DANGKAL MENOLAK; BAHAYA MENGUNDANG

 

BEBERAPA minggu lalu heboh diperkatakan jumlah kematian akibat wabak campak telah menyebabkan beberapa kawasan di Filipina diisytiharkan darurat. Dianggarkan hampir dua juta kanak-kanak bakal berhadapan dengan wabak maut dan sehingga 19 Februari lalu dianggarkan lebih 130 orang kanak-kanak meninggal dunia.

Selasa lalu (19/2/2019) seorang kanak-kanak berumur berusia dua tahun satu bulan meninggal dunia akibat wabak difteria. Kanak-kanak malang itu tidak disuntik vaksin kerana mungkin merasakan ia sesuatu yang penting walhal secara saintifiknya, ia membantu kanak-kanak meningkatkan ketahanan melawan pelbagai jenis penyakit sepanjang hayat.

Menurut laporan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Shahrudin Jamal, hingga kini seramai lima lagi kanak-kanak sedang ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HAS), Johor Bahru termasuk kakak kepada kanak-kanak yang meninggal dunia.

Kenyataan itu turut menjelaskan, kakak kepada mangsa yang meningal dunia itu juga tidak pernah disuntik vaksin sejak kelahirannya. Daripada lima orang yang sedang dirawat, daripada 52 individu yang disaring, empat pernah mengambil suntikan vaksin.

Tragedi wabak campak yang melanda Filipina dikatakan cepat merebak kerana tidak mengambil suntikan vaksin di mana ibu bapa begitu terkesan dengan program pemberian vaksin anti denggi yang dilakukan sebelum ini. Suntikan vaksin anti denggi itu sudah dihentikan kerana keberkesanannya diragui, manakala di Malaysia, pemberian vaksin anti denggi tidak dilaksanakan oleh kerajaan.

Insiden penolakan suntikan vaksin bukanlah satu perkara baharu dalam masyarakat. Penolakan mungkin disebabkan ada laporan mengenai bahan yang digunakan dalam pembuatan vaksin dianggap tercemar ataupun bercampur dengan bahan-bahan terlarang, terutama ubat-ubatan yang menggunakan sebahagian daripada binatang yang diharamkan saperti babi.

Sebab sebenar penolakan ibu bapa kepada kanak-kanak malang itu tidak kita ketahui. Bagaimanapun keengganannya membawa dua anak mereka untuk mendapat suntikan vaksin secara percuma di pusat-pusat kesihatan kerajaan mengundang perdebatan apakah mereka tidak mempercayai perubatan moden yang mampu mengawal penyakit yang berjangkit saperti difteria, campak dan batuk kering.

Pada suatu ketika, penyakit batuk kering merupakan ancaman yang besar kepada penduduk. Tetapi sejak program suntikan vaksin diperkenalkan, kita jarang mendengar rakyat tempatan berhadapan dengan wabak itu. Kecualilah sejak akhir-akhir ini apabila rakyat tempatan bercampur bebas dengan pendatang asing yang tidak diketahui dengan jelas program pemvaksinannya.

Penyakit batuk kering muncul semula begitu juga merebaknya wabak campak di kalangan kanak-kanak di Filipina. Kanak-kanak yang tidak mempunyai antibody semulajadi yang kuat, mudah terdedah dengan penyakit. Atas dasar itulah Malaysia, walaupun tidak menjadikan program pemvaksinan sebagai sesuatu yang wajib, secara keseluruhannya ibu bapa di Malaysia memahami kepentingannya demi kesihatan anak-anak dan pembesaran mereka.

Mungkin juga ada ibu bapa terpengaruh dengan maklumat-maklumat tidak sahih yang disebarkan menerusi media sosial sehingga enggan mematuhi jadual suntikan vaksin kepada anak-anak. Perkembangan ini mungkin berpunca daripada gerakan tertentu yang menentang sebarang penyuntikan vaksin kerana beranggapan, kanak-kanak yang dilahirkan secara semulajadinya sudah mempunyai antibodi dan berupaya melawan penyakit.

Bulan Disember 2014, pengunjung taman tema Disneyland, California dikesan telah dijangkiti ‘measles’ sejenis campak. Beberapa minggu kemudian ia dilaporkan telah menjangkiti lebih 125 orang di seluruh Amerika Syarikat di mana 110 orang (kanak-kanak dan dewasa) adalah penduduk California. Hasil kajian akhirnya menemukan, lebih separuh daripada mereka tidak pernah disuntik vaksin mumps, measles dan rubella (MMR).

Pada tahun 2018, seramai 57,000 orang kanak-kanak tidak menerima vaksin di Texas, Amerika Syarikat.Texas merupakan sebuah negeri yang memberikan kebebasan kepada ibu bapa untuk menerima atau menolak suntikan vaksin atas alasan agama, falsafah atau kepercayaan peribadi.

Tentangan pengambilan vaksin di Amerika Syarikat dikatakan bermula dalam kalangan keluarga kaya yang tinggal di bandar-bandar. Seorang doktor dari Boston, Immanuel Pfeiffer menyarankan orang yang sihat tidak mempunyai risiko diserang wabak campak. Sebagai usaha membuktikan teorinya, Pfeiffer membuat lawatan ke hospital di mana mereka yang dijangkiti campak dikuarantin. Bagaimanapun, Pfeiffer akhirnya ikut terkena wabak campak dan beliau hampir meninggal dunia.

Selepas sembuh sepenuhnya, Pfeiffer meneruskan usaha menentang pengambilan suntikan vaksin. Lora Little (1856-1931) juga merupakan salah seorang yang lantang menentang suntikan vaksin dan lebih percaya kepada perubatan tradisional. Menurut Lora, doktor telah meletakkan kanak-kanak dalam situasi bahaya apabila disuntik dengan vaksin.

Lora memperhebatkan kempen anti vaksin ke seluruh Amerika Syarikat setelah anak tunggalnya, Kenneth meninggal dunia (1896) selepas hampir setahun menerima suntikan vaksin. Tahun 1898, Lora pindah ke Minneapolis dan mula menerbitkan majalah bulanan The Liberator untuk mempromosikan tentangan terhadap perubatan moden, penggunaan dadah dan suntikan vaksin. Tahun 1906, Lora menerbitkan sebuah buku bertajuk Crimes of the Cowpox Ring: Some Moving Pictures Thrown on the Dead Wall of Official Science. Tahun 1907, Lora memperluaskan kempen anti vaksin ke United Kingdom.

Tahun 1879 telah muncul sebuah pertubuhan bernama  Anti-Vaccination Society of America. Ia ditubuhkan oleh seorang jutawan bernama William Tebb di New York sebelum menubuhkan beberapa cawangan di Pensylvania, Maryland, Massachussets dan beberapa buah bandar besar di seluruh Amerika Syarikat.

Pada tahun 1902, wabak smallpox (campak) telah menjangkiti penduduk Cambridge telah menyebabkan kerajaan mula memperkenalkan undang-undang mewajibkan suntikan vaksin. Undang-undang tersebut mendapat tentangan Henning Jacobson, dengan merujuk apa yang berlaku ke atas dirinya. Semasa masih kanak-kanak beliau jatuh sakit selepas mengambil suntikan vaksin. Tahun 1905, Mahkamah Agung memberikan ketetapan kepada semua kerajaan negeri untuk mewujudkan undang-undang wajib suntikan vaksin.

Tahun 1982, gerakan anti vaksin muncul semula apabila tersiarnya sebuah dokumentari bertajuk DPT: Vaccine Roulette mengenai vaksin difteria, pertussis dan tetanus.Dokumentari tersebut menekankan risiko pengambilan vaksin dan berjaya menimbulkan ketakutan kepada mereka yang menontonnya.

Tahun 1997, muncul seorang doktor bernama Andrew Wakefield dan rakan-rakannya yang mendakwa ada kemungkinan kaitannya MMR dengan permulaan gangguan spectrum autism. Tulisan tersebut dikritik hebat sehingga menyebabkan 10 daripada 12 orang penulis terbabit menarik balik tulisan mereka. Penarikan balik jurnal berkenaan bagaimanapun tidak dapat menghapuskan skeptikal masyarakat terhadap pengambilan vaksin.

Menurut laporan, wabak difteria merupakan jangkitan akut yang boleh menyebabkan kesukaran pernafasan. Ia mula dikesan berlaku pada tahun 1990-an di beberapa negara saperti Rusia, Ukraine, Mogolia dan Ecuador. Wabak ini dikatakan mudah merebak di kawasan beriklim sederhana dan mudah merebak dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun.

Berdasarkan hasil penemuan di Johor Bahru, semua kanak-kanak yang sedang dirawat di HAS adalah tinggal di kawasan taman perumahan yang sama dan terdapat sebuah taska yang dikunjungi oleh kelima-limanya. Bagi mengawal gejala jangkitan, semua mereka telah diberikan antibiotik khas untuk tempoh selama 14 hari dan seterusnya dilakukan pemantauan susulan.

Wabak difteria disebabkan oleh bakteria yang dijangkiti corynebacterium diphtheriane. Ia boleh menjangkiti tekak dan selaput mukus, kulit, konjunktiva dan kemaluan. Toksin difteria mudah tersebar melalui titisan cecair dan sentuhan fizikal.

Sikap masyarakat yang mudah percaya maklumat-maklumat yang dipaparkan dalam media sosial turut mengundang bahaya, termasuklah maklumat yang cuba mempertikaikan tentang keberkesanan vaksin dan sinis terhadap perubatan moden. Ia mungkin disebarkan oleh kelompok anti vaksin dan juga mereka yang berusaha memperkenalkan produk penjagaan kesihatan tanpa kelulusan atau dakwaan bebas kimia.

Mereka ini membentuk komunitinya yang tersendiri sehingga ada kalangan masyarakat mula melupakan bukti sains dalam mempromosikan kesihatan awam. Bayangkan, hampir setiap hari kita disogokkan dengan pelbagai testimoni mengenai kemujaraban produk-produk herba untuk menurunkan tekanan darah, kandungan gula dalam darah, mengurangkan masalah kalestrol dan penyumbatan injap jantung, hanya dengan mengambil produk berkenaan.

Kepercayaan itu sebenarnya boleh dianggap sesuatu yang belum dibuktikan berkesan. Ini kerana ada kecenderungan dalam kalangan pengeluar produk kesihatan menggunakan khidmat pihak-pihak tertentu membuat ulasa mengenainya, dan mereka sanggup membayar harga mahal sekiranya pengulas berkaitan mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan boleh menjadi viral.

Selain menggunakan testimoni yang tidak tepat, pengeluar produk turut melantik duta kesihatan yang boleh menarik perhatian orang ramai. Mereka sanggup membayar upah yang mahal bagi seseorang bergelar selebriti mahupun artis yang sedang mencipta nama. Beberapa hari lalu, kita mendapat khabar, Anzalna Nasir turut ditawarkan untuk memberikan testimony mengenai produk tertentu ketika dirinya disahkan hamil.

Bagaimanapun, Anzalna wajar dipuji kerana menolaknya dan tidak mahu menipu, dirinya hamil bukan disebabkan mengambil produk yang dmaksudkan. Beliau bertawakal dan berdoa setiap hari agar dikurniakan zuriat dan doanya dimakbulkan Allah SWT, bukan kerana menggunakan apa-apa produk hamil.

Masyarakat seharusnya tidak mudah percaya dengan apa-apa testimony yang dipaparkan melalui media sosial, sebaliknya, jika memerlukan nasihat kesihatan, rujuklah kepada pakar dan doktor perubatan. Jika memerlukan tips penjagaan kesihatan dan kekal cantik, jangan percaya kepada dakwaan iklan kosmetik, termasuk pembedahan kecantikan daripada agen yang tidak bertauliah.

Sudah banyak pengajaran buruk yang menimpa, tetapi, masih ramai lagi belum serik kerana masih tegas dengan keinginan dilihat cantik dan menarik, meskipun produk yang diambil mengandungi racun atau dadah yang membahayakan. Pengeluar produk tidak banyak yang jujur, sebaliknya boleh menukarkan bungkusan dan dijenamakan semula selepas diharamkan oleh pihak berkuasa, semuanya kerana tamak, haloba dan cepat mahu kaya.

Percayalah kepada pakar, walaupun tidak semua perkara boleh diselesaikan oleh pakar. Seseorang itu ditakrifkan sebagai pakar kerana pengetahuannya yang luas, dan bukannya memperoleh mimpi tertentu. Mereka belajar dan mempraktikkannya secara serius, memberikan pertimbangan sebelum membuat sesuatu tindakan. Mereka bukannya hanya bercakap, ehm, kulum-kulum terus jadi cantik.

Kecantikan sejati bukan disebabkan pembedahan plastik atau mengambil produk tertentu. Kecantikan sejati lahir dari jiwa yang bersih dan hati yang tenteram. Kesihatan yang baik adalah dari gerakan bersenam setiap hari, tanpa berhenti. Itulah sebenarnya tips terbaik mengurus kecantikan, menjaga kesihatan dan hidup tenang.

Tidak ada rungutan dan rasa cemburu, kerana cemburu itu bukan hanya tanda sayang, cemburu juga mengakibatkan hati tidak tenteram dan jiwa kacau. Jangan jadi dangkal dan mudah percaya, sebab sebahagian penjualan secara online juga tidak berlaku jujur kepada pelanggan: Kenapa haru PM untuk mengetahu harganya? Kenapa tidak dimasukkan bersama keterangan lengkap dan mencukupi? Bukankah itu sudah menunjukkan ‘ada udang di sebalik batu?

Jangan dangkal menolak nasihat pakar, dan mudah percaya kepada sesuatu yang bernama viral. Bukan semua boleh kita percaya, sebab pembawa mesej dalam media sosial lebih ramai diselubungi emosi dan berpenyakit narsis.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply