“Dua lelaki yang masing-masing berasal dari Mesir dan Tunisia itu didapati menyusup masuk ke negara ini pada Oktober tahun lalu menggunakan pasport palsu Syria dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menyusup masuk ke negara ketiga untuk melancarkan serangan.

“Kedua-dua suspek ber­usia 20 dan 21 tahun itu ditahan pada 4 Februari lalu di ibu negara. Siasatan lanjut mendapati mereka merupakan anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang berpangkalan di utara Afrika dan pernah ditangkap pada tahun 2016 ketika cuba menyusup masuk ke negara Afrika Te­ngah,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, polis juga berjaya menahan tujuh individu iaitu lima warga Mesir yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin dan dua warga tempatan yang menjadi fasilitator dengan membantu melindungi kedua-dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia terbabit sepanjang mereka ber­ada di negara ini.

Ujarnya, pada 2 Februari, pihaknya menahan seorang lelaki Mesir dan pasangan warga tempatan berusia antara 20 dan 54 tahun di Serian, Sarawak kerana didapati menyembunyikan maklumat kehadiran dua operatif kumpulan pengganas tersebut.

“Pada hari yang sama, kami juga menahan lelaki warga Mesir berusia 42 tahun yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah agama di ibu negara yang menyediakan penginapan kepada dua anggota pengganas tersebut. Suspek juga mempunyai kaitan dengan dua anggota Islamic State dan Al-Qaeda yang ditahan pada tahun lalu.

“Selain itu, di Bukit Bintang dan Seri Kembangan, kami menahan dua warga Mesir berusia 24 dan 28 tahun yang merupakan pelajar di institusi pengajian di Lembah Klang dan Pantai Timur. Suspek berusia 24 tahun juga didapati bertanggungjawab membelikan tiket penerbangan dua anggota kumpulan pengganas berkenaan.

“Pada 9 Februari pula, kami menahan seorang guru Bahasa Arab warga Mesir berusia 50 tahun di Ampang yang disyaki menyediakan tempat penginapan kepada dua anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia itu.

“Memandangkan kehadiran warga asing ini boleh menjejaskan keselamatan Malaysia, kesemua suspek tersebut telah diusir ke negara asal mereka di bawah Seksyen 9(1) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Mac 2019 serta dicadangkan untuk disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini seumur hidup,” jelasnya.