Perkara itu dipatahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu dengan alasan penggunaan pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamil pada papan-papan tanda berkenaan bertujuan memudahkan pelancong asing oleh sebab negeri tersebut menjadi tumpuan pelancong asing terutama di kawasan tapak warisan dunia.

Malah, ada yang mendakwa fakta-fakta sejarah yang ditulis oleh ‘profesor kangkung’ mesti dikaji semula dan digantikan dengan fakta sebenar supaya pelajar sekolah belajar perkara yang sebenar, bukan perkara yang diputar-belit.

Isu mengenai usaha mencari fakta sebenar sejarah tanah air berkait rapat dengan politik. Seperti yang di­nyatakan di atas tadi, apabila UMNO/BN goyah, usaha mengubah fakta sejarah terjadi. Ia ada kaitan dengan fakta sejarah terdahulu yang memihak kepada UMNO.

Oleh itu, sebagai usaha memperoleh legasi selama menjadi peneraju negara, tidak mustahil usaha me­ngubah fakta sejarah akan dilakukan untuk mendapat nama. Kita lihat sekarang betapa isu ini digembar-gemburkan semula kerana ahli-ahli politik yang dahulunya menjadi pembangkang kini berada di atas dan mempunyai kuasa.

Sejarah sepatutnya tidak ditulis semula dengan mengubah fakta tetapi fakta yang ada boleh diperkembangkan. Jika sejarah sudah mengatakan komunis itu bukan pejuang menuntut kemerdekaan negara tetapi lebih kepada ancaman atau berhaluan kiri, ia tetap bukan pejuang negara.

Mereka yang masih hidup dan ingat akan peristiwa perjuangan komunis di negara kita akan lebih memahami situasi sebenar perjuangan haluan kiri fahaman tersebut. Kita juga mesti memahami bahawa jika sesuatu fakta sejarah itu ditukar, nanti akan banyak lagi fakta lain yang hendak ditukar yang bukan hanya membabitkan buku sejarah tetapi buku-buku lain termasuk Bahasa Melayu, Pendidikan Moral dan sebagainya yang turut menyelitkan tokoh-tokoh perjuangan menuntut kemerdekaan. Dan dalam perjuangan itu tidak disebutkan bahawa perjuangan komunis itu sebagai usaha me­nuntut kemerdekaan.

Oleh itu, pakar-pakar sejarah dan tokoh-tokoh akademik mesti memainkan peranan dalam usaha menegakkan kebenaran. Mereka mesti membincangkan bagaimana cara untuk mengekalkan fakta yang ada. Mereka mestilah terdiri daripada pakar-pakar dan tokoh-tokoh yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik atau berselindung di sebalik apa-apa kepentingan selain daripada mencari kebenaran.

Kita bimbang, jika pemerintah sekarang berusaha mengubah fakta tentang sejarah, tidak mustahil fakta itu akan ditukar semula oleh pembangkang sekarang jika mereka pula berkuasa. Kita tidak mahu ‘tukar-menukar’ ini menjadi satu budaya pula yang boleh memeningkan kepala pelbagai pihak.

Pada pendapat penulis, banyak usaha lain yang boleh dilakukan daripada mengubah fakta bagi peristiwa yang sudah lama berlaku. Kita harus memandang ke depan dan usaha mestilah dilakukan dengan menyediakan bahan-bahan untuk memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang sesuai dengan pasaran kerja. Inilah yang perlu dititikberatkan supaya siswazah dan lepasan sekolah tidak menjadi penganggur dan menjadi tukang debat di jalanan dan di kedai-kedai kopi.