COVID-19 DAN HARI KEKASIH?

Hari ini adalah Hari Memperingati Kekasih. Kekasih secara lazimnya adalah seorang lelaki atau perempuan yang belum diikat oleh lafaz ijab dan Kabul atau perkahwinan. Mereka mungkin saling berusaha ‘mengenal hati budi’ dan tentunya, harapan berbunga-bunga agar perhubungan itu berakhir ‘pelamin perkahwinan’ sama ada disambut gilang gemilang atau hanya sekadar kedua belah ahli keluarga.

Bagi masyarakat Islam, tidak ada hari yang khusus untuk mempraktiskan ‘kasih sayang’ dalam keluarga. Setiap hari umat Islam dianjurkan hidup dalam suasana ‘kasih sayang’ dalam keluarga dan bermasyarakat, setiap hari adalah ‘hari kasih sayang’.

Tradisi menyambut Hari Kekasih adalah pautan psikologi yang sengaja diciptakan untuk kepentingan dunia kapitalis. Para peniaga menggunakan Hari Kekasih untuk melipatgandakan keuntungan perniagaan dari sekecil-kecil pemberian bunga hinggalah pakej pelancongan dan keraian yang mewah.

Tahun ini, sambutan Hari Memperingati Kekasih ‘kurang menjadi’. Sebabnya boleh kita ketahui kerana keadaan ekonomi tidak mengizinkan untuk pasangan kekasih meraikan ‘tindakan memujuk’ atau ‘menghargai kekasih’ dengan makan malam bertemankan cahaya lilin yang mahal di hotel. Mungkin cukup sekadar menghantar pesanan ringkas atau mesej menerusi WhatsApp peribadi.

Untuk menghadiahkan jambangan bunga, sekurang-kurangnya perlu menggunakan khidmat penghantaran online dan harganya adalah lebih mahal daripada hari-hari biasa.

Tahun ini, gimik promosi menyambut Hari Kekasih tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Ini mungkin kerana sebahagian daripada kita mula sedar, potensi dijangkiti wabak coronavirus yang pertama kali di kesan di Wuhan, China dan kini dikenali dengan nama COVID-19 (Corona Virus Desease 2019) telah mengorbankan lebih 1300 nyawa dan 19 orang di Malaysia telah dijangkiti. Seorang daripada penerima jangkitan itu dikatakan tidak ada kontak langsung dengan etnik China dari Wuhan.

COVID-19 telah menyebabkan dunia dalam kebimbangan. Industri hotel dan penerbangan mengalami pembatalan penempahan yang besar. Di Malaysia sahaja dianggarkan industri pelancongan sudah rugi puluhan juta ringgit manakala perniagaan yang berkaitan dengan makanan mengeluh ‘kekurangan pelanggan’. Bank-bank komersial sudah bersedia untuk membantu mereka yang terjejas, dengan menangguhkan pembayaran balik pinjaman untuk beberapa bulan.

Berita mengenai jangkitan COVID-19 terus menguasai persada maklumat menerusi media konvensional dan juga media sosial. Lebih menyedihkan apabila citizen journalist menyiarkan perkara yang tidak sahih, sehingga menakutkan orang ramai tentang bahayanya. Lebih memilukan ialah seorang doktor di China turut terkorban jangkitan COVID-19. Doktor berkenaan akan terus diingati apabila pemberitahuannya tentang adanya ancaman berkenaan disalah tafsir oleh pihak berkuasa. Beliau ditangkap atas dakwaan menyebarkan berita palsu. Kini, sejarah doktor malang itu  diangkat sebagai ‘hero’ dan memaksa beberapa orang yang mengambil tindakan ke atas beliau hilang jawatan atau dipecat.

Gelombang ‘kemarahan’ rakyat terhadap perilaku tersebut tersebar hampir ke seluruh dunia. China, sebagai sebuah kuasa ekonomi kedua terbesar, turut menerima serangan akibat sikapnya yang dianggap ‘acuh tak acuh’ ketika wabak tersebut mula dikesan. Kini, China bukan sahaja memperketatkan kaedah saringan penduduk bahkan bertungkus lumus untuk mengawal COVID-19 yang sudah diisytiharkan sebagai epedemik. Sekurang-kurangnya dua buah hospital segera berjaya dibangunkan dalam masa yang singkat untuk memberi rawatan terhadap pesakit.

Keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap produk eksport China turut merudum. Pengeluaran kereta dunia terutama dari Korea Selatan turut terjejas, ekoran kilang yang menghasilkan komponen kenderaan yang diimport dari China menggantung pengeluaran ekoran ancaman COVID-19.

Kesannya turut dirasai di Malaysia. Pengguna turut berhati-hati dalam memilih ‘makanan dalam tin’ sehingga ada pihak yang menyebarkan kod bar produk yang berasal daripada China untuk dielakkan kerana takut virus tersebut ikut sama berada di dalam tin makanan yang dibeli. Itulah kegemparannya. Itulah ketakutan yang turut menyebabkan jualan topeng muka, pencuci pembasuh tangan (hand wash) meningkat.

Harga topeng muka turut meningkat, walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tegas, termasuk membatalkan lesen perniaagaan akibat menjual dengan harga melampau. Bukan kali pertama peniaga menaikkan harga, bahkan setiap kali kedengaran ada wabak penyakit yang boleh disebarkan menerusi ruang udara dikesan, setiap kali itulah topeng muka laris benar. Ketika negara dilanda jerebu, meningkatnya wabak H1N1, SARS, dan cuaca kering melampau, topeng muka pasti menjadi pilihan untuk menghalang musibah jangkita atau terkena virus.

Kenapa COVID-19 saya kaitkan dengan Hari Meraikan Kekasih? Virus kepada wabak ini dipanggil corona. Corono bermaksud mahkota. Kekasih juga diibaratkan sebagai mahkota, di mana wanita memilikinya. Kita mungkin pernah mendengar, orang tua sentiasa berpesan kepada anak perempuan agar jaga tingkah-laku, tidak berkawan dengan lelaki sembarangan, jangan mudah terpikat dengan lelaki atas alasan kekacakannya, sebalik kepada lelaki yang beriman atau ada budi pekertinya. Kenapa? Ramai lelaki ‘suka mengambil peluang’ dan ‘menggunakan kesempatan’ sehingga mahkota yang berharga itu umpama ‘kelapa ditebuk tupai’. Bila berlaku keadaan demikian, sukar untuk lelaki menerima perempuan yang dianggap ‘buruk akhlak’nya meskipun kejadian tersebut ada kalanya atas alasan ‘kesetiaan’ ataupun ‘dipaksa’.

Itulah sebabnya dalam kehidupan, Islam tidak membenarkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan bukan muhrim. Pergaulan bebas bukan sahaja dipandang sebagai perilaku yang rosak bahkan akhlaknya juga rosak. Maka itulah sebabnya sama ada lelaki atau perempuan beragama Islam tidak wajar menyambut Hari Memperingati Kekasih sebelum berkahwin, tetapi penerapan kasih sayang antara pasangan hendaklah berjalan terus tanpa dikhususkan hanya setiap kali tibanya tarikh 14 Februari.

Perlu diingatkan juga pada tarikh 14 Februari ada beberapa peristiwa yang menyedihkan bagi umat Islam. Pada tarikh tersebut tahun 1492 empayar Islam di Sepanyol jatuh ke tangan askar Kristian.

Kenapa 14 Februari adalah hari yang dihubungkan dengan kasih sayang? Sejarahnya dikatakan bermula di Rom, Itali. Cladius II, seorang tentera yang gagah perkasa ketika berada di medan perang berbanding tentera-tentera lain yang sudah berkahwin. Atas alasan kekuatan tentera diperlukan untuk mempertahankan negara, Cladius II menghalang rakan-rakan tenteranya daripada berkahwin. St Valentine, seorang perempuan cantik telah mengingkari larangan Cladius II, dan beliau menganjurkan upacara perkahwinan secara rahsia para pemuda. Rahsia itu kemudiannya diketahui oleh Cladius, St Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 259M.

Ada juga pendapat mengatakan, Hari Memperingati Kekasih adalah satu pesta muda-mudi yang diamalkan oleh masyarakar Rom kuno sebagai hari “penyucian diri’. Sepanjang pesta berkenaan, muda-mudi diberikan kebebasan untuk berpoya-poya termasuk melakukan hubungan seks tanpa ada ikatan perkahwinan.

Syaikh al-Utsaimin (Abu ‘Abdullah Muhammad bin Shalih bin Muhammad bin Sulaiman bin Abdur Rahman Al-‘Utsaimin At-Tamim, 1925-2001) pernah menasihatkan agar tidak menyambut Hari Memperingati Kekasih. Bagi al-Utsaimini: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Meskipun tidak semua aktiviti meraikan Hari Kekawih berakhir dengan ‘hubungan seks’. Islam tetap melarangnga kerana ia membuka kepada permulaan maksiat dan mungkin berkembang kepada zina.. Firman-Nya yang bermaksud : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” ( Surah al-Israa’ ayat 32)

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply