COVID-19, CHINA LEBIH HEBAT

Setelah runtuhnya Tembok Berlin, muncul teori politik yang sangat mengagumkan. Francis Fukuyama, intelektual keturunan Jepun tetapi warganegara Amerika Syarikat meramalkan ia sebagai kemenangan kepada kapitalisma liberal dan kemenangan tersebut dinamakan sebagai berakhirnya sejarah.

Sebagai penamat sejarah, Fukuyama menjelaskan dunia bipolar –persaingan antara kapitalisme dan komunisme- sudah berakhir. Kesatuan Soviet Sosialis Republik telah runtuh ekoran glassnot dan prestorika yang dilaksanakan oleh Mikhael Gorbachev. Muncul negara-negara bekas taklukan Rusia sebagai negara baharu, misalnya Baluchistan. Kyrzygstan, perpecahan Czechoslavakia (Slovakia dan Republik Czech), dan kemuncaknya ialah penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat. Jerman Timur berideologikan komunis manakala Jerman Barat yang bersifat kapitalis.

Usaha ‘membunuh’ komunisme sudah lama bermula di Amerika Syarikat. Sejak Amerika Syarikat memenangi Perang Dunia II, imperialisme Eropah dilihat semakin kecil dan kurang berpengaruh. Keadaan ini telah digunakan sepenuhnya oleh sekumpulan Zionis untuk mendapatkan bantuan Amerika Syarikat agar memainkan peranan dalam penubuhan negara Israel berdasarkan mitos Tanah Yang Dijanjikan.

Pelobi Zionis, yang diasaskan oleh Theodor Herzl (1860-1904) pada tahun 1897 meletakkan bumi Palestin sebagai Tanah Yang di Janjikan dan sebuah negara bernama Israel mesti ditubuhkan. Mereka berjuang atas landasan keturuan Yahudi yang berada di serata Eropah adalah mangsa politik dan disingkirkan oleh pemerintahan yang berkuasa ketika itu di kebanyakan negara Timur Tengah dan Afrika Utara.

Ia menjadi lebih semarak apabila Adolf Hitler yang bergabung dengan pemimpin Itali, Mussolini berusaha menjadikan Nazism sebagai ideologi politik yang berpengaruh dan menguasai dunia. Sebagai tindakannya, menjelang Perang Dunia II, Hitler dikatakan telah melancarkan serangan ganas ke atas kelompok Yahudi dari sempadan dengan Rusia hinggalah ke Poland dan Hungari.

Dari situlah muncul pula tragedi Holocaust. Meskipun ada dalam kalangan sejarawan menafikan berlakunya pembunuhan beramai-ramai keturunan Yahudi, sentiment Holocaust telah berjaya mempengaruhi penentuan geopolitik dunia pasca Perang Dunia II. Tahun 1947, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis membantu penghijrahan Yahudi ke Palestin, dan percaya bahawa bumi Palestin adalah kawasan yang tidak berpenghuni.

Dua puluh tahun kemudian (1967) terjadi perang yang telah memberikan kesan besar kepada keturunan Palestin, di mana di akhirnya, Palestin dikongsikan bersama dengan penghijrah Yahudi. Sejak itu, Israel tidak pernah puas dengan ketetapan awal mengenai pembahagian tanah telah menggunakan pelbagai tindakan ganas merampas tanah-tanah milik penduduk Palestin. Semakin sehari, semakin mengecil kawasan yang dipunyai oleh masyarakat Palestin.

Amerika Syarikat dan negara-negara Barat terus melindungi Israel: bantuan kewangan, ketenteraan dan senjata politik untuk mengetepikan apa-apa sahaja tindakan yang boleh menghalang Israel. Amerika Syarikat dan Barat terus menyebarkan propagadan bahawa Israel berhak melakukan apa sahaja kerana rakyat Palestin ‘menceroboh’ dan melancarkan serangan ke atas mereka. Sebenarnya, Isreallah yang memulakan serangan dan penjarahan manakala penduduk Palestin dalam kedaifannya bangun bertindak balas.

Setiap kali berlaku serangan, penduduk Palestin dipersalahkan. Inilah kejayaan besar propaganda yang didalangi oleh Amerika Syarikat selepas muncul sebagai negara yang dilihat penting setelah selesai Perang Dunia II. Amerika Syarikat tidak cukup dengan itu, lalu mengeksport tafsiran demokrasi mereka ke atas negara-negara lain, termasuk di Afrika, Timur Tengah dan Asia. Mereka membentuk sebuah dasar luar yang begitu berpengaruh, umpamanya Wilsonisme.

Wilsonisme merupakan sebuah doktrin yang dicetuskan oleh Woodrow Wilson pada bulan Januari 1918 bagi menamatkan Perang Dunia I. Woodrow Wilson (1856-1924) merupakan presiden Amerika Syarikat ke-28 (1913-1921). Pengumuman ke atas 14 perkara yang dibuat oleh Woodrow Wilson (8 Januari 1918) antaranya ialah menyebarkan demokrasi, kapitalisme dan keperluan campur tangan untuk keamanan atas prinsip kemanusiaan.Perspektif itu telah menjadi rujukan utama dasar luar Amerika Syarikat.

Kemuncaknya ialah membantu pembentukan Israel, campur tangan perang di Vietnam bagi membendung penyemarakan komunisme (berdasarkan teori domino), menyekat negara-negara lain daripada membangunkan teknologi nuklear (misalnya Iran), dan seterusnya menjadi polis dunia selepas pengeboman World Trade Center (11 September 2001).

Amerika Syarikat berusaha menebus malu setelah menarik ketumbukan tenteranya di Vietnam pada tahun 1974/1975, berusaha pula untuk melakukan ketidakseimbangan politik di Timur Tengah dan Afrika setelah beberapa buah negara berkenaan ditemui simpanan minyak yang besar. Minyak merupakan keperluan yang semakin meningkat sebagai sumber tenaga utama dalam perkembangan industri.

Sebagai sebuah negara yang memerlukan sumber tenaga yang banyak, Amerika Syarikat berusaha mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara Arab dan Afrika Utara dengan pelbagai dasar pembangunan ekonomi. Akhirnya, negara-negara pengeluar minyak mula membentuk kartel (OPEC) untuk menentukan pasaran harga minyak dunia. OPEC pernah menggunakan ancaman ‘petro dolar’ dan akhirnya Amerika Syarikat mengubah perspektif penguasaannya dengan pelbagai kaedah agar telaga-telaga minyak tersebut menjadi sebahagian daripada asetnya.

Atas nama melindungi kepentingan, Amerika Syarikat sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menjadikan pemimpin-pemimpin negara pengeluar minyak sebagai boneka. Mereka menghantar syarikat perunding dengan cadangan-cadangan besar bagi mengerut hasil pendapatan daripada minyak. Tidak cukup dengan itu, bila kedudukan mereka dilihat terancam, Amerika Syarikat akan berusaha menyerang negara berkenaan. Ia telah berlaku di Irak (2003) dengan menuduh dua negara pengeluar minyak, Iran dan Irak sebagai paksi keganasan.

Bush menggunakan alasan ‘memerangi keganasan’ untuk menyerang Irak, walhal tujuan utamanya ialah untuk memiliki telaga minyak Irak. Langkah pertama ialah membantu kumpulan pemberontak dan kemudian membunuh Saddam Hussein. Begitu juga dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Libya, membunuh Muammar Gadafi. Amerika Syarikat turut memainkan peranan untuk membantu kumpulan pemberontak di Syria, yang hingga kini (sejak 2011) belum tamat.

Apabila Donald Trump memenangi kerusi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2017, tanpa pengalaman diplomatik dan politik, beliau mahukan Amerika Syarikat menjadi suatu kuasa yang lebih besar setelah melihat China semakin berupaya menguasai ekonomi dunia.

China yang mempunyai jumlah penduduk teramai di dunia, mempunyai kekuatan ekonomi domestik selepas kematian Mao Tze Tung (1893-1976) semakin memahami bahawa untuk menguasai dunia ia memerlukan perubahan agresif dalam pelaburan asing dan pelaburan ke luar negara. China membuka kemasukan pelaburan asing ke negaranya, tetapi, dalam masa yang sama mengehadkan bidang pelaburan yang boleh diteroka.

China tidak membenarkan kemasukan stesen televisyen milik asing, dan Rupert Murdock beberapa kali berusaha mempengaruhinya, termasuk berkahwin dengan wanita China (1999). Secara langsung, taikun media itu telah gagal dan akhirnya bercerai dengan Wendy Deng (2013). Sebelumnya, Wendy adalah pekerja di StarTV, Hong Kong. Wendy juga pernah dikaitkan hubungan mesra Tony  Blair, Vladimir Putin dan keluarga Donald Trump, terutama Ivanka Trump.

Gergasi media sosial, Facebook pernah berusaha untuk menembusi pasaran China. Mark Zukerberg juga gagal secara langsungnya, walaupun beliau juga turut berkahwin dengan rakyat Amerika keturunan China, Priscilia Chan (19 Mei 2012). China tidak membenarkan aplikasi facebook dilanggan secara langsung oleh rakyatnya.

Dalam menangangi perkembangan teknologi, China membangunkan perisiannya sendiri. Baidu (enjin carian), We Chat (versi WhatsApp), Ren Ren (versi facebook), Wei Bo (versi twitter), Youko Tudao (versi youtube), Dianping (business crowdsourcing)  dan  Dauban (versi Spotify, MySpace dan Sound Cloud). Untuk pembelian dalam talian, China ada platform Alibaba.

Paltform ini semakin mencabar e-dagang antarabangsa dari segi kedudukan jualan dan terdapat beberapa platform e-dagang terpaksa bekerjasama dengan Alibaba dan anak syarikatnya (AliPay, Aliexspress, Tmail Alibaba dan Taobao). Bahkan, aplikasi yang begitu popular masa kini, Tik Tok adalah berasal daripada China.

Popularitinya akan menghasilkan pendapatan besar kepada perekabentuk dan kerajaan China. Ia akan meningkatkan nilai saham dan seterusnya imej China dalam teknologi perisian dan kecerdasan buatan. Ada dakwaan bahawa wang yang dihasilkan daripada aplikasi Tik Tok itu telah digunakan untuk membina ‘kem pemulihan masyarakat Ughur’ yang didakwa sebagai tindakan penghapusan pemeluk agama Islam.

COVID-19 pada awalnya didakwa sebagai bala dari Tuhan untuk negara China kerana menindas pemeluk agama Islam. Dakwaan ini kemudiannya menjadi sepi setelah wabak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik, dan tersebar ke seluruh dunia. Sebelum Amerika Syarikat berada dalam posisi teratas, Itali merupakan negara yang teruk dilanda wabak tersebut bersama-sama Iran.

Kini, semua negara Eropah semakin dilihat tidak mampu untuk menanganinya walaupun pernah dianggap mempunyai kaedah penjagaan kesihatan terbaik di seluruh dunia bersama-sama Amerika Syarikat. COVID-19 telah mengubah perspektif kepakaran dunia, dan mula dilihat China sebagai kuasa baharu dalam penyebaran maklumat, tumpuan kesihatan dan pembinaan ekonomi dunia. Inilah kebimbang Amerika Syarikat dan negara itu sedang melancarkan propaganda untuk menyerang China menerusi krisis kemanusiaan akibat COVID-19.

Selepas China berjaya merampas kedudukan Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar mulai tahun 2000 dan dalam tempoh tiga puluh tahun, China dikatakan bakal mengatasi ekonomi Amerika Syarikat. Kedudukan itulah sebenarnya membimbangkan Donald Trump, maka dalam kempen Pilihan Raya Presiden 2016, Trump menggunakan slogan “Make American Great Again”.

Trump menang dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 pada 20 Januari 2017. Beliau berusaha untuk memperkuatkan kedudukan Israel dengan meluluskan pemindahan pusat pemerintahan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis (Jerusalem), tegas untuk membina tembok di sempadan Mexico bagi menyekat kemasukan imigran dari Amerika Tengah dan Latin, menyekat kemasukan imigran daripada negara-negara Arab atau dalam kalangan penganut Islam (Afrika Utara, Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh), dan paling berkesan ialah melaksanakan perang perdagangan dengan China.

Ekoran kebimbangan Trump terhadap penguasaan China dalam bidang telekomunikasi, beliau memulakan kempen menyekat Huawei dengan alasan terbabit dalam kerja-kerja pengintipan bagi pihak kerajaan China. Anak kepada pengasas Huawei ditangkap dan Trump mengarahkan syarikat-syarikat negara tersebut agar tidak memberikan kerjasama perniagaan Huawei. Huawei dikatakan lebih terkedepan dengan mana-mana syarikat telekomunikasi dunia dalam membangunkan teknologi 5G.

Dalam sekatan tersebut, Trump turut memberi amaran kepada China untuk mengenakan tariff yang lebih tinggi kepada produk China yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat. China mengambil langkah yang sama, akhirnya Amerika Syarikat sedar, dengan memperluaskan perang perdagangan dengan China, imejnya semakin rosak dan sukar diperbaiki lagi. Ini kerana China sudah menguasai banyak negara, terutama dalam memberi hutang dan membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur di negara-negara membangun dan sedang membangun.

China juga telah mendapat sokongan daripada banyak negara untuk membina One Belt One Road atau versi baharu kepada jalan perdagangan lama Silk Roads hingga ke Eropah. Projek ini akan meningkatkan lagi kedudukan China sebagai kuasa hegemoni dunia, dan jika tidak dihalang, ia akan menyebabkan Amerika Syarikat semakin tersisih dalam perdagangan dunia. Hampir semua produk yang dikeluarkan  oleh Amerika Syarikat boleh didapati alternatifnya dari China.

China terus berusaha menguasai industri automotif dunia dengan membeli saham syarikat-syarikat automotif terkemuka dunia yang berhadapan dangan masalah, China membeli saham dalam Volvo, MG Motors, Daimler dan perniaagaan lainnya, seperti telekomunikasi (Motorola dan Nokia), perniagaan makanan (Pizza Express dan Wetabix), tayar kereta (Pireli), produk bayi (Tommee Tippee), pengangkutan awam (London Taxi), kelab bolasepak (Inter Milan), pakej percutian (Club Med), perlumbaan triathlon (Iron Man) dan pakaian (Cerutti).

Penguasaan China dalam pelbagai platform perniagaan itu secara agresifnya ialah pemilik-pemilik perusahaan di Barat sedang mengalami masalah ‘beban sejarah’ kerana masih belum dapat keluar daripada kerangka asasnya. Misalnya, dalam industri automotif. China mempunyai penekanan terhadap teknologi kereta elektrik. Walaupun ada beberapa buah syarikat di Amerika dan Eropah membangunkan teknologi tersebut (misalnya Tesla dan Nissan dari Jepun), kerana tidak terikat dengan ‘beban sejarah’, China telah membangunkan teknologi lithium ion dengan serius.

Tahun 2020, China menyasarkan untuk mendirikan 4.3 juta stesen persendirian dan 0.5 juta stesen awam untuk mengecas bateri kereta. Tahun 2025, China menyasarkan teknologi kereta elektrik keluaran syarikat milik China akan menguasai trend penggunaan kereta elektrik seluruh dunia. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan China mengeluarkan pelaburan yang besar. China dikatakan mempunyai hampir 400,000 jurutera terlatih dan mereka digerakkan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Memang ia merupakan kebimbangan besar bagi Amerika Syarikat apabila sebahagian besar pekerjaan dan tenaga berbakat yang ada di Amerika Syarikat adalah tenaga kerja bukan warganegara. Di Silikon Valley, misalnya lebih enam peratus pekerja dalam teknologi digital adalah tenaga daripada China, India dan lain-lain negara.

Syarikat-syarikat milik China semakin banyak menguasai dalam pengeluaran hardware (kos yang lebih murah) dan terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan.

Sebahagian daripada penemuan-penemuanya tersebut turut dikongsikan antara mereka. Dalam masa-masa tertentu, tenaga pakar keturunan China turut berkongsi penemuan tersebut dengan rakan-rakan atau syarikat-syarikat daripada China. Ini mengakibatkan pertumbuhan pengeluaran di Amerika Syarikat semakin kecil manakala China semakin pesat.

Ekonomi China tumbuh dengan kadar dua angka setiap tahun manakala Amerika Syarikat semakin meleset selepas berlakunya Krisis Subprima pada tahun 2007. Sebab itulah Donald Trump inginkan pelabur-pelabur warganegara Amerika Syarikat kembali melabur dalam negara untuk memperkuatkan pertumbuhan ekonomi domestik; dan memberi peluang kepada rakyat tempatan peluang pekerjaan. Ini kerana syarikat-syarikat milik asing, akan memberikan tumpuan mengambil ekspatriat daripada negara masing-masing, manakala rakyat tempatan mungkin diberikan peranan lebih kecil, kecuali dalam bidang kepakaran yang tidak dikuasai mereka.

(Bersambung)

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply