menteri terdahulu bagi mengelirukan rakyat seolah-olah BN adalah parti yang tidak mempunyai apa-apa sumbangan besar dalam pembinaan negara ini. Semuanya akan dibaiki dan dibina semula oleh Kerajaan PH dengan iltizam Malaysia Baharu.

Kekurangan tunai disebabkan dua keadaan. Pertama, FELDA mengeluarkan simpanannya untuk menampung keperluan penanaman semula pokok-pokok kelapa sawit yang sudah tua dan tidak ekonomik. FELDA juga menjelaskan, terpaksa berbelanja besar kerana ada segelintir peneroka ‘keluar’ daripada naungan FELDA ketika harga kelapa sawit mahal dan memajakkannya kepada orang lain.

Setelah harganya jatuh, mereka kembali kepada FELDA, akhirnya FELDA terpaksa memulihkan ekosistem ladang. Pokok-pokok tersebut tidak dibajai dengan sempurna manakala sebahagiannya berkeadaan saperti hutan. Proses pembajaan juga memakan belanja yang besar, FELDA terpaksa mendahuluinya kerana peneroka tidak berkemampuan. Itulah sebenarnya berlaku yang menyebabkan FELDA mengalami masalah tunai yang serius, bukannya berhutang. FELDA masih mempunyai aset yang besar, termasuk tanah dan pelbagai bentuk pelaburan.

Sepatutnya, Kerajaan PH berusaha lebih keras untuk meneroka pasaran baharu jika benar-benar ingin membantu peneroka dan FELDA, bukannya mengganggu pengimport-pengimport dengan kenyataan ‘caca marba’ dan boleh menyakitkan. Kerana bencikan pelaburan China dalam pelbagai projek infrastruktur, yang kemudiannya dikaitkan dengan usaha memulihkan hutang 1MDB, maka didakwa ‘Malaysia Tergadai’. Reaksi balasnya, selepas kemenangan Kerajaan PH, China tidak lagi mengimport kelapa sawit dan getah dari Malaysia.

China merupakan pengimport minyak sawit kedua terbesar. Ertinya, pasaran eksport komoditi Malaysia terjejas, Kerajaan PH tidak berusaha mencari pasaran baharu, sebaliknya terus berperang dengan pelobi-pelobi anti minyak sawit. Peperangan yang dilancarkan tidak bersungguh-sungguh, hanya sekadar menggertak Perancis, mungkin akan membatalkan import barangan daripada negara itu sekiranya terus menekan minyak kelapa sawit sebagai mendatangkan kegemukan.

Saperti dijelaskan oleh bekas Perdana Menteri, perdagangan antara negara, bukanlah perdagangan sehala. Ia membabitkan perdagangan dua hala, Malaysia perlu mengimport barangan dari negara di mana bersetuju mengimport produk negara. Ia berlaku secara timbal balik dan juga berdasarkan pertukaran barangan.

Ertinya, Malaysia memberikan konsesi pembinaan infrastruktur mega kepada China, kerana China menjadi pengimport kedua terbesar minyak sawit, yang menguntungkan peneroka dan FELDA. Itulah maknanya kecerdasan berfikir, bukan ‘cap ayam’ ataupun caca marba.

Setakat ini, pemimpin Kerajaan PH belum melepasi tahap ‘cap ayam’ maka selagi berlakunya flip-flop, percanggahan pendirian dan u-turn yang semakin melupakan ‘kutukan semasa berkempen’ ia akan tetap dianggap Mat Lebong dan kualiti kepimpinan adalah cap ayam.

 

Mahanor Saleha.

 

No Comments

    Leave a reply