Dalam Kalut dan Gelabah, Pakatan Harapan Kian Melatah

Otai Reformis tolak kepimpinan Dr Mahathir, begitulah salah satu berita yang disiarkan dalam Malaysiakini pada 24 Julai 2017.  Berita itu menjadi sedikit mengejutkan kerana sebahagian besar kepimpinan Otai Reformis, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk ‘membebaskan Anwar Ibrahim’, yang dianggotai oleh bekas ahli PAS dan pendokong PKR mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sekiranya ada di antara mereka dilantik dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Punca utama penolakan itu ialah mereka tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri adalah orang yang ‘memenjarakan Anwar’ dan mewajahkan Ketua Umum PKR sebagai ‘pemimpin yang tidak bermoral’ serta ‘tidak boleh dipercayai.’ Krisis antara Anwar dan Mahathir berlaku pada tahun 1997. Anwar didakwa melakukan hubungan seks songsang tetapi mahkamah akhirnya memutuskan hukuman penjara atas kesalahan ‘salah guna kuasa’.

Dua hari lalu, berlangsung pula satu perbincangan di Bangsar, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh beberapa orang aktivis sosial sebagai panel, termasuk Hishamudin Rais yang amat bencikan UMNO tidak mampu memberikan keputusan pendiriannya terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan. Perbincangan tersebut akhirnya turut mengambil keputusan untuk menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir yang disifatkan tidak sesuai dengan prinsip asal perjuangan sebahagian besar peserta. Ertinya, dalam kalangan penggerak politik barisan pembangkang, tidak boleh menerima Tun Dr Mahathir sebagai pemimpin utama mereka.

Sebelumnya, sebaik sahaja Tun Dr Mahathir bersama pemimpin tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan berjaya melancarkan logo bersama dan mengumumkan barisan kepimpinannya, timbul pelbagai reaksi menentang pembabitannya. Rasa tidak puas hati itu berpunca daripada ‘penolakan’ sebahagian daripada akar umbi PKR terhadap Tun Dr Mahathir yang tidak mahu mengangkat Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sedangkan perjuangan asal mereka mahukan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat pada tahun 1998 itu berada dipuncak kuasa.

Kemunculan Tun Dr Mahathir menerajui Pakatan Harapan dilihat dalam dua perspektif yang bakal meranapkan harapan parti-parti lain memandangkan ‘termpoh peralihan’ yang dijanjikan akan membolehkan bekas Perdana Menteri mengukuhkan kedudukan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Anwar masih belum dibolehkan dilantik sebagai Perdana Menteri kerana edah tahanannya di Penjara Sungai Buloh tidak membolehkannya bertanding dalam PRU ke-14. Apa yang dimahukan oleh pendokong dan penyokong PKR ialah, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Perdana Menteri ‘dalam tempoh peralihan’.

Kalaupun Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14, proses pembebasan Anwar bukanlah suatu perkara yang mudah. Anwar meringkok dalam penjara akibat jenayah seksual yang dilakukan. Ertinya, Anwar perlu mendapat pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong. Mungkinkah Tun Dr Mahathir akan melakukannya? Jika Tun Dr Mahathir sanggup melakukan perkara itu, ini bermakna tuduhan awal ke atas Anwar pada tahun 1998 adalah benar-benar merupakan suatu bentuk konspirasi politik yang dilakukan secara sengaja. Ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid dan Daim Zainudin pernah mendakwa bahawa Anwar sedang giat melaksanakan tindakan untuk ‘merampas kepimpinan Tun Dr Mahathir’. Ketika itu, Anwar dianggap sebagai ‘pemimpin yang rakus dan tidak sabar’.

Akibat kemunculan Tun Dr Mahathir memimpin Pakatan Harapan, Parti Sosialis Malaysia saperti merajuk tidak akan bersama gabungan parti-parti pembangkang bagi mengambil bahagian dalam PRU ke-14. PSM rela bersendirian manakala pemimpin yang bakal meletakkan jawatan dalam Otai akan menyertainya sebagai calon PRU ke-14. Situasi ini menjadikan Pakatan Harapan semakin gelabah apatah lagi dengan dakwaan bahawa parti-parti yang bergabung merupakan proksi kepada DAP. Ada yang melihatnya sebagai ‘boneka’ manakala ada pula yang meragui kerjasama antara mereka kerana kesanggupan Tun Dr Mahathir menjilat kembali ludahnya.

Mengukur kekuatan politik, ternyata parti yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai suara yang kuat, hanya sekadar satu kerusi Dewan Rakyat menerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Presiden UMNO, iaitu bagi Parlimen Pagoh. Parti Amanah Nasional (PAN) mempunyai enam kerusi Dewan Rakyat daripada PAS. Penubuhan PAN sebagai ‘alternatif kepada PAS’ selepas PAS tidak lagi berhasrat menyambung ‘tahaluf siyasi’ sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat dibubarkan atas alasan DAP tidak menyokong perjuangan PAS, termasuk campur tangan dalam penentuan agenda politik dalam parti.

Parti yang dominan dalam Pakatan Harapan sekarang ialah DAP. Selain mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat, DAP memerintah di Pulau Pinang (sejak 2008) dan berupaya mencorakkan pengurusan Negeri Selangor yang ditadbir oleh PKR. Hampir keseluruhan penyokong DAP adalah pengundi bukan Melayu, manakala keanggotaan orang Melayu dianggarkan tidak melebihi 10 peratus. Hakikat ini telah menyebabkan DAP amat memerlukan sokongan daripada pengundi Melayu kerana tanpa sokongan orang Melayu, DAP tidak mampu berkuasa di Malaysia kecuali boleh menang di beberapa kawasan majoriti pengundi Cina.

DAP telah lama menyedari faktor tersebut. Sebagai langkah menarik sokongan pengundi Melayu, DAP begitu aktif untuk membawa masuk ahli-ahlinya dalam kalangan orang Melayu, termasuk mengumpan beberapa orang anak muda Melayu yang berfikiran liberal. Contohnya, Dyana Sofia yang pernah bertanding dalam PRK Teluk Intan atas tiket DAP. Dyana merupakan pembantu kepada supremo DAP, Lim Kit Siang, iaitu ayahanda kepada Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang sedang dibicarakan atas kesalahan salah guna kuasa.

Dalam satu forum yang berlangsung di Bangsar, anak muda yang mewakili Generasi Y mempersoalkan kewajaran ahli panel (Hishamudin Rais, Dr Jeyakumar, Abu Haris Ibrahim dan Mohamad Sabu) menerima semula Dr Mahathir dan dalam masa yang sama mereka pernah mengecamnya. Forum Dr Mahathir: Agen Perubahan atau Agen Pemusnah bukan sahaja dianggap gagal menjelaskan kewajaran Pakatan Harapan menerima bekas Perdana Menteri yang pernah dicap sebagai ‘mahafir’aun’ itu bahkan ia adalah sesuatu yang jelek untuk memberikannya ruang sekali lagi kerana “kekejaman yang dilakukan selama 22 tahun memerintah tidak mudah luput dalam ingatan rakyat”.

Dalam kekalutan Hishamudin Rais untuk berhujah secara rasional mengenai asas penerimaan semula terhadap Dr Mahathir, terpaksa diakui bahawa Pakatan Harapan bakal kecundang dalam PRU ke-14 dan UMNO/BN akan terus memerintah. Ia adalah bertentangan dengan apa yang diperoleh kajian INVOKE sebagaimana yang dilaporkan sebelumnya, Pakatan Harapan mempunyai peluang yang lebih baik daripada BN berasaskan sokongan golongan muda. Nampaknya, kegelabahan mula jelas menjadi punca kenapa Pakatan Harapan rimas dan semakin terdesak, termasuk Dr Mahathir sendiri.

Dr Wan Azizah yang menerajui PKR bercadang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyelongkar apakah kesalahan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang. Apakah tujuannya? Ia tidak lain ialah untuk menepis peluang Dr Mahathir untuk terus berkuasa kerana ‘dendam’ masih ada antara mereka. Ia juga boleh dianggap strategi PKR untuk meredakan sedikit sebanyak kemarahan penyokongnya terhadap apa yang pernah dilakukan oleh Dr Mahathir di samping berusaha menggambarkan ‘ketelusan’ parti itu.

Sebenarnya Pakatan Harapan semakin nanar apabila sebuah Suruhanjaya Di raja untuk menyiasat Skandal Forex (Mata Wang Asing) yang membabitkan Dr Mahathir secara langsung dan Anwar Ibrahim pada suatu ketika, yang tentunya boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhadap harapan “Selamatkan Malaysia” dan apa yang dipaparkan sebagai kleptokrasi sebenarnya bermula pada zaman bekas Perdana Menteri yang paling lama memerintah.

Banyak perkara yang mula terbongkar oleh orang ramai yang mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan selepas UMNO (Baru) ditubuhkan bagi menggantikan UMNO (Asal) yang diharamkan pada tahun 1988. Di bawah nasihat Daim Zainudin sebagai Menteri Kewangan misalnya, berlaku penggabungan bank-bank secara besar-besaran , dari 25 buah kepada sekitar enam buah manakala beberapa entiti perniagaan yang ditubuhkan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera (misalnya Pernas) dilupuskan menerusi pelbagai kaedah penswastaan dan pengkorporatan.

Paling ‘memilukan’ ialah pengumuman Dato’ Sri Najib Tun Razak beberapa hari lalu untuk masyarakat peneroka telah difatwakan sebagai ‘haram’ oleh seorang ‘pemutus fatwa’ dalam Pakatan Harapan, kerana ia diberikan ketika hampir dengan tarikh PRU ke-14. Dalam pada itu, menurut satu laporan (belum sahih), lebih 200 peneroka FELDA Kemahang, Kelantan tidak akan menerima pemberian sejumlah RM 5,000 yang dijangka akan berlaku pada bulan Ogos nanti.

Sekiranya khabar tersebut menjadi kenyataan, dianggarkan Pakatan Harapan akan memperoleh sumbangan lebih RM 1 juta apabila ‘wang haram’ itu dipindahkan ke dalam akaun pilihan raya PH. Jika ‘wang itu’ dianggap ‘haram’ dalam apa-apa bentuk sekali pun ia tidak akan menjadi ‘halal’. Ia adalah satu lagi bentuk permainan politik yang cuba diajukan oleh Pakatan Harapan untuk menipu sebagaimana pernah dilakukan oleh salah seorang ‘ayam sabung PKR’ terhadap Tabung Haji. Akhirnya, penyimpan terpaksa mendaftar semula setelah ‘tertipu’ namun, peluang untuk menunaikan haji semakin jauh disebabkan dikira sebagai ‘baru berdaftar’. Hari ini, Rafizi mula mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membolehkannya membayar denda RM 300,000 atas ‘fitnah’ yang pernah dilontarkannya.

Dalam perdebatan yang lain, Dr Mahathir tidak akan berjaya melunaskan niatnya untuk mengangkat Mukriz sebagai Perdana Menteri kerana jika Pakatan Harapan menang PRU ke-14, kedudukannya belum selamat. Jika kalah, Dr Mahathir akan menjadi  seorang tokoh yang ‘mengkhianati perjuangannya sendiri’. Ia akan dikenang sebagai “bekas wira” yang lemas setelah gagal berenang apabila terjun mengejar bayany-bayang di air yang cetek.

Dalam kekalutan itulah akhirnya terserlah pelbagai kesilapan dan prasangka antara parti-parti pembangkang, kerana Dr Mahathir bukanlah ‘agen perubahan dan pemersatu’ . Betul juga andaian salah seorang peserta forum dari Generasi Y, bekas pemimpin yang memerintah selama 22 tahun telah banyak ‘melukakan hati rakyat’ dan kemunculannya semula ‘tidak mampu mengubatinya’ walaupun beliau adalah berpendidikan dalam bidang perubatan. Ubat yang sedang dijajanya sudah ‘luput tarikh’ .

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply