DAULAH ISLAMIAH?

Istilah “Islamic State” (IS) menjadi satu istilah menarik, bukan sahaja bagi umat Islam, tetapi bagi masyarakat dunia semasa. Bagi umat Islam, konsep negara Islam sudah lama diperjuang kerana “Daulah Islamiah” ialah lambang kekuasaan Islam. Gerakan membentuk negara Islam jelas berkembang setelah tamat Perang Dunia Kedua ekoran kemerdekaan banyak negara Islam. Penubuhan Republik Islam Pakistan dan gerakan pemikiran seperti al-Maududi adalah contoh klasik dalam usaha menubuhkan negara Islam. Revolusi Iran 80an sehingga 90an juga adalah gerakan “Islamist” yang menggegarkan dunia.

Pada awal abad ke-21, Barat mempopularkan Islamophobia yang mengarah kepada kebencian, ketakutan dan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam. Kesan dan stigmanya serata dunia amat dirasai, terutamanya selepas peristiwa 9/11.

Setelah Islamophobia, Islam digambarkan pula dengan sebegitu rupa dengan gelaran “Islamic State” atau IS, iaitu gerakan berupa paras militan dan berwajah pengganas. IS ini adalah ‘tragedi’ kepada agama Islam, umat Islam dan dunia Islam. Mereka menggunakan nama Islam dan telah memfitnah serta membusukkan Islam. Istilah “Islamic” diwarnai dengan keganasan; perbuatan kejam dan melanggar undang-undang.

IS ini ialah antara tindakan atau proses yang bertujuan mendatangkan kebencian kepada Islam walaupun Barat menyatakan tiada persengketaan dengan Islam, tetapi dengan kumpulan terbabit sahaja. IS juga mungkin mahu dibuktikan sebagai sebahagian daripada kesan “Islamisme”. Dalam konteks ini, istilah “pasca-Islamisme” diperkenal, merujuk kepada definisi yang diberikan beberapa pemerhati Barat, iaitu proses ‘menginstitusikan’ Islam dalam bentuk sebuah negara. IS digambarkan dengan militan dan keganasan. Apa yang mahu disuarakan ialah, “Inilah dia negara Islam”; “Inilah dia kesan Islamisme”

Dengan istilah “Islamic” itu, gerakan ini telah berjaya menjadi tarikan kepada umat Islam, yang sedang mencari-cari ruang melakukan kebajikan atas tuntutan agama, termasuk warganegara kita. Sebenarnya tiada yang “Islamic” dengan IS.

Umat Islam sendiri perlu sedar bahawa Islam tidak pernah membawa prinsip keganasan; Islam tidak juga menggalakkan keganasan. Sekiranya umat Islam mahu menggunakan konsep jihad di medan perang, ia hendaklah difahami dengan mendalam tentang maksud yang disaran Islam dan bukan dengan tekad ekstrimisme. Jihad mempunyai prinsip yang amat ketat.

Melihat kepada kesan buruk IS ke atas dunia Islam, tanggungjawab utama kerajaan ialah untuk mempastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat yang terangkum dalam frasa ketenteraman dan keselamatan awam terjamin. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, Kerajaan hendaklah memikirkan tentang kemungkinan ancaman, dan seterusnya bersedia menghadapi apa juga kemungkinan tersebut. Oleh itu, kerajaan hendaklah menyediakan prasarana yang cukup untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman tersebut.

Negara kita sebenarnya begitu aktif dalam membincang dan terlibat secara langsung mengenai langkah-langkah menangani keganasan. Sebelum berbincang mengenai langkah menangani keganasan, secara akademik, masyarakat antarabangsa sebenarnya tidak menyediakan takrifan yang boleh diterima secara universal mengenai maksud ‘keganasan’ kerana ‘keganasan’ sangat berkait rapat dengan politik dan juga emosi penduduk setempat. Ia mungkin berkaitan dengan fahaman agama. Dengan istilah-istilah, antara lain, pelampau agama, Islamaphobia dan Negara Islam, intipati ‘keganasan’ dalam faham Barat ialah ancaman yang boleh didatangkan oleh agama, lebih tepat lagi agama Islam. Bagi kita, kita tidak boleh menjuruskan minda hanya kepada ‘keganasan’ dalam konteks sempit itu, kita hendaklah melihat ancaman kepada agama, juga sebagai satu bentuk ‘keganasan’.  Mungkin bagi negara kita, perkara-perkara ‘subversif’ (subversive) dan juga ‘keganasan terancang’ (organised violence) menjadi dua kata kunci. Dua istilah ini digunakan dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan keduanya tidak ditafsirkan oleh Perlembagaan

Dalam langkah menangani keganasan, mutakhir, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menangani keganasan, terutamanya dalam aspek pencegahan kepada aktiviti keganasan. Ketika menulis rencana ini RUU yang dinamakan RUU Pencegahn Keganasan 2015 tersebut sedang dalam perbahasan di Parlimen setelah dibaca kali pertama.

Menurut RUU tersebut tahanan pencegahan boleh dibuat ke atas mereka yang terlibat atau menyokong perbuatan kegasanan di negara asing. Perbuatan keganasan pula adalah sepertimana yang dimaksudkan di bawah seksyen 130B (dalam Bab VIA) Kanun Keseksaan; yang antara lain perbuatan yang mengancam keselamatan.

RUU Pencegahan Keganasan ini berhasrat menyekat rakyat negara ini daripada terlibat secara langsung dalam apa bentuk berkaitan kegasanan dan dengan itu, RUU ini memperkenalkan tahanan pencegahan. Tahanan pencegahan ini adalah berperlembagaan sekiranya segala peruntukan Perlembagaan berkenaan Lembaga Penasih dibawah Perkara 151 diikuti dan dilaksana dengan baik baik.

Desas desus ada menyatakan bahawa ialah adalah RUU yang menggunakan template Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan dahulu. Namun begitu, apabila diteliti peruntukan RUU tersebut, ia sebenarnya jauh berbeza daripada ISA.  RUU ini membenarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan boleh dikaji semula oleh Mahkamah Tinggi (lihat seksyen 13(10) RUU). Sementara itu, berbeza dengan ISA, RUU tidak memberikan kepada Menteri kuasa untuk mengeluarkan waran tahanan. Kuasa ini telah diserahkan kepada sebuah Lembaga yang diberikan nama Lembaga Pencegahan Keganasan (lihat seksyen 8 RUU).

Ekoran keputusan kerajaan memperkenalkan RUU Pencegahan Keganasan ini, sebuah lagi RUU yang dicadangkan ialah RUU Langka-Langkag Khas Menentang Kegasanan di Luar Negara. Sementara itu beberapa peruntukan Akta Penjara, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau dikenali sebagai SOSMA, telah dicadangkan untuk pindaan bagi menjadikannya selaras dengan RUU Pencegahan Keganasan yang baharu diperkenalkan itu.

Bagi pengalaman negara kita Malaysia yang telah melalui ancaman subversif sejak sebelum merdeka sehinggalah akhir-akhir tahun 80an dan penglibatan rakyat kita di Timur Tengah berkenaan IS ini, maka undang-undang pencegahan adalah satu keperluan. Benarlah undang-undang pencegahan akan melibatkan hak asasi manusia, tetapi hak asasi tersebut manusia tidak boleh disalah guna sehingga menyebabkan keselamatan diri seseorang atau negara di ancam.

Dalam aspek undang-undang, setelah ISA dimansuhkan, pelbagai hal berkaitan ancaman keselamatan telah timbul kerana tiada lagi undang-undang berbentuk pencegahan. Oleh itu, pengenalan Akta Pencegahan Keganasan ini benar-benar diperlukan supaya ia dapat mencegah sebelum rakyat kita benar-benar ke luar negara dan bersubahat atau terlibat dengan IS.

Walaupun kita telah mempunyai undang-undang menangani keganasan, sebelum RUU ini diperkenal, seperti yang ada dalam Kanun Keseksaan (terutamanya Bab VI dan VIA), Akta Pencegahan Jenayah dan juga SOSMA, undang-undang ini tidak nampak berkesan setelah lebih 60 orang rakyat Malaysia didapati terlibat dengan aktiviti keganasan yang dipeloposi IS.

Undang-undang pencegahan adalah antara mekanisme penting dalam menangani keganasan; orang kata cegah sebelum parah. Malah, serata dunia, banyak negara, atas alasan ‘ancaman keganasan’ telah menyediakan undang-undang pencegahan. Kita tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini kerana ancaman kepada kedaulatan negara dan keselamatan rakyat bukan sesuatu yang  boleh dikompromi.

Oleh kerana ancaman keganasan ini boleh merebak hanya dengan hujung jari,  undang-undang lebih mantap dan bersifat pencegahan amat diperlukan. Kita memerlukan undang-undang mencegah, bukan sahaja undang-undang yang menghukum dalam bentuk jenayah biasa.

Rangka kerja menerusi undang-undang pencegahan adalah lebih mantap. Ini kerana undang-undang memberi kuasa kepada pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan keselamatan rakyat serta ketenteraman awam dengan cara mencegah,  bukan hanya dengan menunggu  ancaman itu benar-benar berlaku sebelum ia boleh disekat.

Sebagai penutup, undang-undang yang baik juga perlulah disertai dengan kesedaran individu bagi mempastikan ia benar-benar berkesan. Undang-undang pencegahan semata-mata tanpa disertai kesedaran rakyat tidak membolehkan kita sifar keganasan. Berhubungan  juga kesedaran berkenaan jihad atau perjuangan dalam Islam hendaklah disertai dengan kefahaman yang mendalam. Ini kerana Islam tidak pernah membenarkan keganasan dan Islam tidak pernah menggalakkan umatnya terlibat dalam keganasan. IS yang begitu nyata keganasannya tidak boleh diterima sebagai satu kompromi dalam memperkenalkan Islam di mata dunia. IS bukanlah perjuangan Islam kerana tiada yang ‘Islamic’ dalam ‘Islamic State’ itu.

shamrahayu

YBhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz

Felo Utama

Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik

Institut Kefahaman Islam Malaysia

No Comments

    Leave a reply