DAP BERPERANAN BESAR DALAM PH

Pengakuan Dr Mahathir bahawa DAP telah menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan seterusnya Perdana Menteri bukan sahaja boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi politik dalam kalangan parti-parti berteraskan Melayu-Islam dan dalam masa yang bakal merengangkan hubungannya dengan DAP.

Sebagai seorang yang berpengalaman dan mempunyai strategi politik yang licik, pengakuan Dr Mahathir itu membuktikan dirinya bukanlah begitu hebat secara peribadi dan kehebatannya disumbangkan oleh penerimaan penyokong DAP.

DAP menyokong perjuangan Dr Mahathir kerana ia adalah peluang terbaik untuk meruntuhkan penguasaan politik Melayu-Islam yang telah mendominasi pemerintahan Malaysia sejak merdeka.

Ia juga berjaya membenarkan sebuah hipotises, tanpa sokongan orang Melayu-Islam, DAP tidak akan berjaya merombak institusi ketuanan Melayu dan memusnahkannya dari terus subur dalam budaya politik Malaysia.

Sebagai sebuah parti politik yang pernah dijolokkan rasis oleh Dr Mahathir sendiri ketika berseteru habis, DAP tidak banyak memperlihatkan sikapnya lebih mesra dengan orang Melayu-Islam dan sentiasa berkontroversi sehinggalah hubungan akrab dengan PAS telah memusnahkan tahaluf siyasi.

PAS pada suatu ketika dilihat lebih ‘mesra DAP’ sanggup melenturkan idealisme politiknya dari ‘negara Islam’ kepada ‘negara berkebajikan’ hanya semata-mata untuk menutup prasangka besar yang selama ini menjadi pemisah terbesar dalam naungan dan pekikan ‘langkah mayat saya dahulu sebelum berjaya menegakkan negara Islam’.

Rakyat Malaysia juga masih ingat bagaimana penyataan Mursyidul Am PAS ketika hadir di rumah pengerusi DAP, Karpal Singh sempena ulang tahun kelahiran ‘harimau Jelutong’ itu. Walaupun kedua-duanya sudah menjadi saksi sejarah, pertikaian seterusnya telah membawa hubungan menjadi tidak mesra yang kemudiannya menjurus kepada terputusnya kerjasama politik dan terpadamnya obor Pakatan Rakyat.

Pengakuan Dr Mahathir kali ini bukan sahaja membenarkan ungkapan, setiap parti yang ingin bekerjasama dengan DAP mestilah menerima hakikat bahawa perjuangan asalnya tidak akan dilenturkan, termasuklah melenyapkan dominasi Melayu-Islam kalaupun tidak ‘ketuanan Melayu’ untuk diselitkan secara halus dan berkepentingan Malaysian Malaysia.

Dr Mahathir yang pernah mengkritik dan menentang Malaysian Malaysia yang diperkasakan daripada ideologi politik PAP ketika Lee Kuan Yew merasai pengaruhnya tercabar apabila beberapa pilihan raya kecil di Singapura selepas tahun 1964 dimenangi oleh parti-parti yang diasaskan oleh golongan pekerja (buruh) dengan sosialismanya.

Setelah Singapura tidak lagi berada dalam Malaysia pada tahun 1965, DAP kemudiannya diasaskan sebagai klon PAP terus memperjuangkan Malaysian Malaysia, suatu perjuangan untuk merombak nilai-nilai yang dikembangkan daripada Kontrak Sosial. Kontrak Sosial pada mulanya merupakan Manifesto Perikatan (1955) dan seterusnya menjadi kerangka dalam penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid sebaik sahaja British bersedia memberikan taraf kemerdekaan tanah jajahannya, tidak termasuk Singapura. Singapura akan terus kekal sebagai wilayah jajahan British.

Lee Kuan Yew mempunyai strategi yang juga dianggap licik bila mengesyorkan pembentukan sebuah wilayah yang lebih besar sekitar tahun 1960-an dengan keanggotaan Sabah, Sarawak dan Brunei. Tujuannya jelas, dengan terbentuknya sebuah gagasan yang lebih besar, Singapura tidak lagi menjadi sebahagian tanah jajahan British, dan memperoleh status sebagai sebuah wilayah yang merdeka.

Pada mulanya Lee Kuan Yew melihat dengan gabungan yang lebih besar, politik PAP akan dapat dikembangkan di samping memperluaskan pasaran barangan yang mana Singapura ketika itu masih merupakan sebuah pelabuhan entrepot. Selepas gagasan Malaysia berjaya dibentuk pada tahun 1963, PAP telah mengemukakan calonya dalam Pilihan Raya Umum 1964. Salah seorang calonnya menang di Bangsar, iaitu Dewan Nair.

Selepas perbalahan yang panjang dengan Tunku Abdul Rahman, Singapura akhirnya disingkirkan. Dewan Nair mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan seterusnya menjenamakan semula PAP menjadi DAP. Pendaftaran DAP diluluskan pada 19 Mac 1966 oleh Jabatan Pertubuhan. (Rujuk: https://biswardihasbi.wordpress.com/2015/12/26/pap-sudah-berminat-untuk-tawan-lima-negeri-tanah-melayu-sejak-1964/).  Perlembagaan DAP terus mengekalkan perlembagaan PAP. Hingga kini, DAP dilihat mempunyai hubungan yang masih rapat dengan PAP Singapura.

Hubungan kerjasama DAP dengan PAP terjalin semakin erat apabila Lim Guan Eng menerajui kepimpinan politik Pulau Pinang di mana peringkat awalnya beliau dilaporkan hampir setiap minggu ke Singapura bagi membincangkan pelbagai perkara, termasuk mengikis mantra ‘ketuanan Melayu’ yang masih tebal di Pulau Pinang. Gerakan-gerakan yang dilakukan pada peringkat awal saperti menghakis fakta sejarah bahawa penempatan awal masyarakat Melayu di beberapa tempat di Pulau Pinang dengan mengemukakan bahawa seolah-olah pedagang atau kaum imigran Cina merupakan penduduk asal di negeri terbabit.

Fakta sejarah yang cuba dirombak dan ditulis semula itu mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu dan pakar-pakar sejarah tempatan. Prof Ahmad Murad Merican, Prof Muhamad Haji Salleh dan Mahani Musa telah berjaya menafikan kecenderungan baru DAP itu menerusi beberapa bukti sejarah.

Ahmad Murad Merican misalnya menegaskan bahawa Batu Uban adalah kawasan yang mula diterokai oleh keturunan Dato’ Jenaton dari Pagaruyung, Sumatera. Sejak tahun 1730-an, Sultan Kedah telah menganugerahkan tanah kepada Nakhoda Intan @ Haji Muhammad Salleh untuk membina sebuah masjid di Batu Uban. Sebelumnya, Nakhoda Intan telah membina masjid Tengkera di Melaka pada tahun 1728. (Rujuk: Ahmad Murad Merican, Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, K. Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015)

Francis Light sebenarnya telah mendarat di Tanjong Penaga pada bulan Ogos 1986. Ketibaan Francis Light disambut oleh Nakhoda Kechil @ Ismail yang berasal dari Payakumbuh, Minangkabau, Sumatera. Setelah Inggeris diberikan hak pajakan ke atas Pulau Pinang oleh Sultan Kedah, orang-orang Cina mula dibawa masuk untuk bekerja di pelabuhan dan seterusnya membuka petempatan baru. Dalam konteks sejarah Melayu, wilayah Melayu adalah begitu luas dan ia telah dipersempitkan oleh kolonial. Misalnya, dengan Perjanjian Inggeris Belanda 1824, Indonesia dan Tanah Melayu dipisahkan. (Khalid Salleh, Melayu Hilang Di Dunia, 2011).

Disebabkan strategi politik DAP untuk menafikan sejarah Pulau Pinang dihuni oleh orang Melayu, mereka mula mengaitkan bahawa beberapa tempat yang diberikan nama berunsur Cina itu adalah permulaan penerokaan Pulau Pinang yang pada asalnya dianggap tidak berpenghuni.

Oleh kerana Pulau Pinang pesat membangun sebagai sebuah pelabuhan yang penting, jumlah penduduk keturunan Cina semakin ramai dan melebihi jumlah penduduk keturunan Melayu, maka mudahlah DAP untuk menghakiskan kepercayaan bahawa Pulau Pinang adalah sebuah entiti yang mempunyai kaitan sejarah dengan orang Melayu.

Strategi itu kemudiannya dikembangkan menerusi beberapa dasar pembangunan yang kemudiannya dipertikaikan oleh banyak pihak, termasuklah keengganan membina lebih banyak rumah-rumah mampu milik untuk orang Melayu. Dan, inilah juga yang sedang dicipta dalam PH untuk memperlihatkan bahawa kerajaan terdahulu adalah lebih buruk dan jahat sebagaimana acuan DAP lakukan peringkat awal pentadbirannya di Pulau Pinang.

DAP memanipulasikan angka dengan mengatakan dalam tempoh begitu singkat hutang negeri Pulau Pinang sudah dapat dilangsaikan. Apa yang berlaku ialah pemindahan aset air dari kerajaan negeri kepada kerajaan pusat. Liabiliti itu dipindahkan kepada kerajaan pusat dan dalam perjanjian tersebut, kerajaan negeri masih dibenarkan untuk menjalankan operasi bekalan air bersih.

Selepas diberikan kebenaran, kerajaan negeri menaikkan caj penggunaan air dengan alasan untuk mengelakkan pembaziran. Strategi yang sama sedang digunakan oleh kerajaan PH di mana Menteri Kewangan membuat kenyataan awal bahawa kerajaan terdahulu telah berhutang sehingga melebihi tahap Keluaran Dalam Negara Kasar. Peratus hutang negara telah melebihi 80 peratus daripada KDNK.

Jumlah hutang yang digambarkan ialah RM 1.0873 trilion. Menurut kenyataan Lim Guan Eng bertarikh 24 Mei 2018, hutang kerajaan persekutuan setakat 31 Disember 2017 ialah RM 686.8 bilion (50.87 peratus daripada KDNK, dan jaminan kerajaan berjumlah RM 199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK). Keseluruhannya berjumlah RM 885.9 bilion (65.4 peratus dari KDNK). Jaminan ‘least payments’ untuk semua Public Private Partnership berjumlah  RM 201.4 bilion (14.9 daripada KDNK). Bila dicampurkan kesemuanya ia berjumlah RM 1.087.3 trilion atau 80.3 peratus daripada KDNK sehingga 31 Disember 2017.

Angka ini amat menakutkan walaupun jumlah hutang keseluruhannya tidaklah melebihi daripada KDNK tahunan. Jumlah hutang yang besar ini telah dijadikan sebagai alasan untuk kerajaan Malaysia Baru menangguh atau berunding semula mengenai beberapa projek yang pernah dianggap sebagai ‘tindakan menjual negara’.

Dalam masa yang sama beberapa kisah kegagalan negara luar melunaskan hutang pembangunan infrastruktur disiarkan secara meluas bagi meyakinkan masyarakat bahawa projek-projek infrastruktur mega adalah tidak perlu dan dianggap membazir. Kesimpulan bayangan bahawa dengan membatalkan projek-projek berkenaan, kerajaan Malaysia Baru dapat menyelamatkan Malaysia daripada menanggung hutang yang besar.

Selepas beberapa bulan mengambilalih pentadbiran, Perdana Menteri mula menjalinkan hubungan lebih akrab dengan Jepun dan memohon pertolongan negara itu memberikan pinjaman mudah dalam bentuk yen dengan kadar faedah lebih rendah. Jepun yang sudah kehilangan kedudukannya sebagai ‘kuasa ekonomi’ kedua terbesar akhirnya merasakan inilah peluang yang kembali terbuka untuk memperbaiki kedudukannya, berusaha menjadi pelabur terbesar di Malaysia mengambil alih kedudukan China.

Bagaimanapun tidak mudah bagi Jepun untuk melakukannya. Pembatalan projek mega infrastruktur kemudiannya dibatalkan. Pembatalan tersebut ada kaitannya dengan ‘breach of contracts’ yang mungkin akan mengakibatkan bayaran pampasan dan ganti rugi yang besar, yang memungkinkan kerajaan Malaysia Baru mencari sumber kewangan baharu atau berhutang lebih banyak untuk membayarnya.

Hasilnya, rundingan semula dilakukan dengan mengatakan bahawa ia berjaya menjimatkan lebih banyak wang. Penjimatan itu bukan disebabkan mendapat harga yang lebih murah, tetapi berlaku pengecilan skop kontrak saperti mengurangkan jumlah stesen, terowong keretapi bawah tanah dan sebagainya. Contohnya ialah MRT fasa II dan ECRL.

ERCL pada mulanya dicadangkan menggunakan laluan berkembar (double track) dan mungkin akan dilaksanakan dengan hanya satu laluan. Beberapa buah stesen telah dipinda spesifikasinya dan dikurangkan jumlahnya. Alasannya, ia kelihatan terlalu mewah dan tidak diperlukan untuk masa sekarang.

Hal yang sama pernah berlaku kepada pembangunan pengangkutan rel kendalian Keretapi Tanah Melayu ketika perkhidmatan komuter ingin diperkenalkan pada tahun 1990-an. Kini, laluan pengangkutan KTM mengalami suasana yang terlalu sesak kerana perkhidmatannya sudah berkembang dari Keretapi Penumpang, Keretapi Ekspress dan Keretapi Barang kepada KTM Komuter, ETS antara bandar dan sebagainya. Perkembangan ini telah memberikan tekanan kepada penggunaan rel dan samboyan perjalanan.

Pada tahun 2016, kerajaan terdahulu meluluskan pembangunan Tren Berkembar Lembang Klang (KVDT) dan apabila berlaku  perubahan kerajaan, proses pembinaannya terbantut. Projek KVDT sepatutnya dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun, iaitu sebelum akhir 2019. Proses menaiktaraf itu dilihat terlalu perlahan kerana spesifikasinya juga dibincangkan semula bagi mengurangkan kos.

Apabila tidak semua projek-projek pembangunan yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu ditamatkan, imej kerajaan Malaysia Baru semakin dilihat tidak konsisten dengan apa yang diperkatakan sebelum mendapat kuasa. Masyarakat semakin ini, inilah satu bentuk permainan persepsi yang sedang dilakukan untuk menimbulkan rasa marah, benci dan meluat dengan kerajaan terdahulu.

Strategi sedemikian nampaknya tidak lagi berjaya ‘mengekalkan persepsi awam’ bahawa kerajaan Malaysia Baru komited untuk membina semula Malaysia dengan lebih baik. Rakyat melihat sejak mengambil alih pentadbiran pada 10 Mei 2019, belum ada apa-apa rancangan yang benar-benar boleh menjadi ‘pembawa obor’ Malaysia Baru selain mengecam Malaysia Lama.

Dalam erti kata propaganda, setiap pemimpin yang bermusuh akan mengambil tindakan segera untuk melabelkan musuh politiknya dengan pelbagai panggilan atau gelaran negatif. Tindakan kedua ialah memperlekehkan semua usaha dan tindakan musuh dengan membuat janji yang dilihat munasabah dan memadai. Usaha ini adalah tindakan untuk mengekalkan persepsi buruk dan menarik perhatian kumpulan yang berada di pinggiran kuasa politik, termasuklah pengundi yang disifatkan sebagai pengundi simpati.

Saperti dilakukan oleh Dr Joseph Goebbels (1897-1945), setiap serangan buruk hendaklah dilakukan secara berterusan walaupun sebahagian kebenarannya belum dapat dibuktikan. Dengan serangan berterusan tanpa henti akan menyebabkan sesuatu gelaran atau sifat buruk itu akan dipercayai sebagai benar dan betul. Inilah yang sedang dilakukan ke atas UMNO dan BN.

UMNO dan BN diserang dengan pelbagai imej buruk seolah-olah parti yang memerintah selama enam dekad itu wajib dilupakan dan tidak dihargai apa pun sumbangannya. Walhal sepatutnya rakyat boleh memikirkan UMNO dan BN adalah saperti sarang lebah yang sudah bertahun-tahun menghasilkan madu untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia.

Sekarang ini, bukan hanya sarang lebah sahaja hendak dibakar bahkan beberapa ekor lebah yang bekerjasa keras menghasilkan madu juga sedang dibunuh. Dengan cara itu, PH akan mengharapkan bahawa saki baki lebah yang masih ada dalam sarang lama itu akan berpindah ke sarang baru. Bagi Bersatu, keinginannya sebagai ‘rumah baru’ bagi orang Melayu-Islam sudah kedengaran.

Terbaharu DAP mula membuat perancangan dengan melontarkan impian agar penyokong-penyokong MIC menyertai parti itu berdasarkan komen Lim Kit Siang yang mendesak MIC keluar BN. Lim Kit Siang seolah-olah memerli MIC kerana setakat ini, belum kedengaran bahawa calon MIC akan diumumkan mewakili BN dalam PRK Cameron Highlands. DAP sudah mengumumkan calonnya bagi mewakili PH manakala Tan Sri Dr M Kayveas bertekad untuk menjadi salah seorang calon di situ kerana memiliki peluang terbaik kerana tidak diberikan peluang bertanding di situ dalam PRU ke-14.

Sebelumnya, Lim Kit Siang dengan nada berseloroh menjawab pertanyaan mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir yang kini dilihat lebih baik berbanding sebelumnya. Kerjasama antara mereka walaupun hanya atas asas mengalahkan UMNO dan BN, tetap terselit agenda yang lain apabila Dr Mahathir ‘terhutang budi’ kepada DAP kerana menyokong dan memilihnya sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Nada seloroh Lim Kit Siang ada keseriusannya apabila beliau berkata dirinya tidak ‘tamak’ dan bersedia memberikan peluang kepada pemimpin yang lebih muda menduduki kabinet. Dr Mahathir yang berusia 93 tahun dipilih untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri bagi pusingan kedua, yang boleh diterjemahkan itulah realiti politik orang Melayu, akan tetap ingin berkuasa dan  tidak bersedia ‘memberikan kuasa’ kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik.

Hakikatnya, walaupun mempunyai jarak usia sebanyak 16 tahun (Kit Siang lahir 1941 dan Dr Mahathir lahir 1925) dan pada suatu ketika saling bermusuhan, ia tidak bermakna mereka percaya dalam semua perkara. Akhir-akhir sudah kedengaran, Lim Kit Siang saperti terkilan dengan tindakan Dr Mahathir menerima bekas pemimpin UMNO menyertai Bersatu, hanya kerana ingin mengimbangi kuasa politiknya dalam PH.

Apatah lagi dengan pendedahan terbaharu ini akan membangkitkan semua rasa marah sebahagian orang Melayu-Islam, bahawa dalam situasi apa pun, selagi terbentuknya kerjasama dengan DAP, selagi itulah Malaysian Malaysia akan dihidup dan dijelmakan dalam wajah dan psikologi yang baharu, sesuai dengan aliran pemikiran politik liberal dan bebas.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply