DARI JOURNALISM KE CHURNALISM

TOM WICKER (1926-2011) merupakan seorang wartawan politik yang berkebolehan dan dihormati sepanjang kerjayanya di New York Times. Mula menjadi wartawan professional pada tahun 1949 dan menjadi terkenal apabila menulis mengenai pembunuhan John F Kennedy dan laporannya tersiar di muka depan New York Times bertarikh 23 November 1963.

Selain menulis buku-buku politik, Tom Wicker turut menulis mengenai bidang kewartawanan sehingga menjadi rujukan pelajar-pelajar kewartawanan di seluruh dunia. Bukunya, On Press (1955 dan dikemaskinikan pada tahun 1978) memberikan beberapa panduan jelas bagaimana seseorang wartawan perlu memahami profesionnya, jika mahu dihormati dan dihargai oleh masyarakat. Salah satu frasa menarik dari mendiang ialah “Find out what you can and tell the people what you know.”

Apa yang menariknya, dalam setiap pelaporan Wicker berpegang kepada prinsip: People need accurate information from credible sources. Jadi, apabila saya membaca sebuah rencana yang mengandungi dua perkara; perihal pemansuhan tol di empat lebuh raya –LDP, Terowong SMART, KESAS dan SPRINT- dan perihal hutang FELDA yang ditulis oleh Khaidir A Majid, “Gelisah masa depan punca kelakuan terlanjur Aktif,’ Berita Harian, 25.2.2019 mengingatkan kepada dua orang tokoh wartawan yang berwibawa.

On Press by Tom Wicker

Tom Wicker adalah orang yang pertama berjaya memberikan saya kefahaman mengenai selok belok dunia kewartawanan, kerana buku On Press itu merupakan teks wajib dibaca, dihafal dan dihadamkan dalam pengajian awal kewartawanan pada tahun 1979. Tokoh wartawan kedua ialah Nick Davies, itu pun setelah membaca bukunya Flat Earth News: An Award-Winning Reporter Exposes Falsehood, Distortion and Propaganda in the Global Media (2018) sepuluh tahun lalu.

Saya terus memberikan tafsiran bahawa tulisan Khaidir itu bukanlah penterjemahan konsep kewartawanan yang difahami daripada perspektif Tom Wicker, ia adalah konsep churnalism yang diistilahkan oleh Nick Davies, seorang wartawan kaliber yang pernah bertugas dengan akhbar Guardian, United Kingdom.

Dalam pemahaman biasa, churnalism adalah sejenis bentuk kewartawanan di mana seseorang wartawan hanya menulis berdasarkan maklumat sedia ada, saperti siaran akhbar, perkhidmatan berwayar, wire service. Berita atau laporan tidak dibuat berdasarkan penyelidikan asli atau pengumpulan maklumat di lapangan oleh wartawan itu sendiri terutama dalam keadaan mengejar deadline dan kekosongan berita untuk dimuatkan dalam akhbar.

English Oxford Living Dictionary menjelaskan definisi berikut: journalism of a type that is based on the repetition or reuse of material obtained from sources such as press releases or syndicated news reports, rather than original research.

Nick Davies memberikan gambaran saperti berikut: This is churnalism. This is journalists failing to perform the simple basic funtions of their profession; quite unable to tell their readers the truth about what happening on their patch. This is journalists who are no longer out gathering news but who are reduced instead passive processors of whaever material comes their way, churning out stories, what real event or PR artifice, important or trivial, true or false”. (hal.59).

Kita tangguhkan sementara persoalan churnalism. Kita telitikan apa yang ditulis oleh Khaidir A Majid. Cerita pertama mengenai pemansuhan tol di empat lebuh raya. Beliau melabelkan Datuk Sri Najib sebagai pakar putar belit atau spin doctor kerana mempersendakan langkah terbaharu Kerajaan PH menghapuskan kutipan tol (digantikan dengan caj kesesakan) untuk waktu sesak, pengurangan 30 peratus kadar tol dan bebas tol antara 11 malam hingga 5 pagi.

Khaidir menjelaskan Najib saperti menuduh kerajaan memaksa rakyat untuk bangun awal untuk berada di lebuh raya jika tidak mahu membayar caj kesesakan. Secara mudahnya boleh kita fahami, apakah tujuannya Kerajaan PH membebaskan pengguna lebih raya ketika itu? Siapakah yang lebih beruntung? Khaidir menjelaskan, perubahan masa kerja menyebabkan ada yang mendapat faedah, kerana masa kerja ketika ini bukan lagi 9-5 atau 10-6.

Beliau terlupa, janji Kerajaan PH ialah mengurangkan kos sara hidup rakyat. Maknanya. Sebahagian besar rakyat akan mendapat faedah daripada pemansuhan tol. Apa yang bakal berlaku ialah sebahagian kecil sahaja yang memperoleh faedah, dan kerana itulah ada yang menyindir, hanya babi sahaja yang keluar ketika itu. Bukan merendahkan martabat pemandu lori, peniaga pasar malam, pekerja shift mahupun wartawan yang pulang lewat malam atau awal pagi dan peniaga food-truck.

Di Malaysia dianggarkan terdapat lebih 5.3 juta pelajar yang bersekolah di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Bererti setiap pagi, keluarga pelajar masih terus dibebankan dengan caj kesesakan setiap kali mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah. Sesi persekolahan pagi bermula 7.20 pagi dan sesi petang selepas Zohor.

flat earth news

Begitu dengan penjawat awam, mereka tetap dan terpaksa membayar tol kerana masa pergi dan balik kerja dalam takrifan waktu puncak. Kebiasaanya, penjawat awam atau ibu bapa memasuki lebuh raya sebaik sahaja habis sembahyang Subuh untuk tiba ke pejabat atau sekolah sebelum waktu sekolah atau pejabat bermula. Inilah yang dimaksudkan, mereka tidak akan mendapat apa-apa manfaat dengan pemansuhan tol. Mungkin sesekali, terutama ketika bersiar-siar di waktu malam atau membeli-belah saat-saat akhir menyambut perayaan.

Seharusnya Khaidir memberikan peringatan yang jelas, bukan sekadar mempertahankan secara melulu keputusan Kerajaan PH mengenai pemansuhan tol dan caj kesesakan. Khaidir sepatutnya menggunakan analisis padangan berdasarkan perspektif ‘seimbang’ bukan terus membuat kesimpulan, sindiran berkenaan sebagai ‘terlanjur aktif” apatah lagi mekanisma pengambilalihan konsesi lebuh raya tersebut belum muktamad. Masih dalam perbincangan. Bila akan dilaksanaka, belum ada. Ia hanyalah sekadar cadangan. Cadangan ketika imej PH di PRK DUN Semenyih semakin merudum dan diandaikan agak sukar mempertahankan kerusi tersebut.

Sebagai manusia, tidak ada siapa yang tidak ghairah dengan masa depan. Mungkin Khaidir sendiri saperti ‘tidak sudi’ untuk ke masa depan disebabkan senario politik semasa dan persekitaran media yang suram serta berusaha pulih dari demam. Khaidir mungkin terperangkap, akhbar sepatutnya tidak terikat dengan mana-mana pihak, kerana akhbar memerlukan sokongan pembaca. Tanpa pembaca, akhbar akan hilang punca untuk membiayai kos penerbitan dan membayar gaji wartawan.

Khaidir menggunakan analogi hidup ketika masa kecil berjalan melintas ‘tanah kubur’. Disebabkan takut, maka kita akan berjalan dengan cepatnya. Apakah Najib takut sehingga begitu cepat memerli Kerajaan PH yang membatalkan tol dan mengenakan caj kesesakan. Najib bukan ‘takutkan hantu’ tetapi beliau prihatin. Prihatin untuk memberi isyarat kepada Kerajaan PH agar ‘tidak menipu’ rakyat bila melakukan sesuatu, termasuk memansuhkan kutipan tol. Tol dan caj kesesakan adalah dua perkara berbeza, cuma Kerajaan PH bercadang menyamakannya.

Caj kesesakan lazimnya dikenakan pada waktu puncak kenderaan persendirian memasuki kawasan bandar, bukannya nama lain bayaran tol. Mekanisme itulah sebenarnya yang dipertikaikan. Kalau DBKL mengenakan caj kesesakan bagi kenderaan persendirian, ia mungkin boleh difahami, tetapi bukan kerana memasuki atau menggunakan lebuh raya.

Tujuan asal lebuh raya dibina ialah mengatasi masalah kesesakan di jalan-jalan biasa akibat sempit, terlalu banyak sekatan (lampu isyarat, simpang dan pejalan kaki). Sebab itulah rakyat boleh menerima bila tol dikenakan, kerana pengguna membuat pilihan untuk cepat ke pejabat dan tidak tersangkut lama dalam kesesakan.

Cerita kedua, ialah mengenai kedudukan kewangan FELDA. Cerita ini dianggap menarik apabila dalam akhbar yang sama dimuatkan soal jawab seorang lagi wartawan dengan Pengurus Besar FELDA, Dr Othman Omar.

sawit 4

Menurut Khaidir, pendapatan FELDA merosot sejak tanah seluas 360,000 ekar diserahkan kepada FGV menerusi Perjanjian Sewa Tanah –LLA, lima tahun dahulu. Ketika itu FELDA dianggarkan menjana pendapat RM 1.2 bilion setahun, sekarang hanya sekitar RM 250 juta setahun, sewa pajakan. Sebelumnya hasil sehektar ialah 22 tan dan kini hanya 15 tan sehektar. Kenapa?

Khaidir menyalahkan model ekonomi yang dimulakan oleh Najib Razak menerusi penubuhan FGV. Apakah benar FGV berniaga atas kapasiti FELDA? Apakah FGV dan FELDA itu dua entiti yang berbeza? Ia saperti terbatas maklumat yang hendak disampaikan, kerana Khaidir begitu tergesa-gesa membuat kesimpulan: FELDA telah diganggu oleh FGV. Akibatnya, FELDA berhadapan situasi kehilangan punca pendapatan yang stabil dan mengalami kekurangan tunai untuk meneruskan kelangsungannya kepada peneroka.

Saya membacanya dengan sudut pandang yang berbeza. Selepas memahami apa yang dibualkan antara wartawan dan Pengurus Besar FELDA, ceritanya sedikit berlainan. FELDA berhadapan masalah kecairan wang tunai kerana telah membelanjakan dananya untuk membolehkan peneroka menanam semula, memulih ladang-ladang (membaja dan menebas semula) dan memberikan elaun kepada peneroka ketika dalam tempoh penanaman semula dan sebelum mengeluarkan hasil.

Perinciannya boleh diikuti dalam BHPlus keluaran 25.2.2019, hari yang sama Khaidir menulis mengenai gelisah masa depan menyebabkan terlanjur aktif. Ia sesuatu yang berbeza kesannya apabila kedua-dua laporan atau rencana itu dibaca dan difahami. Bukan bermakna saya mengesyorkan Khaidir menulis dengan mengulangi apa yang diberitahu oleh Pengurus Besar FELDA. Apa yang saya maksudkan, analisisnya hendaklah bertitik tolak dengan kebenaran bahawa FELDA berhadapan masalah wang tunai bukanlah menyerahkan tanahnya kepada FGV, ia berpunca daripada kehabisan wang membiayai penanaman semula, pemulihan ladang dan pemberian elaun yang jumlahnya sekitar RM 7.5 bilion.

FELDA bukan berhutang tetapi penerokalah yang berhutang dengan FELDA. Tentunya, kerajaan adalah sumber kewangan bagi FELDA untuk meminjam bagi memulihkan masalah wang tunai. Ianya dapat diselesaikan setelah semua hutang-hutang peneroka dijelaskan kepada FELDA.

sawit

Khaidir juga telah menuju kesimpulan; kekurangan hasil. Hasil berkurangan kerana ada peneroka bertindak keluar daripada ‘naungan FELDA’ ketika harga sawit tinggi dan memajakkannya kepada orang luar. Pada kebiasaannya, pemajak tidak membajai pokok-pokok kelapa sawit, sebaliknya bersedia memetik buah. Bila kelapa sawit tidak dibajai, maka secara alaminya kekurangan hasil.

Ketika harga kelapa sawit rendah, segelintir peneroka kembali meminta pertolongan FELDA untuk memulihkan kebun dan membantu. Tentunya proses pemulihan kebun mengambil masa, begitu juga dengan penanaman semula. Sekurang-kurangnya empat tahun, pokok yang ditanam semula mula mengeluarkan hasil. Situasi inilah mungkin dapat menjawab kenapa berlakunya penyusutan pendapatan kepada FELDA.

Nick Davies memberikan sebab atau punca kenapa penulisan sedemikian boleh dinamakan churnalism. Walaupun Khaidir mempunyai pendirian tertentu ketika menulis, sekurang-kurangnya sudah ternampak kekurangan dan kelikatan sumber untuk menggambarkan situasi sebenar kedudukan FELDA.

Khaidir mungkin tidak membaca laporan wawancara itu, atau sudah menetapkan terlebih dahulu kecondongan analisisnya, maka itulah ia menjadi sesuatu yang tidak adil dan saksama, tujuannya untuk menyerang bekas Perdana Menteri kerana terlanjur aktif ‘membangkang’ apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH.

Khaidir mungkin terlupa, sebelumnya memang pembangkang sifatnya sebegitu. Pernahkah beliau mendengar DAP memuji apa yang dilaksanakan oleh BN ketika parti itu membentuk Kerajaan Malaysia? Pernahkah PKR berterima kasih kerana tidak memilih kasih dalam membantu setiap warganegara dengan BR1M, BB1M, subsidi pembelian telefon pintar, bantuan kewangan persekolahan ataupun bantuan petani dan nelayan di musim tengkujuh?

Kalaupun membenci salah laku mengenai 1MDB, tangguhkanlah kerana proses pengadilannya belum selesai. Najib belum boleh dipersalahkan kerana keputusannya bukanlah tidak menentukan, ia adalah wibawa mahkamah. Jangan kita mudah terpenjara dengan mainstream, kerana mainstream itulah merosakkan mindset yang dibina menerusi pengetahuan dan amalan profesion masing-masing.

Churnalism berlaku atas beberapa faktor. Menurut Nick Davies, faktor-faktor tersebut antaranya ialah lojik komersial (commercial logic), kecepatan (bersaing dengan media dalam talian), gagal mempertahankan lima prinsip asas kewartawanan, kurang cerita diusahakan sendiri (less own work story), kurang menyemak maklumat dan menimbulkan rasa cemas.

Apa pun, rule of thumb yang dicadangkan oleh Tom Wicker, tetap saya hormati sekiranya ingin (saya bukan wartawan tetapi bekerja dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam) menyarungkan jersi kewartawanan, iaitu kebenaran dan sentiasa mempertahankan kebenaran, dekat atau sentiasa mendekati sumber, semak dan semak, melakukan penyuntingan serapi mungkin, menyelidik dan membuat liputan dengan hadir sendiri di tempat kejadian.

Nick Davies mempertahankan prinsip yang digariskan oleh Tom Wicker. Dan, sekiranya membuat laporan hanya berdasarkan fakta sekunder atau berita-berita yang sudah disunting dan dilaporkan oleh orang lain, samalah keadaannya bergantung kepada apa maklumat yang diberikan oleh Perunding Perhubungan Awam, mereka telah menyaring atau memilih apa yang boleh memberikan keuntungan atau pembentukan imej organisasi yang diwakilinya.

Apakah Khaidir termasuk dalam takrif penulis propaganda kerana sebahagian maklumat telah dinyahkan dari kotak fikir untuk membolehkan satu rumusan dibuat, Najib kelam-kabut atau saperti takutkan hantu bila melintasi ‘tanah kubur’ waktu malam?

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply