DAP SEMAKIN TERPERANGKAP

MASYARAKAT menerima dengan baik keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan: Meraih Manfaat Bersama (BRI) dengan alasan cuba mempromosikan ideologi komunis dan sosialis dengan menulis semula asas-asas sejarah yang berkaitan dengan negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KDN lewat petang semalam (23/10/2019), komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa –Melayu, Inggeris dan Cina—itu berusaha meraih sokongan awam mengenai perjuangan komunis yang dianggap sebagai sebahagian daripada asas pembentukan negara Malaysia moden.

Tindakan mempromosikan komunisme bukanlah satu perkara baharu, walaupun ideologi komunis telah diisytiharkan bertentangan dengan asas sejarah moden Malaysia sejak zaman penjajahan lagi. Komunisme dikatakan mula bertapak sejak tahun 1930-an, dengan tujuan menentang pemerintahan kolonial.

Selepas Perang Dunia II, Parti Komunis Malaysia (PKM) menubuhkan sayap Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) untuk menentang kuasa Jepun yang memerintah Tanah Melayu. Jepun merupakan musuh kepada etnik Cina apabila kuasa dari negara matahari terbit itu turut menjajah sebahagian besar negeri China untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara sebelum Perang Dunia II, manakala Thailand mengambil sikap memberikan kerjasama sebagai laluan tentera Jepun untuk tujuan tersebut.

Selepas Jepun menyerang kalah, MPAJA mengambil peluang untuk memerintah Tanah Melayu disebabkan British tidak segera kembali sebagai pentadbir.

MPAJA ditubuhkan pada awalnya bekerjasama dengan British untuk menundukkan pemerintahan Jepun. MPAJA turut mengambil peluang untuk membunuh dan menyiksa mana-mana pihak yang bersimpati dengan Jepun, walaupun kedatangan Jepun pada awalnya mendapat sokongan penduduk tempatan berasaskan janji dan keinginannya untuk membentuk “Asia untuk orang Asia” atau Semangat Asia.

Dala tempoh tiga tahun penubuhannya, MPAJA mempunyai kekuatan 7,000 anggota dan mula merancang untuk melakukan serangan ganas terhadap Britih. Parti Koumintang dari China turut memainkan peranan mempromosikan ideologi komunis kepada penduduk tempatan, yang mendapat perhatian terbanyak dalam kalangan masyarakat keturunan Cina yang pada awalnya adalah pekerja di sektor perlombongan.

Mereka telah dibawa masuk oleh British setelah bijih timah ditemui di Tanah Melayu dan pembukaan beberapa pelabuhan di Negeri-Negeri Selat selepas British berjaya ‘menyewa Pulau Pinang’ dari kesultanan Kedah (1786). Ia kemudiannya menjadi semakin bertambah apabila Inggeris dan Belanda bersetuju untuk ‘memfaraidkan’ kawasan pemerintahan, di mana Tanah Melayu menjadi milik British manakala Belanda menguasai sepenuhnya Indonesia (Perjanjian Inggeris-Belanda 1824).

pekerja-perlombongan-bijih-gimah

Sebelum PKM ditubuhkan, buruh-buru Cina di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang. Tahun 1930, Parti Komunis Nanyang diharamkan oleh British, maka sebagai penggantinya ditubuhkan Parti Komunis Malaya. Tujuan penubuhannya ialah menubuhkan sebuah negara bernama Republik Komunis Malaya.

Akibat pengunduran Jepun, MPAJA mengambil kesempatan untuk berkuasa secara gerila dengan bantuan beberapa pertubuhan Cina, termasuk pertubuhan yang berasaskan suku etnik Cina. Antara pertubuhan itu ialah Min Yuen dan MRL. Mereka berjaya menguasai Tanah Melayu untuk tempoh selama 14 hari, dan pemerintahan itu dikenali sebagai Pemerintahan Bintang Tiga.

Orang Melayu mula merasai peritnya hidup di bawah pemerintahan Bintang Tiga, dan mereka mula melakukan penentangan, terutama di bahagian selatan Tanah Melayu. Antara nama besar yang memimpin gerakan memberontak pemerintahan Bintang Tiga itu ialah Panglima Saleh (Selempang Merah) dan apabila British kembali memerintah, Bintang Tiga mula melancarkan serangan ganas kepada British menerusi serangan bersenjata dan akhirnya terpaksa diisytiharkan darurat.

Kandungan komik BRI turut memperkatakan mengenai hubungan Malaysia-Cina yang telah dirintis oleh Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1974, yang dinilai sebagai suatu titik sejarah bahawa komunisme bukanlah merupakan musuh. Hubungan diplomatik itu dilaksanakan untuk tujuan menyedarkan orang Cina di Malaysia bahawa ‘ketaatan mereka’ tidak lagi kepada China kerana mereka adalah warganegara Malaysia yang merdeka kerana disinilah ‘langit yang dijunjung dan bumi yang dipijak’.

Bagaimanapun, ideologi komunis tidak mudah disemadikan walaupun secara perundangannya ia telah diharamkan. Usaha menghidupkan semula komunisme sentiasa berlaku dan menurut kenyataan sejarah, berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 turut dikaitkan dengan penyemarakan semula komunisme. Anggota PKM yang berjuang untuk membebaskan Tanah Melayu akhirnya terpaksa beralah dan meneruskan perjuangan mereka menerusi serangan bersenjata. Mereka lari ke hutan dan seterusnya menetap di Selatan Thailand sebaik sahaja darurat diisytiharkan tamat.

Kontroversi pengangkatan komunis sebagai ‘pejuang kemerdekaan’ dibangkitkan semula menerusi aktiviti politik. Beberapa penulisan mengenai perjuangan politik kiri mula diterbitkan sebagai sebahagian daripada gesaan sejarah untuk mengiktiraf perjuangan mereka termasuklah beberapa biografi pemimpin Melayu yang menganggotai PKM. Antaranya Samsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin, dan Suriani Abdullah.

Pada tahun 2003, Chin Peng yang memimpin PKM telah menulis sebuah buku mengenai perjuangan dan harapannya menerusi PKM. Buku tersebut Alias Chin Peng: My Side of History dengan tujuan untuk memperbetulkan persepsi umum terhadap perjuangan PKM.  Kemudianya, muncul pula gerakan untuk membina tugu peringatan terhadap perjuangan komunis di Nilai, Negeri Sembilan dan ini membawa kepada kemarahan keluarga bekas tentera (orang Melayu) serta tokoh-tokoh politik tanah air.

Sebuah parti politik mengambil kesempatan dengan mendesak agar Chin Peng dibenarkan kembali di Malaysia untuk menghabiskan usia tuanya. Keputusan kerajaan Malaysia tidak berpihak kepada tuntutan tersebut sehinggalah Chin Peng meninggal dunia (16 September 2013). Perjuangan tersebut belum berakhir, mereka terus berusaha untuk membawa balik abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

Meskipun titik sejarah itu tidak disentuh secara mendalam dan fakta yang jelas, penerbitan komik BRI tetap membawa mesej bahawa komunisme bukanlah musuh kepada ideologi politik Malaysia, ia adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia moden yang wajar dihargai, dan penulisan semula sejarah perlu mengambil kira sumbangan tersebut. Setakat ini, secara rasminya DAP menyatakan, ia bukanlah sebuah penerbitan yang ditaja oleh mereka, DAP tidak mempunyai apa-apa kaitan.

Alasan tersebut tidak boleh diterima oleh kebanyakan masyarakat atas alasan, penulisnya adalah seorang penceramah DAP yang digelar sebagai ‘superman’ manakala kata pengantarnya turut ditulis oleh Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia, iaitu Setiausaha Agung DAP.

Seandainya Lim Guan Eng bukan Setiausaha Agong DAP, ia tidak mungkin menarik minat Superman untuk mendapatkan sokongan Lim Guan Eng. Hubungan itu sudah membuktikan bahawa ada kaitan dengan DAP.

Komik berkenaan diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan dan Komik Asia (ACCM). ACCM di Komtar telah dirasmikan pada 8 Mac 2016 oleh EXCO Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang. Menurut laporan, kerajaan negeri Pulau Pinang turut memberi bantuan (termasuk subsidi sewaan premis dan kemudahan lesen) kepada ACCM untuk beroperasi di tingkat dua KOMTAR.

Muzium ini mengenakan bayaran masuk kepada setiap pengunjung. KOMTAR ditadbir oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Mulai tahun 2008, DAP menguasai pentadbiran negeri Pulau Pinang

Berdasarkan maklumat dalam laman web ACCM, penubuhannya adalah salah satu projek kerajaan negeri Pulau Pinang. Hanya Pulau Pinang berada dibawah pentadbiran langsung DAP, maka ACCM adalah projek DAP. Asas itu dengan sendirinya menolak kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai penerbitan komik BRI ada kaitan dengan DAP.

Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan pembabitan DAP dalam pengurusan ACCM dan turut tidak menyedari bahawa ACCM yang menerbitkan komik tersebut, yang ditulis oleh Hew Kuan Yaw dan ilustrasinya dibuat oleh Chong Po Lin. Hew merupakan kurator  ACCM dan pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC).

Selain sudah diedarkan ke beberapa buah sekolah, April lalu, ia turut dihadiahkan kepada Presiden China, Xi Jinping oleh Dr Mahathir di Beijing. MCBC dipengerusikan oleh Tan Kok Wai, iaitu Pengerusi DAP. Pejabat Perdana Menteri telah menafikan bahawa komik BRI adalah hadiah rasmi dari Kerajaan Malaysia dan ia dilakukan tidak mengikut prosedur. Ertinya, Perdana Menteri turut terperangkap dalam ‘permainan politik DAP’, apatah lagi ia turut membabitkan Tan Kok Wai, Duta Khas ke China (bertaraf menteri).

Pelantikan Tan Kok Wai  juga menjadi kontroversi. Ia berkaitan pelantikan politik dalam agensi kerajaan. Kerajaan PH berjanji tidak akan melakukan perkara itu, tetapi akhirnya Dr Mahathir membuat keputusan pada Januari lalu melantik Tan Kok Wai, sebagai Duta Khas ke China.

Usaha ‘menulis semula sejarah’ bukanlah sesuatu yang baharu berlaku di Malaysia. Sebelum PH berkuasa, DAP menerusi pertubuhan-pertubuhan tertentu pernah mendesak untuk memasukkan nama-nama besar dalam perjuangan politik kiri sebagai tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Kita mungkin kembali mengingatkan semula bagaimana Mohamad Sabu, ketika masih berada dalam PAS meletakkan Mat Indera sebagai pejuang sebenar kemerdekaan dengan meremehkan sumbangan anggota polis mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera dikenalpasti sebagai pemberontak da nada kaitan dengan PKM.

Bahkan ketika Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, usaha menterbalikkan fakta sejarah orang Melayu turut dilakukan. Menerusi penerbitan bulletin negeri, Buletin Mutiara, dibakgkitkan bahawa orang Cina telah membuka petempatan terawal di Balik Pulau, yang kemudiannya diikuti oleh orang Melayu. Ia bersandarkan kepada beberapa nama Cina dan komuniti Cina yang ada di sekitar daerah Barat Daya.

Prof Ahmad Murah Merican kesal dengan propaganda berkenaan dan menyifatkan masyarakat Melayu Pulau Pinang ‘kini kian menjadi pengemis sejarah’ dan ‘Melayu Pulau Pinang diwajahkan sebagai daif, tidak mempunyai peradaban dan sejarah’  apabila pemikiran arus perdana melihat bahawa  ‘sejarah Pulau Pinang hanya bermula dari tahun 1786’. (Ahmad Murad Merican, Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, DBP, 2015: 1-2.

Sebelum KDN mengharamkan komik BRI, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata terdapat ‘perkara tidak betul’ dan tindakan tegas akan diambil ke atas penerbit dan pengedarnya. Pada suatu ketika, Muhyiddin turut diselar oleh pemimpin DAP kerana membuat keputusan untuk mewajibkan subjek sejarah dalam peperiksaan SPM. Ia bukan sahaja wajib dipelajari, bahkan wajib lulus.

DAP yang masih belum reda dengan dakwaan pembabitan segelintir ahlinya dalam mempromosi LTTE mendapatk satu lagi ‘pukulan ganas’ menerusi propaganda BRI. LTTE telah diisytiharkan haram dan bersifat ganas  oleh lebih 30 buah negara. Kini, walaupun LTTE telah diharamkan pada tahun 2009 oleh kerajaan Sri Langka, usaha ‘menghidupkan kembali’ sedang giat dilakukan dari luar Sri Langka. Ia turut membabitkan beberapa orang pemimpin DAP, menganjurkan aktiviti pengumpulan dana dan seterusnya mempromosikannya. Setakat ini, pihak polis masih menahan beberapa orang pemimpin DAP manakala Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan keterangan oleh pihak polis.

Meskipun DAP menafikan pembabitan langsung dalam penerbitan komik BRI, dua isu tersebut telah menjadikan parti berkenaan semakin kemek. Persepsi umum tetap mencerminkan bahawa imej DAP telah kemek atas alasan-alasan yang saling bercanggah antara mereka, di mana ketidaksehaluan pandangan sentiasa berlaku. Secara lumrahnya, DAP tetap akan menafikannya walaupun ia dilakukan oleh ahli-ahlinya, ia adalah soal peribadi.

Meskipun Hew sudah meninggalkan DAP, beliau kerap hadir dalam ceramah DAP. Ini bermakna jiwa Hew masih tebal dengan nilai-nilai dan perspektif pemikiran politik DAP. Hew akan tetap dipersepsikan sedemikian, tetap menyokong perjuangan DAP apatah lagi beliau turut dilantik oleh Pengerusi DAP, Tan Kok Wai menduduki jawatan dalam MCBC.

Komik yang kemek dan LTTE akan menyebabkan DAP akan terus dibadai oleh ahlinya sendiri dan bertambah lagi setelah Ronnie Liu memulakan ‘sengketa’ baharu dengan Dr Mahathir sebagai ‘harimau kertas’. Komen itu menyebabkan DAP tidak dapat dipulihkan imejnya kecuali DAP membuat keputusan memecat  ADUN Sg Pelek itu.

 

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply