DAKWAH PENUH HIKMAH

Hakikatnya apa yang kita fahami daripada pengertian dakwah itu sendiri yang tidak hanya ditujukan bagi orang bukan Islam, tetapi yang lebih penting juga kepada orang Islam sendiri.

Untuk orang bukan Muslim, dakwah dilakukan agar mereka terdetik hati memeluk agama Islam, sedangkan untuk orang Islam, dakwah dimaksudkan agar mereka mengetahui dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Dalam konteks negara kita salah satu isu yang sering muncul dalam tema dakwah adalah isu ‘kebebasan beragama’.

Sebahagian orang menilai bahawa dakwah dapat membawa konflik antara agama kerana ajaran ini terkandung anjuran untuk menggantikan agama seseorang dengan agama yang lain, yakni Islam.

Namun ulama berpendapat bahawa dalam berdakwah tidak terdapat konsep pemaksaan orang untuk menggantikan agamanya. Dalam hal hubungan antara agama, Islam sendiri mempunyai sikap tegas seperti dinyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam): sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”

(Surah Al-Baqarah: 250)

Allah s.w.t tidak menyuruh kita untuk melukai hati orang lain (non-Muslim), malah memberi gelaran kafir pun tidak dianjurkan. Ungkapan halus dan retorik yang lembut terhadap non-muslim bukan dianggap langkah yang mundur. Kita tidak melepaskan keyakinan akidah kita, bahawa Islam adalah agama yang hak. Kita diperintah untuk mengucapkan kata-kata yang terbaik kepada lawan bicara kita. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmannya yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu; Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. (Surah Al-Isra: 53)

Asas kepada dakwah disebut oleh Allah s.w.t dalam surah al-Nahl ayat 125, iaitu: “dakwah perlu menggunakan pendekatan hikmah, nasihat yang baik, dan mujadalah (perbahasan) yang dikendali secara terbaik berobjektifkan mencari kebenaran.”

Berdasarkan maksud ayat tersebut, jelaslah bahawa pendekatan hikmah menjadi asas kepada penyebaran dakwah. Pilihlah jalan dakwah terbaik yang sesuai dengan keadaan manusia. Ajaklah kaum cendekiawan yang memiliki pengetahuan tinggi untuk berdialog dengan kata-kata bijak, sesuai dengan tahap kepandaian mereka.

Terhadap masyarakat umum, ajaklah mereka dengan memberikan nasihat dan perumpamaan yang sesuai dengan taraf mereka sehingga mereka sampai kepada kebenaran melalui jalan terdekat yang paling sesuai untuk mereka. Debatlah Ahli al-Kitab yang menganut agama-agama terdahulu dengan logik dan retorik yang halus, melalui perdebatan yang baik, lepas dari kekerasan dan umpatan agar mereka puas dan menerima dengan lapang dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan kecendurangan setiap manusia.

Bempuhlah cara itu dalam menghadapi mereka.

Sesudah serahkan urusan mereka kepada Allah yang Maha Mengetahui siapa yang larut dalam kesesatan dan menjauhkan diri dari jalan keselamatan, dan siapa yang sihat jiwanya lalu mendapat petunjuk dan beriman dengan apa yang kamu bawa.

Dalam berdakwah menonjolkan sikap fanatik, keras, emosi, menyusahkan merupakan bahaya besar dan penghalang kepada kerjaya dakwah Islamiah.

Satu perkara yang amat mengecewakan ialah bahawa umat Islam, meskipun dinyatakan dalam Al-Quran sebagai umat ‘terbaik’ dan ‘pertengahan’, sebahagian besarnya gagal dalam tugas dakwah mereka kepada seluruh umat manusia. Tanggungjawab amr bil makruf wal nahyi’ an al munkar memerintahkan yang baik dan mencegah yang buruk tidak hanya terbatas kepada kaum Muslim tetapi ditujukan kepada seluruh umat manusia.

Bagaimanapun untuk mencapai seluruh umat manusia, umat Islam mesti membersihkan niat mereka jika ingin menampilkan saksi yang dapat dipercayai kerana al-Quran jelas menyatakan bahawa menjadi saksi kebenaran adalah tujuan di sebalik dijadikan umat Muslim sebagai umat terbaik.

Imam Al-Ghazali dalam bab “al-Amru bi Al-Ma’ruf wa An-Nahyu’ An Al-Munkar” pada bukunya Ihya ‘Ulumiddin mengatakan: Janganlah seseorang menyuruh kepada kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran kecuali berhati lemah lembut dengan apa yang diperintahkan itu, juga lembut dengan apa yang dilarang, sabar dengan apa yang diperintah dan sabar pula dengan apa yang dilarang, mengerti apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang.

Dalam sebuah kisah disebutkan bahawa ada seseorang datang menemui Al-Makmun iaitu khalifah Bani Abasiyyah yang sangat terkenal. Dia menyuruh khalifah itu untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dengan ucapan yang sangat kasar. Al-Makmun adalah seorang khalifah yang bijak dan ahli fikh. Al-Makmun berkata kepada orang itu:

Wahai tuan, bersikaplah lemah lembut! Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengutuskan orang yang lebih baik daripadamu kepada orang yang lebih jahat dariku, namun dia diperintahkan supaya melaksanakannya dengan cara yang lembut. Allah SWT telah mengutuskan Musa dan Harun yang kedua-duanya tentu lebih baik daripadamu, kepada Firaun yang tentu saja dia lebih jahat daripadaku.”

Allah s.w.t memerintahkan kepada Musa dan Harun dengan firman-Nya yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut mudah-mudahan ia ingat atau takut. (Surah Taha: 43-44)

Dengan cara inilah Al-Makmun membidas orang itu dan terdiamlah orang yang berbicara secara kasar itu.

Al-Quran al-Karim telah memberikan kepada kita beberapa contoh dialog yang dilakukan dengan lawan yang berbeza pemikiran. Dialog yang paling mengagumkan dalam Al-Quran ialah dialog yang terjadi antara Allah s.w.t dan para malaikat-Nya mengenai penciptaan Nabi Adam a.s dan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi. Allah s.w.t menjelaskan hal ini kepada para malaikat dan para malaikat ketika itu tidak setuju dengan tugas kekhalifahan makhluk yang akan melakukan kerosakan dan pembunuhan dimuka bumi ini. Allah pun menanggapi keberatan mereka itu dan menunjukkan bahawa mereka berada pada kedudukan yang salah dan dengan cara menyuruh mereka bersujud kepada Adam.

Dalam berdakwah menonjolkan sikap ekstrem dan fanatik dengan pendapat sendiri yang mengatakan orang lain sentiasa salah merupakan bahaya besar yang menjadi batu penghalang.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply