DAKWAH DENGAN TELADAN

Mempamerkan teladan diri yang baik lebih senang diikuti oleh sesiapa di sekeliling kita. Itulah kaedah mengajak orang dengan ‘al-Qudwah al-Hasanah’.

Ia satu bentuk dakwah dengan perbuatan (dakwah bi al-hal). Dakwah dengan perbuatan merangkumi beberapa skop utama iaitu:

• Akhlak
Membina akhlak bukan kerja mudah. Ia kerja Rasul. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adabul Mufrad no. 273)

Pentingnya pembinaan akhlak sehinggakan Rasulullah SAW mengaitkannya dengan keimanan:

“Kaum Mukminin paling sempurna imannya adalah yang akhlaknya paling baik di antara mereka dan yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik kepada isteri-isterinya.” (Riwayat al-Tirmidzi (no. 1162)
Akhlak ibu bapa sangat mempengaruhi akhlak anak-anak. Mereka akan meniru secara spontan.

Begitu juga dalam hidup bermasyarakat, kita perlu hadir dengan akhlak mulia. Bukankah sebab Allah SWT menghantarkan utusan-Nya buat kita adalah untuk membangunkan ketamadunan akhlak mulia?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

• Cakap serupa bikin
Setiap apa yang kita ungkapkan, kita mesti berusaha melakukannya. Sekalipun belum mampu, tunjukkan kesungguhan.
Jika ajakan tanpa doa dan usaha untuk mengamalkan ajakan yang baik itu, dibimbangi kita termasuk dalam ayat Allah SWT ini, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah terhadap perkara yang kamu memperkatakan sedangkan kamu tidak melakukannya.” (As-Sof: ayat 2-3)

• Rumah, kereta, pakaian
Kita diajar mencintai kebersihan. Bahkan, Allah SWT sendiri Maha Indah dan menyukai keindahan.
Oleh sebab itu, kita hendaklah berusaha mengindahkan penampilan diri dengan kebersihan dan kekemasan.
Namun, perlu sentiasa bersihkan hati daripada riak, bangga diri, memandang rendah pada orang lain, melabel orang yang tidak kemas dan sebagainya.

Kita juga perlu berwaspada dengan sikap membazir dan menghabiskan banyak masa bersolek dan bersiap.
Rumah dan persekitaran juga perlu dijaga agar selamat dan tenang untuk dihuni. Namun, jangan berlebihan sehingga anak tiada kesempatan menyelerakkan peralatan mainan mereka.

Biar kita bersikap realistik. Usah membebankan diri meletakkan jangkaan rumah mesti sentiasa kemas 24 jam kerana bimbang kita mengalami tekanan pada kemudian hari.
Bersederhana sahaja. Tatkala anak menyelerakkan rumah, itu peluang mengajar mereka mengemas semula.

• Keluarga
Sehebat mana usaha kita mengajak orang kepada kebaikan, kita perlu bermula dengan insan terdekat.
Keluarga adalah orang yang diamanahkan buat kita. Kepemimpinan kita terhadap mereka akan dipersoalkan di sisi Allah SWT.

Ada kisah anak Nabi Nuh AS yang tetap ingkar meskipun ayahnya sudah mengajak kepada kebaikan.
Usah selesa membiarkan anak kita terus berdegil kerana beralasan dengan kedegilan anak Nabi Nuh AS.
Apa yang perlu kita contohi adalah usaha berterusan Nabi Nuh AS berdakwah selama 950 tahun tanpa jemu sehingga nyawa anaknya di hujung tanduk, bakal digulung lautan banjir pun ayah masih mengajaknya.

Usah juga terlampau kecewa apabila ajakan kita tidak diterima kerana ajakan sebaik dan sesabar Nabi Nuh AS pun keluarga sendiri menolaknya.

• Kuasai diri sendiri
Kuasai diri sendiri sebelum menguasai orang lain. Elakkan sengaja membuat silap. Segera beristighfar dan membetulkan diri apabila tersilap.
Usah sengaja menjatuhkan orang lain dengan perbuatan yang silap tetapi ajaklah dengan emosi diri yang terkendali dan penuh rahmah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan apa-apa yang Dia telah sempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaan), lalu Dia mengilhamkannya (nafsu itu) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada takwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya (nafsu itu) dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya (nafsu itu).”
(Surah al-Syams, ayat 7–10)

Jika kita sentiasa berusaha menjadi lebih baik, itu baik. Namun, usah sesekali merasakan diri sudah sampai ke tahap baik.
Usah juga merasakan orang lain tidak suka pada kebaikan sehingga kita merasa berputus asa mengajak mereka.

Kita masih dalam proses membina diri. Begitu juga orang lain. Firman Allah SWT: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku: Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Akhir kata,
Salam 5 Zulhijjah 1440 H semua!

Artikel dipetik dari: Hmetro Online, 20 Julai 2019
Karya oleh: Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin

No Comments

    Leave a reply