DAKWAH DALAM ERA MEDIA SOSIAL DAN APLIKASI BERGERAK

INTERNET sudah menjadi suatu kemestian dalam kehidupan manusia abad ke-21 atau Alaf Ketiga setelah kecenderungan manusia untuk mengehadkan pergerakan fizikal dan menukarkan perspektif ekonomi yang didominasi oleh pengeluaran produk kepada ekonomi yang berdasarkan kreativiti dan maklumat. Semasa perbincangan mengenai perkembangan internet pada dua dekad terakhir abad ke-20, ramai yang merasakan teori yang digagaskan oleh Marshall McLuhan sebagai perkampungan global semakin membesar, bukan lagi sekadar sebuah ilusi daripada kelahiran televisyen dan satelit.

Kemunculan televisyen dan satelit dikenali sebagai kenakalan barat – wild west – kerana ia membawa masalah besar kepada budaya, lembaga dan pegangan nilai masyarakat yang diterobosinya, kerana barat menggunakan apa sahaja saluran dan bahan untuk mengembangkan pandangan sekular dan keduniaan, agama dan spiritual, dan jelasnya, pengaliran maklumat yang tidak seimbang.

Barat (rujukan khusus untuk Amerika Syarikat) mengawal media, maka itulah kenakalan yang akhirnya menyebabkan masyarakat antarabangsa lebih kenal makanan segera, pakaian dan fesyen mereka berbanding makanan, pakaian dan nilai tradisi sesebuah masyarakat, terutama bagi sesebuah negara yang mengalami proses penjajahan Barat. (Michael Fertik dan David Thompson, Wild West 2.0: How to Protect and Restore Your Online Reputation on the Untamed Social Frontier, 2010)

Kini, kenakalan barat sudah memasuki versi kedua – wild west 2.0 – menerusi penyetaraan dan penyalingkongsian (co-convergence dan co-cooperation), di mana pelbagai platform media sosial boleh dikongsikan bersama, boleh bekerjasama bagi membanguna sinergi meskipun ditadbirkan oleh kelompok yang berbeza, masing-masing boleh dilihat sebagai serasi. Konsep itu kemudiannya membawa kepada penciptaan lebih banyak platform media sosial, dan melahirkan pula apa yang dikenali sebagai geek-communication.

Ertinya, bentuk mesej tidak lagi terhad kepada visual dan teks secara lazim, ia melangkaui kepada pemahaman mengenai semiotik dan komunikasi tanpa lisan (nonverbal communication dan kinestetik). Komunikasi dalam bentuk geek ini sedang berkembang, yang kemungkinannya pada suatu ketika, perkataan sudah tidak lagi mampu menggambarkan sesuatu perasaan, ia secara langsung akan dihantar menerusi internet dan telefon pintar, berdasarkan gambar yang dirakamkan sendiri mengenai diri sendiri – selfie – dan ditambah dengan komen tertentu. Yang dikongsikan bersama ialah perasaan, dan gambar itu membantu membebaskan komen daripada lantunan fikiran, dan penyemarakan tersebut dikenali sebagai emotional contagious (Jonah Berger, Contagious: Why Things Catch On, 2013)

Selain media sosial, Mobile Apps merupakan satu lagi saluran komunikasi yang membabitkan perkongsian lebih luas dan  semakin mencabar peranan yang pernah disumbangkan oleh media massa (cetak, penyiaran dan radio) dan media interpersonal kerana ia lebih berbentuk personal, bebas  dan tidak dikongkong oleh terlalu banyak peraturan, syarat dan ketetapan. Laman-laman tersebut tidak mempunyai konsep penapisan, sebaliknya, setiap orang boleh menyiarkan apa sahaja yang dirasakan sesuai sama ada dalam bentuk gambar, tulisan, suara ataupun bahan-bahan yang diambil daripada mana-mana penerbitan sepenuh atau sebahagiannya. Setiap daripada penggunanya boleh mengubah atau menambahkan apa sahaja yang dianggap baik dan boleh menimbulkan kesan tertentu. Perkembangan gabungan teknologi internet dan komputer ini melahirkan generasi (komuniti) maya. (Michael Saylor,The Mobile Wave: How Mobile Intelligence Will Change Everything, 2012)

Di Malaysia, perkembangan Web 2.0 – gabungan jaringan internet, visual dan audio – pada mulanya ditandai dengan kemunculan Laman Web, yang kemudiannya dianggap terlalu bersifat rasmi dan rigid, berubah kepada kelahiran blog, yang asalnya adalah Webblog. Pada tahun 2007, tidak ramai yang merasakan kemunculan blog boleh mencabar statusquo politik kerana ia dilihat sebagai sesuatu yang personal, tidak rasmi dan sukar dibuktikan kebenaran – disindir sebagai goblog – fakta atas sebab hearsay, pandangan dan komen, sehingga ia benar-benar mewujudkan fenomena surplus cognitive dan membangunkan kelainan persepsi.

Kepentingan blog itu kemudiannya diberikan perhatian oleh pemimpin sektor awam, kerana orang perseorangan lebih berminat untuk menyampaikan pandangan, kritikan, komen terhadap apa sahaja yang difikir, dibayang atau dirasainya secara langsung, tanpa suntingan dan bersifat birokratik. Keadaan ini menimbulkan suasana meriah dalam talian dan dipanggil sebagai blogsphere.

Jumlah pengguna internet di Malaysia telah meningkat kepada hampir 18 juta manakala bilangan telefon genggam melebihi 35 juta. Ini bermakna, kadar penembusan internet di Malaysia hampir 70 peratus manakala purata setiap penduduk yang sudah menlangkaui 30 juta pada akhir Februari  2014 memiliki telefon genggam ialah 1.3 unit. Setiap orang memiliki lebih seunit telefon genggam dan pada tahun 2012, kerajaan memberikan subsidi kepada generasi muda untuk membeli telefon pintar sebanyak RM 200, ini telah melonjakkan peningkatan pemilikan sehingga kehidupan tanpa telefon genggam dianggap ketinggalan.

Laman sosial seperti  Facebook, Google+, Twitter, Linkedln, Instagram, Pinterest dan semakin mendapat sambutan, manakala Myspace dan Friendstersemakin kehilangan pelanggan. Laman sosial dianggap sebagai saluran memperoleh sesuatu maklumat sehingga peranan media massa semakin mengecil. Dalam sebuah laporan antarabangsa, akhbar dianggarkan mengalami kemerosotan sebanyak 30 peratus setiap hari dan menyebabkan akhbar cetak semakin berubah kepada akhbar digital.

Saluran media baharu telah mengambil alih peranan yang pernah dilakukan oleh media massa, dan ini menjadikan ia sebagai wahana penting, bahkan perlu diberikan perhatian serius terutama dalam kalangan generasi muda dan pertengahan. Mereka tidak lagi lagi menjadi media massa sebagai sumber maklumat dan rujukan kerana ia dianggap tidak bebas, berpihak dan dikawal oleh sesuatu kepentingan politik.

Berdasarkan perkembangan semasa, daripada sejumlah 17.7 juta rakyat Malaysia yang mempunyai akses internet, 13.3 juta daripadanya mempunyai akaun Facebook,  lebih 4 juta memiliki akaun Twitter dan hampir sejuta berhubung menerusi Instagram. Dari segi profil pengguna Facebook, lebih 90 peratus adalah berumur di bawah 40 tahun dan menggunakan laman-laman sosial sebagai platform utama memperoleh maklumat, menyampaikan pendapat dan menyatakan pendirian secara  bebas, terbuka dan tidak dikawal (ditapis).

Clara Shih, The Facebook Era (2010) menamakan zaman ini sebagai “Era Facebook” berdasarkan popularitinya berbanding dengan mana-mana platform yang termasuk termasuk saingan terdekatnya Twitter. Facebook sudah memiliki pelbagai platform, terbaharu ialah membeli What’sApp (platform Mobile Apps), dan sebelumnya membeli keseluruhan pemilikan Instagram menjadikan ia sebuah syarikat pengendali platform media sosial terbesar. Jika mengambil kira jumlah pemilik akaun facebook yang sudah mencecah 1.3 bilion di seluruh dunia, facebook sudah boleh dianggap sebagai “sebuah negara yang ketiga terbesar di planet” selepas China dan India. Seandainya facebook tidak mempunyai saingan di China dan Rusia, bermakna facebook berkemungkinan merupakan “sebuah negara yang berpenghuni paling ramai di planet bumi.”

Ketika bermulanya kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia, facebook memainkan peranan yang besar membangkitkan semangat berontak akibat ketidakadilan kerajaan sehingga berjaya menjatuhkan regim Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun dan Zine Abidin Ali di Tunisia yang berkuasa lebih dua dekad. (Wael Ghonim, Revolution 2.0:The Power of the People Is Greater Than the People in Power: A Memoir, 2012). Internet dan facebook telah membawa malapetaka kepada regim Hosni dan Zainal Abidin, kini beberapa negara bergolak mula menyekat penggunaan internet dan media sosial kerana khuatir akan digunakan oleh agensi atau kumpulan antarabangsa menyokong kelompok penentang kerajaan yang memerintah, terutama dalam kalangan negara Islam.

Evolusi gelombang komunikasi bergerak berlaku dalam lima fasa, iaitu fasa kerangka besar (mainframe), komputer mini (minicomputer), stesen kerja (desktop), komputer peribadi berinternet (internet personal computer) dan internet bergerak (mobile internet). Fasa kerangka besar bermula bagi mengatasi kebosanan manusia melakukan kerja yang sama berulang-ulang sebaik sahaja bermulanya revolusi industri, misalnya pada tahun 1700, sesebuah industri memerlukan 200 jam bagi menghasilkan sau paun “yarn” manakala pada tahun 1824, dipendekkan menjadi 80 minit, tetapi pekerjanya menjadi lebih bersasa. Ia kemudiannya membawa kepada pemikiran untuk digantikan dengan mesin, dan berjaya mencipta ENIAC (Electronic Numerical Integrator and Computer) dalam melakukan proses pengiraan. ENIAC memerlukan tempat seluas 1,800 kaki persegi dan mempunyai berat lebih tiga tan, manakala pekerjanya mestilah terlatih dan mahir. Pada tahun 1950, UNIVAC (Universal Automatic Computer) digunakan bagi menggantikan kerangka besar, dan pada tahun 1952, ramalan keputusan pilihan raya presiden yang membabitkan Dwight Eisenhower menggunakannya sebagai mesin ramalan (predicting).

Pada tahun 1965, Digital Equipment Corporation (DEC) memperkenalkan kerangka besar yang lebih murah, dikenali dengan kod PD8, lima kali lebih murah daripada produk yang yang kurang bertenaga dikeluarkan oleh IBM (Internal Business Machine), menjadikan persaingan membina peralatan yang lebih kecil dan lebih berkuasa menjadi semakin besar sehingga berjaya memperkenalkan komputer mini. Pada tahun 1985, dunia sudah beralih kepada komputer mini dan semakin mudah dimilik oleh orang awam kerana harganya semakin rendah, manakala pengoperasiannya semakin mudah, hanya dengan mengingati beberapa arahan, ia boleh digunakan, termasuk kegunaan sebagai pemprosesan perkataan (wordprocessor).

Pemproses perkataan yang paling berjaya pada ketika ini ialah Intel 4040, yang mula dijual pada tahun 1975, bagaimanapun, akhirya dilupakan apabila komputer mini mula membanjiri pasaran setelah harganya semakin murah kesan pengeluaran yang lebih banyak daripada syarikat-syarikat elektronik Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Akhirnya, beberapa jenama dari Amerika Syarikat tenggelam apabila komputer mini bertukar menjadi komputer peribadi selepas berlakunya kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1986.Amerika Syarikat kemudiannya dapat memulihkan kemelesetan yang berlaku menerusi pembangunan teknologi yang berasaskan komputer dan maklumat sehinggalah potensinya membangunkan sebuah kawasan yang dikenali sebagai Lembah Silikon.

Hingga kini, Lembah Silikon merupakan pusat pertumbuhan yang melahirkan jumlah personal yang memiliki kekayaan baharu yang paling ramai berbanding dengan pelbagai bidang ekonomi yang lain. Kekayaan sekarang banyak disumbangkan oleh kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, daripada penciptaan perisian umum hinggalah perisian kegunaan khusus. Amerika Syarikat semakin melupakan industri berasaskan peranti keras, mengkhususkan kepada pembangunan perisian yang tidak memerlukan keperluan fizikal yang menyesakkan ruang. Tumpuan besar adalah pembangunan kepakaran dan kemahiran, penciptaan perisian dari berbentuk riadah (permainan) hinggalah kepada kegunaan penyelidikan dan pengintipan.

Pada tahun 1980, sejumlah 500,000 komputer peribadi dijual, iaitu lima kali lebih tinggi daripada angka jualan komputer mini, sedangkan era komputer peribadi baharu sahaja bermula. Perkembangan ini membolehkan Bill Gates buat pertama kali pada tahun 1995 diisytiharkan sebagai manusia terkaya di planet, hasil pembabitannya dalam industri software, membekalkan perisian komputer yang dikenali sebagai Microsoft bagi menggantikan sistem OS–operating system dan DOS Disk Operating System – yang digunakan untuk permulaan kerja dalam generasi komputer terdahulu. Microsoft memperkenalkan program window, di mana para pengguna tidak perlu mengingati arahan asas, hanya perlu menggerakkan tetikus bagi mengarahkan sesuatu tugas yang sudah diprogramkan sebagai sejagat.

Pada tahun 1960, JCR Licklider, seorang ahli psikologi mencadangkan agar komputer menjadi “pusat berfikir”, dan pada 29 Oktober 1969, APRANET (Advanced Research Project Agency) ditubuhkan, manakala pada tahun 1979, CompuServe menjadi syarikat pertama membekalkan perkhidmatan e-mel kepada pengguna komputer peribadi awam. Pada tahun 1996, seluruh dunia sudah disambungkan menerusi internet.Pada tahun 2011, terdapat 1.2 bilion komputer peribadi yang kesemuanya adalah berinternet.

Tahun 1970-an, Michael Whittingham dari Universiti Binghamton melakukan ujikaji sejenis bateri baharu yang berasaskan logam lithium. Pada tahun 1991, SONY menjual bateri lithium-ion pertama dan pada tahun 2003, ia mendapat sambutan yang begitu besar sehingga berlaku kekurangan kerana turut digunakan dalam Perang Teluk yang membabitkan serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq.

Sekitar tahun 1980, Fujio Masuoka, jurutera dari Toshiba berfikir bagaimana untuk menyimpan data ke dalam chip, yang boleh menggantikan tugas penyimpanan menerusi cakera keras, hard disk. Beliau akhirnya menemui kaedah itu dan memperkenalkanya sebagai flash memory, dan pada tahun 1988, Intel melihat ia mempunyai potensi besar. Kini semua data telah disimpan dalam chip, termasuk data yang berkaitan keselamatan dan begitu mudah dipindahkan kerana ianya semakin kecil dengan menggunakan teknologi nano.

Pada tahun 2009, penjualan peranti internet bergerak meningkat lebih besar berbanding komputer peribadi, iaitu 450 juta, memperlihatkan kebangkitan semula syarikat Apple setelah hampir kecewa dengan  penjualan komputer peribadi dalam siri MacBook. Apabila Steve Jobs kembali memimpin Apple, syarikat tersebut telah mengeluarkan siri iPads dan mencatatkan sejarah apabila berjaya menjual 16 juta unit hanya dalam tempoh lapan bulan sejak diperkenalkan bulan Januari 2010. Kini, iPads menjadi sesuatu yang amat diminati umum meskipun beberapa syarikat dari Korea Selatan dan China memperkenalkan peranti telefon pintar yang lebih baik, termasuk Samsung dengan siri komputer tablet (telefon dan komputer), Lenovo dan HTC.

Penguasaan iPads semakin mencabar selepas Apple kehilangan Steve Jobs yang meninggal akibat kanser pada 5 Oktober 2011. Bagaimanapun Amerika Syarikat kembali mendapat perhatian apabila Marc Zukerberg menjadi bilioner termuda setelah firma facebook berjaya diniagakan di bursa saham, dan seterusnya menguasai pelbagai platform sosial, Instagram dan What’s Apps. Marc Zukerberg juga merupakan orang yang bertanggungjawab membantu menggerakkan platform kempen Barrack Obama pada tahun 2007, dan seterusnya menang jawatan presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua pada 2012.

Hingga kini, Lembah Silikon merupakan pusat pertumbuhan yang melahirkan jumlah personal yang memiliki kekayaan baharu yang paling ramai berbanding dengan pelbagai bidang ekonomi yang lain. Kekayaan sekarang banyak disumbangkan oleh kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, daripada penciptaan perisian umum hinggalah perisian kegunaan khusus.

Amerika Syarikat semakin melupakan industri berasaskan peranti keras, mengkhususkan kepada pembangunan perisian yang tidak memerlukan keperluan fizikal yang menyesakkan ruang. Tumpuan besar adalah pembangunan kepakaran dan kemahiran, penciptaan perisian dari berbentuk riadah (permainan) hinggalah kepada kegunaan penyelidikan dan pengintipan.

Berdakwah Menerusi Media Sosial

Media sosial kini dianggap sebagai platform utama berkomunikasi secara peribadi dan hampir merobohkan penguasaan platform media konvensional. Bahkan, ada ketikanya media konvensional dianggap sudah ketinggalan disebabkan proses kawalan yang berlaku ke atasnya di samping terlalu bersifat birokratik. Wild West 2.0 benar-benar menyebabkan pradigma media berubah, manakala negara-negara dan penganut Islam semakin tercabar dengan konsep kebebasan yang disebarkan menerusinya, setiap orang boleh bercakap apa sahaja yang difikirkan tanpa memperkirakannya sebagai melanggar peraturan dan nilai moral. (Clay Shirky, Cognitive Surplus, 2010 dan Here Comes Everybody, 2008).

Atas kesan buruk yang ditakuti oleh masyarakat, internet dan komuniti maya dianggap sebagai suatu malapetaka kepada kebudayaan, nilai kehidupan dan juga agama, kerana nilai-nilai yang pernah terlarang dan menjadi halangan sudah mula dicabar. Misalnya, berdasarkan pemahaman melampau terhadap prinsip kebebasan dan hak asasi, platform internet dan media sosial digunakan untuk mempromosikan perlakuan songsang: lesbian, biseksual, gay, transgender dan homoseksual. Ia bakal menjadi sesuatu yang halal dan diterima sebagai perlakuan sejagat sebagaimana masyarakat menerima kehidupan pergaulan bebas, bersekedudukan dan berkeluarga tanpa ikatan perkahwinan. Ia dilihat sebagai nilai moden, nilai yang tidak lagi dilingkari oleh prinsip agama kerana agama adalah pilihan seseorang, bukan lagi kewajipan dan kepatuhan.

Islam turut dicabar dengan nilai yang sedang berubah dan menjadi petunjuk masyarakat barat dengan meletakkan kebebasan tanpa had, asalkan ada persetujuan antara kedua pihak. Bahkan, homoseksual tidak lagi menjadi larangan dan kejelekan budaya, ia dibolehkan antaranya berkahwin meskipun melanggar hakikat dan fitrah manusia. Perjuangan ini semakin besar, dan Malaysia tidak terkecuali, kerana rempuhannya begitu kuat dan hebat menerusi jaringan kenakalan barat atau Wild West 2.0.

Bagi menjadikan platform media sosial bermanfaat dalam penyebaran dakwah Islam, aktivis dakwah perlu mengubah perspektif dakwah mereka bukan lagi sekadar petah bercakap dan membina populariti berdasarkan prinsip retorik. Aktivis Islam wajar memahami bagaimana media sosial mempengaruhi psikologi para peserta yang membentuk kesalingan minat, pandangan dan komen. Prinsip ini dikenali sebagai reciprocity, iaitu hubungan timbal balik yang dalam prinsip komunikasi dipanggil laluan maklumat dan maklumbalas, feedback loops, yang menghasilkan interaksi.

Menurut Nathalie Nahai, pakar psikologi web dari The Web Psychologist Ltd. London dan penulis buku Webs of Influence: The Psychology of Online Persuasion (2012), “social psychologists and marketers alike have long known about this principle: that if someone gives us something, we will want to give them something back. Our success as a species has depended on your ability to form and maintain social groups, so it is no surprise that we have evolved to value reciprocal exchanges at a very deep level.” (hal. 138)

Keutamaan dalam media sosial ialah seperti kelangsungan hidup kita dalam masyarakat di mana kita diminta supaya berkawan seberapa ramai yang boleh, kerana semakin ramai sahabat diri akan menjadi lebih mudah dikenali. Prinsip yang sama perlu dilakukan dalam platform media sosial, jika tidak menjalin hubungan dengan orang lain, ia akan membentuk suasana “kera sumbang atas talian”, dan ia tidak diketahui kewujudannya, kecualilah diri sendiri dan orang tertentu. Inilah sebahagian daripada platform media sosial yang ditadbirkan oleh sesuatu agensi, orang perseorangan tidak menemui tahap sebuah jenama yang besar dan menarik meskipun menggunakan nama yang menarik dan baik. Hakikat ini dapat kita perhatikan dengan melakukan sedikit pencarian menggunakan enjin carian di internet, ada setengahnya hampir tidak ketemu.

Sebabnya, meskipun seseorang itu merupakan pengguna tegar, ia tidak cukup kuat dalam menghubungkan telapak itu dengan orang lain, bahkan ada ketikanya menjadi terlalu autokratik, kuku besi dengan tidak membenarkan komen atau ulasan. Ini juga menyebabkan selepas beberapa tahun fenomena blog menjadi saluran kontroversi dan berpengaruh, semakin ramai penulis meninggalkannya kerana ketumpulan dedikasi dan kegagalan memahami aspek psikologi manusia. Manusia, dalam proses alaminya sentiasa menceritakan sesuatu perkara yang diketahui atau dialaminya kepada orang lain, maksudnya dalam komunikasi ia dikenali sebagai kaedah dari mulut ke mulut, ia adalah strategi berkesan dan berpengaruh meskipun kehadiran media massa.

Kekesanan perbualan mulut ke mulut membawa kepada pengesahan sesuatu maklumat kerana ia dikeluarkan oleh seseorang yang dikenali, ia berlaku semacam “testimonial” ataupun “perakuan”, mudah tersebar disebabkan manusia sentiasa berhubung dan tidak boleh hidup tanpa kawan atau sahabat. Testimonial itu akan membawa kepada pembuktian sosial – social proof – meskipun menerusi media massa ia boleh diketepi atau disaring penyiarannya. Inilah yang berlaku dalam media sosial, walaupun secara perundangan buku tulisan Irshad Manji telah diharamkan, Beriman Tanpa Rasa Takut. Ia boleh diakses di internet manakala bukunya yang kontroversi, Allah, Cinta dan Kebebasan pernah diharamkan dan pada awal September 2013, penerbit dan penterjemah berjaya memperoleh pembatalan daripada mahkamah. Daripada apa pun sudut yang dilihat, buku tersebut memang merupakan satu penghinaan terhadap Islam, cuba mencampuradukkan pandangan liberalism dan pluralisma agama dalam kehidupan masyarakat Islam.

Setakat ini belum lahir seorang penulis atau pendakwah yang benar-benar menolak dan berhujah dengan baik apa yang disogokkan oleh Irshad Manji. Ini juga merupakan kelemahan pendakwah Islam, bukan sahaja dari aspek pengurusan teknologi, struktur hujah, kemahiran berhujah dan kemahiran merancang strategi dakwah.

Kelebihan likes yang diletakkan dalam facebook tidak digunakan untuk menjana kelebihan ekonomi sebagaimana disarankan oleh Brian Carter, The Like Economy: How Business Make Money with Facebook, 2014. Likes mempengaruhi penjualan dan captive audience of potential customers; mengawal perbualan pelanggan; membuktikan ada orang sedang memberikan perhatian; kesetiaan yang teguh; dan membentuk testimonial pengguna, kerana setakat ini belum ada butang dislike. Sebab itulah kita tidak perlu takut kepada tekanan yang mungkin berlaku selepas sesuatu itu diposkan ke dinding facebook, kerana pengguna akan terus meletakkan imej yang menarik, terbaik yang dirasainya untuk dikongsikan dengan orang lain.

Begitu juga rasa marah terhadap sesuatu sebagai seorang ibu pernah meletakkan gambar anaknya sedang menikmati makanan di dalam bilik persalinan di sekolah, maka kegemparan menjadikan ia seolah-olah sedang bersarapan di bilik air atau tandas. Bagaimanapun, setelah pendedahan dan pemaparan bukti bukan sebuah bilik air atau tandas, pemulanya berhadapan dengan aib sendiri, kerana masyarakat secara sedarnya melihat ia sebagai suatu manipulasi politik.

Kita mungkin pernah melihat bagaimana seorang wanita Melayu mengeposkan gambarnya menikmati kuih hari raya bersama anjing-anjing, yang kemudiannya menimbulkan tafsiran negatif dan menyemarakkan kemarahan. Emosi yang bercampur itu akhirnya membawa kepada penyesalan, dan pembetulan kesilapan, laman sosial menjadi platform menegur kesilapan. Bagaimanapun, platform media sosial turut digunakan untuk menampilkan kemarahan dan menimbulkan kebencian, kerana yang dianggap begitu cepat berjangkit ialah emosi. Kejangkitan emosi itulah yang sepatutnya digunakan oleh pendakwah untuk memperbetulkan kesilapan dan menarik anak muda Islam untuk kembali menemui Islam menerusi kaedah dan strategi yang betul.

Kebanyakan pengguna media sosial mempunyai keterikatan yang kuat dengan emosi, maka kecerdasan emosi perlu diberikan perhatian serius oleh seseorang aktivis dakwah sebelum memasukkan sebarang komen, pendapat dan sebagainya. Aktivis dakwah tidak sewajarnya menjadikan muatan dalam media sosial seperti kaedah penulisan konvensional, terlalu banyak kutip ayat al-Quran dan hadis, dalam masa yang gagal menterjemahkan dengan baik maksudnya berdasarkan contoh dan nalar pemikiran anak muda.Seharusnya, untuk lebih berkesan, corak penulisan mestilah berdasarkan prinsip pengurusan isu dan penyelesaian masalah, bukannya menggunakan kaedah berkhutbah.

Kelemahan ini amat ketara, apabila kita berusaha mencari sebuah laman web yang baik dan interaktif kerana pengendalinya masih melihat, diri sendiri sahaja yang betul, manakala pembaca lebih bodoh, sebuah silogism klasik mengenai pendidikan berpidato.  Umpamanya, untuk bercakap dengan yakin, perlu menganggap bahawa khalayak adalah bodoh. Ini sebenarnya satu kesilapan dalam berdakwah atau berkomunikasi, kerana prinsip yang wajar dijadikan kerangka pendekatan ialah berkongsi ilmu dan pandangan dengan orang lain, dan kita akan merasakan betul apabila disokong oleh data dan maklumat yang tepat, hujah yang bernas dan persembahan yang ringkas, menarik, tersusun dan mudah difahami.

Strategi berdakwah menerusi media sosial dianggap berjaya apabila lebih ramai penyertaan dan dalam proses itu ia tidak menghalang kepada proses “mengambil dan mengepos semula”, kerana itu adalah budaya lazim dan berkembang asalkan ia dilakukan dengan cara yang betul dan tidak menyalahi peraturan atau nilai moral. Perlu disedari bahawa, media sosial merupakan platform yang menghendaki penyertaan aktif, kesabaran dan dedikasi, ia bukan seperti sikap sebahagian daripada pendakwah, hangat-hangat tahi ayam. Maknanya, setiap hari mesti ada pengemaskinian, bukannya hanya sesekali.

Terlampau lama tidak dikemaskini akan mengakibatkan kesannya menjadi negatif manakala pengunjung atau rakan-rakan akan meninggalkan sebagaimana kita secara fizikal pernah berjarak terlalu lama dengan rakan sepersekolahan dahulu, yang ada di antaranya tidak pernah ketemui selepas keindahan zaman persekolahan berakhir.

Untuk mendapatkan suasana meriah dalam laman sosial, pengendalinya perlulah merancang beberapa aktiviti sebagaimana keriuhan sektor perniagaan merancakkan pembelian menerusi jualan murah dan flash sales. Pengendali platform media sosial wajar mengadakan aktiviti dan pertemuan, yang bukan sahaja meningkatkan penyertaan tetapi boleh memberikan asas perhubungan yang lebih besar kerana manusia akan tetap bersifat ingin dikenali, mengenali dan membina kenalan seluas mungkin, kerana itulah hakikat manusia yang masih belum tersisih walaupun sebahagian memberikan andaian, interaksi alamiah lebih sukar berbanding online.

Bagaimanapun, perkenalan secara alami itulah mampu membawa kepada pengekalan perhubungan sekiranya titik permulaan tetsebut dimanfaat dengan baik, penuh tanggungjawab dan rasa hormat. Dalam media sosial ia dikenali sebagai engagement. Ia sama dengan sifat perhubungan secara fizikal, sekiranya tidak saling mengingati atau berhubung, maka ia akan mudah putus. Ia perlu berhubung, dan untuk berhubung ia memerlukan kecekapan menyatakan pandangan, sokongan, emosi dan berkongsi apa sahaja bukannya dibuai oleh rasa marah, meluap benci dan cemburu yang mendalam. Ini akan melahirkan “peperangan secara dalam talian”, itulah sebabnya, perlu dielakkan cabar mencabar yang keterlaluan walaupun kadangkala hati kita tergores. Apa yang perlu pendakwah lakukan ialah mengajak mereka berbincang, dengan mewujudkan suasana perhubungan menolong dan saling perlu, jika mahukan platform media sosial benar-benar memberikan kesan kepada hakikat dan keperluan dakwah.

Saya tertarik dengan sebuah tajuk buku yang dihasilkan oleh Peter Gale, Your Network is Your Net Worth (2013), bagaimana kita wajib menggunakan kuasa tersembunyi menerusi perhubungan dalam membina kesejahteraan, kejayaan dan kegembiraan dalam era digital, yang Marc Persinsky panggil kebijaksanaan digital, digital wisdom. Bagi mencapai tujuan tersebut, kita perlu membangunkan sikap transformational, membangunkan pasukan berasaskan suatu sistem nilai dan menyemarakkan kebangunan kreativiti. Apa pun, kerana media sosial bersifat sosial, ia tidak boleh dilaksanakan bersendirian, ia memerlukan satu pasukan yang kreatif, dedikasi, berilmu dan paling utama ialah sentiasa melihat sesuatu dengan fikiran terbuka, sabar dan proaktif.

Oleh KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply