Christchurch: Penyerang dua masjid kena 50 tuduhan bunuh

CHRISTCHURCH, 29 Rejab 1440H, Jumaat – Brenton Tarrant, pengganas kulit putih kelahiran Australia, semalam didakwa di mahkamah atas 50 tuduhan membunuh, dan 39 cubaan membunuh, dalam serangan di dua masjid di sini 15 Mac lalu.

Lelaki berusia 28 tahun itu sebelum ini, hanya didakwa terhadap satu pertuduhan membunuh ketika kali pertama dihadapkan di Mahkamah Daerah Christchurch.

Dengan tuduhan tambahan oleh polis dan jika didapati bersalah, Tarrant boleh dipenjara sepanjang hayat, tanpa peluang mendapatkan parol.

Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang akan dibuat secara lintas langsung dari penjara di Auckland, kira-kira 1,079.73 kilometer dari Christchurch.

Bagaimanapun, pendengaran kes yang singkat itu akan digunakan untuk menetapkan tarikh bagi kehadirannya di mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan.

Kehadiran kali keduanya semalam dibuat selepas tiga minggu kejadian serangan itu yang mengorbankan 50 umat Islam yang berkumpul di dua masjid – Masjid Al Noor dan Masjid Linwood – untuk solat Jumaat.

Dalam tragedi itu, seorang remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, turut terbunuh, manakala bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan dua lagi rakyat Malaysia; Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad; cedera. – Agensi

Sumber : ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply