COVID-19 jadi iktibar, pengawasan jangka panjang

UMAT Islam perlu meyakini penyakit itu datang daripada Allah SWT berdasarkan sebab-musabab yang selalunya dikaitkan gaya hidup manusia. Malah, Allah SWT juga menyembuhkan sesuatu penyakit berdasarkan sebab-musabab dengan penemuan ubat bagi penyakit berkenaan.

Gaya hidup manusia membawa makna luas. Sebagai contoh, aktiviti seks songsang akan menyebabkan dijangkiti HIV, manakala perokok tegar berisiko sakit berkaitan paru-paru dan pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan kencing manis.

Begitu juga cara hidup yang memusnahkan alam dengan penggunaan plastik, sedangkan orang yang gemar memakan makanan eksotik seperti ular, kelawar dan tikus boleh terdedah kepada risiko COVID-19.

Mengikut wakil Institut Kebangsaan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit seperti dipetik agensi Xin Hua, 33 daripada keseluruhan 585 sampel diperoleh dari pasar Huanan, Wuhan, mengandungi asid nukleik 2019-nCoV.

Laporan sebelum ini menyebut kebanyakan kes penyebaran penyakit berjangkit dari segi kedudukan geografi itu menunjukkan hubung kait rapat antara epidemik dan pasar malam makanan laut.

Dalam bahasa mudah, coronavirus berpunca daripada virus berasal daripada haiwan sakit khasnya berbisa dan eksotik.

Perkataan yang menarik di sini ialah haiwan berbisa dan eksotik sakit. Sakit di sini mungkin sakit dialami haiwan berkenaan apabila hendak dibunuh untuk dijadikan sajian atau haiwan berkenaan memang sakit.

Apa yang ingin ketengahkan dalam tulisan ini adalah berkaitan pengajaran atau langkah yang patut diambil untuk dijadikan iktibar dan persediaan pada masa akan datang sekiranya ia berulang lagi.

Pertama, kita mesti mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan halal dan baik kerana setiap tegahan atau larangan Allah SWT mempunyai sebab tertentu.

Kedua, wabak yang berlaku memberi ruang kepada kita untuk mengkaji atau menjalankan penyelidikan dan seterusnya mencari vaksin atau penawar. Kita tidak boleh selama-lamanya mengharap negara maju sahaja untuk mencari vaksin. Sudah tiba masanya negara Islam bergabung tenaga untuk mencari penyelesaian.

Vaksin antara penemuan paling penting dalam bidang perubatan kerana membawa manfaat sangat besar. Dengan adanya vaksin, banyak penyakit dan wabak hampir hilang di dunia seperti polio.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini pengaruh gerakan antivaksin semakin kuat. Ia amat membimbangkan, terutama jika mempunyai anak kecil kerana pengurangan dalam kadar program vaksin akan membawa kesan mudarat kepada seluruh masyarakat.

Penyakit seperti demam campak makin menjadi-jadi kerana penolakan vaksin.

Ketiga, peranan netizen di media sosial. Apabila berlaku sesuatu isu sama ada dalam atau luar negara, kita dapat lihat munculnya ‘pakar tidak berkelayakan’ di media sosial. Ini gejala yang amat membimbangkan kepada negara jika tidak dibendung.

Mereka memberikan komen jauh tersasar dari segi fakta dan data. Ia akan menimbulkan panik dalam masyarakat.

Masyarakat seharusnya dididik dengan asas pemikiran saintifik berasaskan data dan fakta serta bersumberkan dalil sahih. Apabila sesuatu perkara dibiarkan kepada orang bukan ahli untuk bercakap, maka tunggulah kehancurannya.

Keadaan ini amat membimbangkan apabila media sosial dijadikan tempat melepas geram, menabur fitnah dan paling parah, menyebarkan berita palsu.

Keempat, apabila berlaku sesuatu penularan, langkah pertama dilakukan masyarakat adalah memakai topeng mulut.

Topeng mulut dijual di farmasi dan kedai dalam pelbagai bentuk dan harga. Bagaimanapun, terdapat pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan diri semata-mata dengan mengumpul semula apa yang sudah dibuang serta dijual semula.

Penjualan topeng mulut ‘kitar semula’ ini perlu dipantau pihak berkuasa supaya tiada pihak yang berbuat demikian.

Selain itu, pengguna juga perlu memastikan topeng mulut itu dalam bentuk mesra alam. Ketika kita cuba menghindari dijangkiti penularan virus itu, pencemaran alam sekitar juga harus diberi keutamaan.

Banyak pengajaran untuk direnungkan kerana setiap yang berlaku bukan sia-sia, sebaliknya ada iktibar untuk diambil sebagai langkah pengawasan jangka masa panjang. Sejarah mungkin berulang walaupun dalam konteks berbeza.

Oleh Dr Nor Azaruddin Husni Nuruddin

Sumber : berita harian

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply