Peristiwa pertama akan memberikan kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia dan Malaysia tidak terkecuali, manakala peristiwa kedua membayangkan bahawa krisis ekonomi akan berlaku pada tahun-tahun mendatang.

RMK-11 merupakan rancangan lima tahun terakhir untuk Malaysia mencapai taraf sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Dalam tempoh 2018 – 2020, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Dengan kadar ini, pertumbuhan sederhana, dijangkakan lebih baik daripada pertumbuhan ekonomi global dan negara maju, meskipun tidak dapat menandingi China, India, dan negara jiran, Filipina dan Vietnam.

Untuk tempoh yang sama, perbelanjaan pembangunan akan dikurangkan sebanyak RM40 bilion daripada peruntukan asal, RM260 bilion, dan tindakan ini dijangka sedikit banyak akan memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Meskipun tahun demi tahun pertumbuhan  tidak mencapai kadar prakegawatan ekonomi tahun 1997-1998 yang mencatatkan pertumbuhan purata lapan peratus selama 10 tahun sewajarnya kesan lelehan daripada pertumbuhan dinikmati oleh setiap lapisan rakyat supaya jurang ketidaksamaan dapat dikurangkan.

Langkah ini perlu agar Malaysia tidak turut terjebak dalam fenomena global yang menyaksikan ketidaksamaan semakin menjadi-jadi sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai di banyak negara termasuk di negara maju.

Kita sering bercakap tentang keadilan ekonomi dan sosial, yang sepatutnya  menjadi kenyataan dan bukan hanya retorik politik  selama-lamanya.

Oleh itu, sewajarnya dalam tempoh RMK-11, sekiranya berlaku pertumbuhan dan pengagihan yang adil, dan pada masa yang sama “pembangunan tidak seimbang” dapat dikurangkan, kalaupun tidak dapat dibasmi sama sekali.

Meskipun secara keseluruhannya, negara berjaya membasmi kadar kemiskinan sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan koefisien Gini dikurangkan daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.399 pada tahun 2016, terendah dalam sejarah negara kesan lelehan tidak melata, oleh itu ketidaksamaan masih luas.

Untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan ini, kerajaan sewajarnya memberikan penekanan terhadap modal insan.

Baru-baru ini, Institut Penyelidikan Khazanah menerbitkan The State of Households 2018: Different Realities yang dipetik meluas oleh media tempatan, menunjukkan isi rumah di majoriti besar daerah memperoleh kurang daripada pendapatan isi rumah median nasional iaitu RM5,228 pada 2016.

Tingkat pendapatan isi rumah purata di Greater Kuala Lumpur, hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada tempat-tempat lain di Malaysia.

Pada tahun 2016 isu rumah yang berpendapatan kurang RM2,000, membelanjakan 94.8 peratus pendapatan mereka untuk keperluan penggunaan berbanding dengan isi rumah yang berpendapatan bulanan RM15,000 ke atas membelanjakan 45 peratus pendapatan mereka.

Yang membimbangkan, bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000, baki pendapatan dengan mengambil kira inflasi, hanya RM76 pada tahun 2016, berbanding dengan RM124 pada 2014.

Berdasarkan hakikat tersebut, memang wajar dalam RMK-11, kerajaan berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, dengan melaksanakan pelbagai usaha dengan memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama iaitu fokus kepada peningkatan ekonomi golongan B40, kaum bumiputera, kumpulan minoriti serta usaha menangani keperluan kumpulan sasar khusus di samping meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti serta memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan.

Pada suatu masa dahulu, kita sering mendengar ahli sains sosial mengatakan bahawa golongan miskin di negara ini terperangkap dalam “kitaran ganas” antara kemiskinan dengan taraf pendidikan rendah.

Pastinya, kita tidak mahu penyakit ini terus berulang apabila golongan bawahan terperangkap antara taraf sosioekonomi yang rendah dengan mobiliti sosial terbatas. Dalam ucapan pembentangan itu, Dr. Mahathir menegaskan bahawa peningkatan pendapatan sahaja tidak mencukupi kalau tidak diiringi dengan peningkatan kuasa beli.

Bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat terutama isi rumah, produktiviti mestilah dinaikkan. Namun begitu, peningkatan kuasa beli rakyat sukar dicapai sekiranya kadar inflasi tinggi dan tidak terkawal.

Kita bernasib baik kerana kadar inflasi negara dijangka berada pada tahap terkawal dengan mengalami penurunan kepada 2.9 peratus tahun ini berbanding 3.8 peratus pada 2017. Secara umumnya, perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak menurunkan harga barang seperti yang diharapkan.

Tambahan pula, dengan keadaan ringgit yang lemah berbanding dolar AS iaitu kira-kira RM4.15 pasti menjejaskan kuasa beli rakyat yang menggunakan barang import.

Selain itu, dalam memenuhi kesejahteraan rakyat, rasuah, ketirisan, budaya “ pemberian ufti,” dan amalan rent seeking,  mesti dihapus sama sekali.

 

Oleh Mohd Nizar Sudin

PENULIS ialah Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).