Contohi EPL cari penyokong taasub

SELEPAS sembilan bulan berentap, akhirnya Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/19 melabuhkan tirainya 12 Mei lalu.

Manchester City gah menjulang dan mempertahankan kejuaraan, sekali gus mengecewakan Liverpool dalam saingan yang dianggap antara paling sengit dalam sejarah, apabila pemenang terpaksa ditentukan pada aksi terakhir.

Walaupun nun jauh beribu batu, tetapi kancah saingan EPL sememangnya mempunyai ramai pengikut dengan Manchester United dan Liverpool antara yang mempunyai kelab peminat serta kelompok penyokong yang besar di negara ini.

Bukan menghairankan dalam tempoh sembilan bulan lalu ‘perang’ bukan sahaja berlaku di atas padang, tetapi dalam kalangan pemain ke-12 di negara ini yang taasub dan fanatik terhadap pasukan kesayangan masing-masing.

Dalam tempoh itu juga, ramai yang menjadi ‘pengurus’, ‘pengulas’ dan ‘pengkritik’ tak bergaji apabila menunjukkan kemampuan masing-masing dengan menyalahkan strategi dan taktikal yang digunakan pasukan kesayangan, terutama apabila tewas.

Lagak mereka ketika mengeluarkan pendapat masing-masing kalahkan Pep Guardiola, Jurgen Klopp, Maurizio Sarri dan Mauricio Pochettino. Tak cukup dengan itu, status ‘membahan’ atau menyindir peminat pasukan lain, terutama pasukan rakan sepejabat yang tewas sudah menjadi lumrah.

Mereka tidak perlu tunggu esok untuk berbuat demikian, sebaliknya dengan ledakan teknologi maklumat, tak sampai seminit pasukan kesayangan masing-masing menang, mereka sudah memuat naik status ‘nakal’ di Facebook, Instagram, WhatsApp dan Twitter.

Anehnya, apabila pasukan kesayangan mereka tumbang, tahu pula mereka ‘menyorok’ dan laman sosial masing-masing menjadi sunyi sepi seolah-olah meratapi pemergian orang tersayang. Dalam kalangan yang fanatik ia diistilahkan ‘masuk gua’.

Menariknya, walaupun kadangkala gurauan itu kasar dan keterlaluan, tidak pernah rasanya ada laporan polis penyokong EPL bergaduh di negara ini, walaupun ramai di antara mereka jelas ‘makan hati’ dan ‘mental koyak’ dengan segala sindiran yang diterima.

2 jenis kumpulan penyokong

Itulah antara gelagat penyokong tegar EPL negara ini. Malangnya ia jarang berlaku di dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), sekali gus harus menjadi cabaran kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan yang bertanding.

Mereka perlu mencari formula dalam mewujudkan peminat yang taasub, fanatik dan sayang terhadap pasukan, terutama negeri kelahiran masing-masing.

Sudah tentu dengan wujud kumpulan peminat ini, pasukan atau kelab tidak berdepan masalah kewangan seperti yang berlaku hari ini, sebaliknya mereka mampu menjana pendapatan menerusi kutipan tiket, jualan cenderahati dan sebagainya.

Apa yang berlaku ketika ini sokongan peminat kepada pasukan Liga M bermusim dan mereka hanya memberi sokongan serta memenuhi stadium apabila pasukan masing-masing menang dan sebaliknya berlaku apabila kalah.

Tidak dinafikan ada segelintir penyokong tempatan yang fanatik terhadap pasukan masing-masing apabila sentiasa turun ke stadium walaupun prestasi pasukan mereka merudum. Namun, jumlah itu tidaklah sebesar kumpulan penyokong yang dilabel sebagai ‘bangsa final’ atau ‘penyokong lalang’.

Dua jenis kumpulan penyokong ini sebenarnya lebih aktif di alam maya atau media sosial, terutama dalam melemparkan kritikan melampau jika pasukan mereka tewas.

Mentaliti penyokong seperti ini seharusnya perlu diubah dalam memastikan masa depan Liga M terus berkembang maju dan tidak hanya mengagungkan liga luar di tanah air sendiri!

Oleh Hussain Said

Sumber : Berita Harian

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply