Dan Nabi Sulaiman pun Tersenyum

Siapa yang tak tahu semut? Binatang ini bersaiz  kecil dan suka yang manis-manis. Tapi Allah mengangkat derajat mereka begitu tinggi hatta Allah memberi nama salah satu surah dalam al-Qur’an dengan nama mereka: an-naml (semut).

Ada kisah menarik antara semut dengan Nabi Sulaiman a.s. Alkisah, ketika Sulaiman dan tenteranya (terdiri dari manusia, jin dan burung) berjalan sampai di suatu lembah, sekumpulan semut khuatir terpijak oleh bala tentera Sulaiman. Berkatalah seekor semut kepada kawannya:

“Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman, dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”.(QS 27: 18)

Nabi Sulaiman yang diberi kemampuan mendengar percakapan semut itu tersenyum dan tertawa. Tapi berbeza dengan kita yang menjadi sombong ketika rakyat jelata menepi ketakutan melihat kita, Nabi Sulaiman segera berdo’a:

“Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri ni’mat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu  ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh.”

Tengoklah kisah di atas dengan teliti. Bahkan seorang Nabi seperti Sulaiman pun mampu mensyukuri ni’mat hanya kerana sekumpulan semut. Sekarang tengoklah diri kita, berapa banyak kasut yang kita punya, berapa banyak pakaian yang tersimpan di almari, berapa kali sehari kita membuka internet, berapa banyak simpanan kita di Bank, betapa selesanya kerusi di ruangan kita, dan masih banyak lagi ni’mat dari Allah di sekitar kita.

Sudahkah kita mampu menjadikan benda-benda tersebut sebagai alat untuk membuat kita bersyukur pada ilahi? Lalu bagaimana caranya mensyukuri ni’mat tersebut?

Mudah saja! Anda memiliki ruang tamu yang luas, jemputlah jiran tetangga anda dan buatlah majlis ilmu di rumah anda seminggu sekali. Anda memiliki kereta, ajaklah rekan sekerja anda yang naik bas untuk pergi balik ke pejabat bersama-sama, anda memiliki gaji yang berlipat ganda, berikan sedikit kelebihan harta anda pada fakir miskin di persekitaran anda. Anda memiliki masa lapang dan ilmu yang banyak, mengapa tak anda kumpulkan para belia mesjid di tempat anda untuk anda ajarkan sedikit ilmu pengetahuan. Anda memiliki baju yang banyak, cuba tengok semula mana satu baju yang benar-benar anda perlukan, lalu bakinya berikan pada anak yatim. Dengan cara begini, setiap ni’mat yang kita peroleh mampu kita syukuri.

Ada sebuah do’a yang mirip dengan do’a Nabi Sulaiman di atas, mari kita tengadahkan tangan kita dan berdo’a :

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri ni’mat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal saleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (QS 46:15)

(nadirhosen.net)

No Comments

    Leave a reply