DAESH: PIHAK BERKUASA PERLU PANTAU SUMBER FATWA

Kuala Lumpur – Pihak berkuasa dan golongan agamawan perlu lebih objektif dalam menangani isu penyelewengan fatwa dilakukan kumpulan militan Daesh yang semakin kerap dikesan kebelakangan ini.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berikutan dakwaan berlakunya penyelewengan fatwa daripada Ibnu Taimiyyah oleh Daesh, pihak berkuasa perlu memantau secara menyeluruh sumber fatwa, al-Quran dan hadis yang mungkin diselewengkan kumpulan militan Daesh, dan bukan sahaja fatwa atau pandangan tertentu.

Beliau berkata, kumpulan militan itu bukan sahaja menyeleweng fatwa Ibnu Taimiyyah dan menggunakan fatwa berkenaan di luar konteks, tetapi turut menyelewengkan al-Quran, hadis serta pandangan ulama lain.

“Kalau ada pihak yang salah gunakan fatwa Ibnu Taimiyyah, kita kena tahu siapa orangnya, apa fatwa yang disalah ungkap, daripada mana petikan diambil supaya kita dapat semak semula petikan tersebut.

“Sekarang banyak fatwa Ibnu Taimiyyah disalah gunakan, jadi kita hendaklah semak semula penyalahgunaan ini agar ia tidak terus diselewengkan lagi pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan wacana bertajuk Ibnu Taimiyyah: Perjuangan dan Pemikirannya Dalam Memurnikan Islam di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menggesa Jabatan Agama Islam negeri-negeri memantau ahli akademik dan agamawan yang kerap menggunakan petikan
atau fatwa daripada Ibnu Taimiyyah dalam hujah mereka berikutan banyak fatwa daripada ulama tersebut diseleweng Daesh untuk kepentingan kumpulan militan itu.

“Saya tidak menyatakan Ibnu Taimiyyah sesat. Saya menyatakan ada sesetengah fatwa yang dikeluarkan ulama itu diguna pakai Daesh untuk menjustifikasikan tindakan ganas mereka,” kata Ayob Khan.

Mohd Asri berkata fatwa Ibnu Taimiyyah banyak digunakan dalam negara ini, antaranya dalam Indeks Syariah Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini, selain dalam bidang lain seperti perbankan.

Sementara itu, Mohd Asri berkata beliau akan mengaturkan pertemuan dengan Ayob Khan dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar. – Bernama

#TANWIR – Anti-DAESH

No Comments

    Leave a reply