COVID-19, CHINA LEBIH HEBAT (AKHIR)

Wabak COVID-19 (sehingga 21 April 2020) telah menjangkiti 2,481,026 juta dengan kematian seramai 170,423 orang di seluruh dunia. Amerika Syarikat sejak lebih seminggu lalu sudah mengatasi jumlah pesakit di Itali dan menduduki carta negara paling ramai dijangkiti dan mati akibat COVID-19. Amerika Syarikat mempunyai 792,759 positif dengan kematian seramai 42,514 orang.

Sepanyol menduduki tangga kedua dengan 200,210 positif dan 20,852 meninggal dunia. Diikuti Itali (181,228 positif dan 24,114 kematian), Perancis (155,383 positif dan 20,265 kematian), Jerman (147,065 positif dan 4,682 kematian), United Kingdom (124,743 positif dan 16,508 kematian).Turki (90,980 positif dan 2,140 kematian), Iran (83,305 positif dan 5,209 kematian), China (82,758 positif dan 4,632 kematian), Rusia (47,121 positif dan 405 kematian).

Apabila melihat data yang dikeluarkan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), COVID-19 telah menjangkiti hampir ke seluruh negara, termasuk negara-negara kepulauan kecil yang kemudahan pegangkutannya adalah terhad. Ini bermakna, COVID-19 bukan lagi masalah penyakit yang hanya berlaku di Wuhan, China di mana tempat pertama mula dikesan dan mula didaftarkan sebagai kes pertama pada 17 November 2019. (Sinar Harian, 13 Mac 2020).

Kes pertama dilaporkan di Malaysia direkodkan pada 23 Januari 2020 menerusi tiga orang warganegara China yang memasuki Malaysia menerusi Johor dari Singapura. Pada hari yang sama, Menteri Kesihatan mengeluarkan pengumuman agar rakyat Malaysia tidak digalakkan  melancung ke China.   Tiga hari selepasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan alat imbasan suhu badan ditambah di pintu masuk negara dan 27 Januari mengarahkan 26 buah hospital di seluruh negara bersiap siaga untuk menerima pesakit COVID-19 kerana ia sudah dikelasifikasikan sebagai epedemik.

11 Mac 2020,  WHO mengeluarkan arahan bahawa wabak COVID-19 sudah memasuki peringkat pandemic. Pandemik ialah wabak yang menyerang dalam skala yang besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau wilayah. Endemik ialah keadaan di mana sesuatu wabak penyakit hanya wujud dalam sesuatu masyarakat atau kawasan, dan ia mudah dikawal. Epidemik bermaksud, wabak merebak dalam komuniti dengan lebih cepat dan masih boleh dikawal dengan langkah-langkah sederhana.

Pandemik lebih meluas dan proses kawalannnya adalah lebih rumit dan melibatkan keputusan dasar yang tegas dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada di peringkat orang perseorangan, masyarakat, organisasi, pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasaan. Malaysia mula mengambil langkah mengawal pandemik dengan berusaha ‘memutuskan rantaian jangkitan’ dan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan mula 18 Mac 2020.

Semakin menunjukkan kejayaan, dan kedudukan jumlah positif COVID-19 menunjukkan ‘pelandaian kurva’. Indonesia berada di kedudukan kedua teratas selepas Singapura yang semakin meningkat dalam kalangan kluster ‘pekerja asing’. Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu yang kemudiannya dilanjutkan ke 28 Mac 2020 manakala Singapura sudah mengumumkan kawalan pergerakan sehingga 1 Jun 2020 manakala Indonesia mengharapkan tidak akan berlaku “arus balik kampong’ sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini (akhir Mei) dan mengisytiharkan cuti perayaan akan berlangsung diakhir tahun.

China dikatakan berjaya mengawal wabak tersebut apabila mengambil tindakan tegas dengan memperkenalkan perintah berkurung ke atas semua penduduk Wilayah Hubei, di mana wabak itu dikatakan dikaitkan dengan pasar basar Wuhan yang menjual makanan eksotik. Pada mulanya, virus Wuhan itu dikaitkan dengan kegemaran masyarakat China memakan ular, dan beberapa hari kemudian ia dikaitkan pulan dengan tabiat memakan kelelawar. Virus itu tidak mati walaupun dimasak sebagai sup, sebaliknya, virus itu mendapat ‘perumah baru’ dalam badan manusia. Ia kemudiannya dijangkiti kepada manusia menerusi kahak yang keluar daripada batuk atau hingus yang keluar akibat bersin.

Penularan wabak itu begitu cepat, yang mungkin secepat kemajuan teknologi ciptaan manusia moden. Akhir bulan Januari, dua pelancong China dikatakan positif COVID-19 telah memasuki di Itali dan dalam tempoh dua mingggu telah menjangkiti lebih 15,000 orang dengan 1,000 kematian. (https://www.editormalaysia.com/13955/). Itali menjadi negara kedua teramai selepas China dan menjadi pusat penyebaran COVID-19 ke 27 buah negara lain (Austria, Bosnia-Herzegovina, Afrika Selatan, Greek, Russia, Belanda, Switzerland, Portugal, Repablik Czech, Ireland, Argentina, Ukraine, Iceland, Morocco, Latvia, Jordan, Tunisia, Andorra, Luxembourg, Mexico, Repablik Dominica, Lithuania, Nigeria, Denmark, Macedonia Utara, Romania dan Brazil).

21 Januari, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Itali, Dario Franceschini dan rakan sejawatnya dari China, merasmikan pelbagai upacara bagi meningkatkan pelancongan dan pertukaran budaya antara dua negara bagi tahun 2020. Sepuluh hari kemudian (31 Januari), Perdana Menteri Itali mengisytiharkan kecemasan selama enam bulan dan seterusnya menyekat kemasukan pelancong-pelancong dari China dengan menghentikan kemasukan pesawat daripada negara pemula wabak itu.

Kesan daripada sekatan dan kaitannya dengan China, telah muncul sentimen anti keturunan China di seluruh dunia, hanya kerana dibimbangi oleh dijangkiti wabak COVID-19. China berusaha bertungkus lumus untuk menyelamatkan rakyatnya dengan membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar dari Wilayah Hubei, mengarahkan rakyatnya berkurung di rumah, menutup semua pintu masuk, premis perniagaan dan kilang.

Penutupan kilang telah mengakibatkan banyak pengeluaran produk tergendala, termasuk industri automatif yang membeli (mengikat kontrak) dengan China dalam beberapa komponen kenderaan. Antara yang terjejas ialah Hyundai, Nissan-Renault dan Honda.

Selepas dua bulan dikenakan perintah kawalan, pada 19 Mac 2020 buat pertama kalinya Wuhan tidak lagi merekodkan sebarang kes jangkitan tempatan baharu. Meskipun masih ada jangkitan (34 kes), tetapi ia dikelasifikasikan sebagai jangkitan import, iaitu daripada kemasukan rakyatnya dari luar negara dan pelancong.

Akhir Mac, iaitu selepas 14 hari tidak berlaku jangkitan tempatan, sekatan pergerakan dicadangkan dilonggarkan. Penduduk Wuhan dibenarkan bekerja semula tetapi dengan waspada. Beberapa hari kemudian, dilaporkan pasar basah Wuhan yang menjadi punca penyakit dibenarkan beroperasi.

China mula membantu

Selepas kejayaan China berjaya menangani wabak COVID-19 dan Amerika Syarikat serta negara-negara lain berhempas pulas untuk melandaikan geraf mereka yang positif, China menjadi tumpuan semula atas dasar keprihatinannya kepada masyarakat dunia. Bagi membantu Itali, China menghantar bantuan peralatan yang diperlukan di samping pakar perubatan. Ketika China dilanda wabak itu, China mengambil keputusan untuk mengekang dengan caranya sendiri, bahkan tidak bersedia menerima bantuan kepakaran Amerika Syarikat.

Malaysia dan Indonesia tidak terkecuali menerima bantuan daripada China. Kejayaan China dalam menangani wabak tersebut turut menjadi perhatian banyak negara, yang sudah pasti akan menimbulkan banyak gambaran buruk terhadap negara-negara Barat. Barat pernah memperlekehkan cara China mengatasi penularan wabak COVID-19 pada peringkat permulaan, namun negara-negara tersebut terus mengharapkan China akan terus menjual topeng muka dan peralatan kesihatan.

Negara-negara Barat dilihat tidak bersedia menguruskan krisis dengan baik walaupun dari pengetahuan moden mereka mempunyai keupayaan yang hebat. Model pengurusan krisis seolah-olah menjadi bahan akademik, tidak dipraktikkan dengan berkesan termasuklah apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat sekarang. Itali juga dikatakan telah gagal untuk menangani pengurusan kesihatan yang berkesan apabila dilaporkan tidak cukup peralatan dan kemudahan untuk merawat dan menguruskan pesakit. Bilangan katil di hospital tidak mencukupi.

penguncupan ekonomi

Ia berbeza dengan China. China berjaya membangunkan hospital sementara dalam tempoh yang singkat bagi memenuhi keperluan. China juga mempunyai jumlah pakar perubatan yang banyak, tidak berhadapan dengan masalah kekurangan para medik. Keadaan ini tidak berlaku di Eropah mahupun di Amerika Syarikat. Bahkan dalam pelaksanaan dasar kawalan terhad juga negara-negara tersebut dikatakan gagal. Trump sentiasa bertelagah dengan Gabenor New York dalam hal itu. Apabila arahan menutup premis perniagaan dilaksanakan, Gabenor New York membalasnya dengan kritikan, ia akan mengakibatkan penguncupan ekonomi.

Ekonomi Amerika Syarikat sebenarnya sudah lama menguncup. Ia belum boleh dikatakan pulih sepenuhnya daripada krisis Subprima yang berlaku pada tahun 2007/2008 lagi. Namun China, terus melonjakkan pertumbuhannya kepada dua angka. Kini, ekonomi China dijangka tumbuh di bawah 4 peratus akibat COVID-19. Bagaimanapun, China dianggarkan dapat melakukan lonjakan yang besar selepas wabak COVID-19 selesai.

China boleh cepat pulih ialah kerana agresifnya mereka dalam mencari peluang pelaburan, di mana hampir semua bidang mereka ada. China tidak mempedulikan tempelak Amerika Syarikat terhadap ‘harta intelek’, dan bersedia berhadapan dengan ancaman yang dilakukan ke atasnya, termasuk perang perdagangan yang dilakukan oleh Donald Trump sebaik sahaja beliau menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2017. Memasuki tahun kedua kepresidenannya, Trump dilihat semakin ghairah untuk mengurangkan defisit perdagangan dengan China.

naikkan tarif produk

Setelah menyedari kemungkinan China menjadi negara yang bekerjasama dalam Trans Pacific Partnership (TPP), Trump membuat keputusan untuk menarik diri. China menjadi pelopor dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan negara-negara ASEAN turut menerima pukulan daripada Trump apabila pada 5 April 2018, mengancam untuk menaikkan tarif  produk China yang memasuki Amerika Syarikat.

Tembakan pertama Trump itu dilepaskan pada 22 Mac 2018 apabila menanda tangani Memorandum Presiden yang menjelaskan, menurut ‘Siasatan 301’, tariff berskala besar akan dikenakan ke atas produk China, menyekat pelaburan dan penggabungan syarikat-syarikat perniagaan China dengan syarikat-syarikat AS. Ini bermakna, China tidak lagi akan diberikan kelonggaran untuk memiliki sahama sepenunya dalam syarikat-syarikat mereka yang beroperasi di Amerika Syarikat.

Bulan September 2018, Amerika Syarikat mengumumkan tariff 10 peratus akan dikenakan terhadap produk China bernilai AS$200 bilion (RM 827 bilion). China melakukan perkara yang sama sebagai tindak balas ke atas Amerika Syarikat, akan mengenakan tariff antara 5 hingga 10 peratus ke atas produk Amerika Syarikat yang dianggarkan bernilai AS$60 bilion (RM248 bilion). Amerika Syarikat terpukul dengan reaksi balas, kemudiannya menarik balik cadangan awal dan bersedia memulakan rundingan.

Ia akan menyebabkan rakyat Amerika Syarikat mula melihat ‘kegilaan melampau’ Trump. Dengan menaikkan tariff, produk China akan menjadi lebih mahal sedangkan sebahagiannya tidak ada dikeluarkan oleh pengeluar domestik. Kenaikan harga akan menyebabkan rakyat Amerika Syarikat terpaksa berbelanja lebih bahkan dalam keadaan lain, produk Amerika Syarikat juga akan mengalami kenaikan kerana sebahagian komponennya dikontrakkan di China.

Harga produk Apple misalnya akan melambung tinggi, manakala China bersedia mencabar produk tersebut dengan harga yang lebih murah. Kini, produk jenama China, terutama dalam peralatan telekomunikasi telah menguasai pasaran global manakala Apple terkial-kial untuk mengekalkan kedudukannya yang semakin tipis akibat lambat mengeluarkan produk baharu.

Namun pada bulan November ini akan berlangsung pemilihan semula presiden Amerika Syarikat dan Donald Trump dijangka akan mempertahankan kerusi tersebut untuk tempoh sepenggal lagi. Mahu tidak mahu, Trump yang sedang berhadapan dengan pengurusan Wabak COVID-19 perlu menunjukkan keberkesanan polisinya demi memenangi pertandingan tersebut, begitu juga dengan peningkatan ekonomi.

tekanan politik dalaman

Ia berbeza dengan China, Xi Jinping tidak berhadapan dengan tekanan politik untuk mengekalkan kuasanya. Beliau boleh menumpukan perancangan yang jelas dan jitu untuk menjadikan China mampu berkembang dengan pertumbuhan sekitar 6 peratus walaupun ada laporan, akibat COVID-19, ekonomi China mungkin mampu menunjukkan pertumbuhan sekadar 4 peratus.

Ketika ini, China mula menjadi tumpuan untuk mendapatkan peralatan sokongan dan perkasasan yang diperlukan bagi menghindari daripada jangkitan COVID-19. Amerika Syarikat sudah lama tidak mengeluarkan produk-produk tersebut secara domestik kerana lebih menumpukan kepada persaingan teknologi, apatah lagi produk-produk sedemikian mempunyai margin untung yang kecil.

China melakukan apa sahaja, apa yang penting ialah boleh menghasilkan wang dan memberikan pekerjaan kepada rakyatnya. Amerika Syarikat tertekan dengan undang-undang buruh, maka kadar upahnya adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan China. Kos pengeluaran yang tinggi menyebabkan produk keluaran Amerika Syarikat tinggi, dan adalah lebih selesa mengimport daripada China.

China agresif membuka pasaran baharu. China menggunakan setiap aspek kelebihannya untuk menandingi Amerika Syarikat, bahkan dari segi tenaga mahir, dalam setahun lebih 30,000 jurutera muda dilahirkan menerusi pendidikan, dan mereka inilah yang akan menggerakkan perkembangan industri di China. China tidak memerlukan kepakaran atau tenaga kerja dari luar, sebaliknya, Amerika Syarikat bergantung kepada tenaga kerja asing, walaupun pencetus kepada pembangunan teknologi itu adalah rakyat tempatan. Inilah yang berlaku di Silikon Valley.

semangat orang China

Firma-firma penyelidikan teknologi Amerika Syarikat dipenuhi oleh tenaga kerja luar, sama ada daripada China atau India dan Pakistan. Berbeza dengan firma-firma China di Amerika Syarikat, peringkat pengurusan dan kakitangan pertengahan terus dikuasai oleh etnik China, sama ada China-Amerika ataupun Asia-Amerika. Dari perspektif itu Amerika Syarikat sudah pun kalah dan sebagaimana diketahui, semangat orang China adalah lebih kuat terikat dengan leluhurnya walaupun sudah diberikan taraf kerakyatan Amerika Syarikat.

Tentunya dengan berkembangnya sentiment ‘anti China’ atau “anti-Asia’ yang berlaku akibat COVID-19 ini akan menyebabkan tenaga pakar dari etnik China lebih cenderung memilih untuk bekerja dalam firma-firma China. Ia akan menyebabkan firma-firma Amerika Syarikat mengalami kekurangan tenaga pakar, akibat penghijrahan mereka ke mana-mana firma China di seluruh dunia.

kuasa mata wang

Selepas in, mungkin Amerika Syarikat akan kembali menekan China agar menaikkan nilai matawang remimbi agar dapat bersaing dengan produk keluaran mereka. Tindakan ini pernah digunakan oleh Amerika Syarikat pada penghujung tahun 1990-an, ketika nilai Yen tinggi. China tidak mengendahkan permintaan Amerika Syarikat dan terus mengekalkan nilai mata wangnya. Dalam persaingan itu, Amerika Syarikat dilihat terpaksa mengalah dan China terus berjaya mengukuhkan kedudukannya sehingga berjaya merampas kedudukan sebagai ekonomi kedua terbesar daripada Jepun.

COVID-19 dijangka dapat memenangkan China dalam persaingan ekonomi dunia. Jangkaan ini berdasarkan kepada beberapa faktor kekuatan politik dan ekonomi China di mana dasar agresifnya sering menjadikan Amerika Syarikat lemas. Apatah lagi sebahagian firma-firma Amerika Syarikat dan Barat masih terkongkong dengan nostalgia sejarahnya tersendiri, sukar untuk melepaskan teknologi lama. China memulakan pengembangan industri berdasarkan teknologi semasa, dan sebab itulah ketika firma telekomunikasinya dikenakan tekanan, China sudah bersiap sedia untuk melancarkan teknologi 5G.

China sudah mempersiapkan infrastruktur dan program One Belt One Road (OBOR) nya sudah dimulakan. Ini bermakna, di sepanjang OBOR akan dijadikan laluan fiber optik bagi mempercepatkan perkembangan penggunaan teknologi 5G. China, setelah mendapat halangan dari Amerika Syarikat telah mengerahkan tenaga pakarnya untuk terus memperkembangak teknologi tersebut dan kini, ia semakin membuktikan bahawa China sedang memimpin dan mempelopori pasaran.

Perkakasan (hardware) mereka sudah dilengkapkan dengan teknologi 5G manakala perisian mereka semakin canggih dan ada di antaranya lebih baik daripada yang dikeluarkan oleh firma Barat atau Amerika Syarikat, misalnya Huawei AppGallery, semakin diterima umum berbanding GooglePlay.

Seperti jelas Jack Ma, pengasas platform e-dagang terkemuka China, Jack Ma: Orang China mereka menyimpan wang di dalam bank. Orang barat, gunakan wang untuk kemewahan dan berfoya-foya atau mencari keselesaan. Orang China mengumpul wang, dan wang dikumpulkan itu digunakan untuk mencipta wang lagi. Sebab itu orang China telah berjaya dan dilihat mempunyai banyak wang.”

China sekarang menggunakan wang untuk melabur dan mengembangkan pelaburannya di merata-rata tempat di dunia. Mereka disokong oleh kerajaan, bukan dikongkong oleh dasar-dasar kerajaan yang terlalu birokratik dan bersifat spekulatif. Dan, yang lebih penting ialah mendapat bantuan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha-pengusaha China seluruh dunia, tanpa dibataskan oleh taraf kewarganeraan. Mereka lebih mengutamakan leluhur, keturunannya sendiri.

Persaingan dan pergelutan pasca COVID-19 akan menyaksikan China lebih hebat berbanding Amerika Syarikat. Amerika Syarikat akan terus terkial-kial untuk ‘menari dalam pentas ekonomi’ akibat kesakitan yang dialmi oleh rakyatnya akibat COVID-19. Begitu juga Eropah, dan China sedang mengambil kesempatan ketika harga minyak dunia terlalu murah. Memborong minyak dengan banyaknya, dan ini akan membantu China akan menjana keuntungan ekonomi yang lebih besar selepas COVID-19 benar-benar berakhir.

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply