CUKUP-CUKUPLAH RAKYAT DIBULI (BHGN II)

Keadaannya sudah berubah, daripada kenyataan dan desakan pemimpin yang terlucut kuasa, tempoh Sidang Dewan Rakyat yang dirancang selama satu hari, perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya selama lapan hari. Ini bermakna, Sidang Dewan Rakyat akan tetap menjadi platform pemimpin terlucut kuasa untuk mentafsirkan semula makna ‘keyakinan majoriti’ yang dikatakan pernah menyebelahi Tan Sri Muhyiddin. Mereka mungkin menggunakan kesempatan itu untuk melakukan ‘undi terhadap Tan Sri Muhyiddin’. Dan, tentunya Sidang Dewan Rakyat kali ini, jika tidak dapat dikawal boleh bertukar kepada ‘medan sarkas politikus’.

Harapan kita, agar Sidang Parlimen kali ini tidak mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 2009 di Dewan Undangan Negeri Perak setelah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat hilang ‘keyakinan majoriti’ dan kembali kepada pentadbiran BN. Tempoh pentadbiran selama 11 bulan (dari 13 Mac 2008 hingga 6 Februari 2009) cukup melakarkan sejarah ‘orang politik dan kebiadapan mereka’ dalam mementaskan ‘aksi politik’ yang kemudiannya membawa kepada Sidang DUN di bawah pokok ketapang dan di sebuah hotel.

Bahkan, dilaporkan telah dibina sebuah ‘tugu peringatan di bawah pokok ketapang’, enggan menyerahkan baju Speaker dan kedegilan Nizar menyerahkan kereta rasmi (Toyota Camry) dan rumah kediaman rasmi kerajaan serta cabar mencabar terhadap keputusan ‘budi bicara Sultan Perak’. Pelaku-pelakunya dikatakan sebahagian besar didokong oleh sikap ‘tamak’ dan ‘balas dendam DAP’ apabila salah seorang wakil rakyatnya berpihak kepada BN dan dua orang wakil rakyat PKR mengisytiharkan diri keluar parti.

Situasi itu menjadikan jumlah wakil rakyat yang menyokong BN memperoleh ‘keyakinan majoriti’. Pakatan Rakyat menang dengan kelebihan 3 kerusi (Pakatan Rakyat 31 dan BN 28 kerusi) dan bila situasi itu bertukar, kedudukan BN adalah ‘majoriti’ dengan kelebihan 3 kerusi (BN 31 dan Pakatan Rakyat 28 kerusi)

Krisis Perak 2009

Episod ‘rampasan kuasa’ di Perak itu kemudiannya mengesahkan BN sebagai pentadbir baharu negeri Perak dengan Dr Zambry Abdul Kadir dipilih sebagai Menteri Besar menggantikan Ir Nizar Jamaludin daripada PAS.

PAS dipilih setelah episode mencabar ‘budi bicara Sultan Perak’ berlaku di mana menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, seseorang yang hendak dilantik sebagai Menteri Besar adalah beragama Islam.

Ketika itu, PAS hanya mempunyai  6 kerusi dan secara dominannya, DAP sepatutnya mendapat jawatan tersebut dengan 18 kerusi. PKR memperoleh 9 kerusi. DAP tidak mempunyai wakil rakyat daripada keturunan Melayu-Islam.

Dr Mahathir mengulas situasi berkenaan sebagai satu bentuk ‘rampasan kuasa’ kerana ia berlaku bukan menurut undang-undang, iaitu “seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan tanpa suatu undi tidak percaya dalam mesyuarat (DUN/Dewan Rakyat”.  Nizar Jamaludin berusaha untuk membubarkan DUN, tetapi cadangan itu tidak diterima oleh Sultan Perak atas alasan baginda mendapat indikasi bahawa BN mempunyai ‘keyakinan majoriti’ dan boleh membentuk kerajaan.

Perubahan tersebut dikaitkan dengan usaha Najib untuk ‘membeli wakil rakyat Pakatan Rakyat’ sejak keputusan PRU ke-12 itu menyebelahi PKR di Perak, sebagaimana diakui oleh ‘perakuan bersumpah Fauzi Musa’.

ADUN PKR tidak dipilih tetapi DAP lebih bersetuju menerima ADUN PAS, iaitu Nizar Jamaludin atas dua sebab, kelulusan akademiknya lebih baik daripada kesemua ADUN PKR dan hubungannya dengan beberapa orang pemimpin DAP, terutama Nga Kor Ming dan Ngeh Ko Ham. Dari segi pertautan etnik, Nizar ada hubungan kekeluargaan dengan Nga dan Ngeh, di mana ibu beliau adalah dari etnik Cina yang berkahwin dengan lelaki Melayu.

Nizar juga mempunyai kebolehan bertutur dalam 5 bahasa, termasuk bahasa Cina dan Tamil. Kelebihan ini membolehkan beliau berhubung secara langsung dengan pemimpin-pemimpin DAP dan juga pengundi bukan Melayu.

krisis Perak 2009 3

Nizar pada awalnya dijangka mengangkat sumpah pada 13 Mac 2008 terpaksa menunggu setelah mendapat bantahan (bercadang boikot) daripada Lim Kit Siang yang mahukan Ngeh Ko Ham diangkat sebagai Menteri Besar, dengan alasan, PAS bukanlah parti utama yang memenangi PRU ke-12 di Perak.

Akibatnya, Sultan Perak meminta ketiga-tiga parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (DAP, PKR dan PAS) bermesyuarat sekali lagi dan kesemuanya (31 ADUN) menandatangani surat sokongan bersama.

Akhirnya, Nizar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008, iaitu kebetulan hari lahirnya yang ke-51.

Pakatan Rakyat Perak kemudiannya bergolak. Ia bermula dengan dakwaan, dua ADUN PKR terlibat dengan dakwaan ‘salah guna kuasa’ termasuk tuduhan berkaitan ‘sedekah seks’. Isu itu kemudiannya berkembang kepada pengisytiharan terbuka tiga ADUN (dua daripada PKR dan satu dari DAP) ‘mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas’ dan menyokong BN.

Nizar tidak boleh menerima kenyataan bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar sudah berakhir, dan beliau enggan ‘menyerah’.

Nizar juga didakwa telah mengarahkan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), Datuk Jamry Suri bertukar serta merta dan mensabotaj Kerajaan Negeri apabila menghalang tindakan menteri besar untuk menukar ahli-ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak. Sultan Perak mengarahkan Menteri Besar menarik balik arahan pertukaran ke atas Jamry dan perlu dilaksanakan menurut saluran yang betul.

MAIAMP adalah terletak dalam bidang kuasa Paduka Sultan Perak. Pada 2 Mei 2008, Nizar dititahkan ke Istana berhubung arahan pertukaran tersebut. Bagaimanapun, arahan pertukaran itu ditangguhkan sehingga akhir 2008 dan Jamry digantikan oleh  Dato’ Sheikh Haji Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz.

Rentetan daripada keadaan tersebut akhirnya hayat pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak berakhir pada 6 Februari 2009. Episod itu kemudiannya melahirkan ‘krisis politik’ dan cabar mencabar mengenai ‘kuasa budi bicara Sultan Perak’ berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat membantah atas alasan surat itu tidak sah dan Nizar memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Ia kemudiannya membawa kepada ‘sembah derhaka’ dan Nizar masih sah sebagai Menteri Besar Perak. Hal ini turut mendapat sokongan sebahagian ahli UMNO (termasuk Tengku Razaleigh Hamzah) dan ia dikaitkan pula dengan konspirasi UMNO. Pandangan itu dikatakan turut disokong oleh SUHAKAM.

krisis Perak 2009 4

Meskipun Zambry telah mengangkat sumpah jawatan, beliau turut dihadapkan ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan  DUN atas dakwaan menghina DUN Perak. Zambry bersama enam (6) EXCO yang dilantik digantung selama 18 bulan bermula 19 Februari 2009.

Pada 14 Februari 2009, Nizar memohon Mahkamah Tinggi (Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur untuk menentukan kedudukan sebenar dan mengembalikan hak kepada Pakatan Rakyat. Mahkamah kemudiannya mengesahkan Nizar masih Menteri Besar yang sah.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali menangguhkan pelaksanaan keputusan kepada Zambry dan menetapkan tarikh mendengar rayuan daripada kedua-dua belah pihak pada 21 Mei 2009.

Keesokannya, ketiga-tiga hakim yang mendengar rayuan kedua-dua belah pihak membatalkan keputusan sebelumnya yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi ‘terkhilaf’ dalam membuat keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry sebagai Menteri Besar Perak setelah mendapati Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Keputusan tersebut masih sukar diterima oleh Nizar dan pada 15 Jun 2009, Nizar memakai songkok dengan lilitan ‘Bubar DUN Perak’ telah dihalau oleh Speaker Dewan Rakyat ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang setelah memenanginya dalam PRK Kecil Bukit Gantang (7 April 2009). Nizar juga dikatakan turut melaungkan “Hidup Rakyat, Bubar DUN (Perak)”.

Sidang pertama DUN Perak selepas pertukaran kerajaan telah terganggu dan menimbulkan kekecohan yang mengecewakan. Situasi itu digambarkan sebagai ‘sarkas politik’ yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan ahli politik kerana melakarkan suasana seperti ‘kebudak-budakan’ di mana ada wakil rakyat memanjat kerusi tempat duduk dan seperti keadaan dalam kelas ‘pelajar nakal’ bila ketiadaan guru ‘dalam kelas’.

Speaker DUN Perak, V Sivakumar enggan meneruskan Sidang DUN selagi Zambry, enam EXCO tiga wakil rakyat bebas tidak meninggalkan DUN (7 Mei 2009) dengan alasan ‘keanggotaan mereka telah digantung’.

Zambry kemudian membantah dan mengemukan usul pemecatan Speaker DUN.  Usul itu ditolak dan Zambry sekali lagi mengulanginya dengan disokong oleh BN dan tiga wakil rakyat bebas. Sivakumar kemudiannya mengarahkan Bentara Dewan menarik keluar 10 ahli yang menyokong Zambry manakala Zambry menyebut, Sivakumar telah dipecat. Zambry mencadangkan agar ADUN Sungkai, Datuk R Ganeshan dilantik sebagai Speaker menggantikan Sivakumar.

ADUN BN kemudian meneruskan Sidang DUN dan menerima empat usul: pelantikan anggota baharu untuk empat jawatankuasa, membatalkan Sidang DUN di bawah pokok oleh Sivakumar, dan kumpulan yang diketuai oleh Nizar yang diadakan pada 3 Mac 2009.

Di sebelah petang, Sidang DUN Perak diteruskan dengan Ganeshan sebagai Speaker yang baharu. Dalam sesi tersebut, dua ADUN PKR diarahkan keluar, iaitu ADUN Simpang Pulai (Chan Ming Kai) dan ADUN Teja (Chang Lih Kang). Dua ADUN tersebut enggan dengan arahan tersebut, DUN Perak ditangguhkan sementara menunggu keberangkatan tiba Pemangku Sultan Perak.

Pada jam 3.15 petang, Sultan Nazrin Shah tiba untuk merasmikan Sidang DUN. Sebelumnya, baginda bertitah kepada Nizar dan Ngeh Ko Ham (DAP Sitiawan). Dalam ucapan perasmian selama setengah jam itu, Sultan Nazrin menyentuh isu ekonomi, agama dan wabak selsema burung (H1N1).

Apa yang membimbangkan ialah apakah episod yang pernah berlaku di Perak itu akan berulang pada 18 Mei 2002 di Dewan Rakyat? Ada pihak mula membayangkan Dewan Rakyat bukan sahaja bakal kecoh bahkan proses mencari ‘keyakinan majoriti’ akan menyebabkan keadaan politik Malaysia akan menjadi bertambah rumit bila mana Yang di Pertua Dewan Rakyat telah bersetuju dengan usul yang diminta oleh wakil rakyat Langkawi, Tun Dr Mahathir dan Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong sebagai sebahagian daripada peraturan mesyuarat.

Dua usul yang diterima itu ialah Undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Undi Percaya kepada Tun Dr Mahathir; dan Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri, dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan terutama perintah kawalan pergerakan (PKP), yakni sidang Dewan Rakyat dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari. Ia akan berlaku selepas Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong selesai bertitah di Majlis Pembukaan  Sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-14. (Malaysiakini, 8 Mei 2020).

Siapa Simurgh

Pada awalnya, Sidang Parlimen dijangka akan ditangguhkan sebaik sahaja selesai titah baginda dengan mengambil kira perkembangan semasa “khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak COVID-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan-kesan jangka pendeknya.” (Astro Awani, 25 April 2020).

Keputusan itu disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai “Parlimen Burung” kerana ‘tiada sesi perbahasan dan soal jawab’, …“Maknanya berkicau tiada soal jawab, alasannya sebab ada COVID-19”. (Berita Harian, 7 Mei 2020).

Ada yang mencadangkan, jika tidak boleh dilakukan secara fizikal, ia boleh berlangsung secara maya. Jika Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung lebih sehari, ia bermakna desakan pemimpin terlucut kuasa mencapai sasarannya. Lim Kit Siang dilaporkan lebih sepuluh kali mendesak agar dilaksanakan lebih panjang. Anwar juga begitu.

Istilah itu mengingatkan kita kepada puisi-puisi sufi karya Farid Ud-din Attar, seorang penyair Parsi yang hidup dalam abad ke-12 Masihi dan amat memahami pesan-pesan agama yang diperjuangkan oleh Al-Ghazali (1058-1111M).

Kumpulan puisi itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai The Conference of Birds daripada judul asal berbahasa Parsi, Mantiq-ut-Tayr  atau Muqamat-ut-Tuyur manakala edisi terjemahan bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada edisi bahasa Inggeris terjemahan Dick Davis (1983) sebagai Sidang Unggas:Kembara di Puncak Makrifat (ITBM, 2017).

Menurut catatan, Farid Ud-din Attar tamat menggarap puisi ini antara tahun 1175, 1178 atau 1187. Dalam telahan Dick Davis, “Jika kita menerima tahun yang lebih awal daripada kedua-dua tarik kelahiran yang dicadangkan (1146) dan yang terakhir dari tarik siap karangannya yang dikatakan itu (1187), ini bermakna puisi itu ditulis ketika beliau berumur kira-kira 40 tahun, dan ini adalah andaian yang nampaknya munasabah”.

Nama sebenar Farid Ud-din Attar ialah Farīd al-Dīn Muḥammad ibn Ibrāhīm ʿAṭṭār, atau juga dikenali Farīd al-Dīn Abū Ḥamīd Muḥammad. Beliau dilahirkan (1142 ?) dan meninggal di Nishapur (1220).

unggas (2)

Tidak banyak kita ketahui mengenai biografinya, ini mungkin disebabkan hampir kesemua penyair sufi lebih gemar ‘mengurung diri’ dan ‘menjalani proses isolasi’ dalam dunianya yang tersendiri. Ia mungkin ada kaitan dengan sikap masyarakat terhadap penyair sufi, di mana aliran pemikiran batiniyyah adalah sebahagian aliran pemikiran yang ditolak oleh Al-Ghazali, yang turut mengecam bidang falsafah terutama yang berdasarkan rasional semata-mata.

Apa yang dibawa oleh Al-Ghazali cukup berpengaruh, dan hasilnya, hingga kini sebahagian besar penganut Islam masih kekal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, atau Sunni.

Biarpun kecenderungan Al-Ghazali menolak falsafah dikritik oleh banyak pihak, termasuk Buya Hamka (baca buku Falsafah Hidup), mahupun Robert R Reilly (baca Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin), nuansa ketuhanan dan perncarian makrifat dalam Sidang Unggas tidak terkesima dengan rasionalisme semata-mata, terselit indah peranan dan hakikat spiritual yang diperkatakan oleh Al-Ghazali (rujuk ulasan saya, Menyelami ‘Perjalanan Mencari Makrifat’ Dalam Sidang Unggas, dalam https://tanwir.my/menyelami-perjalanan-mencari-makrifat-dalam-sidang-unggas/ 25 April 2017).

Saya tinggalkan kisah itu, kita lihat apa yang akan berlaku pada 18 Mei nanti, sama ada ia ada persamaan atau hubungkaitnya dengan apa yang dinukilkan oleh Farid Ud-din Attar lebih 800 tahun itu.

Gelagat Ahli Dewan Rakyat yang manakah boleh disamakan dengan karakter pelbagai burung yang digambarkan oleh penyair sufi kebanggaan Iran itu yang boleh kita pelajari, apakah mereka berjaya menuju ke puncak ‘makrifat’  menuju ke Istana Simurgh.

Simurgh adalah burung ‘terhebat’ dalam mitologi Parsi dan ia mungkinkah akan menjelma dalam diri salah seorang antara tiga politikus yang sedang terheret dalam dilemma perebutan kuasa –Muhyiddin, Mahathir dan Anwar. Dilema politik pasca Pakatan Harapan yang sudah ‘runtuh’ dan ‘hancur’ atas kesilapan sendiri tapi belum bersedia membuat pengakuan dengan jelas dan jujur.

Kenyataan Sidang Parlimen 18 Mei 2020

Ya seperti kesemua burung yang menyertai ‘kembara makrifat’ itu, semakin lama semakin hilang tenaga dan semangat; letih dan kecewa kerana perjalanan yang dimulakan belum tiba di Istana Simurgh, bahkan ada burung yang mati, berhenti dan menangguhkan kembara seterusnya.

Hanya tiga sahaja yang cekal untuk ‘bertarung’ manakala sebahagiannya ‘tunggu dan lihat’ sama ada menyebelahi ‘dua burung yang terlucut kuasa, seorang kembali berkuasa untuk kali ketiga dan seorang lagi dinobatkan dengan kuasa selepas tiga kali gagal atau seorang lagi yang ‘mempertahankan kuasa’ selepas dipilih menerusi ‘budi bicara’.

kenyataan Sidang Parlimen 18 Mei 2020 1

Tetapi, atas semangat kuasa itulah juga mereka dilihat ‘kembali bertenaga’ sebagaimana rakam Farid Ud-din Attar:

Pada wajah Simurgh yang bersinar, terlihat wajah mereka sendiri,                                                                                              Simurgh ketua dunia—kagumnya.                                              Mereka merenung, akhirnya beranikan untuk fahamkan jua, Bahawa merekalah Simurgh dan matlamat kembara.                Melihat Simurgh –ternampak diri mereka pula                                  ….                                                                                                            Itulah ini dan inilah itu, tercapai matlamat dituju.                        Mereka bertanya (dalam hati, tak terzahirkan)                              Erti keajaiban ini yang membingungkan.”                             (Sidang Unggas, 2017: hal.234: baris 3591-3607 –Unggas-unggas menemui Sang Simurgh).

(bersambung)

KAMARUN KH

User Rating: 3.95 (2 votes)

No Comments

    Leave a reply